Monday, August 31, 2009

Kehilangan

Dalam hidup, kita tak terlepas daripada menghadapi kehilangan. Lumrah kehidupan, hari ini ia ada dan esok ia hilang. Terlepas dari genggaman. Allah ada berfirman dalam Surah al-Asr yang bermaksud 'Demi masa, sesungguhnya manusia berada dalam kerugian. Kecuali mereka yang berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran.' Begitulah aturan dalam kehidupan. Pesan Rasulullah supaya kita sentiasa ingat akan 5 perkara sebelum hadirnya 5 perkara lain yang barangkali tidak kita sukai.
sihat sebelum sakit
muda sebelum tua
kaya sebelum miskin
lapang sebelum sempit
hidup sebelum mati

5 nikmat yang hilang ini bukan hanya mendatangkan gundah kepada diri sendiri tetapi juga kepada mereka yang berada di sekeliling kita, mereka yang mengasihi kita dan bergantung kepada kita. Mati, satu kepastian, satu janji Allah kepada setiap makhluk ciptaannya. Hari ini Dia berikan kita nyawa, bernafas dan menikmati segala rahmat pemberianNya dan tiba-tiba sesaat kemudian, rebah jatuh ke bumi tika Izrail yang sentiasa menjenguk kita setiap saat diperintahkan untuk mengambil nyawa kita. Saat terkeluarnya roh daripada jasad, bukan kita saja merasa sedih, sesal dan gundah memikirkan nasib sendiri. Tetapi juga mereka yang kita tinggalkan.


Sebagai yang meninggalkan, roh menghadapi kebimbangan memikirkan cukupkah amalan yang ada untuk dibawa bekal menghadapi barzakh dan hari pembalasan. Sedangkan mereka yang mengasihi yang bergantung harap pada arwah menangisi memikirkan pada siapakah pula akan harapan perlu digantungkan? Jika seorang bapa yang merupakan ketua keluarga meninggalkan isteri dan anak-anak, siapa pula yang perlu menggalas tugas bapa? Anak yang telah dewasa? Ibu? Kaum keluarga yang lain?

Kehilangan tidak pernah diminta untuk berlaku oleh seorang manusia yang waras. Tapi kehilangan dalam kehidupan itu sesuatu janji yang pasti. Sebagai manusia, meski dalam kehilangan ingatlah bahawa suatu ketika nanti kita juga akan menjadi sebahagian daripada kehilangan itu. Apakah bekalan untuk dibawa telah cukup? Atau kita sebahagian daripada manusia yang rugi?

Menghadapi kehilangan khususnya insan-insan yang dekat dengan hati kita, tempat kita bergantung dan berharap bukan perkara mudah. Pemergian mereka kepada janji Allah tentu sekali membawa perubahan drastik dalam kehidupan kita yang masih tinggal. Tapi qada' dan qadar yang telah Allah tetapkan harus kita terima sebaik mungkin. Dunia cuma pentas kehidupan, sebagai pelantar untuk hari kemudian yang kekal. Terimalah kehilangan orang-orang tersayang dengan penuh lapang dada kerana pasti ada rahsia dalam setiap takdir Allah. Kerja Tuhan siapa tahu?

ps: Al-Fatihah buat Arwah Pakcik, Arwah En Hazis (bapa Aryn), Arwah Hj Musa (bapa Nadia) dan Arwah En Taha Hsni (bapa Emy). Semoga Allah sentiasa mengasihi dan berbelas kasihan pada roh mereka.
Terpandang seorang rijal, wajahnya mengingatkan pada arwah pakcik dan memutikkan air di tubir mata.

Thursday, August 27, 2009

Euphoria Musim Hujan

Ramadhan 1 - hujan
Ramadhan 2 - hujan lagi
Wanneeza + kolam ikan kotor + hujan lebat tak seriat = main hujan!

