Showing posts with label berpesan-pesan. Show all posts
Showing posts with label berpesan-pesan. Show all posts

Thursday, February 20, 2014

Doa Pemuda


"Wahai Tuhan kami, berikanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami (ini)."



Wednesday, January 22, 2014

Bicara Atas Bumbung

Rooftop Rant: 
Ini karya Hlovate terawal yang saya baca. Ketika mula berjinak-jinak dengan Islam. Ketika baru bertukar aliran. Ketika baru sambung belajar. Seingat saya, dulu saya cuma ambil masa dua hari untuk habiskan bacaan novel ni. Tapi kali ni, saya ambil masa hampir sebulan. Setelah lima tahun, saya ulang baca novel ini. Saya baca perlahan-lahan. Perasaan lain dari yang pernah singgah waktu saya baca novel ini pertama kali dulu. Mungkin itu tandanya saya dah semakin tua. Mungkin juga semakin matang? Atau mungkin juga semakin takut menghadapi dunia?

Al-kisahnya, Rooftop Rant mengisahkan tentang Trisy gadis 16 tahun yang membesar dalam keadaan keluarga yang berantakan sehingga menyebabkannya menghadapi masalah depresi. Pil tidur dan ubat anti-depresi dah jadi macam 'coklat MnM’s' bagi Trisy. Satu hari, di kala sedang termenung masa cikgu tusyen mengajar, Trisy ternampak lokasi yang sesuai sebagai escapisme untuk ‘melarikan’ diri: atas bumbung Wisma Topaz. Di atas bumbung Wisma Topaz ni kemudiannya Trisy kenal dengan Jade.

Seperti juga Trisy, Jade juga menjadikan atas bumbung Wisma Topaz ini sebagai lokasi pelariannya. Bezanya, keluarga Jade tidak berantakan. Jade anak tengah yang selalu merasa terpinggir dalam keluarga sendiri. Abang dan adik Jade excellence dalam pelajaran. Sedangkan Jade minat melukis kartun. Dan minat Jade dipandang remeh oleh kedua orang tuanya. Makanya, di atas bumbung Wisma Topaz itulah Jade menumpahkan isi hatinya ke atas kertas-kertas putih.

Bumbung Wisma Topaz jadi saksi bagaimana Trisy dan Jade mula berkawan – selepas Jade menyelamatkan Trisy yang pengsan akibat hypoglycemic (kekurangan gula). Juga menjadi saksi Jade menyelamatkan Trisy sekali lagi semasa Trisy overdose pil-pil MnM’s bila tak tahan dengar ibu dan ayah berperang. Keluar dari hospital, Trisy kemudiannya dihantar ke Johor dijaga oleh atuk dan opahnya. Mungkin untuk pastikan Trisy fokus menghadapi SPM. Mungkin juga untuk pastikan Trisy tak buat lagi aksi overdose MnM’s atau sebarang cubaan pengambilan nyawa. Ataupun mungkin sebab ibu dan ayahnya mahu lepas tangan, tak mahu fikir tentang anak gadis bongsu mereka yang satu ni.

Orang kata, biar jauh dimata tapi dekat dihati. Macam tu la jugaknya kisah Trisy dan Jade. Kalau kita tengok pada tema cinta lovey-dovey yang cetek, novel ni akan nampak yang tu je la. In the end, they live happily ever after~


Tapi ada banyak benda lain yang ingin disampaikan dan boleh kita dapat dalam novel ni. Tak kisah status kita. Sama ada sebagai orang luar, guru, abang atau kakak, pakcik atau makcik, parents, malah kalau kita ni atok atau nenek pun boleh belajar sesuatu daripada novel ni, insyaAllah.

Ada dua perkara utama yang saya belajar dan saya ingatkan sungguh-sungguh kepada diri saya supaya JANGAN sesekali melakukannya. Pertama, jangan pernah menghakimi. Sebab kita tak tahu kisah disebalik seseorang. Kita tak tahu apa yang dia rasa dan kita tak tahu apa yang dia hadapi. Kedua, tanya hanya bila kita mahu mendengar. Kalau rasa takmau tau jawapan, tak usah tanya. Baik diam, pi main jauh-jauh. Buat apa tanya kalau akhirnya kita tak mau dengar pun jawapan tu dan kita judge kemudian menghukum ikut suka rasa kita. Ada banyak lagi benda lain, tapi anda baca sendiri lah ye.

