Showing posts with label belasungkawa. Show all posts
Showing posts with label belasungkawa. Show all posts

Monday, September 19, 2011

Abah, abah dan abah

Dalam hidup saya, ada tiga lelaki yang saya panggil abah. Ayah kandung saya, abang sulung ayah saya serta pengasuh saya ketika kecil. Ini kisah pengasuh masa kecil saya.

Ibu dan ayah saya bekerja. Waktu saya di tadika, mereka menghantarkan saya ke rumah pengasuh yang saya panggil Mak Yam dan Abah. Saya cuma satu tahun muda daripada anak bongsunya. Tapi, anak bongsunya lebih rapat dengan Mak Yam. Manjanya saya dengan Abah, lebih dari manja anak bongsunya sendiri.

Petang-petang, selepas pulang dari bekerja, Abah selalu bawa saya berjalan-jalan sekitar taman perumahan kami. Kalau Abah ada di rumah, jarang sekali saya mahu duduk di atas kerusi. Riba Abah menjadi tempat duduk kegemaran saya. Selalu saja, saat keletihan pulang bekerja memandu teksi, Abah meminta saya memijak belakang tubuh dan kakinya. Sering, belakang Abah menjadi kuda olok-olok saya.


Akhirnya selepas tujuh tahun menjadi anak bongsu dalam sebuah keluarga kecil, ibu mengandung adik lelaki saya. Ibu carikan pembantu rumah kerana tak terlarat mengurus rumah. Saya tak lagi duduk di rumah Abah. Saya semakin besar dan Abah punya anak-anak lain yang diasuh bersama isterinya.

Waktu saya darjah empat, ibu bersalin adik bongsu saya. Sakit ibu datang mengejut. Ayah saya meminta bantuan Abah untuk menjaga kami tiga beradik ketika ayah perlu menemani ibu di hospital. Abah datang tengah malam di hospital untuk mengambil kami. Rasa takut saya hilang. Abah bersama kami, menemani dan menjaga kami.

Ketika umur saya 13 tahun, kami sekeluarga pindah ke Rawang. Dan sejak itu saya tidak bertemu lagi dengan Abah sehinggalah saya masuk ke universiti. Abah sakit waktu itu dan kami sekeluarga menjenguknya. Saya nampak air matanya bergenang. Mungkin air mata gembira. Mungkin juga kerana rindu. Lelaki gagah yang selalu meriba dan mendukung saya sudah semakin susut. Waktu itu saya tahu, walaupun Abah mengasuh terlalu ramai anak, tapi saya tetap yang 'anak bongsu' dalam hatinya.

Kali terakhir saya bertemu Abah ketika majlis perkahwinan abang saya. Abah dan Mak Yam bersama anak-anak mereka datang menghadiri majlis itu di rumah kami. Sebaik saja sampai, Abah terus bertanyakan tentang saya yang waktu itu sibuk di dapur. Makcik-makcik saya jenuh mencari. Saya menyahut. Saya nampak Abah, lalu berjalan kepadanya. Abah meluru kepada saya. Jalannya lemah bertongkat, tapi dia gagahkan juga.

Raya lepas, berulang kali saya katakan kepada ayah, saya mahu melawat Abah. Saya rindu padanya. Rindu sungguh-sungguh. Tiga tahun tidak bertemu dengannya. Dan sepanjang Ramadhan lalu, saya sering saja teringat akan dirinya. Tapi cuti seminggu ketika raya tak memberi kesempatan buat saya untuk melawat Abah.

Semalam, Abah telah pergi. Allah telah menjemput Abah untuk menemui-Nya pada 20 Syawal yang dingin dan hujan. Abah pergi meninggalkan rindu yang teramat dalam diri saya. Abah pergi meninggalkan rasa terkilan yang amat sangat dalam hati saya.

Air mata saya tak mahu berhenti. Tapi ia masih tak mampu membawa pergi rasa duka ini. Saya harap Abah maafkan saya dan saya harap, harap dengan amat sangat agar Allah merahmati Arwah Abah, mengampunkan dosa-dosanya dan meletakkannya bersama-sama hamba-Nya yang Dia redhai.
al-Fatihah untuk Abah.

Belasungkawa
Wak Rahman
Taman Dagang Jaya, Ampang, Selangor

Saturday, February 12, 2011

Allah Knows..