Sebulan saya tidak pulang menjenguk nenek. Cuma menghubungi dengan Sony Ericson saja. Jumaat lalu saya nekad meredah jam di jambatan Pulau Pinang yang merebak hingga ke Sg Dua Seberang Perai. Perjalanan yang biasanya cuma 1 jam 30 minit menjadi hampir 3 jam. Takpe takpe. Nak puasa dengan nenek la katakan.

1 Ramadhan. Hujan dari pagi membawa ke petang. Dingin dan nyaman membuahkan kantuk yang bermaharajalela. Menjadi kurang produktif. Asyik berhibernasi. Aish...makruh puasa.

2 Ramadhan. Sekitar 10 pagi. Hujan dari semalam cuma berhenti seketika. Memandangkan kolam ikan arwah pakcik tak pernah dicuci sejak pakcik meninggal lebih 3 bulan lalu, air kolam bewarna kehijauan begitu menggoda saya. Minta izin pada nenek, buka penyumbat kolam dan.... basuh!

Petua basuh kolam ikan. Tunggu hari hujan lebat. Fungsinya, selesai dibasuh kolam mesti diisi semula dengan air hujan. Air paip pun boleh tapi perlu dirawat dulu. Almaklum, air paip ada klorin. Unsur Cl ni memang menjernihkan air tapi boleh buat ikan mati keracunan. ok, kampung saya tak ada penapis air.

Petua main hujan ketika puasa. Pakai tudung jangan bagi air masuk telinga. Jangan dongak atas. Dan yang penting, jangan sengaja nak pi tadah mulut menganga menghadap langit. Sengaja nak batal puasa la namanya tu. Dan, kalau hujan cuma renyai-renyai jangan main ya adik-adik. Nanti demam.

Kali terakhir saya main hujan waktu di tingkatan 1. Antara geng main hujan iailah Cik Efie dan Cik Nadia. Tapi sebenarnya bukan hujan sangatpun. Pulang dari sekolah petang kalau hujan, biasanya kami redah juga. Rumah pun bukan jauh sangat dari sekolah. Payung? Tak macholah! Paling seronok kalau hari Jumaat sebab kasut confirm akan kotor. Pantang ada lopak air, mesti dengan sengaja menghentakkan kaki sampai air terpercik. Sampai rumah, habis lencun. Siap kotor dengan lecah lagi.

Tapi tu dulu. Zaman kanak-kanak riang. Hehehehe.

Friday, August 21, 2009

Marhaban ya Ramadhan


Assalamu'alaikum semua!
Semoga sentiasa bersemangat menyambut kehadiran hari baru, hari penuh berkah di bulan penuh keberkahan. Jom kita sama-sama menyambut bulan kemuliaan ini dengan kemeriahan tarawih...lagi indah kalau disertai dengan ibadah-ibadah malam dan sunat yang lain (wah! pandai cakap ni! buatnye tidak hehehe). Apapun, saya nak ambil kesempatan ini untuk mohon ampun, maaf atas segala dosa sesama manusia yang barangkali saya lakukan sama ada secara sengaja atau tidak, secara sedar atau tidak. Sebagai manusia biasa, hamba yang hina ini amat berharap agar salah dan silap dapatlah kiranya dimaafkan. Adapun bagi mereka yang rasa-rasa bersalah pada saya, insyaAllah, semuanya telahpun di-forgive and forget-kan (ahaks..maaf DBP).

Ha..puasa tau, jangan tak puasa! Semoga Ramadhan dapat dijadikan madrasah untuk merawat jiwa dan hati. Nanti kembali pada Syawal dengan fitrah yang lebih baik. InsyaAllah, sama-sama kita jadikan bulan ini sebagai bulan detox - menyingkirkan segala toksin kekotoran fizikal dan rohani.

Kepada Allah juga kita memohon.

Selamat Berpuasa!

Thursday, August 20, 2009

Dan Saya Seorang Ustazah

Alhamdulillah, debaran membentangkan kertas kerja telahpun berlalu usai tamatnya International Graduates Workshop (INGRAW 09) petang semalam. Syukur, Allah beri peluang untuk saya peroleh bermacam-macam ilmu. Tahniah buat INGRAW's committee yang telah bertungkus-lumus melaksanakannya sehabis baik. Tahniah buat Dr Fadzilla Azni (Kak Sue) dan teamnya.

