Thursday, April 23, 2009

nikmat yang didustakan

"Dan nikmat Tuhanmu yang manakah yang engkau dustakan?"
Firman Allah yang diulang acapkali dalam Surah Al-Rahman. Begitulah, Allah Maha Pemurah. Memberi segala nikmatNya tanpa batasan. Apa yang tidak diberinya pada kita? Nikmat kesihatan, nikmat ilmu, nikmat kasih sayang sesama manusia, nikmat kedamaian. Lantas kita persoalkan, Tuhan tak beri apa yang kita mahu. Tuhan tidak adil kerana memberi si polan kesenangan. Tuhan kejam kerana menimpakan aku dengan sejuta dugaan. Aku putus asa, sudah belajar banyak masih pointer rendah dari orang lain. Benarkah kita sudah berusaha sehabis daya?vBerhakkah kita mempersoalkan sebegitu?

Timbang kembali amal ibadah kita. Timbang kembali setakat mana kita cintakan Dia. Adakah cinta kita pada kekasih buayafriend dan gelifriend lebih tinggi daripada cinta kita pada Allah dan rasulNya? Fikir kembali, apa yang kita berikan buat agama yang Dia perakui (Islam) dengan segala pancaindera yang Dia beri pada kita?

Kaki ini, adakah ia melangkah ke rumah Allah? Perut ini, adakah makanan yang masuk dari sumber yang halal? Jantung ini, berdegupkah ia dengan Alhamdulillah? Paru-paru dan para alveoli, berkembangkah ia dengan udara Subhanallah? Segala nadi, terdenyutkah dengan Allahuakbar? Mata yang terkelip, kelipkah dengan Lailahaillallah? Tangan, terhayunkah panji-panji Allah? Mulut, bertasbih dan bertahmidkah? Hidung, menghidukah haruman al-falah? Telinga, dengarkah bunyi-bunyian zikrullah?

Masih adakah tangis dalam sujud? masih adakah dahi yang menunduk kepada keEsaan Allah?

Sungguh, nikmat sebiji mata yang diberiNya tak mampu kita timbangkan dengan solat lima waktu semata. Lantas berhakkah kita persoalkan akan nikmatNya?
"Dan nikmat Tuhanmu yang manakah yang engkau dustakan?"

Wednesday, April 22, 2009

buat pedoman...

Takut mati di gereja

Jenazah lelaki HIV muslim diurus seperti orang bukan Islam.


KETIADAAN rumah perlindungan khusus untuk pesakit HIV muslim boleh menambahkan derita pesakit.



MASHUD


"BILA dapat tahu saya dijangkiti HIV positif, saya nekad untuk menjalani hidup dengan lebih positif dan mendekatkan diri kepada Allah. Tetapi ke mana harus saya tuju?

"Oleh kerana tiada tempat pemulihan dan perlindungan khusus untuk pesakit HIV lelaki muslim di negara ini, kami terpaksa menumpang teduh di gereja," cerita Latif Osman, 40-an, (bukan nama sebenar) yang ditemui Jurnal baru-baru ini.

Latif dan tujuh rakannya yang baru dua bulan ditempatkan di Baitul Fiqh, Subang, Selangor begitu lega kerana kini dia tidak lagi perlu menghuni rumah perlindungan kelolaan sebuah gereja di Selangor.

Untuk maklumat, selama ini hampir semua rumah perlindungan HIV yang dikelolakan pertubuhan bukan kerajaan atau pihak persendirian beragama Islam dikhususkan untuk pesakit HIV/ AIDS wanita.

Latif nekad untuk keluar dari rumah perlindungan sebelum ini selepas melihat seorang rakannya meninggal dunia akibat penyakit tibi. "Jenazahnya yang tidak dituntut oleh keluarganya telah diuruskan mengikut cara Kristian sedangkan dia seorang muslim," cerita Latif.




Menurut Latif, Baitul Fiqh pada asalnya ialah rumah perlindungan untuk bayi-bayi yang dibuang oleh ibu mereka namun terpaksa menerima pesakit HIV memandangkan tiada rumah perlindungan khusus yang sanggup menerima mereka.