When you feel all alone in this world
And there's nobody to count your tears
Just remember, no matter where you are
Allah knows
Allah knows

When you carrying a monster load
And you wonder how far you can go
With every step on that road that you take
Allah knows
Allah knows

No matter what, inside or out
There's one thing of which there's no doubt
Allah knows
Allah knows
And whatever lies in the heavens and the earth
Every star in this whole universe
Allah knows
Allah knows

When you find that special someone
Feel your whole life has barely begun
You can walk on the moon, shout it to everyone
Allah knows
Allah knows

When you gaze with love in your eyes
Catch a glimpse of paradise
And you see your child take the first breath of life
Allah knows
Allah knows

When you lose someone close to your heart
See your whole world fall apart
And you try to go on but it seems so hard
Allah knows
Allah knows

You see we all have a path to choose
Through the valleys and hills we go
With the ups and the downs, never fret never frown
Allah knows
Allah knows

Every grain of sand,
In every desert land, He knows.
Every shade of palm,
Every closed hand, He knows.
Every sparkling tear,
On every eyelash, He knows.
Every thought I have,
And every word I share, He knows.
Allah knows

Zain Bikha & Dawud Wharnsby Ali



al-Fatihah untuk Arwah Tok Teh Harun, datuk saudara yang tak tumpah seperti datuk sendiri. Semoga rohnya ditempatkan bersama-sama mereka yang beriman dan dicintai Allah

Friday, January 14, 2011

Belasungkawa (condolence)

Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.

(yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: "Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun" (Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepada-Nya-lah kami kembali.)

Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.

Surah al-Baqarah, 2:155-157


Kawan,

Kalau apa yang kau hadapi sekarang dapat hilang dengan hanya kata-kataku, sejuta ayat akan aku karangkan untukmu.

Kalau pedih dan sedih yang kau lalui sekarang dapat terhapus hanya dengan air mataku, seratus tempayan akan aku tangiskan untukmu.

Tapi manakan mampu aku membasuh lukamu. Maaf, kerana hanya mampu melihat dukamu dari jauh dan merasai kecewamu dari jauh. Maaf, aku tidak tahu ayat apa harus aku karangkan dan air mataku juga cuma akan menjadi bebanan.


Kawan,

Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.

Surah Ali-Imran, 3:139

Takziah buatmu sekeluarga.

Monday, August 31, 2009

Kehilangan

Dalam hidup, kita tak terlepas daripada menghadapi kehilangan. Lumrah kehidupan, hari ini ia ada dan esok ia hilang. Terlepas dari genggaman. Allah ada berfirman dalam Surah al-Asr yang bermaksud 'Demi masa, sesungguhnya manusia berada dalam kerugian. Kecuali mereka yang berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran.' Begitulah aturan dalam kehidupan. Pesan Rasulullah supaya kita sentiasa ingat akan 5 perkara sebelum hadirnya 5 perkara lain yang barangkali tidak kita sukai.
sihat sebelum sakit
muda sebelum tua
kaya sebelum miskin
lapang sebelum sempit
hidup sebelum mati

5 nikmat yang hilang ini bukan hanya mendatangkan gundah kepada diri sendiri tetapi juga kepada mereka yang berada di sekeliling kita, mereka yang mengasihi kita dan bergantung kepada kita. Mati, satu kepastian, satu janji Allah kepada setiap makhluk ciptaannya. Hari ini Dia berikan kita nyawa, bernafas dan menikmati segala rahmat pemberianNya dan tiba-tiba sesaat kemudian, rebah jatuh ke bumi tika Izrail yang sentiasa menjenguk kita setiap saat diperintahkan untuk mengambil nyawa kita. Saat terkeluarnya roh daripada jasad, bukan kita saja merasa sedih, sesal dan gundah memikirkan nasib sendiri. Tetapi juga mereka yang kita tinggalkan.


Sebagai yang meninggalkan, roh menghadapi kebimbangan memikirkan cukupkah amalan yang ada untuk dibawa bekal menghadapi barzakh dan hari pembalasan. Sedangkan mereka yang mengasihi yang bergantung harap pada arwah menangisi memikirkan pada siapakah pula akan harapan perlu digantungkan? Jika seorang bapa yang merupakan ketua keluarga meninggalkan isteri dan anak-anak, siapa pula yang perlu menggalas tugas bapa? Anak yang telah dewasa? Ibu? Kaum keluarga yang lain?

Kehilangan tidak pernah diminta untuk berlaku oleh seorang manusia yang waras. Tapi kehilangan dalam kehidupan itu sesuatu janji yang pasti. Sebagai manusia, meski dalam kehilangan ingatlah bahawa suatu ketika nanti kita juga akan menjadi sebahagian daripada kehilangan itu. Apakah bekalan untuk dibawa telah cukup? Atau kita sebahagian daripada manusia yang rugi?

Menghadapi kehilangan khususnya insan-insan yang dekat dengan hati kita, tempat kita bergantung dan berharap bukan perkara mudah. Pemergian mereka kepada janji Allah tentu sekali membawa perubahan drastik dalam kehidupan kita yang masih tinggal. Tapi qada' dan qadar yang telah Allah tetapkan harus kita terima sebaik mungkin. Dunia cuma pentas kehidupan, sebagai pelantar untuk hari kemudian yang kekal. Terimalah kehilangan orang-orang tersayang dengan penuh lapang dada kerana pasti ada rahsia dalam setiap takdir Allah. Kerja Tuhan siapa tahu?

ps: Al-Fatihah buat Arwah Pakcik, Arwah En Hazis (bapa Aryn), Arwah Hj Musa (bapa Nadia) dan Arwah En Taha Hsni (bapa Emy). Semoga Allah sentiasa mengasihi dan berbelas kasihan pada roh mereka.
Terpandang seorang rijal, wajahnya mengingatkan pada arwah pakcik dan memutikkan air di tubir mata.