Sepanjang dua hari seminar ini berlangsung, saya menempuhi pelbagai pengalaman baru. Buat pertama kalinya saya menjejakkan kaki ke Dewan Persidangan Universiti, walaupun ini tahun kelima saya di USM. Syukur, Allah beri peluang ini sebelum saya menamatkan pelajaran di sini. Ini juga pengalaman pertama saya membentangkan kertas kerja. Dulu, waktu di Medan saya cuma tukang tekan key laptop untuk menukar slide. Almaklum, cuma co-writer. Tapi kali ini dapat merasa membentangkan kertas kerja. Walaupun saya rasa pembentangan tu agak teruk, tapi boleh lah~ inikan pengalaman pertama. InsyaAllah, pada masa-masa akan datang kita improvelah lagi.

Pada hari kedua seminar berlangsung, saya cuma menjadi peserta dan menadah telinga sekaligus berusaha membuka akal dan hati untuk menerima segala input yang baik-baik daripada para pembentang dan pengulas. Namun, hati dan akal saya tersentuh pada saat-saat akhir sesi pembentangan terakhir. Usai pembentangan daripada para pembentang, pengulas yang terdiri daripada pensyarah akan mengulas setiap kertas kerja. Dan kemudiannya diikuti dengan sesi soal jawab.

Seorang pelajar PhD bertanya kepada pengulas mengenai kemestian untuk menggunakan bahan dari sumber asal berbahasa arab. Pengulas menjawab bahawa memandang yang ingin dikaji itu adalah mengenai Islam, maka amat penting/wajib untuk menggunakan teks asal berbahasa Arab sebagai rujukan. Seorang wanita lain bersetuju dengan pendapat pengulas tadi. Beliau lantas mengatakan bahawa beliau adalah seorang ustazah. Dan sebagai ustazah, beliau berharap agar kajian mengenai Islam perlulah bersandarkan kepada sumber-sumber yang sahih. Sebenarnya, perkara ini juga ada dibincangkan dalam pembentang rakan sekelas saya pada hari pertama. Tapi waktu itu, saya tidak begitu terkesan dengan isu ini. Barangkali kerana saya turut terlibat sebagai moderator pembentangan tersebut. Faham-faham saja, bila duduk di depan walaupun tak membentang, tetap merasa nervous. Dan bila dah nervous, fikiran pun kurang cekap menangkap segala maklumat.

Ada dua perkara yang menyentuh hati saya mengenai komen ustazah tadi. Yang pertama, kata-katanya..'Saya seorang ustazah'. Kerja Tuhan siapa tahu? Pagi itu sebenarnya pensyarah saya yang berpangkat Doktor memberi ucaptama. Ketika memperkenalkan diri, beliau menyatakan bahawa beliau senang untuk memperkenalkan dirinya dengan nama beliau sendiri tanpa gelaran Doktor. Dan saat mendengar kata-kata ustazah itu, terus teringat pada para pensyarah saya. Sejak bergelar pelajar undergraduate lagi, tidak pernah seorangpun pensyarah saya memperkenalkan diri mereka sebagai Dr, Prof, Prof Madya atau apa saja. Malah, ada pensyarah yang sehingga kini membahasakan dirinya kakak. Saat itu saya merasakan, bertuahnya saya dikelilingi manusia-manusia hebat, punya ilmu punya pangkat. Tapi penuh dengan kerendahan hati.

