Sunday, December 13, 2009

Jalan-jalan Atas Bumi

Lama rasanya tak menulis. Sebenarnya takde lah sibuk pun. Cuma mulut dan otak je yang sibuk-sibuk kata saya ni sibuk. Bak kata seorang tokoh yang saya lupa siapa (otak ni makin lama makin susah mengingat), "When you said you have no time, you will never have time" dan itu lah yang terjadi kepada saya.

Disember sudah menjengah ke tengah. Soalan yang sering saya tanyakan kepada diri sendiri, 'Apa yang aku buat lepas hantar disertasi dulu?' Untuk pengetahuan anda, disertasi saya telah dihantar awal oktober lagi. Dan pada 10 Disember lalu saya telahpun mendapat komen balas (feedback) untuk penulisan tersebut. Alhamdulillah, tak banyak yang perlu diperbetulkan. Commity memberi tempoh selama 2 minggu untuk melakukan pembaikan dan menjilidkannya kepada cover kulit keras.

Ke Kota Singa

Back to the question, apa yang saya buat selepas hantar disertasi dua bulan lalu? Seingat saya, perkara pertama yang saya lakukan adalah pulang ke rumah di Rawang. Baru beberapa hari di sana, saya merasa sangat bosan. Ayah dan ibu bekerja. Adik-adik pula ke sekolah. Tinggal bersendirian di rumah ditemani tv dan komputer, saya ambil tindakan nekad untuk mengikut teman sekelas ke Singapura. Sempat juga melihat-lihat tempat orang. Belajar budaya yang sebelum ini tidak diketahui. Sempat merasa menaiki trem yang rupanya tak ubah seperti LRT di Kuala Lumpur cuma bezanya, penumpang di KL berebut-rebut nak duduk. Soal mengalah, abaikanlah ye. Almaklum, penumpang di KL sangat suka tidur. Kalau tak duduk macam mana nak tidur kan?


Di Singapura pula, penumpangnya (khususnya yang muda) jarang-jarang nak duduk. Saya siap duduk dengan kerusi di kiri kanan yang kosong. Sambil-sambil berdiri, penumpang di sana menghiburkan diri sendiri dengan headphone di kepala (telinga?). Keadaan ini bukan hanya dilakukan oleh remaja tetapi juga mereka yang dewasa. Ada juga lah beberapa kerat yang membaca pocket book. Fenomena 'melayan telinga' ni tak hanya dalam trem. Sambil berjalan pun kebanyakan mereka melakukan perkara yang sama sehingga menjadi agak sukar untuk bertanya jalan. Sesat di tengah bandar Singapura, saya mengambil inisiatif bertanya jalan pada orang tempatan. Yang saya perasan, kalau nak tanya jalan, tak perlulah bertanya pada yang lebih kurang sebaya dengan saya. Nak tak nak je jawabnya. Saat tersesat inilah saya merasa rindu yang amat sangat dengan Malaysia (walaupun saya pernah terluka dengan kesombongan dan individualistik KL).

Ke Taiping

Pulang dari Singapura, sehari di Rawang kemudian pulang ke Penang. Beberapa hari di Penang, ke Taiping pula. Taiping bandar yang nyaman. Hutan masih banyak, pokok tentu sekali banyak, tasik pun banyak, taman tasik juga luas. Tapi sedihnya, kenyamanan dan kedamaian Taiping merobek luluh hati saya. Taman tasik di Taiping menyaksikan pasangan muda-mudi bercengkerama, memadu asmara. Sedang saya berjalan kaki di Taman Tasik Taiping, hujan yang mulanya renyai makin melebat. Ingin menumpang teduh di wakaf-wakaf yang banyak tersedia. Lalu di wakaf pertama, si gadis bingkas bangun. Betul-betulkan baju. Saya pandang wajah kawan saya di sebelah. Geleng kepala. Terus berjalan. Wakaf kedua, si gadis bertudung duduk rapat dengan pasangannya. Kami jalan lagi. Ternampak kemah besar seperti kemah pesta. Tumpang berteduh. Tidak berapa jauh dari kami, si gadis sibuk memeluk pasangannya yang duduk di atas motor dari belakang. Saya mula merasa aib. Kawan saya juga tampak resah. "Niza, kalau kita tak buat apa-apa macam ni, kita berdosa tak?" Saya terdiam seketika. Lantas membalas, "Kalau tak mampu guna tangan, guna mulut. Tapi kita tak mampu juga, melarang dalam hati boleh kot. Tapi tu selemah-lemah iman. Kita doakan supaya Allah tunjukkan yang terbaik." Tak lama kemudian, si lelaki turun dari motor dan menjauhi pasangannya. Kami tersenyum. Sekurang-kurangnya dia masih punya rasa malu. Nauzubillah, ngeri rasanya bila melihat keadaan seperti ini. Ngeri memikirkan diri sendiri, memikirkan adik-adik dan kawan-kawan remaja yang lain. Ya Allah, yang memiliki hati. Janganlah Kau palingkan hati kami setelah Kau berikan hidayahMu. Janganlah Kau bolak balikkan hati kami. Tetapkanlah kami pada jalan yang Engkau redai.


Ke Biro Tatanegara

Sekembalinya dari Taiping, saya melakukan persediaan untuk ke BTN di Balik Pulau, Pulau Pinang. Lama dah tak ke kem, banyak juga yang perlu dibeli. Termasuklah baju kurung sekolah. Di BTN ni wajib pakai baju putih, kain hitam dan kasut. Untuk orang yang tak ada baju putih, kain hitam dan kasut tertutup seperti saya ni, banyak lah yang nak dibeli. Dalam melakukan persiapan, sempat juga kawan saya yang membantu disaman polis. Tersilap parking di kawasan larangan.


Elok pula selepas lima hari mengikuti BTN, kontroversi kerajaan negeri Selangor mengharamkan BTN. Diikuti pula dengan kerajaan negeri Pulau Pinang. Saya tak mahu komen lebih tentang hal ni. Tapi pendapat peribadi saya, BTN ni takde lah politik sangat. Patriotik mungkin. Sebab sebaik saja tamat program, saya dan tiga lagi peserta dari USM menjadi lebih cintakan Malaysia. Lebih memahami sejarah, lebih sedar bahawa perjalanan selepas ini pasti tidak mudah dan tanggungjawab pasti lebih besar. Kalau di Malaysia mungkin tak terasa apa-apa. Tapi kalau di luar negara? Memandangkan BTN ini disertai oleh mereka yang kebanyakannya sudah bergelar pensyarah di IPTA seluruh Malaysia, peraturannya tidak begitu ketat. Oh ya! Semasa mengikuti BTN, kawan-kawan dan para pensyarah di ISDEV bertolak ke KL untuk Anugerah Tesis Terbaik Tan Sri Muhyidin Yassin. Anugerah yang disertai oleh para pelajar yang menulis tesis di seluruh Malaysia ini dimenangi oleh pensyarah saya yang menyelesaikan pengajian PhDnya tahun lepas. Tahniah buat Dr Fazila Azni Ahmad aka Dr Suekainah.

Aidiladha

BTN tamat pada 23 Nov. 25hb saya pulang ke Rawang untuk sambutan Aidiladha. Alhamdulillah, selepas tamat peringkat degree, saya sudah boleh pulang menyambut Aidiladha dengan keluarga. Semasa degree dulu, jangan harap nak dapat balik. Ketika tahun 1, ada kelas yang perlu dihadiri sehari sebelum dan sehari selepas Aidiladha. Hal yang sama ketika tahun 2. Tahun 3 pula terpaksa bertapa di makmal. Bakteria dalam incubator tak boleh ditinggal sesuka hati. Barangkali kerana sikap saya dulu yang lebih mementingkan kerja berbanding keluarga membuatkan saya kini lebih kerap pulang ke rumah. Family first. Hidup bukannya lama. Ibu dan ayah juga makin tua. Kerja memang tak akan selesai sampai bila-bila. Tapi jangan sampai mengganggu silaturrahim kekeluargaan. Apapun yang saya lakukan, saya tetap seorang anak, seorang adik dan seorang kakak. Haha mungkinkah ini juga melambangkan saya sudah semakin dewasa (tua?).


Sempat juga bercuti bersama keluarga. Berkali-kali saya katakan kepada ibu. "Pergilah, ija takpe." Setiap kali ibu merungut karana terpaksa menangguhkan jadual percutian sekeluarga kerana saya. Tapi ibu akan membalas pula, "Tak seronoklah kalau ija tak pergi". Lalu, hari terakhir hari tasyrik saya bersama keluarga bertolak ke sebuah pulau yang jauh. Tapi jauh macam manapun, teknologi terkini masih menghambat kami sekeluarga. Adik lelaki masih kerap diganggu teman-temannya. Abang pula tak habis-habis diganggu orang di pejabat. Cuma ayah saya yang tidak diganggu. Barangkali kerana statusnya sebagai seorang pesara dan kini hanya berkhidmat dengan kontrak.

Penang Again!

Kembali ke USM di bulan Disember. Ada Kursus Kaedah Penyelidikan di EUREKA. Jumpa kembali beberapa peserta BTN tempoh hari. Dapat tahu, semuanya lulus BTN. Syarat KPT dah makin lengkap. Lepas ni semua nak terbang bertebar merata dunia. Tinggal saya yang tak tahu nak ke mana. Adoi!

Dah banyak kali sebenarnya saya mengikuti Kursus Penyelidikan. Tapi memandangkan kursus anjuran Jabatan Pendaftar UsM ni wajib dihadiri, saya ikutkan juga lah. Tapi tak sia-sia mengikutinya. Penceramah kebanyakannya dari School of Management. Bukan sekadar pengetahuan mengenai kaedah penyelidikan dan penulisan akademik, nasihat-nasihat berguna untuk kehidupan pelajar PhD juga diperoleh. Salah satu kata-kata yang begitu menangkap perhatian saya adalah kata-kata Dr Siti Rohaida bahawa air mata menjadi teman paling setia semasa beliau bergelar pelajar PhD. Isk takut la plak. Tak lupa, diselitkan beberapa ugutan agar menyelesaikan pengajian secepat mungkin, dalam tempoh yang dibenarkan. Hehe kalau lambat, bersedialah menghadapi hukuman!

Alhamdulillah, semua dah selesai. Yang belum selesai ialah proposal untuk kajian akan datang dan pembetulan disertasi. Juga pencarian tok guru...susahnya mencari guru. Adoiyai!

Sekian dulu,
salam kasih.. .

ps: camne nak merawat malas?

Friday, November 13, 2009

Tribute to Putus Asa & Kecewa


Aku nampak luka pada hati yang jatuh berkali-kali. Aku dengar suara lemah dalam keletihan meredah payah. Itulah kehidupan, kawan. Tida senang yang boleh kau dapat dalam sekelip mata. Dan kepayahan itu, selepas kau harunginya akan terasa terlalu manis dan membahagiakan.

Rad sayang, aku tahu ada jiwa yang menangis. Merasakan when you fall, everyone stands. But believe in me, love. Dalam hati-hati yang sedang berdiri itu juga pernah terluka. Pernah terjatuh. Malah tersembam berkali-kali. Mereka juga pernah kecewa. Pernah bersedih dan menangis. Namun kebangkitan selepas kejatuhan itu kini memberi peluang untuk mereka berdiri. Kalaupun tidak gagah, cukup untuk melahirkan langkahan seterusnya. Ingat, di ruang 409 dulu kau pernah menangis. Tapi kau berjaya mengatasinya.

