Friday, August 15, 2008

Graduasi: baju indah – reunion – bunga – keluarga – ijazah

Minggu ini minggu graduasi. Minggu-minggu lalu, ramai yang sibuk melengkapkan koleksi pakaian yang ingin disarungkan ke tubuh ketika majlis konvokesyen nanti. Saya sempat menemani teman sebilik mencari kasut yang beliau ingini. Malang, tidak ketemu. Dan saya dengan kaki yang letih menganjurkan agar beliau mencarinya sendiri memandangkan kami sudah bersusah-payah untuk sehari suntuk. Kisah pakaian yang indah-indah sepersalinan bagi penerima ijazah ini bukan hanya berlaku pada para siswi. Yang lelaki tak kurang hebatnya! Teman sekelas (lelaki) sibuk menyatakan persalinannya belum lengkap.


Majlis konvokesyen juga berperanan dalam menemukan kembali teman-teman sekelas yang lebih 3 bulan tidak bertemu sejak tamat pelajaran pada semester lepas. Reunion ini menyaksikan perubahan pada teman-teman lama. Ada yang semakin jelita, yang makin kacak, ada juga yang makin membesar. Almaklumlah..lama menetap di rumah, tentunya makanan di rumah enak-enak belaka.

Saya sempat berkunjung ke tapak ekspo konvokesyen USM ke-38 dan ‘mencuci mata’ meyaksikan deretan gerai menjual pelbagai jenis bunga, cenderamata, pakaian dan makanan. Tentunya majlis konvokesyen ini menjadi seolah-olah satu pesta jual-beli dan membuka pintu rezeki ramai pihak. Gerai tumpuan tentulah gerai bunga-bungaan yang seolah-olah wajib untuk dijadikan hadiah kepada para graduan. Jangan sampai membazir sudahlah ye!

Majlis konvokesyen tiada serinya jika tidak diserikan dengan kehadiran ahli keluarga, terutamanya ibu bapa. Bagi saya, inilah hadiah terindah dapat diberikan oleh seorang anak kepada kedua orang tuanya selepas mereka berhempas pulas menyediakan peruntukan kewangan dan sokongan untuk kita belajar sejak kecil hingga ke menara gading. Jadi, usahlah berkecil hati andai saat keluar dari Dewan Tuanku Syed Putra nanti anda tidak disambut dengan jambangan bunga mawar (atau apa saja yang anda sukai). Yang selayaknya untuk menerima jambangan itu adalah mereka yang berada dibelakang anda, yang menyokong, yang sentiasa menggalakkan dan sentiasa ‘push’ anda untuk terus belajar. Jangan terleka sibuk bergambar dengan teman-teman dan para junior yang meraikan anda hingga terlupa dengan keluarga anda. Saat bahagia ini seharusnya dikongsi lebih lagi dengan mereka.

Menjadikan majlis konvokesyen ini bermakna adalah dengan segulung (kalau di USM sekeping – tidak digulung) ijazah yang menjadi bukti usaha dan segala tungkus lumus bergelar pelajar. Sungguh, ijazah itu lebih bermakna setelah segalanya dilimpahkan bagi memastikan kita mampu menamatkan pelajaran – tanpa perlu mengulang. Saya tahu, bukan sedikit yang diberikan bagi memastikan anda berjaya tiba ke destinasi ini. Wang ringgit, masa, tenaga, dan segala macam jenis ‘kesakitan’ hati dan mental terpaksa dikorbankan. Inilah masanya untuk anda meraikan segala usaha anda. Tapi jangan terleka. Tanggungjawab sebagai lepasan universiti lebih tinggi daripada ketika anda sedang belajar. Anda punya tanggungjawab yang perlu dilangsaikan kepada kedua orang tua, kepada masyarakat, kepada negara dan tentunya kepada agama. Jangan terlalai dengan statu B.Sc atau BA yang anda peroleh.

Akhir sekali, tahniah buat semua graduan khususnya teman-teman seangkatan yang berjaya memperoleh ijazah B.Sc (hons) Microbiology serta semua graduan Majlis Konvokesyen USM ke–38. Terima kasih buat para pensyarah, guru dan GA yang membantu kami menyelesaikan pengajian ini. Segala syukur dipanjatkan buat Yang Maha Esa yang mengizinkan, yang memberikan kudrat dan keupayaan, yang menganugerahkan ilmu dan yang mempermudahkan laluan bagi mengharungi dunia siswi ini. Dan segala puji itu hanya buatNya. Alhamdulillah.