Habis baca novel ni, saya tersenyum. Tapi ada rasa yang terbuku. Ada rasa sedih dan marah yang berbaur dengan gembira. Sedih sebab kesian sungguh-sungguh pada Trisy yang masih mengemis kasih sayang ibu ayah sendiri. Marah pada ibu, ayah, abang dan kakak-kakak Trisy yang tak peduli dengan keluarga sendiri. Tapi saya gembira sebab Trisy ada atuk, nenek, Pak Su dan Buk Jah (pembantu rumah) yang sayang padanya. Dan yang paling penting, Trisy ada Jade yang sudi jaga dan sayangkan Trisy insyaAllah sampai akhir hayat.

Rasanya ada banyak lagi Trisy kat luar sana yang masih mengemis kasih sayang keluarga sendiri. Yang rasa macam nak putus asa dan rasa macam nak menamatkan riwayat sendiri. Dan kalau anda tahu dan kenal mereka, dampingilah. Semoga happy ending yang Trisy peroleh dalam Rooftop Rant ini juga boleh menjadi milik ‘Trisy-Trisy’ yang di luar sana.

“Kau nak jadi apa?”
“Aku nak jadi Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga”
“Bila jadi menteri tu nanti, law apa yang kau nak buat?”
“Nobody’s allowed to have babies if they’re not to love `em”

Wednesday, November 27, 2013

Allah ada

"Ya, Allah ada. Jangan bimbang."
Lelaki dari Aceh itu ulang lagi kata-katanya. Dalam sebak, dia lafazkan dengan tegas.
"Allah ada. Saya sedia untuk mati. Saya relakan diri saya untuk mati. Dan saya bayangkan yang indah-indah untuk bertemu Allah."
Senyap sedetik. Ombak besar yang menelannya hadir melintas minda.
"Saya tenggelam dalam air laut. Saat terdampar, saya buka mata. Saya nampak mayat. Lautan mayat."
"Saya jadi yakin. Bahawa sesungguhnya Allah itu ada. Bukan pada apa, bukan pada siapa untuk kita meminta."
Yang mendengar terus sunyi. 
"Saya bermula semula. Bermula dari null. Dari kosong"
"Sedikit, sedikit. Alhamdulillah, akhirnya hari ini saya dapat kembali ke Malaysia untuk menyambung belajar."

Tahu bahawa Allah itu ada 
VS
Yakin, merasa dengan hati, mengakui dengan akal dan bertindak dengan fizikal bahawa Allah itu ada

Dua perkara berbeza.


ps: menggeledah hati


Monday, September 23, 2013

Siram


"Ya Allah, tolonglah aku dan bantulah aku dalam mengingati Mu (beribadah kepada Mu (dan bersyukur kepada Mu dan dalam memperelokkan ibadah kepada Mu"

Monday, July 01, 2013

Lompat tinggi-tinggi

Melompatlah setingginya
Tapi jangan lupa untuk sujud di bumi dengan lebih lama.

Thursday, May 30, 2013

Peluang ke neraka

Godaan dan cubaan adalah satu fitrah kehidupan. Celik saja mata, kita boleh nampak pelbagai macam godaan yang menarik nafsu. Kalau lelaki, keluar je rumah Nampak perempuan seksi, perempuan cantik. Itu di luar rumah. Kalau di dalam rumah, buka tv ada tayangan separa porno dan artis-artis yang pakaiannya cukup sekadar tutup mana yang patut. 

Bukan lelaki saja, perempuan juga begitu. Apa, ingat perempuan tak bernafsu? Malah lebih hebat lagi. Nafsu mengumpat, nafsu bershopping. Bukan lelaki saja suka tengok perempuan cantik. Perempuan juga suka tengok lelaki kacak. Itu lumrah. Nafsu mungkin boleh kita jaga, kita latih sebaik mungkin. Kita kekang dengan iman dan kita cegah diri sendiri daripada mengikut hawa nafsu sampai memudaratkan diri sendiri. 