Emy sayang, "Life is sucks!" Itu kata-kata orang putih yang syurganya adalah dunia. Ujian datang padamu bertimpa-timpa. Tapi itu bukan halangan untuk kau mengecap bahagia. Saat kau merasa pahit, ingat kmbali ada manusia yang ujiannya lebih besar berganda-ganda. Jika kau merasakan hidupmu dirundung malang, lihatlah keliling. Renung dan fikirkan. Betapa beruntungnya engkau menjadi dirimu.

Kawan, aku tidak pandai menyusun kata. Maka maafkan aku. Jika saat kamu meluah rasa, tiada mutiara kata yang dapat aku ungkapkan. Aku juga keletihan. Tapi langkahan di atas Bumi Tuhan ini harus diteruskan. Usahlah kamu berasa aku beruntung. Peluang yang aku miliki ini satu tanggungjawab. Bukan olok-olokan atau permainan sebuah kesombongan.

Bersyukurlah kita kawan. Meski dalam segala dugaan dan keperitan, kita punya peluang belajar ke menara gading. Punya panca indera buat melihat dan merasa. Saksikanlah dan fikirkanlah. Betapa luas dan banyaknya nikmat yang telah kita perolehi. Apakah layak untuk kita berputus asa dengan rahmat-Nya?

Kawan, barangkali perjuangan kita saling berbeza. Tapi bukankah sebuah kehidupan akan disusuli kematian? Bukankah kita diciptakan untuk kembali kepada-Nya? Oleh itu kawan, jika kau kelelahan berhentilah melangkah. Ambil masamu untuk bernafas. Kemudian bangunlah kembali untuk bermula lagi. Sampai nanti, sampai mati.

Tuesday, November 10, 2009

Gadis yang terlantar itu


Dahulu dia terlantar
Menerima takdir dengan pasrah dan reda
Menyiapkan diri dijemput maut
Siaga menjadi lumpuh

Dahulu dia terlantar
Seorang diri ditemani misi
Memanggil ibu pun tiada daya
Teman-teman semua menjauh

Dahulu dia terlantar
Makannya bersuap
Mandinya cuma dilap
Najisnya dicucikan

Dahulu dia terlantar
Diajar duduk diajar bertatih
Selangkah dua dia kepenatan
Mata kabur menjadi kelam

Namun tiada dia putus asa
Pada rahmat Yang Maha Kuasa
Dari bertatih berusaha berlari
Kini mendaki cita dan mimpi

Gadis yang terlantar dipandang gagah
Kelihatan hebat dan gah
Hakikatnya dia makin lemah
Rapuh dan mudah patah

Mana gadis yang terlantar itu?
Yang cintanya hanya untuk Tuhan Yang Satu
Mana gadis yang terlantar itu?
Yang bersyukur meski hari esoknya penuh janji pilu?
Mana gadis yang terlantar dahulu
namun semangat untuk hidupnya tinggi dan jitu?

Gadis yang pernah terlantar itu di sini
Masih ada dalam diri
Jasadnya tiada terlantar lagi
Tapi jiwanya pula yang rebah

Gadis itu dulu pernah terlantar dengan hati yang tabah
Kini masih mencari diri sendiri
Cuba mengenal cinta hakiki.

Tuesday, November 03, 2009

h.u.r.t


Sometimes we just don't want to think. What and why. Sometimes we too ignorance. To see with our eyes. To feel with our heart.

Friends, I do feel bad for you. Yet I feel bad for him. He might not perfect but at least he tried his best. To give every single thing we asked. To love every single minute he has. But then, we replied him as he is nobody.

Friends, you may never know because you never care. Our pride and ego are more important. We've grown up till this stage. Yet we act such a stupid kid.

Friends, you said you're hurt. But you never know, we hurt him so much. You said I'm the teachers pet but you don't want to admit.. you never commit.

ps: hurt by myself

Sunday, October 25, 2009

Kisah-kisah si Perompak


Ada sebuah kisah. Tentang Imam al-Ghazali dengan sekumpulan perompak. Kejadian berlaku apabila rombongan Imam al-Ghazali dirompak. Habis semua barangan mereka dirompak. Ini termasuklah manuskrip Imam al-Ghazali yang penuh tercatat pelbagai ilmu pengetahuan yang diperolehnya. Lantas, beliau memberanikan diri menghampiri ketua perompak untuk meminta kembali catatan ilmunya. Beliau sedia untuk menyerahkan semua yang dimilikinya namun beliau merayu agar manuskripnya dipulangkan kembali. Mendengar permintaan Imam al-Ghazali itu, ketua peropak pun berkata, "Apa gunanya lagi catatan-catatan engkau itu kiranya ilmu itu sudah engkau pelajarinya? Bukankah ilmu itu sudah ada di dalam kepalamu?" Meskipun begitu, ketua perompak tetap memulangkan kembali catatan al-Ghazali tersebut. Sejak dari peristiwa itu, Imam al-Ghazali beriltizam menghafal dan memahami pelbagai ilmu yang dipelajari dan diketahuinya, bukan sekadar mencatat ke dalam kitab.

Ada sebuah kisah lagi. Tentang Syeikh Abdul Qadir Jailani ketika kecilnya. Pada suatu hari beliau berangkat menuju ke kota Baghdad untuk menuntut ilmu. Ibunya membekalkan wang sebanyak 40 dinar sebagai perbelanjaan. Sebelum berangkat, ibunya berpesan agar sentiasa bercakap benar apalagi tujuan beliau keluar adalah untuk menuntut ilmu. Beliau menumpang rombongan kafilah. Dalam perjalanan tersebut, kafilah yang ditumpanginya ditahan oleh sekumpulan perompak dan menjadikan Syeikh Abdul Qadir Jailani sebagai tawanan mereka. Semasa dibawa pergi, salah seorang perompak itu bertanya: "Apakah yang kamu bawa bersamamu wahai budak?" "Saya hanya membawa empat puluh dinar." Ujar beliau dengan tegas. Perompak itu kemudian meninggalkannya kerana menyangka beliau mempermain-mainkannya. Kemudian datang lagi seorang perompak dan bertanya soalan yang sama. Dengan tegas beliau memberitahu perompak tersebut bahawa beliau membawa bersama empat puluh dinar sebagai bekalan. Perompak tersebut kemudian membawa Syeikh Abdul Qadir Jailani kepada ketua mereka. Ketua perompak itu juga bertanyakan soalan yang sama dan juga dengan tegas jawapan beliau tetap sama. Ketua perompak tersebut lantas berkata, "Hai budak, kenapa engkau begitu berani sekali berkata benar sedangkan engkau membawa wang?"

Syeikh Abdul Qadir Jailani menjawab "Tuan, sejak kecil ibu bapa saya telah berpesan untuk bercakap benar, hinggakan sebelum berangkat untuk menuntut ilmu ke Baghdad pun dia berpesan agar saya tidak bercakap bohong. Saya tidak sampai hati untuk mengkhianati pesanan dan nasihat ibu saya. Apalah harga empat puluh dinar ini, untuk dibandingkan seseorang yang ingin menuntut ilmu kerana Allah. Setelah mendengar jawapan tersebut, ketua perompak itu lantas menangis tersedu-sedu di hadapan saya sambil berkata, "Alangkah mulianya budi pekertimu wahai budak, dan alangkah beruntungnya ibu yang melahirkanmu. Sedangkan masih kecil begini engkau takut berbuat dosa, tetapi aku pula tanpa segan silu membuat kejahatan dan mengkhianati janji serta amanah Allah. Demi Allah, mulai hari ini aku bersumpah akan bertaubat dan kembali ke jalan yang benar." Ketua perompak itu akhirnya mengarahkan orang-orangnya supaya memulangkan semua harta kafilah. Setelah itu mereka pun meneruskan perjalanan ke kota Baghdad.

Dalam kehidupan kita, ada dua manfaan yang dapat kita peroleh. Sama ada kita akan belajar daripada orang lain atau orang lain akan belajar daripada kita. Isnin yang baru berlalu, rumah nenek saya di Kota Sarang Semut dipecah masuk. Syukur, tiada kecederaan menumpa penghuni rumah. Cuma barang-barang saya yang diambil. Beg, beg duit dan kamera. Oh ya, mereka juga barangkali bercadang untuk mengambil tudung saya. Tidak tahu kenapa. Tudung tersebut ditemui di luar rumah nenek saya. Kejadian berlaku sebelum Subuh menjelang. Pagi Isnin tersebut saya penuhi masa bersama Mak Long yang kini bertugas sebagai Ketua Jururawat di Hospital Sultanah Bahiyah untuk membuat laporan polis dan menguruskan urusan mem'block' kad bank. Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun, sesungguhnya setiap apa yang Allah berikan kepada saya adalah milik-Nya dan kepada-Nya jua semua nikmat itu akan kembali. Waktu itu, saya tiada satu sen pun duit. Mahu cucuk di bank pun tidak boleh kerana semua kad bank saya telah diambil. Tapi tak perlu dibimbangkan kerana saya percaya, rezeki itu daripada Allah. Mungkin ada hak orang lain pada apa yang ada dalam beg dan beg duit saya. Saya relakan dan saya halalkan. Buat si dia yang mengambil, jutaan terima kasih saya ucapkan kerana sudi mengejutkan saya yang sedang mamai tanpa pedoman.

Siapa agaknya antara kita yang belajar antara satu sama lain? Oh...tiada ilmu yang dapat saya beri. Namun satu hal yang saya yakin, si dia yang mengambil telah memberi satu pengajaran tak ternilai buat saya. Oleh itu, terima kasih saudaraku. Saya doakan moga dengan ringgit yang tak seberapa dan apa yang ada dalam beg itu dapat membantunya meneruskan kelangsungan hidup. Semoga suatu hari nanti jalan kebenaran dapat ditemuinya. Dan semoga waktu itu, pintu keampunan Allah masih sedia terbuka.

Tuesday, October 20, 2009

Coret2 Disertasi: Penghargaan

Dalam ruang penghargaan, muka surat (i) disertasi saya telahpun saya nyatakan penghargaan. Tapi untuk menulis nama-nama mereka yang terlibat dalam proses kajian saya dalam ruang satu muka surat amat terbatas. Makanya, saya ingin mengambil kesempatan dalam blog ini untuk menyampaikan ucapan terima kasih saya kepada semua yang terlibat.

1. Ibu dan ayah yang tercinta untuk sokongan, perhatian dan bantuan kewangan.

2. Penyelia yang dikasihi, Dr Zahri Hamat serta isteri. Terima kasih kerana sentiasa bersedia meluangkan masa untuk saya.

3. Guru-guru yang amat dihormati - Prof Syukri, Dr Suekainah dan para pensyarah di ISDEV. Terima kasih kerana selalu ada untuk diganggu oleh saya.

4. Kak Shereeza dan Supit yang selalu sudi berkongsi maklumat, sudi menghubungi saat saya keseorangan di Kedah.

5. Kak Radieah dan Aya yang selalu sudi melayani keresahan dan keterujaan saya. Juga menghadapi kerenah saya yang boleh berubah bila-bila masa.

6. Emy dan Wawa. Walaupun jarang-jarang dapat bertemu tapi sentiasa mengambil tahu tentang diri saya. Buat wawa, semoga selamat melahirkan bayi sulung.