Perkara kedua, saya tersentuh dengan kemestian merujuk teks arab. Terasa ke'rigid'an pengajian Islam. Saya tahu dan saya faham bahawa keperluan ini adalah bagi memelihara ketulenan sumber maklumat untuk sesuatu kajian. Yelah, mana tahu, esok-esok ada pula yang membaca hasil kajian kita. Dan jika maklumat yang dimuatkan dalam penulisan tersebut salah, atau tidak tepat, tentunya kita telah melakukan fitnah. Tapi perlu juga diketahui bahawa bukan semua orang boleh berbahasa Arab. Apatah lagi memahami dan menganalisis teksnya. Bagi saya sendiri, kalau kita terhadkan untuk mengkaji mengenai Islam harus/mesti/wajib/compulsory tahu bahasa Arab, alamatnya bagi orang-orang tanpa asas pengajian Islam seperti saya tentulah tidak berpeluang untuk mendekati ilmu Pengajian Islam. Syukur, Allah temukan saya dengan guru saya. Menemui jalan untuk belajar dan mengkaji tentang Islam di luar Pengajian Islam. Bak kata Prof Roshada yang dulu pernah mengajar subjek Biochem ketika saya di tahun 1 dalam ucapan penutupnya untuk INGRAW ini, para saintis juga ingin menerapkan nilai Islam dalam kerja dan kajian, cuma tidak tahu bagaimana. Terima kasih buat ISDEV kerana membuka satu peluang baru untuk manusia-manusia seperti saya yang harus bermula daripada zero untuk mengenali Islam dalam satu perspektif di luar lingkungan Pengajian Islam.

Buat mereka di Pengajian Islam, saya tidak sedikitpun mahu mengkritik kalian. Malah saya sentiasa salute dan hormat dengan segala ilmu yang kalian miliki (dan secebis rasa cemburu, berfikir alangkah bestnya jika punya pengetahuan seperti kalian). Dan dengan rasa hormat itulah saya amat berharap agar ilmu dapat kita kongsikan moga dapat dimanfaatkan oleh ummah. Kita sama-sama mengaku Islam. Tapi Islam bukan cuma pada kitab-kitab Arab mahupun kitab-kitab kuning. Apatah lagi di dalam mykad. Islam adalah ad-deen, yang menurut kalian, bermaksud sebagai way of life. Jadi kalau Islam itu satu cara hidup, tentunya tak salah kan kalau manusia-manusia yang cuma bersekolah fardhu ain sampai darjah 5 seperti saya juga ingin mendalaminya. Bak kata orang-orang tua kita,
Buah campedak diluar pagar
Ambil galah tolong jolokkan
Saya budak baru belajar
Kalau salah tolong tunjukkan

Dan daripada saya,
Kelip-kelip kusangka api
Kalau api mana sumbunya
Ilmu Allah tiada tepi
Sezarah cuma di dalam dada

ps: no offense ;]

Monday, August 17, 2009

H1N1


• Pesakit mesti amalkan adab batuk yang betul. Gunakan tisu atau sapu tangan apabila batuk atau bersin. Cuci tangan dengan sabun dan air atau bahan cuci tangan berasaskan alkohol. Buang semua tisu yang digunakan ke dalam tong sampah.

2. Jaga kebersihan diri
Pesakit dan semua ahli keluarga mesti mengambil langkah-langkah berikut:
• Kerap mencuci tangan dengan sabun atau air atau baham cuci tangan berasaskan alkohol.
• Keringkan tangan dengan tisu atau tuala yang berasingan untuk setiap ahli keluarga.
• Cuci peralatan yang biasa digunakan dan permukaan-permukaan yang kerap disentuh dengan menggunakan bahan pencuci yang biasa terdapat di rumah.

3. Jangan kongsi peralatan peribadi
• Jangan berkongsi peralatan peribadi.Peralatan seperti pinggan-mangkuk dan kain seperti tuala, cadar dan selimut tidak boleh dikongsi oleh ahli keluarga pesakit. Semua barangan ini perlu dicuci dengan sabun dan air.

4.Menjarakan diri
• Pesakit dinasihatkan supaya tidak meninggalkan rumah sehingga mereka sembuh, lazimnya selama 7 hari.
• Pesakit seboleh-bolehnya diminta tinggalkan di bilik berasingan.
• Ahli keluarga, khususnya yang cenderung mendapat komplikasi (khususnya ibu hamil) seboleh-bolehnya hendaklah menjarakkan diri daripada pesakit (sekurang-kurangnya satu meter) untuk menggelakkan jangkitan.
• Sekiranya pesakit keluar rumah (contohnya mendapat rawatan) beliau hendaklah memakai penutup mulut dan hidung (mask), mengamalkan adab batuk yang baik dan kerap memcuci tangan.

