Monday, October 25, 2010

My Effi

1994. Saya di darjah 2. Kelas fardhu ain di Madrasah al-Syakirin Ampang hari itu berbeza dari biasa. Saya mendapat kawan baru. Sebenarnya, kami telah mengenali sejak tadika lagi. Tapi waktu itu kami belum berkawan rapat.

Saya tiga dari kiri, Effi paling kanan ketika majlis khatam al-Quran

Effida Liyana. Kami sangat rapat selepas itu. Sama-sama menyukai watak kartun GARFIELD. Sama-sama bersekolah di S.K Ampang dan KAFA Madrasah al-Syakirin. Tinggal di taman perumahan yang sama. Ketika ada ustazah baru datang ke madrasah kami dan mengajarkan konsep aurat dan dosa, Effi dan saya sama-sama mula mengenakan tudung.

Darjah 3, saya berjaya naik ke kelas elite yang didiami Effi. Walaupun sekelas, Effi berada dalam liganya yang tersendiri. Dia elite sejati sejak darjah 1 lagi. Kumpulan rakan-rakan Effi juga berbeza dari saya. Tapi Effi tak pernah mengabaikan saya. Kami tetap berkawan dan bermain bersama. Walaupun di kelas 3 Raya itu saya selalu saja mendapat nombor 10 dari belakang sedangkan Effi antara pelajar pandai di sekolah.

Effi dan saya berkongsi kisah kenakalan bersama. Kemuncak kenakalan kami berlaku ketika kami di 5 Usaha. Pada hari Sabtu, kami diwajibkan untuk menghadirkan diri ke sekolah dengan berpakaian seragam. Tak ingatlah kelas itu untuk apa. Tapi yang jelas, ketika semua orang sudah pulang Effi dan saya bersama seorang lagi rakan kami, Farahwahida terus berada di sekolah dan bermain kejar-kejar di atas meja. Syarat permainan kami, tidak boleh menyentuh lantai. Meja dan kerusi sahaja!

Bila kami sedar hari sudah lewat, kami bergegas untuk pulang. Kelas kami di tingkat atas. Pintu grill pada tangga sudah berkunci. Mencari idea..kami memanjat tangga di aras 2 untuk keluar melalui celah pada tangga. Dinding di panjat. Kemudian melonpat bersama-sama beg dan seragam baju kurung putih (biru untuk Effi). Panjat-memanjat bukan asing bagi kami. Setiap petang kami berlatih memanjat palang-palang besi di taman permainan di belakang madrasah kami. Barangkali ada yang ternampak aktiviti kami, esoknya lubang tersebut ditutup dengan grill besi.

grill besi dalam bulatan kuning

Ketika di 5 Usaha, Effi dan saya duduk bersebelahan . Di depan kami, Afique dan Izuddin. Hari itu, kelas tunggang langgang. Tiada guru yang masuk. Effi ligat memotong pemadamnya. Dengan penuh perasaan, pemadam yang telah didadu dibaling ke Afique dan Izuddin dari arah tepi. Mereka melatah dan ketakutan. Bila berpaling kepada kami, kami berpura-pura seperti tiada apa yang berlaku sambil sibuk menyiapkan kerja sekolah. Saya turut memotong pemadam saya dan membaling ke arah mereka. Waktu itu kisah dajjal dan Segitiga Bermuda sedang hangat diperkatakan. Lalu mereka berfikir bahawa pemadam-pemadam tersebut dibaling oleh dajjal atau makhluk halus lainnya.

Hingar bingar 5 Usaha bertukar sepi bila guru kelas kami, Pn Rahimah Mokhtar masuk. Tetapi saya masih mahu terus mengusik. Pemadam saya letakkan di atas pembaris dan lenturkan menjadi lastil. PAP! Terkena papan hitam di sebelah tempat Pn Rahimah. Beliau melatah, seisi kelas tertawa dan kenakalan saya terhenti di situ. Bimbang tertangkap.