7. Semua rakan sekelas Sarjana Pengurusan Pembangunan Islam batch pertama (MISDEV08). Walaupun mengenali kalian cuma sekejap, tapi ukhuwah terasa sangat mewangi. Semoga persahabatan kekal selamanya. Semoga semangat perjuangan tetap menyala walaupun kita bakal membawa haluan masing-masing.

8. Teman sebilik selama 2 semester pengajian master, Noorlida yang selalu ada saat suka dan duka.

9. Teman sebilik semester terakhir, Norfadzila yang membantu dalam laluan baru kepada jalan yang lebih jauh dan tinggi. Semoga perjalanan ke New Zealand dipermudahkan.

10. Efie Azlan yang membantu semasa kajian perpustakaan (library research) dijalankan di Perpustakaan Utama, UM. Juga buat kakitangan Utama (termasuklah guardnya)

11. En. Salleh, pelajar PhD ISDEV merangkap kakitangan PUZ P. Pinang.

12. En. Wan, PR MAIWP.

13. Dr. Yamin dan Ustaz Nizam di Bahagian Baitulmal Wilayah. Juga PA Dr. Yamin yang sudi membantu melancarkan perjalanan temu bual.

14. En. Razali di PPZ Wilayah. Terima kasih buat semua kakitangan Bahagian Operasi PPZ.

15. En. Solhi di PUZ P. Pinang.

16. Nadia, Kak Wani dan Hidayah di ISDEV. Maaf, selalu mengganggu kalian.

17. Kakitangan sokongan PP Sains Kemasyarakatan untuk bantuan surat dan kiriman fax.

Terima kasih buat semua yang terlibat dalam menjayakan disertasi ini. Jasa kalian hanya Allah yang mampu membalasnya. Maaf jika sepanjang kajian dilaksanakan dan dalam tempoh penulisan disertasi ini saya ada membuat salah dan dosa terhadap anda. Saya manusia biasa. Kadang-kadang tersentuh dek tekanan. Rebah dek tentangan. Jatuh bila kaki disadung. Tapi insyaAllah, saya akan sentiasa berusaha untuk bangkit kembali. Terima kasih banyak-banyak.

Semoga Allah sayang kita semua. o_O

Saturday, October 17, 2009

MISDEV 08


Rasa macam baru semalam saya mengharung hujan, menapak dari Tekun ke ISDEV. Basah lencun saat berkenalan dengan gadis bernama Emy. Rasa macam baru semalam saya bingung dengan ATM yang tak mahu mengeluarkan duit. Lantas terpandang seorang gadis bernama Suraya. Duit dipindah melalui akaun dan dikeluarkan melalui akaunnya.

Rasa macam baru semalam mengenal Pakcik dan Makcik. Mengenal Kak Syereeza, Kak Salwa, Kak Radieah, Wawa, Za, Ja, Fizah, Hafiz, Amin, dan Anwar. Rasa macam baru lagi mengenali semua di ISDEV. Tak sangka hari ni kita masing-masing sudah mula membawa haluan sendiri.

Ada yang sudah bergelar ibu. Ada yang sudah bergelar isteri. Ada juga yang sudah bergelar tunangan orang. Ada yang sudah mula mencari-cari bahan membuat proposal PhD. Ada yang sedang mengintai-intai penyelia di universiti lain untuk menyambung PhD. Ada yang kelam kabut baru nak fikir tajuk PhD sebab memang blur taktau nak sambung kaji apa. Ada juga yang mahu keluar berkhidmat di industri.

Cepatnya masa berlalu. 3 Julai 2008 baru berkenalan, kini pengajian hampir selesai. 16 Oktober mungkin hari terakhir untuk kita bersama-sama. Tapi harapnya ukhuwah kita, persaudaraan kita, persahabatan kita, akan tetap teguh di dalam hati. InsyaAllah.

Nanti bila masing-masing menyambung PhD, boleh lah sama-sama berkumpul di INGRAW ye. Membentang kertas kerja PhD pula.

Jumpa di graduasi Mac 2010 nanti ya! InsyaAllah.

Wednesday, October 14, 2009

Coret2 Disertasi

Alhamdulillah, apa yang diusahakan sejak Mei lalu kini telah menmbuahkan hasil. Disertasi saya telahpun dihantar untuk penilaian tiga penilai. InsyaAllah, dalam sebulan lagi tahulah keputusannya. Ada banyak kisah yang terjadi sepanjang proses menyiapkan draf disertasi ini. Jadi entri kali ini lebih semacam trivia tentang disertasi ini. Oh terlupa. Disertasi tu lebih kurang macam tesis la. Formatnya hampir sama tapi lebih ringkas, pendek dan lebih mudah berbanding tesis penuh pelajar mod penyelidikan (research mod).

1. Hari disertasi dihantar adalah 2 hari selepas saya berumur 23 tahun.

2. Pagi sebelum disertasi dihantar, keputusan peperiksaan IELTS keluar. Alhamdulillah, melepasi batas minima.

3. Sehari selepas disertasi dihantar saya mengikut rombongan ke HPA di Perlis anjuran junior dari MISDEV 09.

4. Semua buku perpustakaan yang dipinjam telah melepasi tarikh tamat...masih belum tahu berapa denda yang perlu dibayar.

5. Saya hanya memahami apa yang saya kaji dan perlu saya kaji semasa bulan Ogos.

6. Setelah berkali-kali gagal menghubungi responden, saya nekad ke pejabat beliau tanpa temu janji.

7. Ibu saya menemani saya ketika pertama kali ke Daruzzakah, pejabat salah satu responden untuk kajian disertasi ini.

8. Semua yang ditemu bual mengatakan saya terlalu muda. Ada apa dengan usia kan... .

9. Ketika disertasi ini dimulakan, saya menetap di rumah nenek di Kota Sarang Semut. Sejak Julai 2009 saya kembali menetap di hostel USM (duduk rumah banyak godaan dan gangguan..hehehe)

10. Saya diserang demam teruk ketika wabak H1N1 mula-mula menular. Oleh kerana tiada teman sebilik, saya mengambil tindakan mengkuarantin diri sendiri di dalam bilik.

11. Memandu seorang diri ke Bukit Mertajam untuk ke PPZ Bandar Perda. Sesat di Bukit Mertajam sebelum ke rumah teman untuk dijadikan penunjuk arah.

12. Kemalangan kereta di Sg. Petani selepas Bab 4 Analisis Kajian dihantar untuk diperiksa oleh penyelia. (masih belum pernah memandu selepas itu).

13. Menghadapi gangguan selera makan yang pelik, mirip eating disorder ala Bulimia nervosa tapi tanpa memuntahkan makanan. Kadang-kadang makan tanpa henti. Kadang-kadang tak makan langsung...minum susu coklat je. Ketagihan kepada makanan (minuman?) bersumberkan susu.

14. Ramai yang menegur makin kurus. Berat badan cuma turun 1 kg. (Oh, saya memang sedia kurus).

15. Diserang migrain semasa sedang menaip untuk Bab 2. Terpaksa tutup laptop, tutup langsir dan duduk dalam gelap. Tidak boleh bertoleransi dengan cahaya.

Alhamdulillah, apa pun yang terjadi sebelum, semasa dan selepas disertasi ini diselesaikan adalah satu pengalaman dan pengajaran buat saya. Sekali terjatuh, kena la bangun balik. Teruskan berjalan dan teruskan berjuang. Dalam setiap ujian Allah mesti ada sesuatu yang sangat berharga untuk dipelajari. Cuma perlu muka mata, buka minda dan buka hati.

Sepanjang kajian dijalankan, ada banyak pihak yang turut terlibat menjayakannya. InsyaAllah, akan saya coretkan di lain masa.

ps: menulis disertasi bukan macam menulis blog..boleh ikut suka, boleh ikut rasa.

Tuesday, October 06, 2009

Pejuang mesti kuat

Perjumpaan lebih satu jam dengan guru saya tempoh hari membuatkan saya tersedar. Rapuhnya diri saya. Tersentuh dengan hal yang kecil-kecil. Kecil hati, kecil jiwa, kecil semangat. Matlamat juga. Macam dunia cuma berputar berpaksikan saya. Padahal, realitinya tidak. Dunia bukan sekadar saya dan apa yang berlaku disekeliling saya. Begitu juga hidup. Bukan cuma berkisar tentang hiruk pikuk seorang pelajar yang disertasinya tak siap-siap.

Ahli Akademik mesti kuat. Jiwa mesti besar. Bukan tak boleh melayan emosi. Tapi perlu dihadapi dengan hikmah.

Aduh...lama tak ditazkirah oleh guru saya ini. Sampai diri hampir tumbang. Hampir saja mengaku kalah. Hampir tertewas dengan ujian kekalahan mental dan rohani yang semakin sakit. (aii kalau Prof takde nak bagi tazkirah, takkan terus jadi lemah..apa lah!)

Tiba-tiba rasa macam sembuh. Tiba-tiba rasa macam kena penampar Jepun. Antara sedar dengan blur yang kejap-kejap datang. Berpinar-pinar. Macam nak pengsan. Tapi tiba-tiba rasa mahu bangkit. Tak ada senapang untuk berperang. Tak ada bom untuk diletupkan. Tak ada batu nak disasarkan. Tapi ada pena. Ada jari jemari. Ada otak yang masih berakal. Ada kudrat. Dan yang paling penting, ada PELUANG.

Isk.isk. isk... lamanya masa disia-siakan. Astaghfirullah...

Tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku termasuk golongan yang menganiayai diri.

Monday, October 05, 2009

Happy 23rd

Hai manusia, jika kamu dalam keraguan tentang kebangkitan (dari kubur), maka (ketahuilah) sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu dari tanah, kemudian dari setetes mani, kemudian dari segumpal darah, kemudian dari segumpal daging yang sempurna kejadiannya dan yang tidak sempurna, agar Kami jelaskan kepada kamu dan Kami tetapkan dalam rahim, apa yang Kami kehendaki sampai waktu yang sudah ditentukan, kemudian Kami keluarkan kamu sebagai bayi, kemudian (dengan beransur- ansur) kamu sampailah kepada kedewasaan, dan di antara kamu ada yang diwafatkan dan (adapula) di antara kamu yang dipanjangkan umurnya sampai pikun (sangat tua), supaya dia tidak mengetahui lagi sesuatupun yang dahulunya telah diketahuinya. Dan kamu lihat bumi ini kering, kemudian apabila telah Kami turunkan air di atasnya, hiduplah bumi itu dan suburlah dan menumbuhkan berbagai macam tumbuh-tumbuhan yang indah. (Surah al-Hajj, 22:5)


Apa lambang sebuah kedewasaan? Umur atau kematangan? Adakah sebuah maturity itu directly proportional dengan sebuah kedewasaan?
Matang selalu dikaitkan dengan pertambahan usia. Bak kata orang tua-tua, orang yang berusia ni makan garam lebih daripada orang yang muda. Hm.. betul la tu.

Beberapa hari lalu sempat bersembang dengan seorang kawan. Sekadar cakap-cakap kosong kisah zaman muda-mudi (zaman sekolah). Kisah saya yang menggunakan pendekatan memberontak secara senyap. Pemberontakan ala mogok lapar. Waktu itu saya masih mentah. Baru 14, 15 tahun. Saya bukan anak nakal. Tapi tak boleh nak dinafikan, saya anak yang degil. Juga pelajar yang degil. Kedegilan yang berpunca dari rasa benci yang amat sangat pada orang dewasa. Tak tahu apa punca sebenar kebencian kepada orang dewasa. Barangkali kerana persekitaran saya, kerana kisah-kisah kekejaman dan ketidakperikemanusiaan seorang dewasa. Barangkali kerana saya sendiri tidak faham dengan tindakan orang dewasa dalam percaturan hidup.