"Memang ada banyak rumah perlindungan untuk pesakit HIV lelaki, tetapi semuanya diuruskan oleh gereja Katolik sedangkan ramai pesakit ialah orang Melayu yang rata-ratanya beragama Islam.

"Saya percaya ramai lagi rakan-rakan sebangsa saya yang ingin keluar dari rumah perlindungan tersebut namun tiada tempat yang boleh dituju. Hendak balik kampung, keluarga sudah membuang mereka," ujarnya.

Latif yang sudah 18 kali keluar masuk penjara dan pusat pemulihan dadah berkata, pesakit HIV memang tidak boleh lari daripada stigma negatif masyarakat, namun mereka perlu tetap pendirian jika benar-benar ingin berubah.

"Kami tidak boleh menyalahkan masyarakat. Namun kami juga mahu masyarakat faham bahawa kami mahu bertaubat dan menjalani kehidupan normal," ujar anak kelahiran Kuala Selangor ini yang mula menyuntik dadah ke tubuhnya ketika berusia 18 tahun.

Seorang lagi pesakit HIV, Mashud Jamil, 35, (bukan nama sebenar), berkata, dianggarkan beribu-ribu pesakit HIV muslim bakal kehilangan pedoman jika mereka tidak dikeluarkan segera dari rumah perlindungan Katolik berkenaan.

"Rumah perlindungan Katolik berkenaan sangat prihatin dengan nasib pesakit HIV yang tiada keluarga dan merempat di kaki lima dengan menyediakan rumah perlindungan, makan minum dan ubat-ubatan.

"Namun, apa yang menimbulkan rasa kurang selesa bagi pesakit muslim ialah tiada pengisian agama dan kami tidak bebas untuk melakukan ibadah seperti bersolat dan mengaji," katanya yang pernah tinggal di rumah perlindungan Katolik di Melaka beberapa tahun lalu.

Jelas Mashud, kebanyakan rumah perlindungan ini tidak memaksa mereka untuk menukar agama tetapi jika pesakit dalam keadaan nazak, pihak pengurusan akan berdampingan dengan pesakit sehingga akhir hayatnya.

Bagi Mashud, itu adalah fasa yang menggerunkan kerana walau seteruk mana pun perjalanan hidupnya, dia masih mahu mati sebagai seorang Islam.

Selamatkan akidah mereka – Juhaidi

MENURUT Yang Dipertua, Rumah Perlindungan Baitul Fiqh, Juhaidi Yean Abdullah, di sekitar Lembah Klang sahaja, terdapat kira-kira 3,000 penghidap HIV yang dilaporkan masih aktif mendapatkan rawatan dan menjalani pemeriksaan bulanan di Hospital Sungai Buloh, Selangor.

“Saya percaya 65 peratus daripadanya ialah pesakit muslim. Pada masa ini mereka ditempatkan di rumah perlindungan Katolik memandangkan pertubuhan itu saja yang sanggup menerima dan menguruskan pesakit-pesakit ini.


JUHAIDI


“Apa yang membimbangkan ialah pengurusan dan pengisian di sana. Menurut penghuni sendiri, ada sesetengah rumah perlindungan memaksa mereka menukar agama jika mahu terus tinggal di situ,” katanya.

Tambah Juhaidi, memang wujud kes jenazah pesakit muslim yang tidak dituntut diuruskan pihak gereja mengikut cara Kristian.

“Ketiadaan rumah perlindungan untuk golongan itu bukan perkara remeh. Ia melibatkan soal agama dan kesihatan.

“Saya gesa pihak berkuasa seperti majlis agama Islam segera bertindak,” katanya.

Setakat ini, Baitul Fiqh menempatkan lapan penghidap HIV muslim. Bagaimanapun tiga daripada mereka telah meninggal dunia.