Panduan menilai tahap kesihatan diri di rumah
Secara umumnya demam selsema boleh sembuh dengan sendiri. Namun begitu, anda perlu SEGERA mendapatkan rawatan di hospital jika demam serta batuk atau sakit tekak, DAN mempunyai sekuarang-kurangnya satu gejala berikut:

1. Sukar benafas.
2. Batuk berdarah atau kahak berdarah.
3. Sakit dada berterusan.
4. Kerap cirit birit atau muntah yang kerap, atau kedua-duanya.
5. Demam berterusan melebihi 3 hari ataupun demam berualang selepas 3 hari pulih.
6. Berkelakuan ganjil, celaru, kurang responsive kepada rangsangan, sawan.
7. Penig bila berdiri.
8. Kurang kencing.

sumber: iluvislam

Thursday, August 13, 2009

Monologue

+ Wan...Wan Haniza! Bangun!
- Apa? Jangan kacau boleh tak?
+ Takde takde...dah..cukup tu. Kau mesti bangun. Mesti! Compulsory!
- Yang kau tiba-tiba datang nak bising-bising ni apahal? Hilang macam tu je. Sekali datang buat kecoh pulak.
+ Eh..salah aku pulak. Kau! Kau yang kawal aku. Dalam hati, dalam otak. Mentang-mentang lah dah ramai kawan. Kiri kanan ada kawan. Alter ego sendiri pun kau tak endah. Tu belum check hubungan kau dengan Allah lagi.
- Salah aku ke?
+ Dah tu? Salah kambing Pak Ngah?
- Huh. Sarcastic!
+ Well, you know me~

- Ah sudah sudah. Kau nak apa? Lama menghilang. Pergi mana?
+ Aku ada. Saje senyapkan diri. Nak tengok berapa lama kau boleh bertahan dengan rasa down dan depress tu.
- Hellow~ you're supposed to cheer me up! Boleh pulak sindir sindir aku.
+ Young lady, you really should to be fully awake. Memang dulu aku selalu cheer kan kau bila kau down. Tapi tu dulu. Masa kau tinggalkan hati kau dalam gua. Gelap zulumat. Sekarang kau dah ada cahaya.
- Maksud kau?
+ Kau ingat lagi masa first time kau numb macam ni?
- Hm...masa form 3 exam PMR.
+ Tau pun. Tapi still OK kan result kau?
- Yup. Takde la flying colours tapi bleh la takat nak terkejutkan cikgu-cikgu masa lama.
+ See? Kau ni niat tak betul la! Ada plak nak tayang result sebab dendam kat cikgu?
- Tak..tak.. aku dah tak dendam. Apapun yang diorang buat, diorang tetap guru aku. Aku sayang dan hormatkan diorang. Lagipun masa tu aku yang menggatal nak rebel tak tentu hala.
+ Tau takpe. Masa kau benci sangat dengan adults, kau gaduh dengan siblings, dengan mama, dengan abah, apa yang kau buat?
- Aku ambik pisau.
+ Then?
- Ah! Kau tau apa aku buat. Jangan tanya!