Kisah silam saya, zaman remaja saya memang tidak indah untuk dikenang. Apa yang indahnya kalau saya sendiri tidak pernah membuka ruang untuk sebuah kegembiraan? Tapi saya tidak pernah menyesal hidup dalam palitan warna hitam selama beberapa tahun di usia remaja. Kerana warna hitam itu memberi saya dimensi hidup yang berbeza. Yang membolehkan saya memahami sedikit demi sedikit tuntutan hidup seorang dewasa.

Saya juga tidak bangga menjadi seorang 'rebellious girl'. Cuma saya bersyukur Allah jadikan gaya pemberontakan yang tidak mendatangkan kerosakan pada diri sendiri. Walaupun saya pernah diajak menjadi golongan gadis yang rosak. Namun kerana gaya pemikiran saya yang sukar difahami orang lain maka saya tidak terjebak dengan mereka.

Alhamdulillah, semua kisah lalu dan semua yang terjadi mematangkan saya. Tentunya saya tidak sematang dan sedewasa mereka yang seusia saya di bumi yang bergolak. Tapi inilah bekalan saya. Untuk meniti hari-hari esok yang saya yakin akan ada berjuta halangan dan ujian untuk saya hadapi. Alhamdulillah, apa yang berlaku telah pun berlaku. Dan hari akan datang adalah apa yang bakal saya lalui.

22 tahun menghirup udara di Bumi Allah. Dan InsyaAllah Taala, dengan izinnya, saya ingin hidup untuk terus berjan pada jalan-Nya.

Happy 23rd wan!

Tuesday, September 29, 2009

Katung

Jika hipokrit itu munafik
Masih layakkah kita dibelar mukmin?
Jika perkongsian itu ghibah
Masih layakkah kita digelar muslim?
Sungguh,
hatimu dan hatiku
Hanya Allah yang lebih tahu
Degar...degar
Kata-katamu kata-kataku
Hujahmu dan hujahku
Masihkah dalam batas waras?
Masihkah berpaksi sumber asas?
Kau, aku
Masih layakkah digelar mukhsin?

wan haniza
4.05 am Ahad
8 Syawwal 1430H
27 September 09

Friday, September 25, 2009

Raya @ Kota Sarang Semut

Oh~ jangan tanya kenapa nama kampung saya Kota Sarang Semut. Yang saya tahu, kat sana memang baaaaaaaayak semut.

Kami empat beradik. Tapi dalam gambar ni abang tiada. Dia beraya di Mersing, rumah mentua. Maka tinggallah kami bertiga. Si kecil ni Muhammad Danial. Cicit sulung nenek kami ie. anak buah kami la. Abang takde, ganti dengan orang lain. Muahahaha.

Gambar ibu dan ayah tiada sebab gambar ini diambil semasa semua orang sedang sibuk menjamu selera.

adik n along


abang cik n along




Wednesday, September 23, 2009

Syawal itu

Balik kampung memang sinonim dengan budaya masyarakat Melayu. Dah jadi macam tradisi terutamanya untuk hari raya. Tradisi begini sebenarnya dah lama hilang dalam keluarga saya. Sejak masuk tingkatan 1, ibu dan ayah lebih senang beraya di Rawang. Tambah-tambah lagi rumah kami terletak dalam kawasan perkampungan Melayu.

Tapi tahun ini, saya buat permintaan agar kami sekeluarga beraya di Kedah. Arwah Pakcik baru je meninggal. Tentu nenek bersedih. Yelah, tiap-tiap tahun nenek menyambut Aidilfitri dan Aidiladha dengan arwah.

Hari jumaat, Ramadhan ke 28 ayah menjemput saya di USM. Perjalanan menuju ke Kedah perlu menempuhi tempat kejadian kemalangan yang baru seminggu berlalu waktu itu. Saya sangka saya sudah pulih. Rupa-rupanya saya tidaklah sekuat mana. Meski saya sentiasa berada dalam fasa 'denial' (penafian), tapi tak boleh nak sangkal bahawa saya masih trauma. Menggigil dan berpeluh.

Trauma tidak terhad kepada laluan dan tempat kejadian saja. Selepas ke Kedah, saya menyertai ayah ke Perak. Kepingin untuk bertemu Opah yang semakin uzur. Tambah pula di rumah opah ada gathering bersama 9 lagi adik beradik ayah. Oleh kerana jarak dari Sg Siput ke USM agak jauh berbanding jarak Sg Siput ke Rawang, ayah bercadang untuk menghantar saya ke stesen bas Ipoh. Dari Ipoh saya akan bersendirian untuk pulang ke USM. Mendengar perancangan tersebut, Maksu mencadangkan untuk menhantar saya terus ke USM.

Perjalanan dari Sg Siput ke USM memakan masa lebih 3 jam. Hujan lebat dan lebuh raya agak sesak. Paksu memandu laju sambil menguap. Saya sudah keresahan. Bayangan kemalangan tempoh hari kembali bermain di mata. Dalam perjalanan ada motorsikal yang terjunam ke dalam parit. Ada lori yang terbabas dan mengherot benyotkan divider. Saya bertambah resah.

Aih....bukan senang nak pulih dari trauma rupa-rupanya. Fizikal yang sakit boleh dirawat. Tapi jiwa yang kacau, Allah saja yang tahu.

ps: adoiyai~

Thursday, September 17, 2009

Salam Aidilfitri


Pejam celik pejam celik. Cepat sungguh masa berlalu. Dah pun tiba ke penghujung Ramadhan. Macam-macam yang saya harungi Ramadhan ini. Tapi itu semua sebenarnya satu tarbiah agar saya (dan kita semua) menjadi lebih tabah dan kuat berdepan dengan segala macam rintangan di masa mendatang.

Syawal hampir tiba. Jadi saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua yang menyambutnya. Dalam kemeriahan menyambut Syawal, fikir-fikir dan renung-renungkanlah. Apakah layak untuk Syawal ini kita sambut? Yelah, Syawal kan hari untuk merayakan kemenangan. Kemenangan bagi mereka yang melalui Ramadhan dengan penuh kehambaan dan kekhalifahan. Hamba kepada Allah, khalifah kepada hawa nafsu. Atau menjelang saja Syawal kita sudah bertukar status menjadi hamba kepada nafsu dan berlagak khalifah kepada Allah? Moga Allah ampuni dosa-dosa saya dan kita semua.


Renung-renungkan, dan selamat beramal~

ps: mohon maaf jika ada dalam penulisan dan tutur kata saya yang mengguris dan memedaskan hati sesiapa :) (sori~)

Saturday, September 12, 2009

Teguran 22 Ramadhan

Sekitar 10 pagi. Hujan masih mencurah di USM. Pack barang-barang. Laptop, buku yang diberi pinjam oleh Kak Su, persalinan sehelai dua. Cukup lah. Bukan mahu lama. Hari Isnin pulang kembali ke USM. Nanti sehari sebelum raya baru pulang semula ke Kedah.

Hujan makin reda. Hampir pukul 11, lebuhraya dipenuhi dengan kenderaan berat. Lori, bas ekspres, dan macam-macam lagi. Kereta makin melaju. Meter mencecah 110km/j. Berada di laluan kanan. Lori biru dihadapan. Kurang pasti jenis apa. Kurang pasti lori apa. Pantas. Semuanya pantas. Kawalan stereng mula terganggu. Allah, stereng ke kanan, Allah, stereng ke kiri, Allah, kembali ke kanan...dum! Airbag mengembung mendadak. Menerjah kepala. Cermin mata menekan kening hasil momentum air bag. Aku nampak putih. Kabur. Ada asap. Allah, Allah, Allah, aku terus menjerit. Cik WQE (sebut Wiqi) berpusing. Terbayang wajah abah, wajah mama, wajah Prof. Dari laluan kanan terhenti di laluan kiri. Mata masih kabur. Tangan menukar gear D kepada N. Mencari telefon bimbit. tiada di tempatnya. Tercampak barangkali. Kaki kanan terasa sakit. Tak dapat bergerak. Allah, air mata tidak keluar.

gambar diambil dari dalam kereta peronda polis

Aku nampak sebuah lori sederhana besar berjalan perlahan melepas Cik WQE. Berhenti di tepi. Pemuda India itu keluar. Berlari-lari menuju Cik WQE. Aku buka cermin tingkap. "Keluar..keluar" katanya cemas. Aku masih keliru. Kunci pintu dibuka. Kepala terasa berat. Pemuda itu membuka tali pinggang keledar. Cuba membawa aku keluar dari Cik WQE. Hadir lagi pemuda lain. Kaki kanan ku tidak boleh digerakkan. Nekad, pemuda India mengendongku ke bahu jalan, jauh dari cik WQE. "Ada barang penting dalam kereta?" Aku angguk sambil mulut berkata ada. Dia berlari mencapai beg laptop dan beg sekolah yang mengandungi buku-buku dari Kak Su. Barang-barang diletakkan di sebelahku. "Kereta terbakar, takut meletup." Aku mengangguk. "Terima kasih...terima kasih." Pemuda India tersenyum. Saiznya cuma besar sedikit daripada aku. Bersubang, jean koyak dilutut. Prihatin yang dimilikinya jauh lebih tinggi daripada mereka yang cuma memandang. Yang memperlahankan kereta sambil wajah berekspresi ngeri. "Terima kasih.." Aku ucap berkali-kali padanya. Tangan pemuda India menghulurkan telefon bimbitku.

Siapa? Siapa harus aku hubungi? Prof? Guru berwajah tenang singgah di ruang fikir. Tak, akal membantah. Dr. Zahri! Ya! Tangan mendail. Tak berjawab. Hubungi abah. "Abah, mintak maaf. Ija accident." "Ija kat mana?" "On the way nak balik rumah mak." "Ija ok?" "Ija ok. Kereta teruk." "Ada siapa kat situ?" "Polis dah datang." "Takpe. Jangan panik. Relax. Biar diorang uruskan, nanti kalau diorang bawa ke balai, Ija buat report." "Ok. Abah, sorry.." "Takpe, nakbuat macam mana. Benda dah jadi." Pegawai polis datang menghampiri. "Dik, pi dok dalam kereta (kereta peronda)." Menunggu ambulans yang tak kunjung tiba. Tangan mendail nombor Kak Su. "Assalamualaikum, Kak Su. Wan ni. Saya accident." "Ha? Wan kat mana?" "Sungai Petani, menghala ke Alor Setar." "Ok, nanti Kak Su datang." "Eh Kak Su, takpe. Nanti ayah saya datang dari Rawang." "Takpe, Kak Su keluar sekarang."Dr. Zahri menghantar mesej. 'Wan, kenapa?' 'Saya kemalangan di Sungai Petani.' Terus Dr. Zahri menelefon. Aku beri maklumat serba sedikit. Seorang pemuda Melayu datang. Pegawai Peronda PLUS menyuruh aku mengikutnya. Aku curiga. Aku tanyakan pada pegawai peronda, "Nanti dia bawa saya ke mana?" "Kalau adik nak ke klinik, mintak abang ni bawa. Jangan risau, kami memang kenal dia." Aku akur.

