Wednesday, September 07, 2011

Raya FAQ

Raya kali ini, saya sambut di tiga tempat berbeza. Syawal 1 di Kedah. Syawal 2 di Perak dan Syawal 3 sampai Syawal 8 saya habiskan di Rawang.

Kedah, atau lebih spesifik lagi di Kota Sarang Semut adalah kampung halaman ibu saya. Nenek saya menetap di sana bersama Maklong. Saya kerap juga ke Kedah untuk menemani nenek jika Maklong perlu bekerja shif malam dan nenek keseorangan di kediamannya. Anak-anak Maklong dua dari tiga orang menyambut 1 Syawal di Kedah. Meriah juga bila semua sudah berhimpun. Memandangkan sepupu saya dari belah ibu cuma 3 orang jadi tak banyak yang kami bualkan. Yelah, selepas Arwah Pakcik meninggal dunia, ibu saya Cuma tinggal dua beradik. Masing-masing boleh update informasi satu sama lain hanya dengan bertanya kepada ibu masing-masing. Jadi, FAQ di Kedah cuma lah, “Ija tak panas?” atau “Nak pergi mana?” Soalan-soalan ini timbul kerana saya bertudung di dalam rumah dengan baju lengan panjang. Bila berlengan pendek, sweater menjadi peneman. Alhamdulillah, rumah nenek saya yang terkenal dengan kehangatan dan kepanasannya saya rasakan amat dingin. Sampai menggigil-gigil. Mungkin sebab saya kurang sihat waktu itu. Atau mungkin saja sebab Allah nak tolong saya :)

Di Perak, atau lebih tepat lagi di Jalong, Sungai Siput Utara, sampai saja di rumah Opah bertalu-talu pertanyaan hadir kepada saya. Soalan pertama oleh Opah, “Siapa ni?” Opah saya sudah uzur. Saya sempat bertemu dengannya ketika Ramadhan lalu selepas hampir setahun tak bertemu Opah. Ketika Ramadhan lalu, beliau masih mengenali saya. Saya berkata perlahan di telinga Opah, “Ija ni,” Opah angguk sambil tersenyum. Waktu bersalam dengan makcik-makcik dan para sepupu yang tak dapat saya hitung kerana terlalu ramai, muncul FAQ terulung (kerana berulang-ulang pertanyaan yang sama).
1. “Ija dah kerja?” atau “Kak Ija dah kerja?”
2. “Kak Ija kerja apa? Tutor ke?”

Tak tahu juga sebenarnya nak jawab macam mana. Sebab kalau kata saya tidak bekerja, hampir setiap hari saya harus ke pejabat. Saya tak boleh pulang bercuti sesuka hati. Saya terikat dengan aktiviti sama ada di ISDEV (salah satu pusat kajian di pusat pengajian kami). Saya juga terikat dengan aktiviti pusat pengajian mahupun universiti. Tapi kalau nak kata saya sudah berkerja, saya tiada slip gaji. Saya juga tiada KWSP atau apa-apa yang berkaitan dengan ‘employer-employee’. Saya masih pelajar sepenuh masa. Jadi saya Cuma dapat menjawab bahawa saya bukan tutor. Job description saya luas. Dari membasuh pinggan dan menghantar surat hinggalah mengelolakan bengkel pasca siswazah antarabangsa dan menyediakan proposal geran ratusan ribu ringgit.