+ Aku just nak kau fikir. Fikir betul-betul. Semua benda bodoh kau buat sebelum hit puberty sampailah kau dah lepas tahap adolescent. Bodoh tahap petala kelapan pun, kau mesti bangkit lepas tu. Tu masa zaman gelap kau!
- So?
+ So, sekarang ni apasal kau jadi macam ni?
- Maksud kau?
+ Kau bukan lagi budak sekolah yang suka-suka ponteng kelas, lepak kat surau semata-mata sebab tak suka cikgu maths, duduk dalam bilik PBSM sebab menyampah dengan cikgu PJK. Kau tak bergaduh dengan mama abah dah. Dengan adik-adik pun kau boleh bergurau mesra. Kau bukan rebellious girl lagi dah. Kau dah besar. Sangat! Dah masuk tahap dewasa. Tapi apasal kau murung macam ni lagi?
- Aku tak tau. Kau la. Kau pergi. Senyap. Kau tinggalkan aku terkontang-kanting sorang-sorang kat sini.
+ Aik? Bukan kau ke yang suruh aku pergi? Kau taknak orang tau kau ada alter ego. Kau taknak orang tau yang kau tak reti bersosial sampai kena bercakap dengan alter ego sendiri.
- Ah~
+ Tengok. Bila aku cakap benda sebenar kau nak lari. Terima hakikat la weh. Kau memang berubah dari gelap kepada cerah. Daripada buat ikut suka kepada buat berlandaskan Syarak. Tapi ada tak kau nilai balik niat kau? Perjuangan kau?
- (senyap)

+ Dulu kau pekakkan telinga bila orang persoalkan keputusan kau sambung belajar. Kau tabahkan hati. Buat segala macam kerja part time. Sampai sakit-sakit. Sampai demam panas. Tapi kau gagahkan jugak diri untuk belajar. Kenapa?
- Aku tak boleh cakap. Aku nak jaga niat tu.
+ Dah tu? Sekarang bila kau dah dapat semua, niat kau dah berubah?
- Aku...
+ Make it simple Wan Haniza. Aku rasa kau ni dah hanyut dengan semua nikmat yang Allah bagi. Dulu Dia bagi kau sikit, kau hargai semuanya. Kau ingat lagi kau berjuang macam orang insomnia dalam lab dulu? Non stop working every Wednesday from dawn till midnight. C. necator kau tak mau hidup, kau nangis, kau mintak Allah hidupkan dia. Tapi kau tak putus asa. Kau jenguk jugak lab tu tiap-tiap malam. Kau tertidur sebelah GC, hidu chlorofoam dan segala menatang chemicals. Tapi kau still bangun untuk teruskan hidup di siang hari.
- (senyap lagi)

+ Sekarang kau dah ada semua. Kau masuk bidang yang kau rasa sesuai dengan jiwa kau. Bapak kau dah bagi restu. Elaun kau dah tak putus. Scoot ego tu siap upgrade jadi MyVi lagi tau! Apa lagi yang kau nak?
- Aku nak semangat yang dulu.
+ Semangat tu ada. Ada dalam diri kau. Hish...berapa lama kau tak muhasabah ni?
- Ntah. Sejak kau pergi kot.
+ Semangat tu bukan untuk dicari. Kau kena develop sendiri. Mana energy dulu? Aku tau, masa sekolah dulu kau alihkan tenaga marah untuk jadi motivasi. Masa bachelor ko guna tenaga racist pulak sebab diorang semua agama lain. Masa Sem 1 dulu kau kata kau nak ambik semangat jihad fi sabilillah. Apa jadi?
- Ntah.
+ Isk budak ni. Aku ketuk jugak kang kepala kau. Cakap macam tak mau hidup. Layu! Lunyai! Macam cadaver dah aku tengok.
- (angkat kening. senyap lagi)

+ Sudah-sudah lah Wan... Bangkit la dari lena kau. Aku tau kau bukan nyenyak sangat pun. Aku tau jiwa kau kacau. Tapi fikir balik. Allah dah bagi hampir semua yang kau nak. Dia tak pernah tolak permintaan kau. Satu, satu kau dapat. Semua nikmat tu, takkan kau nak sia-siakan macam tu je? Kau nak jadi kufur? Kau nak jadi hamba yang tahu bersyukur? Frankly speaking, I prefer the older you. Walaupun masa tu hidup kau huru-hara dengan segala macam ideologi kamikaze tentera Jepun, sekurang-kurangnya lepas kau tewas kau sujud pada Yang Maha Memiliki. Tapi sekarang ni, orang sekeliling mungkin nampak peribadi kau improve. Tapi bagi aku kau dah jauh. Jauh dari bumi. Jauh dari perjuangan yang kau kobarkan dulu. Dengan Allah jangan cakaplah. Aku rasa memang dah cukup jauh. Kenapa niza? Kenapa kau jadi macam ni wahai manusia bernama Wan Norhaniza?

