Wednesday, January 22, 2014

Bicara Atas Bumbung

Rooftop Rant
Ini karya Hlovate terawal yang saya baca. Ketika mula berjinak-jinak dengan Islam. Ketika baru bertukar aliran. Ketika baru sambung belajar. Seingat saya, dulu saya cuma ambil masa dua hari untuk habiskan bacaan novel ni. Tapi kali ni, saya ambil masa hampir sebulan. Setelah lima tahun, saya ulang baca novel ini. Saya baca perlahan-lahan. Perasaan lain dari yang pernah singgah waktu saya baca novel ini pertama kali dulu. Mungkin itu tandanya saya dah semakin tua. Mungkin juga semakin matang? Atau mungkin juga semakin takut menghadapi dunia?

Al-kisahnya, Rooftop Rant mengisahkan tentang Trisy gadis 16 tahun yang membesar dalam keadaan keluarga yang berantakan sehingga menyebabkannya menghadapi masalah depresi. Pil tidur dan ubat anti-depresi dah jadi macam 'coklat MnM’s' bagi Trisy. Satu hari, di kala sedang termenung masa cikgu tusyen mengajar, Trisy ternampak lokasi yang sesuai sebagai escapisme untuk ‘melarikan’ diri: atas bumbung Wisma Topaz. Di atas bumbung Wisma Topaz ni kemudiannya Trisy kenal dengan Jade.

Seperti juga Trisy, Jade juga menjadikan atas bumbung Wisma Topaz ini sebagai lokasi pelariannya. Bezanya, keluarga Jade tidak berantakan. Jade anak tengah yang selalu merasa terpinggir dalam keluarga sendiri. Abang dan adik Jade excellence dalam pelajaran. Sedangkan Jade minat melukis kartun. Dan minat Jade dipandang remeh oleh kedua orang tuanya. Makanya, di atas bumbung Wisma Topaz itulah Jade menumpahkan isi hatinya ke atas kertas-kertas putih.

Bumbung Wisma Topaz jadi saksi bagaimana Trisy dan Jade mula berkawan – selepas Jade menyelamatkan Trisy yang pengsan akibat hypoglycemic (kekurangan gula). Juga menjadi saksi Jade menyelamatkan Trisy sekali lagi semasa Trisy overdose pil-pil MnM’s bila tak tahan dengar ibu dan ayah berperang. Keluar dari hospital, Trisy kemudiannya dihantar ke Johor dijaga oleh atuk dan opahnya. Mungkin untuk pastikan Trisy fokus menghadapi SPM. Mungkin juga untuk pastikan Trisy tak buat lagi aksi overdose MnM’s atau sebarang cubaan pengambilan nyawa. Ataupun mungkin sebab ibu dan ayahnya mahu lepas tangan, tak mahu fikir tentang anak gadis bongsu mereka yang satu ni.

Orang kata, biar jauh dimata tapi dekat dihati. Macam tu la jugaknya kisah Trisy dan Jade. Kalau kita tengok pada tema cinta lovey-dovey yang cetek, novel ni akan nampak yang tu je la. In the end, they live happily ever after~


Tapi ada banyak benda lain yang ingin disampaikan dan boleh kita dapat dalam novel ni. Tak kisah status kita. Sama ada sebagai orang luar, guru, abang atau kakak, pakcik atau makcik, parents, malah kalau kita ni atok atau nenek pun boleh belajar sesuatu daripada novel ni, insyaAllah.

Ada dua perkara utama yang saya belajar dan saya ingatkan sungguh-sungguh kepada diri saya supaya JANGAN sesekali melakukannya. Pertama, jangan pernah menghakimi. Sebab kita tak tahu kisah disebalik seseorang. Kita tak tahu apa yang dia rasa dan kita tak tahu apa yang dia hadapi. Kedua, tanya hanya bila kita mahu mendengar. Kalau rasa takmau tau jawapan, tak usah tanya. Baik diam, pi main jauh-jauh. Buat apa tanya kalau akhirnya kita tak mau dengar pun jawapan tu dan kita judge kemudian menghukum ikut suka rasa kita. Ada banyak lagi benda lain, tapi anda baca sendiri lah ye.

Habis baca novel ni, saya tersenyum. Tapi ada rasa yang terbuku. Ada rasa sedih dan marah yang berbaur dengan gembira. Sedih sebab kesian sungguh-sungguh pada Trisy yang masih mengemis kasih sayang ibu ayah sendiri. Marah pada ibu, ayah, abang dan kakak-kakak Trisy yang tak peduli dengan keluarga sendiri. Tapi saya gembira sebab Trisy ada atuk, nenek, Pak Su dan Buk Jah (pembantu rumah) yang sayang padanya. Dan yang paling penting, Trisy ada Jade yang sudi jaga dan sayangkan Trisy insyaAllah sampai akhir hayat.

Rasanya ada banyak lagi Trisy kat luar sana yang masih mengemis kasih sayang keluarga sendiri. Yang rasa macam nak putus asa dan rasa macam nak menamatkan riwayat sendiri. Dan kalau anda tahu dan kenal mereka, dampingilah. Semoga happy ending yang Trisy peroleh dalam Rooftop Rant ini juga boleh menjadi milik ‘Trisy-Trisy’ yang di luar sana.

“Kau nak jadi apa?”
“Aku nak jadi Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga”
“Bila jadi menteri tu nanti, law apa yang kau nak buat?”
“Nobody’s allowed to have babies if they’re not to love `em”