Pemuda Melayu dipanggil Along memandu Viva biru menuju ke Bahagian Kecemasan Hospital Sultan Abdul Halim. Aku minta untuk di x-ray. Bimbang jika ada skru dari titanium yang tertanam pada tulang belakang terkena impak momentum airbag. Alhamdulillah, semua ok. Lebam sana sini, dan sakit pada bahagian belakang tubuh. Terasa bagai ditumbuk. Doktor mahu beri ubat tahan sakit. "Saya ada gastrik (istilah sebenar gasteritis)" "Kalau macam tu saya bagi krim sapu saja. Nanti sakit perut pulak." Di luar ruang rawatan, Dr. Zahri dan Mama Jan (isteri Dr. Zahri) sedang menunggu. Bersama-sama mereka, aku dan Along ke Bahagian Trafik. Laporan dibuat. Saman dikeluarkan. Selesai, menuju ke benkel tempat Cik WQE diletakkan. Remuk teruk. Bahagian depan MyVi putih milik abang hampir hancur semuanya. Aku terpana. Ya Allah, seteruk ini masih ada lagi usia untuk ku.


Ini peluang untuk hidup kali ketiga. Pertama, ketika mama melahirkan aku 6 Oktober 23 tahun yang lalu. Kedua, semasa dua rod titanium dan 14 batang skru diimplan pada tulang belakang pada 11 April 7 tahun yang lalu. Dan kali ini, Allah beri lagi aku peluang untuk hidup.

Aku tahu, Allah sayang pada aku. Ini mungkin teguran Allah buat hambaNya. Tak perlupun aku memerah otak, mempersoal apa dosa yang telah aku lakukan hingga Allah beri aku ujian begini? Aku memang tahu dosa ku menggunung tinggi. Macam pasir di padang pasir. Macam air di tujuh lautan. Banyak. Mungkin ini peluang. Untuk aku lebih menghargai hidup. Menginsafi segala kezaliman yang telah aku perbuat. Peluang menjadi hamba yang lebih baik. Astaghfirullah, ampunkan aku ya Allah. Segala puji buatMu, alhamdulillah, terima kasih ya Allah kerana mengizinkan aku sekali lagi menikmati sebuah kehidupan.

Terima kasih yang tidak terhingga buat pemuda India yang tidak aku kenali, pada polis peronda dan peronda PLUS (maaf kerana menyebabkan kesesakan) juga buat Along atas kata-kata semangat agar tidak putus asa untuk kembali memandu (sempat promote kereta mewah pada Kak Su).

Terima kasih yang tidak terhingga juga buat Dr. Zahri dan Mama Jan yang sudi datang membantu. Juga buat Kak Su yang sanggup datang serta-merta dari Penang dan membawa pulang kembali ke USM. Juga buat Prof yang sentiasa mengambil berat.

Terima kasih buat Lida, Emy, Hafiz dan Amin. Maaf membuatkan kalian bimbang.

Abah, mama dan abang, maaf yang tidak terhingga. Abang, maaf, maaf, maaf. Kereta pertama hasil titik peluh abang, Ija ranapkan. Maaf.

ps: fobia melihat depan.

Tuesday, September 08, 2009

Wajah di Bumi


Rasa mahu pitam
Rasa mahu rebah
Rasa macam petala langit menghimpap ubun-ubun kepala

Tapi aku tidak mahu jatuh
Bukan sekarang!

Thursday, September 03, 2009

Zakat for beginners


Dirikanlah solat, tunaikanlah zakat. Kalau anda rajin bertadarus, pasti sudah seringkali anda bertembung dengan ayat ini. Suruhan menunaikan zakat dirangkaikan sekali dengan suruhan mendirikan solat. Firman Allah dalam bentuk seperti ini terdapat sebanyak 27 kali di dalam al-Quran.

Perbincangan mengenai zakat memang meluas tetapi khusus buat kawan-kawan saya yang genap setahun bekerja, tulisan mengenai zakat ini dituliskan dengan mudah. Asal faham sudah~

Okay, lets check how long have you been working and having your own salary? Since most of you've graduated at August 2008, and then becoming jobseeker. Let say anda mula bekerja pada September 2008. Jadi, September 2009 ini genap setahun anda bergelar pekerja. Ingatan buat semua, kiraan zakat bukan mengikut tahun masihi tetapi mengikut tahun hijrah. Oleh kerana tahun hijrah lebih pendek daripada tahun masihi, jadinya sebelum masuk September 2009 lagi jangka masa setahun telah dipenuhi.

Dalam masa setahun ini, anda bayar tak zakat ke atas pendapatan yang anda peroleh? Apa? tak? isk isk isk. Janganla macam tu. Percaya atau tidak, anda sudah bergelar penjawat. Anda telah mempunyai pendapatan sendiri. Sebenarnya, zakat pendapatan ini dikiaskan kepada zakat pertanian. Berbeza dengan zakat lain yang biasanya dibayar setelah genap setahun harta itu dimiliki, zakat pertanian dibayar setelah hasil dituai. Oleh itu, zakat pendapatan juga sepatutnya dibayar sebaik sahaja gaji anda diperoleh.


Sebenarnya saya sendiri tiada pengalaman membayar zakat. Almaklum, saya tidak pernah mempunyai gaji tetap. Tapi baru-baru ini seorang daripada kawan saya bising-bising mahu menunaikan zakat tapi tidak tahu caranya. Saya rasa, kawan-kawan yang lain pun ada kesedaran untuk membayar zakat tapi macam biasa, tak tahu bagaimana.

Caranya tidaklah susah sangat. Lagipun, zakat ini tidak setinggi cukai pendapatan yang dipotong daripada pendapatan anda. Cuma 2.5% daripada gaji anda je. Itupun sudah ditolak perbelanjaan untuk diri sendiri, isteri, anak, KWSP dan juga kiriman untuk ibu bapa. Tambahan lagi, setelah zakat dibayar anda akan memperoleh rebet untuk cukai pendapatan. Jadi katakanlah zakat yang anda bayar sebanyak RM240 setahun (bulanan sebanyak RM20) dan cukai pendapatan anda pula RM1000, maka anda cuma perlu bayar RM800 untuk cukai pendapatan anda.

Bagi yang pertama kali mahu membayar zakat, saya galakkan anda berkunjung ke kaunter zakat yang berdekatan dengan lokasi anda. Kalau anda bekerja di Selangor, maka bayarlah kepada mana-mana kaunter Lembaga Zakat Selangor. Kalau bekerja di Kuala Lumpur, boleh ke kaunter Pusat Pungutan Zakat, dan kalau bekerja di Penang, boleh ke mana-mana kaunter Pusat Urus Zakat. Sebab apa saya galakkan anda ke kaunter zakat? Sebab untuk pengalaman kali pertama ni lebih baik kalau anda memperoleh suasana sebenar pembayaran zakat. Nanti pegawai di kaunter akan membacakan doa untuk anda. Pengalaman ini saya rasa kalau tak rasakan sendiri mungkin nikmat mengeluarkan sebahagian harta yang kita miliki tu tak berapa rasa sangat. Yelah, bukan mudah kan nak bagi apa yang dah kita usahakan kepada orang lain. Tanpa rasa kehambaan dan kesyukuran kepada Allah, mungkin zakat amat sukar dilaksanakan.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh tanyakan lebih lagi kepada Mr. Google. Di sini juga saya sediakan link untuk anda melakukan web-walking di beberapa website institusi yang menguruskan zakat. PPZ Wilayah Persekutuan. PUZ Penang. Recomendation daripada saya, laman web zakat Selangor dan blognya.

Renung-renungkan dan selamat berzakat~

ps: zakat fitrah tak sama dengan zakat pendapatan. Kalau sebelum ni ayah yang bayarkan, tahun ini bagaimana?

Monday, August 31, 2009

Kehilangan

Dalam hidup, kita tak terlepas daripada menghadapi kehilangan. Lumrah kehidupan, hari ini ia ada dan esok ia hilang. Terlepas dari genggaman. Allah ada berfirman dalam Surah al-Asr yang bermaksud 'Demi masa, sesungguhnya manusia berada dalam kerugian. Kecuali mereka yang berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran.' Begitulah aturan dalam kehidupan. Pesan Rasulullah supaya kita sentiasa ingat akan 5 perkara sebelum hadirnya 5 perkara lain yang barangkali tidak kita sukai.
sihat sebelum sakit
muda sebelum tua
kaya sebelum miskin
lapang sebelum sempit
hidup sebelum mati

5 nikmat yang hilang ini bukan hanya mendatangkan gundah kepada diri sendiri tetapi juga kepada mereka yang berada di sekeliling kita, mereka yang mengasihi kita dan bergantung kepada kita. Mati, satu kepastian, satu janji Allah kepada setiap makhluk ciptaannya. Hari ini Dia berikan kita nyawa, bernafas dan menikmati segala rahmat pemberianNya dan tiba-tiba sesaat kemudian, rebah jatuh ke bumi tika Izrail yang sentiasa menjenguk kita setiap saat diperintahkan untuk mengambil nyawa kita. Saat terkeluarnya roh daripada jasad, bukan kita saja merasa sedih, sesal dan gundah memikirkan nasib sendiri. Tetapi juga mereka yang kita tinggalkan.


Sebagai yang meninggalkan, roh menghadapi kebimbangan memikirkan cukupkah amalan yang ada untuk dibawa bekal menghadapi barzakh dan hari pembalasan. Sedangkan mereka yang mengasihi yang bergantung harap pada arwah menangisi memikirkan pada siapakah pula akan harapan perlu digantungkan? Jika seorang bapa yang merupakan ketua keluarga meninggalkan isteri dan anak-anak, siapa pula yang perlu menggalas tugas bapa? Anak yang telah dewasa? Ibu? Kaum keluarga yang lain?

Kehilangan tidak pernah diminta untuk berlaku oleh seorang manusia yang waras. Tapi kehilangan dalam kehidupan itu sesuatu janji yang pasti. Sebagai manusia, meski dalam kehilangan ingatlah bahawa suatu ketika nanti kita juga akan menjadi sebahagian daripada kehilangan itu. Apakah bekalan untuk dibawa telah cukup? Atau kita sebahagian daripada manusia yang rugi?

Menghadapi kehilangan khususnya insan-insan yang dekat dengan hati kita, tempat kita bergantung dan berharap bukan perkara mudah. Pemergian mereka kepada janji Allah tentu sekali membawa perubahan drastik dalam kehidupan kita yang masih tinggal. Tapi qada' dan qadar yang telah Allah tetapkan harus kita terima sebaik mungkin. Dunia cuma pentas kehidupan, sebagai pelantar untuk hari kemudian yang kekal. Terimalah kehilangan orang-orang tersayang dengan penuh lapang dada kerana pasti ada rahsia dalam setiap takdir Allah. Kerja Tuhan siapa tahu?

ps: Al-Fatihah buat Arwah Pakcik, Arwah En Hazis (bapa Aryn), Arwah Hj Musa (bapa Nadia) dan Arwah En Taha Hsni (bapa Emy). Semoga Allah sentiasa mengasihi dan berbelas kasihan pada roh mereka.
Terpandang seorang rijal, wajahnya mengingatkan pada arwah pakcik dan memutikkan air di tubir mata.