Rahsia ini Effi dan saya simpan dengan rapi dari pengetahuan rakan-rakan lain. Ketika darjah 6, Effi berpindah mengikut ayahnya yang ditugaskan bekerja di Sarawak. Saya pula berpindah ke Rawang ketika tingkatan 1. Rahsia ini akhirnya terbongkar apabila Effi membongkarnya kepada Afique setelah mereka bertemu di laman sosial Friendster. Saya juga telah memohon kemaafan dari Afique ketika saya bertembung dengannya ketika dia hadir ke Kampus Induk USM untuk pertandingan taekwando mewakili USM Kampus Kejuruteraan untuk MASUM.

Hari ini, setelah lebih 10 tahun kisah Effi dan saya berkawan, Effi kini telah bergelar isteri orang. Bertemu dengan belahan jiwanya ketika belajar di MRSM Kuching. Dan selepas ini, Effi akan sekali lagi meninggalkan saya untuk mengikuti suaminya yang bertugas di Sarawak.

Tapi saya percaya, persahabatan kami akan terus utuh kerana Effi dan saya bukan sekadar kawan. Kami sudah seperti adik beradik. Laut China Selatan tidak akan memutuskan persahabatan kami. InsyaAllah.


Tahniah Effida Liyana Zulkipli!

Tuesday, October 19, 2010

Aceh: kunang-kunang terbang rendah

Kunang-kunang (firefly) dan krewnya yang menerbangkan kami ke Aceh

Musafir ke Aceh bermula dengan perjalanan yang penuh mendebarkan. Pertama kali ke Aceh, bumi yang sentiasa diuji Allah. Pertama kali juga menaiki pesawat Firefly yang saiznya lebih kecil (paling kecil) berbanding dengan pesawat-pesawat lain yang pernah saya naiki. Cuaca baik saat kami berlepas pada 1.40 petang, 9 Oktober 2010. Awan berkepul-kepul.

Bukan tak pernah menaiki pesawat yang perlu dibelokkan ketika di udara. Tapi inilah kali pertama saya merasakan seperti sedang drift di dalam pesawat! Penerbangan seterusnya, selama 1 jam 40 minit berjalan lancar. Debaran melanda sekali lagi ketika pesawat ingin mendarat. Langit di Aceh lebih berawan lagi. Naik, turun pesawat kami. Saya rasa kalau dilihat dari luar, agaknya pesawat kami kelihatan seperti pesawat TUDM ketika membuat pertunjukan akrobatik di hari kemerdekaan! Oh, hiperbola! Pesawat dipusing hampir 90 darjah. Dari tingkap saya, Pantai dan kesan-kesan tsunami jelas kelihatan. Manakala dari tingkap bertentangan, yang nampak hanya langit biru bersama kepulan awan. Boleh bayangkan? Perasaan berbaur. Gementar dengan keadaan pesawat, tapi kagum dengan bumi Aceh yang indah nian! Subhanallah!

kesan tsunami

Sebenarnya, sebelum menaiki pesawat, saya dan semua jemaah musafir dari ISDEV telah diberikan sedikit penerangan tentang adab dan cara ketika bermusafir. Termasuklah ketika menaiki kenderaan. Jadi, perasaan takut dan gementar saya atasi dengan bacaan-bacaan yang terlintas di fikiran. Membaca dengan keaadaan adrenalin terembes, jadi saya sendiri tidak ingat bacaan apa yang saya baca sepanjang debaran tersebut.


Setibanya kami di Bandara (bandar udara) SIM (Sultan Iskandar Muda), Aceh, kami disambut oleh dosen (pensyarah) Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Ar-Raniri. Kagum sesaat melihat rekabentuk Bandara SIM. hiasan bercorak geometri yang sinonim dengan seni bina Islam memenuhi bahagian dinding dan syiling bandara. Lantai dihiasi dengan kompas penunjuk arah. Di atas bangunan utama, kubah berwarna-warni tersergam megah.


Keluar dari bangunan bandara, udara Aceh terasa segar. Langit cerah membiru. Tiada jerebu seperti di Penang. Anginnya kencang. Barangkali kerana masih di kawasan bandara. Tapi, di mana-manapun di Aceh berangin kuat. Mungkin bayu Laut Andaman. Mungkin saja.