- Aku... aku pun rindu aku yang dulu. Aku pun rindu pada semangat juang dulu. Kau ingat aku nak jadi macam ni? Kau ingat aku suka hilang haluan macam ni? Kau ingat seronok ke rasa kosong, numb, null, hampa, sifar macam ni? walau sebesar elektron sekalipun aku tak mau ada rasa macam ni kau tau tak? Kau tau berleter je kat aku. Ada kau datang tolong aku? We've never speak to each other like forever! And now you come from nowhere, nagging with all the kisah lama, nak marah-marah aku pulak?!
+ Aku bukan nak marah kau. Kau pun tau aku datang tak lain tak bukan nak keluarkan kau dari gua tak berpintu yang kau bina ni.
Wan Haniza, kau ingat balik. Pandang sekeliling kau. Besarnya nikmat yang Allah bagi. Kau tak nak jadi manusia yang tak tau bersyukur kan? Pandang dengan pandangan hikmah. Always read between the lines. Kau tau semua tu kan. Kau dah develop your own cognitif thinking sejak kecik lagi. Ingat kalau dulu matlamat kau cuma jangka pendek, sekarang kau mengejar mardhatillah. Jangan mimpi kau boleh dapat dengan mudah. Mengharap senang dalam berjuang kan bagai menanti rembulan di tengah siang. Memang bulan tu ada waktu siang. Tapi kau takkan nampak kecuali bila dia datang menghalang cahaya matahari dalam gerhananya. Dan sekarang ni, hidup kau dah mcam gerhana. Gelap. Kalau terus terusan gelap macam ni, bilanya kau nak berjuang? Bilanya kau nak penuhi niat yang kau buat?
Sudah-sudah lah Wan Haniza. Buka mata luas-luas. Kau ada keluarga yang sedaya upaya membantu. Kau ada guru-guru yang luar biasa baiknya. Kau ada segala macam kesenangan duniawi. Allah bantu kau lagi. Tak perlu banyak protokol, kau dapat semua maklumat untuk disertasi kau.
Bumi Allah yang kau jejak tak bergolak. Tenang, damai. Kau tak perlu risau dibedil senapang Zionis atau perang saudara. Kau tak perlu fikir tentang digilis kereta kebal.
Kau tak ada semua jenis gangguan. Satu-satunya gangguan kau ialah nafsu kau sendiri. Tak kan itu pun tak boleh bendung?
Bangunlah Wan Haniza. Kau kan nak jadi sebijak A'isyah, setabah Khadijah dan segagah Fatimah.
Bangun ye.

Tuesday, August 04, 2009

Antara Hitam dan Putih

Allah menciptakan dunia penuh warna. Dan di antara warna itu ada warna-warna lain. Katakan putih. Ada putih kuning. Ada putih biru. Ada putih kusam. Saat melihat putih, adakah benar ia putih?

Dalam meniti kehidupan, tak terhitung tona warna yang menguliti perjalanan seorang musafir di bumi Allah. Firman Allah yang bermaksud “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan perbezaan malam dan siang adalah ayat (tanda) kepada orang yang mempunyai fikiran.” (Ali-Imran: 190).

Begitu diciptakan oleh Allah setiap satu perkara. Walau sekecil zarah. Disebaliknya pasti ada hikmah yang barangkali tak tercapai dek akal manusia biasa. Apatah lagi jika kita tidak mahu berfikir.