Thursday, August 27, 2009

Euphoria Musim Hujan

Ramadhan 1 - hujan
Ramadhan 2 - hujan lagi
Wanneeza + kolam ikan kotor + hujan lebat tak seriat = main hujan!

Sebulan saya tidak pulang menjenguk nenek. Cuma menghubungi dengan Sony Ericson saja. Jumaat lalu saya nekad meredah jam di jambatan Pulau Pinang yang merebak hingga ke Sg Dua Seberang Perai. Perjalanan yang biasanya cuma 1 jam 30 minit menjadi hampir 3 jam. Takpe takpe. Nak puasa dengan nenek la katakan.

1 Ramadhan. Hujan dari pagi membawa ke petang. Dingin dan nyaman membuahkan kantuk yang bermaharajalela. Menjadi kurang produktif. Asyik berhibernasi. Aish...makruh puasa.

2 Ramadhan. Sekitar 10 pagi. Hujan dari semalam cuma berhenti seketika. Memandangkan kolam ikan arwah pakcik tak pernah dicuci sejak pakcik meninggal lebih 3 bulan lalu, air kolam bewarna kehijauan begitu menggoda saya. Minta izin pada nenek, buka penyumbat kolam dan.... basuh!

Petua basuh kolam ikan. Tunggu hari hujan lebat. Fungsinya, selesai dibasuh kolam mesti diisi semula dengan air hujan. Air paip pun boleh tapi perlu dirawat dulu. Almaklum, air paip ada klorin. Unsur Cl ni memang menjernihkan air tapi boleh buat ikan mati keracunan. ok, kampung saya tak ada penapis air.

Petua main hujan ketika puasa. Pakai tudung jangan bagi air masuk telinga. Jangan dongak atas. Dan yang penting, jangan sengaja nak pi tadah mulut menganga menghadap langit. Sengaja nak batal puasa la namanya tu. Dan, kalau hujan cuma renyai-renyai jangan main ya adik-adik. Nanti demam.

Kali terakhir saya main hujan waktu di tingkatan 1. Antara geng main hujan iailah Cik Efie dan Cik Nadia. Tapi sebenarnya bukan hujan sangatpun. Pulang dari sekolah petang kalau hujan, biasanya kami redah juga. Rumah pun bukan jauh sangat dari sekolah. Payung? Tak macholah! Paling seronok kalau hari Jumaat sebab kasut confirm akan kotor. Pantang ada lopak air, mesti dengan sengaja menghentakkan kaki sampai air terpercik. Sampai rumah, habis lencun. Siap kotor dengan lecah lagi.

Tapi tu dulu. Zaman kanak-kanak riang. Hehehehe.

Friday, August 21, 2009

Marhaban ya Ramadhan


Assalamu'alaikum semua!
Semoga sentiasa bersemangat menyambut kehadiran hari baru, hari penuh berkah di bulan penuh keberkahan. Jom kita sama-sama menyambut bulan kemuliaan ini dengan kemeriahan tarawih...lagi indah kalau disertai dengan ibadah-ibadah malam dan sunat yang lain (wah! pandai cakap ni! buatnye tidak hehehe). Apapun, saya nak ambil kesempatan ini untuk mohon ampun, maaf atas segala dosa sesama manusia yang barangkali saya lakukan sama ada secara sengaja atau tidak, secara sedar atau tidak. Sebagai manusia biasa, hamba yang hina ini amat berharap agar salah dan silap dapatlah kiranya dimaafkan. Adapun bagi mereka yang rasa-rasa bersalah pada saya, insyaAllah, semuanya telahpun di-forgive and forget-kan (ahaks..maaf DBP).

Ha..puasa tau, jangan tak puasa! Semoga Ramadhan dapat dijadikan madrasah untuk merawat jiwa dan hati. Nanti kembali pada Syawal dengan fitrah yang lebih baik. InsyaAllah, sama-sama kita jadikan bulan ini sebagai bulan detox - menyingkirkan segala toksin kekotoran fizikal dan rohani.

Kepada Allah juga kita memohon.

Selamat Berpuasa!

Thursday, August 20, 2009

Dan Saya Seorang Ustazah

Alhamdulillah, debaran membentangkan kertas kerja telahpun berlalu usai tamatnya International Graduates Workshop (INGRAW 09) petang semalam. Syukur, Allah beri peluang untuk saya peroleh bermacam-macam ilmu. Tahniah buat INGRAW's committee yang telah bertungkus-lumus melaksanakannya sehabis baik. Tahniah buat Dr Fadzilla Azni (Kak Sue) dan teamnya.

Sepanjang dua hari seminar ini berlangsung, saya menempuhi pelbagai pengalaman baru. Buat pertama kalinya saya menjejakkan kaki ke Dewan Persidangan Universiti, walaupun ini tahun kelima saya di USM. Syukur, Allah beri peluang ini sebelum saya menamatkan pelajaran di sini. Ini juga pengalaman pertama saya membentangkan kertas kerja. Dulu, waktu di Medan saya cuma tukang tekan key laptop untuk menukar slide. Almaklum, cuma co-writer. Tapi kali ini dapat merasa membentangkan kertas kerja. Walaupun saya rasa pembentangan tu agak teruk, tapi boleh lah~ inikan pengalaman pertama. InsyaAllah, pada masa-masa akan datang kita improvelah lagi.

Pada hari kedua seminar berlangsung, saya cuma menjadi peserta dan menadah telinga sekaligus berusaha membuka akal dan hati untuk menerima segala input yang baik-baik daripada para pembentang dan pengulas. Namun, hati dan akal saya tersentuh pada saat-saat akhir sesi pembentangan terakhir. Usai pembentangan daripada para pembentang, pengulas yang terdiri daripada pensyarah akan mengulas setiap kertas kerja. Dan kemudiannya diikuti dengan sesi soal jawab.

Seorang pelajar PhD bertanya kepada pengulas mengenai kemestian untuk menggunakan bahan dari sumber asal berbahasa arab. Pengulas menjawab bahawa memandang yang ingin dikaji itu adalah mengenai Islam, maka amat penting/wajib untuk menggunakan teks asal berbahasa Arab sebagai rujukan. Seorang wanita lain bersetuju dengan pendapat pengulas tadi. Beliau lantas mengatakan bahawa beliau adalah seorang ustazah. Dan sebagai ustazah, beliau berharap agar kajian mengenai Islam perlulah bersandarkan kepada sumber-sumber yang sahih. Sebenarnya, perkara ini juga ada dibincangkan dalam pembentang rakan sekelas saya pada hari pertama. Tapi waktu itu, saya tidak begitu terkesan dengan isu ini. Barangkali kerana saya turut terlibat sebagai moderator pembentangan tersebut. Faham-faham saja, bila duduk di depan walaupun tak membentang, tetap merasa nervous. Dan bila dah nervous, fikiran pun kurang cekap menangkap segala maklumat.

Ada dua perkara yang menyentuh hati saya mengenai komen ustazah tadi. Yang pertama, kata-katanya..'Saya seorang ustazah'. Kerja Tuhan siapa tahu? Pagi itu sebenarnya pensyarah saya yang berpangkat Doktor memberi ucaptama. Ketika memperkenalkan diri, beliau menyatakan bahawa beliau senang untuk memperkenalkan dirinya dengan nama beliau sendiri tanpa gelaran Doktor. Dan saat mendengar kata-kata ustazah itu, terus teringat pada para pensyarah saya. Sejak bergelar pelajar undergraduate lagi, tidak pernah seorangpun pensyarah saya memperkenalkan diri mereka sebagai Dr, Prof, Prof Madya atau apa saja. Malah, ada pensyarah yang sehingga kini membahasakan dirinya kakak. Saat itu saya merasakan, bertuahnya saya dikelilingi manusia-manusia hebat, punya ilmu punya pangkat. Tapi penuh dengan kerendahan hati.

Perkara kedua, saya tersentuh dengan kemestian merujuk teks arab. Terasa ke'rigid'an pengajian Islam. Saya tahu dan saya faham bahawa keperluan ini adalah bagi memelihara ketulenan sumber maklumat untuk sesuatu kajian. Yelah, mana tahu, esok-esok ada pula yang membaca hasil kajian kita. Dan jika maklumat yang dimuatkan dalam penulisan tersebut salah, atau tidak tepat, tentunya kita telah melakukan fitnah. Tapi perlu juga diketahui bahawa bukan semua orang boleh berbahasa Arab. Apatah lagi memahami dan menganalisis teksnya. Bagi saya sendiri, kalau kita terhadkan untuk mengkaji mengenai Islam harus/mesti/wajib/compulsory tahu bahasa Arab, alamatnya bagi orang-orang tanpa asas pengajian Islam seperti saya tentulah tidak berpeluang untuk mendekati ilmu Pengajian Islam. Syukur, Allah temukan saya dengan guru saya. Menemui jalan untuk belajar dan mengkaji tentang Islam di luar Pengajian Islam. Bak kata Prof Roshada yang dulu pernah mengajar subjek Biochem ketika saya di tahun 1 dalam ucapan penutupnya untuk INGRAW ini, para saintis juga ingin menerapkan nilai Islam dalam kerja dan kajian, cuma tidak tahu bagaimana. Terima kasih buat ISDEV kerana membuka satu peluang baru untuk manusia-manusia seperti saya yang harus bermula daripada zero untuk mengenali Islam dalam satu perspektif di luar lingkungan Pengajian Islam.

Buat mereka di Pengajian Islam, saya tidak sedikitpun mahu mengkritik kalian. Malah saya sentiasa salute dan hormat dengan segala ilmu yang kalian miliki (dan secebis rasa cemburu, berfikir alangkah bestnya jika punya pengetahuan seperti kalian). Dan dengan rasa hormat itulah saya amat berharap agar ilmu dapat kita kongsikan moga dapat dimanfaatkan oleh ummah. Kita sama-sama mengaku Islam. Tapi Islam bukan cuma pada kitab-kitab Arab mahupun kitab-kitab kuning. Apatah lagi di dalam mykad. Islam adalah ad-deen, yang menurut kalian, bermaksud sebagai way of life. Jadi kalau Islam itu satu cara hidup, tentunya tak salah kan kalau manusia-manusia yang cuma bersekolah fardhu ain sampai darjah 5 seperti saya juga ingin mendalaminya. Bak kata orang-orang tua kita,
Buah campedak diluar pagar
Ambil galah tolong jolokkan
Saya budak baru belajar
Kalau salah tolong tunjukkan

Dan daripada saya,
Kelip-kelip kusangka api
Kalau api mana sumbunya
Ilmu Allah tiada tepi
Sezarah cuma di dalam dada

ps: no offense ;]

Monday, August 17, 2009

H1N1


• Pesakit mesti amalkan adab batuk yang betul. Gunakan tisu atau sapu tangan apabila batuk atau bersin. Cuci tangan dengan sabun dan air atau bahan cuci tangan berasaskan alkohol. Buang semua tisu yang digunakan ke dalam tong sampah.

2. Jaga kebersihan diri
Pesakit dan semua ahli keluarga mesti mengambil langkah-langkah berikut:
• Kerap mencuci tangan dengan sabun atau air atau baham cuci tangan berasaskan alkohol.
• Keringkan tangan dengan tisu atau tuala yang berasingan untuk setiap ahli keluarga.
• Cuci peralatan yang biasa digunakan dan permukaan-permukaan yang kerap disentuh dengan menggunakan bahan pencuci yang biasa terdapat di rumah.