Kami menginap di Rumah Tamu Bank Indonesia (baca: beh-ie). Sepanjang di Aceh, banyak tempat-tempat bersejarah kesan dari tsunami yang kami lawati terutamanya masjid dan tanah perkuburan mangsa-mangsa tsunami. Kata orang, a picture speaks a thousand words. Makanya, mungkin lebih baik gambar-gambar di bawah ini yang menceritakan pengalaman saya di Aceh.

kapal penjana elektrik yang dibawa ombak tsunami ke tengah perkampungan sejauh 4.5km dari kawasan laut


kapal nelayan yang dihanyutkan ombak tsunami


Pintu masuk salah satu kawasan perkuburan mangsa tsunami. "Tiap yang berjiwa akan merasakan mati Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cobaan dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan (al-Anbiya:35)

Maaf, jika ditanya "Best ke pergi Aceh?" Saya tidak dapat menjawabnya dengan perkataan 'best' itu. Musafir ke Aceh bukan jalan-jalan cari makan. Jauh sekali melancong mengambil angin. Musafir ini mengajar saya lebih dari itu. InsyaAllah, saya akan menuliskannya di sini pada lain waktu.

Sekian dulu, wassalam.

Thursday, October 14, 2010

Bukan legasi ilalang

sawah bendang kini menjadi padang ilalang di Aceh

Padang ilalang
aku petik
biar jadi jambangan

Padang ilalang
bukan legasi hina
Jambangan mekar penebar jasa

Padang ilalang
lambang kecekalan dan ketabahan.

Tugu pejuang badai besar.

ps: pulang dari Aceh, aku belajar tentang ilalang!

Friday, October 08, 2010

Jaa mata! (じゃまた。- jumpa lagi)

InsyaAllah, esok saya akan terbang ke Nanggroe Aceh Darussalam, atau Tanah Rencong seperti yang disebut oleh Ramlee Awang Murshid dalam siri Laksamana Sunan. Doakan keselamatan saya dan ahli musafir yang lain ya. InsyaAllah, jika ada umur yang panjang, bersua kita lagi nanti dengan kisah dari sana. Semoga perjalanan kali ini diberkati Allah dan menjadikan saya dan ahli musafir lain lebih baik di sisi Allah berbanding diri kami sebelumnya.

Klik gambar untuk besarkan
Peta dari google maps dan diedit oleh saya menggunakan 'paint'. Maaflah, tangan tak berseni :)

Saya tinggalkan anda dengan lirik lagu selawat nyanyian Opick featuring Flo yang amat saya gemari. Maaf, tidak tahu cara untuk upload lagu ini di sini. Mungkin boleh layari you-tube atau 4shared untuk mendengarnya sendiri.

Sollu ala Muhammad - Opick feat. Flo

Allahumma salli ‘ala Muhammad
Ya Rabbi salli ‘alaihi wa saliim

Pabila hati hilang cahaya iman
Langkahnya hidup hitam tanpa penerang
Pabila jiwa jauh dari Al-quran
Langkahnya hidup bagai tanpa pedoman

Pabila mulut jauh dari Asma-Nya
Langkahnya hidup bagai hilang berkah-Nya
Pabila dunia tak berlandaskan jiwa
Siap-siap akhirat meninggalkannya

Di bayang-bayang fatamorgana
Berharap hidup khusnul khotimah
Di bayang-bayang fatamorgana
Diri memohon selamatkan hamba

Ya Rabbi Ya Rabbi Ya Rabbi…

Salallah ala Muhammad
Salallah alaihi Wa Salam
Salallah ala Muhammad
Salallah alaihi Wa sallim

Yaa Nabi salaam ‘alaika
Yaa Rasul salaam ‘alaika
Yaa Habiib salam ‘alaika
Salawattullah ‘alaika

Wednesday, October 06, 2010

Sudah atau baru 24 tahun?

Prinsip saya dalam hidup mudah saja. Pertama, tidak mahu menyesal. Dan kedua, tidak mahu menyusahkan orang lain. Dengan dua prinsip ini, saya menjalani kehidupan sehingga hari ini, usia saya sudah mencecah 24 tahun.