Okay, kalau macam tu apa jawatan saya sebenarnya? Kalau lihat di surat tawaran, jawatan saya ialah ‘Felo Rancangan Latihan Kakitangan Akademik (RLKA)’. Saya pemegang biasiswa Kementerian Pengajian Tinggi – Universiti Sains Malaysia. Alhamdulillah, setiap bulan saya menerima 'gaji' dari USM dan selang beberapa bulan saya menerima elaun dari KPT. Terima kasih kepada pembayar cukai sekalian, Raya kali ini saya dapat menghulur serba sedikit duit raya. Sungguh! Memang sikit! Minta maaf la. Duit biasiswa ni tak boleh nak diboros-boroskan. Berbeza dengan bahagian lain di pusat pengajian kami, ISDEV sangat mementingkan latihan pemegang-pemegang biasiswanya. Kalau di tempat lain, mereka Cuma mahu laporan prestasi dihantar setiap 6 bulan. Tapi di ISDEV, saya perlu ke pejabat setiap hari dan mengikuti aktiviti ISDEV malah masuk ke kelas pelajar Masters. Saya tak perlu mengajar kerana penyelia saya merangkap bakal atasan saya mempunyai GA (Graduate Assistant) nya sendiri. Jadi, boleh kata yang job description saya adalah melakukan dengan sebaik mungkin apa yang diminta oleh penyelia saya. Tapi tetap, saya masih pelajar sepenuh masa. Dan saya menerima wang dari KPT dan USM untuk belajar. InsyaAllah, habis pengajian nanti kontrak saya akan berjalan selama 7 tahun dengan ISDEV-Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan-USM. KPT? Asalkan saya tidak cabut lari ke luar Negara, mereka tak kisah sangat.

Ketika menyambut Syawal di Rawang, saya sempat menjemput rakan-rakan Non-Muslim yang rapat dengan saya ketika sekolah menengah dulu bertandang ke rumah. Kalaivany, Shalini dan Thulasi. Mereka bertiga memang rapat rapat dengan saya terutamanya ketika di tingkatan 4 dan 5. Kelas saya Cuma ada 5 orang pelajar Melayu. 4 daripadanya perempuan dan seorang lagi lelaki. Tapi memandangkan dari tingkatan 1 saya sudah duduk semeja dengan Kalaivany, jadi tak ada masalah untuk kami terus rapat sampai habis sekolah. Mereka juga pernah berusaha mencarikan teman lelaki untuk saya selepas kami tamat sekolah. Tapi waktu itu saya terlalu sibuk mengejar kuliah dan assignment di kolej matrikulasi maka lelaki tersebut mengadu pada mereka yang saya tidak mengendahkannya. Sudahnya, Kalai dan Shalini tidak lagi berusaha mencarikan teman lelaki untuk saya.

Kalai-Shalini-Thulasi ketiga-tiganya punya FAQ yang sama buat saya.
1. Sudah habis masters?
2. Bila nak kahwin?

Bila saya kata saya sudah habis masters dan sedang menyambung lagi pengajian saya, mereka bertiga terkejut. Siapa sangka kan? Saya dulu cukup malas membuat kerja sekolah. Siap pernah kena panggil oleh cikgu Fizik sebab tak buat laporan amali. Tapi sekarang, belajar tak habis-habis! Untuk soalan kedua, saya Cuma senyum sambil berkata penuh riang, “I tak ada calon la. You all bila nak kahwin, semua dah ada pasangan kan?” Dan di situ saya dapat tahu, Shalini sudahpun ‘legally-married’. Tahun depan mungkin akan berkahwin secara adat pula. Kalai juga akan melangsungkan perkahwinan tahundepan. Dan Thulasi pula sedang menunggu buah hatinya menghabiskan houseman ship di hospital di Johor. Lebih 3 tahun tak jumpa rakan-rakan India saya ini, banyak yang sudah berubah. Tapi kata mereka, saya masih sama. Cekeding macam dulu. Haha.

FAQ raya ini, maaflah bila tak dapat menjawab dengan tepat. Sebenarnya bila muncul pertanyaan-pertanyaan di atas, saya secepat mungkin cuba mengubah kepada topik lain. Bukan tak mahu jawab tapi kadang-kadang saya tak tahu nak jawab macam mana. Harap-harap tak ada yang berkecil hati dengan cara dan sikap tidak serious saya.

gambar: kucing Tok Ngah, abang kepada nenek saya di Kedah. Diambil oleh ayah saya (kami anak beranak memang suka ambil gambar flora dan fauna)

ps: sedang berusaha meneruskan cara Ramadhan. Tapi susahnya, bukan kepalang!

2 menconteng:

Puan Enatt said...

Kota Sarang Semut?

kampung apa?

hehe

wan.haniza said...

Batu 9 1/2
Tak ada nama kampung :) Puan Enatt tahu?