Wednesday, April 08, 2009

Belasungkawa Nasir Salleh Syafie

saya dan pakcik ketika majlis walimah abang

Saya terima panggilan daripada abang saya ketika di dalam kelas. Sedang mendengar tazkirah daripada Ustaz Zul tentang hadis berkenaan dengan amal kebaikan. Matan hadis berkaitan dengan suruhan Rasulullah s.a.w yang menyuruh agar bersegera membuat kebaikan. Panggilan daripada abang memerlukan saya keluar dari kelas. Suara abang kedengaran sedih. Seakan menahan sebak. Dikhabarnya pakcik saya yang merupakan satu-satunya adik ibu meninggal dunia. Saya tergamam. Istighfar kerana kejutan yang melanda. Innalillah, sedar bahawa setiap yang hidup pasti akan mati. Kembali masuk ke kelas, air mata saya bergenang. Ustaz Zul masih meneruskan pengajaran. Saya terperosok di kerusi. Rasa terhenyak dan bayangan pakcik muncul satu demi satu.

Hj Nasir begitu panggilan orang kepadanya. Anak jati Kedah yang banyak mendorong saya untuk meneruskan pengajian peringkat sarjana. Pakcik saya sedang menyambung belajar peringkat ijazah sarjana muda. Katanya mahu seperti saya suatu hari nanti, menyambung belajar ke peringkat lebih tinggi.

Tak ramai yang tinggi dalam keluarga saya. Dalam adik beradik ibu, cuma pakcik seorang yang tinggi. Anak-anak maklong, cuma sepupu lelaki saya seorang yang tinggi dan anak-anak ibu, cuma saya seorang yang tinggi. Mungkin kerana faktor ini, pakcik gemar bergambar bersama saya. Pakcik juga punya kecenderungan yang hampir sama dengan saya. Gemar membaca, hobi kami yang amat nyata. Bezanya, hobi pakcik tak disukai nenek. Membazir katanya. Sedangkan hobi saya amat disokong ibu.

Saya tak punya banyak kisah dengan pakcik walaupun saya cucu perempuan sulung. Tapi kehadiran pakcik sangat mengesankan hidup saya terutamanya setelah saya menginjak dewasa. Pakcik turut hadir ketika konvokesyen saya. Pakcik juga turut mempengaruhi ibu agar mengizinkan saya menyambung belajar saat orang lain memperkecilkan hasrat saya.

Alhamdulillah pagi tadi, sekitar jam 11 jasad pakcik telahpun disemadikan. Di tanah perkuburan, ada suara yang menyatakan wajah saya seiras dengan wajah pakcik. Ada juga yang bertanya dengan siapa akan nenek saya menetap kerana sebelum ini pakcik yang menemani nenek di kampung. Saya bulatkan hati. Nekad meluah rasa pada ibu. Biar saya yang menemani nenek. Jarak perjalanan 2 jam antara USM dengan Kota Setar bukan penghalang. Lokasi kajian saya bakal diubah daripada Wilayah Persekutuan kepada Kedah. Nanti bakal saya usulkan pada penyelia dan guru saya.

Berada di tanah perkuburan dan melihat nenek saya yang lesu terduduk di tangga masjid sambil memerhati dari jauh pengebumian pakcik buat saya terfikir. Saya juga tidak sesihat mana. Akankah saya pergi dulu sebelum ibu saya? Akankah saya punya kesempatan menjaga dan membalas jasa ibu? Akankah sempat saya menjengah usia tua dalam hidup? Kerana maut tak mengenal usia. Pakcik baru 47 tahun. Masih muda belia untuk seorang lelaki.

Untuk pakcik, Yasin dan Al-Fatihah saja yang mampu saya hadiahkan. Doa saya agar Allah terima roh dan jasad pakcik sama seperti mukmin yang dicintaiNya. Saya dan adik beradik saya serta sepupu yang cuma tiga orang akan sentiasa berharap agar doa kami diterima Allah kerana kami anak pakcik.

Saya tak yakin ada sesiapa yang mengenali pakcik di sini. Tapi andai ada yang tersesat membaca entri ini dan ditakdirkan Allah mengenali diri pakcik, saya mahu mohon maaf andai pakcik ada berbuat salah atau silap. Sebagai manusia biasa tentunya tidak terlepas dari dosa.

Md. Nasir bin Salleh
Bekas kakitangan MIDA, Kuala Lumpur
Batu 9 1/2, Kota Sarang Semut, Kedah