3. Jangan kongsi peralatan peribadi
• Jangan berkongsi peralatan peribadi.Peralatan seperti pinggan-mangkuk dan kain seperti tuala, cadar dan selimut tidak boleh dikongsi oleh ahli keluarga pesakit. Semua barangan ini perlu dicuci dengan sabun dan air.

4.Menjarakan diri
• Pesakit dinasihatkan supaya tidak meninggalkan rumah sehingga mereka sembuh, lazimnya selama 7 hari.
• Pesakit seboleh-bolehnya diminta tinggalkan di bilik berasingan.
• Ahli keluarga, khususnya yang cenderung mendapat komplikasi (khususnya ibu hamil) seboleh-bolehnya hendaklah menjarakkan diri daripada pesakit (sekurang-kurangnya satu meter) untuk menggelakkan jangkitan.
• Sekiranya pesakit keluar rumah (contohnya mendapat rawatan) beliau hendaklah memakai penutup mulut dan hidung (mask), mengamalkan adab batuk yang baik dan kerap memcuci tangan.

Panduan menilai tahap kesihatan diri di rumah
Secara umumnya demam selsema boleh sembuh dengan sendiri. Namun begitu, anda perlu SEGERA mendapatkan rawatan di hospital jika demam serta batuk atau sakit tekak, DAN mempunyai sekuarang-kurangnya satu gejala berikut:

1. Sukar benafas.
2. Batuk berdarah atau kahak berdarah.
3. Sakit dada berterusan.
4. Kerap cirit birit atau muntah yang kerap, atau kedua-duanya.
5. Demam berterusan melebihi 3 hari ataupun demam berualang selepas 3 hari pulih.
6. Berkelakuan ganjil, celaru, kurang responsive kepada rangsangan, sawan.
7. Penig bila berdiri.
8. Kurang kencing.

sumber: iluvislam

Thursday, August 13, 2009

Monologue

+ Wan...Wan Haniza! Bangun!
- Apa? Jangan kacau boleh tak?
+ Takde takde...dah..cukup tu. Kau mesti bangun. Mesti! Compulsory!
- Yang kau tiba-tiba datang nak bising-bising ni apahal? Hilang macam tu je. Sekali datang buat kecoh pulak.
+ Eh..salah aku pulak. Kau! Kau yang kawal aku. Dalam hati, dalam otak. Mentang-mentang lah dah ramai kawan. Kiri kanan ada kawan. Alter ego sendiri pun kau tak endah. Tu belum check hubungan kau dengan Allah lagi.
- Salah aku ke?
+ Dah tu? Salah kambing Pak Ngah?
- Huh. Sarcastic!
+ Well, you know me~

- Ah sudah sudah. Kau nak apa? Lama menghilang. Pergi mana?
+ Aku ada. Saje senyapkan diri. Nak tengok berapa lama kau boleh bertahan dengan rasa down dan depress tu.
- Hellow~ you're supposed to cheer me up! Boleh pulak sindir sindir aku.
+ Young lady, you really should to be fully awake. Memang dulu aku selalu cheer kan kau bila kau down. Tapi tu dulu. Masa kau tinggalkan hati kau dalam gua. Gelap zulumat. Sekarang kau dah ada cahaya.
- Maksud kau?
+ Kau ingat lagi masa first time kau numb macam ni?
- Hm...masa form 3 exam PMR.
+ Tau pun. Tapi still OK kan result kau?
- Yup. Takde la flying colours tapi bleh la takat nak terkejutkan cikgu-cikgu masa lama.
+ See? Kau ni niat tak betul la! Ada plak nak tayang result sebab dendam kat cikgu?
- Tak..tak.. aku dah tak dendam. Apapun yang diorang buat, diorang tetap guru aku. Aku sayang dan hormatkan diorang. Lagipun masa tu aku yang menggatal nak rebel tak tentu hala.
+ Tau takpe. Masa kau benci sangat dengan adults, kau gaduh dengan siblings, dengan mama, dengan abah, apa yang kau buat?
- Aku ambik pisau.
+ Then?
- Ah! Kau tau apa aku buat. Jangan tanya!

+ Aku just nak kau fikir. Fikir betul-betul. Semua benda bodoh kau buat sebelum hit puberty sampailah kau dah lepas tahap adolescent. Bodoh tahap petala kelapan pun, kau mesti bangkit lepas tu. Tu masa zaman gelap kau!
- So?
+ So, sekarang ni apasal kau jadi macam ni?
- Maksud kau?
+ Kau bukan lagi budak sekolah yang suka-suka ponteng kelas, lepak kat surau semata-mata sebab tak suka cikgu maths, duduk dalam bilik PBSM sebab menyampah dengan cikgu PJK. Kau tak bergaduh dengan mama abah dah. Dengan adik-adik pun kau boleh bergurau mesra. Kau bukan rebellious girl lagi dah. Kau dah besar. Sangat! Dah masuk tahap dewasa. Tapi apasal kau murung macam ni lagi?
- Aku tak tau. Kau la. Kau pergi. Senyap. Kau tinggalkan aku terkontang-kanting sorang-sorang kat sini.
+ Aik? Bukan kau ke yang suruh aku pergi? Kau taknak orang tau kau ada alter ego. Kau taknak orang tau yang kau tak reti bersosial sampai kena bercakap dengan alter ego sendiri.
- Ah~
+ Tengok. Bila aku cakap benda sebenar kau nak lari. Terima hakikat la weh. Kau memang berubah dari gelap kepada cerah. Daripada buat ikut suka kepada buat berlandaskan Syarak. Tapi ada tak kau nilai balik niat kau? Perjuangan kau?
- (senyap)

+ Dulu kau pekakkan telinga bila orang persoalkan keputusan kau sambung belajar. Kau tabahkan hati. Buat segala macam kerja part time. Sampai sakit-sakit. Sampai demam panas. Tapi kau gagahkan jugak diri untuk belajar. Kenapa?
- Aku tak boleh cakap. Aku nak jaga niat tu.
+ Dah tu? Sekarang bila kau dah dapat semua, niat kau dah berubah?
- Aku...
+ Make it simple Wan Haniza. Aku rasa kau ni dah hanyut dengan semua nikmat yang Allah bagi. Dulu Dia bagi kau sikit, kau hargai semuanya. Kau ingat lagi kau berjuang macam orang insomnia dalam lab dulu? Non stop working every Wednesday from dawn till midnight. C. necator kau tak mau hidup, kau nangis, kau mintak Allah hidupkan dia. Tapi kau tak putus asa. Kau jenguk jugak lab tu tiap-tiap malam. Kau tertidur sebelah GC, hidu chlorofoam dan segala menatang chemicals. Tapi kau still bangun untuk teruskan hidup di siang hari.
- (senyap lagi)

+ Sekarang kau dah ada semua. Kau masuk bidang yang kau rasa sesuai dengan jiwa kau. Bapak kau dah bagi restu. Elaun kau dah tak putus. Scoot ego tu siap upgrade jadi MyVi lagi tau! Apa lagi yang kau nak?
- Aku nak semangat yang dulu.
+ Semangat tu ada. Ada dalam diri kau. Hish...berapa lama kau tak muhasabah ni?
- Ntah. Sejak kau pergi kot.
+ Semangat tu bukan untuk dicari. Kau kena develop sendiri. Mana energy dulu? Aku tau, masa sekolah dulu kau alihkan tenaga marah untuk jadi motivasi. Masa bachelor ko guna tenaga racist pulak sebab diorang semua agama lain. Masa Sem 1 dulu kau kata kau nak ambik semangat jihad fi sabilillah. Apa jadi?
- Ntah.
+ Isk budak ni. Aku ketuk jugak kang kepala kau. Cakap macam tak mau hidup. Layu! Lunyai! Macam cadaver dah aku tengok.
- (angkat kening. senyap lagi)

+ Sudah-sudah lah Wan... Bangkit la dari lena kau. Aku tau kau bukan nyenyak sangat pun. Aku tau jiwa kau kacau. Tapi fikir balik. Allah dah bagi hampir semua yang kau nak. Dia tak pernah tolak permintaan kau. Satu, satu kau dapat. Semua nikmat tu, takkan kau nak sia-siakan macam tu je? Kau nak jadi kufur? Kau nak jadi hamba yang tahu bersyukur? Frankly speaking, I prefer the older you. Walaupun masa tu hidup kau huru-hara dengan segala macam ideologi kamikaze tentera Jepun, sekurang-kurangnya lepas kau tewas kau sujud pada Yang Maha Memiliki. Tapi sekarang ni, orang sekeliling mungkin nampak peribadi kau improve. Tapi bagi aku kau dah jauh. Jauh dari bumi. Jauh dari perjuangan yang kau kobarkan dulu. Dengan Allah jangan cakaplah. Aku rasa memang dah cukup jauh. Kenapa niza? Kenapa kau jadi macam ni wahai manusia bernama Wan Norhaniza?

- Aku... aku pun rindu aku yang dulu. Aku pun rindu pada semangat juang dulu. Kau ingat aku nak jadi macam ni? Kau ingat aku suka hilang haluan macam ni? Kau ingat seronok ke rasa kosong, numb, null, hampa, sifar macam ni? walau sebesar elektron sekalipun aku tak mau ada rasa macam ni kau tau tak? Kau tau berleter je kat aku. Ada kau datang tolong aku? We've never speak to each other like forever! And now you come from nowhere, nagging with all the kisah lama, nak marah-marah aku pulak?!
+ Aku bukan nak marah kau. Kau pun tau aku datang tak lain tak bukan nak keluarkan kau dari gua tak berpintu yang kau bina ni.
Wan Haniza, kau ingat balik. Pandang sekeliling kau. Besarnya nikmat yang Allah bagi. Kau tak nak jadi manusia yang tak tau bersyukur kan? Pandang dengan pandangan hikmah. Always read between the lines. Kau tau semua tu kan. Kau dah develop your own cognitif thinking sejak kecik lagi. Ingat kalau dulu matlamat kau cuma jangka pendek, sekarang kau mengejar mardhatillah. Jangan mimpi kau boleh dapat dengan mudah. Mengharap senang dalam berjuang kan bagai menanti rembulan di tengah siang. Memang bulan tu ada waktu siang. Tapi kau takkan nampak kecuali bila dia datang menghalang cahaya matahari dalam gerhananya. Dan sekarang ni, hidup kau dah mcam gerhana. Gelap. Kalau terus terusan gelap macam ni, bilanya kau nak berjuang? Bilanya kau nak penuhi niat yang kau buat?
Sudah-sudah lah Wan Haniza. Buka mata luas-luas. Kau ada keluarga yang sedaya upaya membantu. Kau ada guru-guru yang luar biasa baiknya. Kau ada segala macam kesenangan duniawi. Allah bantu kau lagi. Tak perlu banyak protokol, kau dapat semua maklumat untuk disertasi kau.
Bumi Allah yang kau jejak tak bergolak. Tenang, damai. Kau tak perlu risau dibedil senapang Zionis atau perang saudara. Kau tak perlu fikir tentang digilis kereta kebal.
Kau tak ada semua jenis gangguan. Satu-satunya gangguan kau ialah nafsu kau sendiri. Tak kan itu pun tak boleh bendung?
Bangunlah Wan Haniza. Kau kan nak jadi sebijak A'isyah, setabah Khadijah dan segagah Fatimah.
Bangun ye.