Saya percaya, setiap sesuatu dalam kehidupan ini tidak pernah ada yang sia-sia. Sama ada kejayaan, mahupun kegagalan. Sama ada baik, mahupun yang buruk. Sama ada hidup ataupun mati. Semuanya bersebab. Sebab, Allah dah katakan bahawa tiada satupun yang Dia ciptakan adalah sia-sia. Hatta iblis dan syaitan sekalipun, ada fungsinya.

Begitu juga dengan diri saya. Saya percaya, saya ada fungsi yang tersendiri. Ya, yang pertama sebagai hamba Yang Maha Esa. Kemudian khalifahnya. Sebagai khalifah, saya percaya saya bukan semata-mata seorang perempuan. Bukan semata-mata seorang anak, seorang kakak, seorang adik, seorang cucu, seorang murid, atau seorang kawan. Bukan. Saya percaya, saya ada fungsi yang lebih besar dari itu. Apa?

Saya masih belum tahu. Ilmu memahami hikmah disebalik kejadian yang Allah ciptakan belum saya gali sepenuhnya. Tentu saja tidak tergali sepenuhnya. Ilmu Allah itukan terlalu besar. Kalau dibanding dengan apa yang diajarkan kepada saya, tentulah pengetahuan saya ini tidak sampai setitispun ilmu yang diciptakan Allah.

Sejujurnya, saya tidak pernah menyangka untuk hidup sehingga 24 tahun. Malah sehingga kini saya tidak mensasarkan untuk hidup terlalu lama. Saya tiada perancangan jangka panjang untuk diri saya pun. Cuma sasaran-sasaran pendek, yang saya harap dapat saya capai sedikit demi sedikit. Seperti mahu tamat belajar dengan cemerlang dalam tempoh 3 tahun, menjadi tetamu Allah dan Rasulullah, memiliki seorang anak (tidak semestinya melahirkannya!) dan mengajarkannya prinsip dan pegangan kepercayaan saya. Saya juga mahu mengajar dan menyampaikan ilmu seperti yang guru saya sampaikan ketika saya masih di ijazah muda dulu.

Untuk pusat tempat saya belajar dan menerima biasiswa, ingin sekali saya menyumbang tenaga membesarkannya. Seperti harapan guru saya. Tidak besar, sedikit. Tidak semua, sekurang-kurangnya sebahagian. Saya tidak bercita-cita besar. Tidak pernah bercita-cita menjadi pengarahnya. Cukup sekadar ahli yang boleh bersamanya berjuang untuk Islam. Saya tidak tahu usia saya akan sampai mana. Mungkin saja pergi dahulu daripada mereka yang membesarkan saya. Seperti arwah Pakcik. Segalanya mungkin, bukan?

Saya sedar, tingkah laku saya seringkali membuahkan salah faham. Sikap saya selalu keanak-anakan. Selalu nampak mentah dan tidak matang. Namun, seperti yang saya katakan, saya tidak mahu menyesal dalam kehidupan. Saya tidak mahu apabila saya semakin menua, saat saya bertanyakan "Apa yang telah aku lakukan ketika usiaku muda?" Saya hanya dapat menjawab: "Tiada apa".

24 tahun, iman saya naik dan turun. Jarang naik, tetapi selalu turun. Begitu juga semangat dan kekuatan saya. Kadang tampak gagah padahal mahu menutup rapuh. Kadang nampak lemah, sedangkan kukuhnya belum tahu.

Terpulang, bagaimana mahu ditafsirkan. Cukup bagi saya untuk saya dan Allah tahu apa yang saya rasakan. 24 tahun, cukupkah untuk saya berpuas hati? Tentu sekali tidak. Tapi saya tidak menyesal. Menjadi seorang saya, yang penuh kekurangan dan penuh kelemahan. Saya tidak menyesal dilahirkan sebagai saya, tdibesarkan sebagai saya dan dididik sebagai saya. Terima kasih buat semua yang terlibat. Menempa saya. Dari bijih kepada besi. Mengasah saya dari besi kepada pedang. Terima kasih.

Life is short. So make it sweet!