Wednesday, April 08, 2009

Belasungkawa Nasir Salleh Syafie

saya dan pakcik ketika majlis walimah abang

Saya terima panggilan daripada abang saya ketika di dalam kelas. Sedang mendengar tazkirah daripada Ustaz Zul tentang hadis berkenaan dengan amal kebaikan. Matan hadis berkaitan dengan suruhan Rasulullah s.a.w yang menyuruh agar bersegera membuat kebaikan. Panggilan daripada abang memerlukan saya keluar dari kelas. Suara abang kedengaran sedih. Seakan menahan sebak. Dikhabarnya pakcik saya yang merupakan satu-satunya adik ibu meninggal dunia. Saya tergamam. Istighfar kerana kejutan yang melanda. Innalillah, sedar bahawa setiap yang hidup pasti akan mati. Kembali masuk ke kelas, air mata saya bergenang. Ustaz Zul masih meneruskan pengajaran. Saya terperosok di kerusi. Rasa terhenyak dan bayangan pakcik muncul satu demi satu.

Hj Nasir begitu panggilan orang kepadanya. Anak jati Kedah yang banyak mendorong saya untuk meneruskan pengajian peringkat sarjana. Pakcik saya sedang menyambung belajar peringkat ijazah sarjana muda. Katanya mahu seperti saya suatu hari nanti, menyambung belajar ke peringkat lebih tinggi.

Tak ramai yang tinggi dalam keluarga saya. Dalam adik beradik ibu, cuma pakcik seorang yang tinggi. Anak-anak maklong, cuma sepupu lelaki saya seorang yang tinggi dan anak-anak ibu, cuma saya seorang yang tinggi. Mungkin kerana faktor ini, pakcik gemar bergambar bersama saya. Pakcik juga punya kecenderungan yang hampir sama dengan saya. Gemar membaca, hobi kami yang amat nyata. Bezanya, hobi pakcik tak disukai nenek. Membazir katanya. Sedangkan hobi saya amat disokong ibu.

Saya tak punya banyak kisah dengan pakcik walaupun saya cucu perempuan sulung. Tapi kehadiran pakcik sangat mengesankan hidup saya terutamanya setelah saya menginjak dewasa. Pakcik turut hadir ketika konvokesyen saya. Pakcik juga turut mempengaruhi ibu agar mengizinkan saya menyambung belajar saat orang lain memperkecilkan hasrat saya.

Alhamdulillah pagi tadi, sekitar jam 11 jasad pakcik telahpun disemadikan. Di tanah perkuburan, ada suara yang menyatakan wajah saya seiras dengan wajah pakcik. Ada juga yang bertanya dengan siapa akan nenek saya menetap kerana sebelum ini pakcik yang menemani nenek di kampung. Saya bulatkan hati. Nekad meluah rasa pada ibu. Biar saya yang menemani nenek. Jarak perjalanan 2 jam antara USM dengan Kota Setar bukan penghalang. Lokasi kajian saya bakal diubah daripada Wilayah Persekutuan kepada Kedah. Nanti bakal saya usulkan pada penyelia dan guru saya.

Berada di tanah perkuburan dan melihat nenek saya yang lesu terduduk di tangga masjid sambil memerhati dari jauh pengebumian pakcik buat saya terfikir. Saya juga tidak sesihat mana. Akankah saya pergi dulu sebelum ibu saya? Akankah saya punya kesempatan menjaga dan membalas jasa ibu? Akankah sempat saya menjengah usia tua dalam hidup? Kerana maut tak mengenal usia. Pakcik baru 47 tahun. Masih muda belia untuk seorang lelaki.

Untuk pakcik, Yasin dan Al-Fatihah saja yang mampu saya hadiahkan. Doa saya agar Allah terima roh dan jasad pakcik sama seperti mukmin yang dicintaiNya. Saya dan adik beradik saya serta sepupu yang cuma tiga orang akan sentiasa berharap agar doa kami diterima Allah kerana kami anak pakcik.

Saya tak yakin ada sesiapa yang mengenali pakcik di sini. Tapi andai ada yang tersesat membaca entri ini dan ditakdirkan Allah mengenali diri pakcik, saya mahu mohon maaf andai pakcik ada berbuat salah atau silap. Sebagai manusia biasa tentunya tidak terlepas dari dosa.

Md. Nasir bin Salleh
Bekas kakitangan MIDA, Kuala Lumpur
Batu 9 1/2, Kota Sarang Semut, Kedah