Tuesday, August 04, 2009

Antara Hitam dan Putih

Allah menciptakan dunia penuh warna. Dan di antara warna itu ada warna-warna lain. Katakan putih. Ada putih kuning. Ada putih biru. Ada putih kusam. Saat melihat putih, adakah benar ia putih?

Dalam meniti kehidupan, tak terhitung tona warna yang menguliti perjalanan seorang musafir di bumi Allah. Firman Allah yang bermaksud “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan perbezaan malam dan siang adalah ayat (tanda) kepada orang yang mempunyai fikiran.” (Ali-Imran: 190).

Begitu diciptakan oleh Allah setiap satu perkara. Walau sekecil zarah. Disebaliknya pasti ada hikmah yang barangkali tak tercapai dek akal manusia biasa. Apatah lagi jika kita tidak mahu berfikir.


Menonton filem Perempuan Berkalung Sorban (PBS), membuatkan saya teringat tentang diri sendiri suatu ketika dulu. Saya tidak ubah seperti Annisa di waktu kecil. Tapi tentunya saya tidak membesar di pesantren dan diajar ketat dengan ajaran Islam. Keluarga saya biasa-biasa saja. Cuma saya sangat gemar mempertikaikan kedudukan perempuan di dapur. Terutamanya jika diminta ibu untuk membantu. Dan pada waktu yang sama abang saya sedang bersenang-senang di hadapan televisyen. Itu cuma waktu dulu. Waktu saya menganggap adil sebagai sama rata. Hakikatnya, adil itu meletakkan pada tempatnya. Dan kini saya tahu, jika saya perlu membantu di dapur, abang pula perlu membantu di halaman. Cukup seimbang. Annisa dalam PBS sejak kecil dikongkong dalam satu budaya sempit yang dikatakan sebagai 'Islam'. Dihalang menunggang kuda dan apabila menginjak remaja disekat untuk melanjutkan pelajaran atas alasan tiada muhrim. Mengundang fitnah. Begitu kata abinya. Sesuai dengan status Annisa sebagai anak kiyai, beliau dinikahkan dengan anak kiyai yang kaya dan sering menabur wang kepada pesantren milik bapa Annisa. Sejak itu kesengsaraan hidup Annisa semakin menggunung. "Allah cuma tolong orang laki-laki" kata-kata ini diungkapkan Annisa ketika masih kecil. Kata-kata yang diungkapkan kepada teman masa kecilnya yang bernama Lek.

Kesengsaraan hidup dengan suami yang kurang sifat manusiawi membawa Annisa pulang ke pesantrennya. Bertemu kembali dengan Lek dan kemudian ditangkap oleh suaminya sendiri dan dituduh berzina. Annisa dijatuhkan talak. Peristiwa ini mengganggu kesihatan bapa Annisa yang telah sedia uzur. Bapa Annisa meninggal dunia dan Annisa membawa diri ke Jogja untuk menyambung belajar di universiti. Di Jogja, Annisa bertemu Lek yang berusaha menjejaknya menerusi teman santriwati Annisa. Bertemu dan bernikah.

Dugaan tak putus dalam kehidupan. Dan seiring dengan dugaan itu, Annisa teguh untuk berjuang. Mempertahankan para santriwati di pesantren bapanya yang masih lagi dikongkong di bawah pentadbirang abang Annisa. "Roma tak dibangun dalam masa satu hari," kata-kata Lek yang sering diungkapkan kepada Annisa saat Annisa beremosi ketika berdepan dengan kongkongan dunia pesantren.

Menonton filem ini pada mulanya saya terfikir, apa agaknya yang difikirkan oleh masyarakat di luar saat menonton filem ini? Apa agaknya yang ada disebalik filem kontroversi Indonesia ini? Membaca komen-komen di YouTube, banyak yang mengatakan filem ini membawa fitnah kepada Islam. Begitulah, saya juga terfikir apakah filem ini antara dakyah golongan liberal? Atau anasir jahat mereka yang mahu menjatuhkan Islam?

Tetapi saat suara Siti Nurhaliza menyapa telinga dengan nyanyian karya Opick, pada akhir filem ini fikiran saya berbaur. Barangkali saya terlalu prejudis. Realiti dalam kehidupan, meski berserban bukan mesti beriman. Teringat kata-kata seorang pensyarah perempuan dari PPSK kepada saya, "If you want to get married, marry a man that is really beriman. Orang yang solat bukan mesti betul-betul beriman." Kata-katanya itu sebenarnya berasal daripada perbualan kami tentang saudara jauhnya yang dianiaya suami. Dibelasah ketika mengandung. Saat bercerita, beliau mengungkap satu ayat yang saya tak sangka akan diungkapkan oleh seorang Muslim,"The syariah law will never helps women like you!" katanya penuh emosi. Barangkali kita terlupa Islam hadir di zaman jahiliyah saat wanita diperlakukan seperti binatang. Mengangkat wanita pada kedudukan yang dimuliakan. Bukan salah Islam. Barangkali kita terlalu jumud. Antara jumud hingga mengekang pembaharuan dan jumud hingga melabelkan Islam itu sempit. Salah siapa?

ps: Fikirlah sendiri~

Friday, July 17, 2009

Bacalah...

Dengan nama Tuhanmu
Wahyu pertama yang disampaikan melalui Jibril a.s kepada Rasulullah.

Besar sebenarnya pengaruh membaca. Ada orang gemar membaca novel. Ada yang suka pada biografi. Ada juga yang cintakan fiksyen sains. Macam-macam jenis bacaan yang boleh dibaca. Terpulang pada selera masing-masing. Minat membaca sebenarnya boleh menjadi satu kegilaan. Kalau dalam istilah psikologi, ketagihan kepada buku ni tidak terhad pada hanya ketagih membaca tetapi juga ketagih untuk membeli dan menjaga buku sepenuh hati (a.k.a bercinta dengan buku).

penulisan 'mesti baca' saya sekarang

Saya teringat pada seorang lelaki yang mengadu di forum tentang ketagihan berbelanjanya pada buku. Dalam sebulan beliau berbelanja antara RM200 hingga RM300 semata-mata untuk buku. Sebenarnya ini bukan perkara yang pelik bagi saya kerana saya juga punya ketagihan membaca dan biasanya saya lebih gemar membeli sendiri buku dari memijam daripada orang lain. Tak 'feel'. Tapi tidak lah sampai beratus-ratus berbelanja untuk buku. Kalau dulu, saya hadkan kepada sebuah buku sebulan. Itupun dah membuatkan ibu saya pening kerana kehabisan rak untuk meletak buku. Satu perkara lagi yang saya perasan, mereka yang tertarik berlebihan pada buku ni biasanya lebih bahagia berada dalam kedai buku berbanding kedai baju (dan kedai-kedai lainnya). Kalau teman saya mengajak shopping di Queensbay, selepas bermaraton dan jika teman saya tidak membeli apa-apa dan hanya melakukan window shopping, biasanya saya akan mula rasa pening dan mual. Terutamanya kalau terlalu banyak masuk ke kedai kasut. Saya kurang pasti kenapa, tapi memang saya mudah rasa pening dan mual kalau masuk ke kedai kasut berulang kali. Untuk meredakan tekanan, Borders menjadi tempat pilihan. Duduk bersila di celah rak sambil membaca buku percuma. Ah~ nyaman!. Dan keluar pula dari Boarders dengan membawa buku (lain). Membahagiakan!

Sebenarnya, buku pilihan saya lebih kepada novel. Tapi tak terhad kepada genre tententu. Cuma saya kurang berminat dengan yang terlalu fiksyen dan penuh khayalan. Macam novel LOTR mahupun Harry Potter (walaupun novel Harry Potter ada dalam koleksi saya). Bukanlah nak memuji kelebihan novel, tapi saya lebih gemarkan novel berbanding buku motivasi. Mungkin disebabkan ketika membaca buku motivasi saya merasakan seperti dileteri. Tapi buku motivasi juga ada dalam rak buku saya. Ketika menjengah ke bilik seorang pensyarah, saya ternampak novel Ayat-ayat Cinta. Jujurnya, saya memang tak pernah menyangka beliau akan membaca karya Kang Abik tersebut. Ingatkan pensyarah lelaki tak berminat dengan novel cinta (walaupun novel Islami). Kata pensyarah saya, beliau memang gemar membaca novel. Kerana novel akan mencetuskan keinginan untuk berfikir.

Membaca memang punya banyak kelebihan. Selain menjadi 'teman' di kala kesunyian, membaca juga membolehkan sifat simpati dan empati disemai dalam diri seorang manusia. Selain itu, boleh juga mengembara merentasi dunia. Saya ingat lagi perasaan ketika pertama kali membaca novel Disebalik Kehijauan Matanya karya Dr. H.M.Tuah Iskandar yang berkisar tentang seorang pelajar lelaki Melayu yang belajar di Isle of Wales, UK. Waktu itu saya baru tingkatan 1. Dari buku tersebut saya mengenali bahawa novel juga boleh dijadikan medium dakwah. Dari buku tersebut juga saya mula menyimpan rasa ingin belajar di luar negara. Saya juga masih ingat dengan perasaan mebaca novel Hasrat yang saya lupa siapa penulisnya. Novel tentang pelajar-pelajar di Rusia yang ditangkap kerana membuat perhimpunan aman selepas solat Jumaat itu benar-benar membuka mata saya mengenai tanggungjawab mahasiswa. Waktu itu saya di matrikulasi. Selepas pada itu saya berjinak-jinak dengan karya Faisal Tehrani: Cinta Hari-hari Rusuhan. Kisah cinta dua kasta antara pelajar di UM ketika era pelajar-pelajar universiti gemar berpiket. Juga diselitkan kisah Rusuhan Baling. Selepas karya tersebut, saya mula mengumpul karya FT yang lain. Cuma sekarang ni dah terhenti. Selepas Karbala, corak penulisan FT sudah tidak serasi dengan diri saya. Lantas dalam masa yang sama saya berpaling kepada novel-novel Indonesia. Melalui Kang Abik (Habiburrahman el-Syirazi) saya mengenali dunia pelajar Indonesia di Mesir juga belajar tentang kepimpinan dan keazaman serta serba sedikit ilmu fiqh (lihat Ketika Cinta Bertasbih). Melalui Andrea Hirata pula saya belajar tentang perjuangan mengejar mimpi. Oh ya. Sekarang di USM sedang hangat dengan Laskar Pelangi. Rasanya lebih baik bacaan dari LP diteruskan kepada Sang Pemimpi. Kalau anda terpesona dengan Lintang dalam LP, saya lebih terpesona dengan Arai dalam Sang Pemimpi. Serta perjuangan Arai (serta Ikal) belajar hingga ke Sorbornne, Perancis.

Basar sebenarnya pengaruh bahan yang kita baca dalam diri kita. Jadi pilihlah bahan bacaan yang terbaik. Kata guru bahasa Arab dari Pakistan saya dulu, jangan membaca tanpa wudu'. Bacalah dengan ilmu. Bimbang juga kalau terpengaruh dengan ideologi yang salah. Buat penggemar novel seperti saya, pilihlah novel yang terbaik. Bukan sekadar novel kosong kisah cinta muda-mudi. Ye lah...penat-penat membeli dan membaca, yang dapat cuma kisah cinta. Tanpa pengajaran.

ps: teringat ayat dalam Laskar Pelangi "Makanya boy, kalau kau malas solat, rajin-rajinlah kau belajar berenang!" :p