Menonton filem Perempuan Berkalung Sorban (PBS), membuatkan saya teringat tentang diri sendiri suatu ketika dulu. Saya tidak ubah seperti Annisa di waktu kecil. Tapi tentunya saya tidak membesar di pesantren dan diajar ketat dengan ajaran Islam. Keluarga saya biasa-biasa saja. Cuma saya sangat gemar mempertikaikan kedudukan perempuan di dapur. Terutamanya jika diminta ibu untuk membantu. Dan pada waktu yang sama abang saya sedang bersenang-senang di hadapan televisyen. Itu cuma waktu dulu. Waktu saya menganggap adil sebagai sama rata. Hakikatnya, adil itu meletakkan pada tempatnya. Dan kini saya tahu, jika saya perlu membantu di dapur, abang pula perlu membantu di halaman. Cukup seimbang. Annisa dalam PBS sejak kecil dikongkong dalam satu budaya sempit yang dikatakan sebagai 'Islam'. Dihalang menunggang kuda dan apabila menginjak remaja disekat untuk melanjutkan pelajaran atas alasan tiada muhrim. Mengundang fitnah. Begitu kata abinya. Sesuai dengan status Annisa sebagai anak kiyai, beliau dinikahkan dengan anak kiyai yang kaya dan sering menabur wang kepada pesantren milik bapa Annisa. Sejak itu kesengsaraan hidup Annisa semakin menggunung. "Allah cuma tolong orang laki-laki" kata-kata ini diungkapkan Annisa ketika masih kecil. Kata-kata yang diungkapkan kepada teman masa kecilnya yang bernama Lek.

Kesengsaraan hidup dengan suami yang kurang sifat manusiawi membawa Annisa pulang ke pesantrennya. Bertemu kembali dengan Lek dan kemudian ditangkap oleh suaminya sendiri dan dituduh berzina. Annisa dijatuhkan talak. Peristiwa ini mengganggu kesihatan bapa Annisa yang telah sedia uzur. Bapa Annisa meninggal dunia dan Annisa membawa diri ke Jogja untuk menyambung belajar di universiti. Di Jogja, Annisa bertemu Lek yang berusaha menjejaknya menerusi teman santriwati Annisa. Bertemu dan bernikah.

Dugaan tak putus dalam kehidupan. Dan seiring dengan dugaan itu, Annisa teguh untuk berjuang. Mempertahankan para santriwati di pesantren bapanya yang masih lagi dikongkong di bawah pentadbirang abang Annisa. "Roma tak dibangun dalam masa satu hari," kata-kata Lek yang sering diungkapkan kepada Annisa saat Annisa beremosi ketika berdepan dengan kongkongan dunia pesantren.

Menonton filem ini pada mulanya saya terfikir, apa agaknya yang difikirkan oleh masyarakat di luar saat menonton filem ini? Apa agaknya yang ada disebalik filem kontroversi Indonesia ini? Membaca komen-komen di YouTube, banyak yang mengatakan filem ini membawa fitnah kepada Islam. Begitulah, saya juga terfikir apakah filem ini antara dakyah golongan liberal? Atau anasir jahat mereka yang mahu menjatuhkan Islam?

Tetapi saat suara Siti Nurhaliza menyapa telinga dengan nyanyian karya Opick, pada akhir filem ini fikiran saya berbaur. Barangkali saya terlalu prejudis. Realiti dalam kehidupan, meski berserban bukan mesti beriman. Teringat kata-kata seorang pensyarah perempuan dari PPSK kepada saya, "If you want to get married, marry a man that is really beriman. Orang yang solat bukan mesti betul-betul beriman." Kata-katanya itu sebenarnya berasal daripada perbualan kami tentang saudara jauhnya yang dianiaya suami. Dibelasah ketika mengandung. Saat bercerita, beliau mengungkap satu ayat yang saya tak sangka akan diungkapkan oleh seorang Muslim,"The syariah law will never helps women like you!" katanya penuh emosi. Barangkali kita terlupa Islam hadir di zaman jahiliyah saat wanita diperlakukan seperti binatang. Mengangkat wanita pada kedudukan yang dimuliakan. Bukan salah Islam. Barangkali kita terlalu jumud. Antara jumud hingga mengekang pembaharuan dan jumud hingga melabelkan Islam itu sempit. Salah siapa?

ps: Fikirlah sendiri~