Seumur hidup saya, saya tidak pernah dapat anugerah terbaik. Pencapaian paling cemerlang pernah saya dapat masa di taski, ketika umur 5 tahun. Saya dapat nombor 2.
Saya pelajar dengan akademik yang sederhana. Tidak pernah dapat anugerah pelajar cemerlang, pelajar berdisiplin, kehadiran penuh atau pun anugerah nilam yang sekolah beri pada pelajar yang baca banyak buku. Ya saya pelajar yang sangat sederhana. Tidak genius untuk cemerlang dalam akademik tanpa belajar dan tidak pula rajin belajar untuk pastikan saya menjadi pelajar cemerlang. Bak kata lagu dangdut, yang sedang-sedang saja.
Guru-guru jarang mengingati saya. Saya pasif di dalam kelas dan jarang sekali mahu bermanja dengan guru. Tapi pernah juga dipanggil Guru Penolong Kanan. Pertama waktu darjah 6 sebab terlupa menyiapkan kerja rumah Bahasa Melayu. Kedua semasa tingkatan 4 sebab rakan sekelas saya memanjat pagar ponteng sekolah. Waktu itu saya ketua kelas jadi terpaksa menjawab bagi pihak kawan-kawan yang terlebih bijak itu. Mujur juga mereka tidak membelasah saya macam ketua kelas sebuah sekolah di Penang ini. Tak tahu lah bagaimana mahu melawan pelajar lelaki dengan saiz badan saya yang meniang ini.
Secara mudahnya, saya memang tak pernah dapat anugerah. Tak pernah jadi yang terbaik jauh sekali jadi nombor 1. Tapi hari ini universiti bagi saya anugerah cemerlang. Bila dapat tau, saya tanya staff, kenapa saya dapat? Dia ketawa sambil ucap tahniah. Saya yakin Allah nak ajar saya sesuatu. Saya dapat bukan sebab saya cemerlang tapi kerana saya perlu belajar sesuatu daripada anugerah ini. Bukan sebab diri saya sendiri saya dapat anugerah. Sebab, saya masih pelajar yang sederhana. Serba-serbi sederhana.
Anugerah yang saya dapat ini saya dedikasikan untuk 3 manusia yang sangat berjasa sepanjang perjalanan saya mencari ilmu. Malah sepanjang kehidupan saya. 1. Guru saya Prof. Dr. Muhammad Syukri Salleh. 2. Ayah saya, Wan Hasan Wan Zakaria 3. Ibu saya, Zaiton Salleh.
Waktu saya naik ke pentas, saya terbayang-bayang wajah ibu saya yang tersenyum waktu saya mendapat biasiswa untuk menyambung belajar. Ibu saya seronok sekali sebab anaknya ini memang tidak pernah mendapat biasiswa seumur hidup. Maklumlah, biasiswa kan untuk pelajar-pelajar pandai. Saya juga terbayang wajah guru saya yang bertanya bagaimana saya boleh mendapat biasiswa sedangkan saya tak pernah mendapat anugerah apapun. Bila saya angkat bahu sambil kata tak tahu, beliau senyum sambil kata "rezeki". Saya ternampak wajah ayah saya yang selalu senyum setiap kali melawat saya di Penang.
Betul, anugerah ini bukan untuk saya. Tetapi untuk tiga manusia paling berjasa dalam hidup saya. Segala puji hanya bagi Allah. Alhamdulillah, saya berpeluang menerima anugerah bagi pihak mereka.
Saya.. masih gadis biasa-biasa. Masih sederhana. Walaupun anugerah sudah di tangan, perjalanan masih belum selesai. Masih banyak bab belum bertulis. Masih banyak dugaan yang perlu ditempuh. Berkali-kali terasa mahu putus asa tapi bak kata Angel Pakai Gucci,
"Jangan sesekali berputus-asa dengan diri sendiri, kerana Allah pun tidak pernah berputus-asa dengan diri kita."
Jadi saya terus kan juga walau kadang-kadang nak berdiri pun terasa lemah. Tapi hidup kita ini kan ada pemiliknya. InsyaAllah, saya ingin terus berjalan sampai nanti Pemilik saya panggil untuk menghadapNya.
Alhamdulillah, terima kasih Allah.
ps: terima kasih buat semua yang sudi hadir meraikan. terima kasih juga buat yang memberi ucapan tahniah. terima kasih semua!