Tapi, agaknya kalau ada yang membuka peluang untuk kita memenuhi nafsu tersebut, mampu tak kita nak menjauhkan diri? 

Zulaikha (atau Zalikha) dalam kisah Nabi Yusuf a.s contohnya. Beliau melihat keelokan paras dan pekerti Yusuf dari muda sampai cukup dewasa. Handsome-nya Nabi Yusuf ini sampai dikatakan sebagai ‘bukan manusia – tetapi malaikat yang mulia’. Sampai satu tahap, nafsu Zulaikha tak dapat lagi nak dikekang. Lalu Zulaikha menggoda Yusuf a.s. Kisah ini ada diceritakan dalam surah ke 12 al-Quran, Surah Yusuf. 

Dan wanita (Zulaikha) yang Yusuf tinggal di rumahnya menggoda Yusuf untuk menundukkan dirinya (kepadanya) dan dia menutup pintu-pintu, seraya berkata: "Marilah ke sini." [12:23]

Tapi Nabi Yusuf a.s menolak peluang melakukan maksiat. 

Yusuf berkata:"Aku berlindung kepada Allah, sungguh tuanku telah memperlakukan aku dengan baik." Sesungguhnya orang-orang yang zalim tiada akan beruntung. [12:23] 

Bukan mudah seorang lelaki normal untuk menolak ajakan dan godaan melakukan maksiat. Tapi Allah pelihara Yusuf a.s daripada mengambil peluang untuk melakukan kemaksiatan itu. Allah berfirman dalam ayat seterusnya. 

Sesungguhnya wanita itu telah bermaksud (melakukan perbuatan itu) dengan Yusuf, dan Yusufpun bermaksud (melakukan pula) dengan wanita itu andaikata dia tidak melihat tanda (dari) Tuhannya. Demikianlah, agar Kami memalingkan daripadanya kemungkaran dan kekejian. Sesungguhnya Yusuf itu termasuk hamba-hamba Kami yang terpilih. [12:24] 

Agak-agak, mampu tak seorang lelaki tulen yang normal untuk menolak ajakan berzina kalau tiada keimanan teguh kepada Allah SWT? Tapi bagi Yusuf a.s, penjara lebih baik baginya daripada memenuhi ajakan melakukan maksiat. 

Yusuf berkata: "Wahai Tuhanku, penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka kepadaku. Dan jika tidak Engkau hindarkan dari padaku tipu daya mereka, tentu aku akan cenderung untuk (memenuhi keinginan mereka) dan tentulah aku termasuk orang-orang yang bodoh." [12:33] 

Saya yakin, walaupun dalam keadaan masalah sosial dan kebejatan masyarat Melayu-Islam di Malaysia ni, masih ramai yang masih memelihara maruah dan kesucian diri. Alhamdulillah. Tapi janganlah sesekali kita pandang rendah atau hina mereka-mereka yang mungkin sudah terlanjur. Jangan sesekali kita menghukum orang. Sebab kita sendiri tak tahu penghujung kisah kita bagaimana. Akan husnul-khatimah (pengakhiran yang baik) kah atau suul-khatimah (pengakhiran yang buruk). Kita ni pun bukan baik sangat. Penuh nafsu juga. Cuma mungkin kita tak diberi peluang untuk berbuat dosa. Itu pun tanda kasihnya Allah pada kita. 

Sedangkan Nabi Yusuf a.s pun berkata “..jika tidak Engkau hindarkan dari padaku tipu daya mereka, tentu aku akan cenderung untuk (memenuhi keinginan mereka)..” inikan pula kita manusia biasa ni. Takkan nak mendabik dada kata kita lah manusia yang paling baik dan beriman di muka bumi sampai takkan melakukan dosa. 

Tak usahlah perasan baik. Kita tak tahu apa yang mungkin kita lakukan kalau kita diberi peluang untuk melakukan maksiat. Bersyukur selalu sebab Allah jadikan kita sebagai diri kita sekarang. Masa depan, kita tak tahu lagi. Tapi harap-harap Allah akan sentiasa pelihara kita semua. Jangan pula nanti kerana kita suka mengata dan menghakimi orang, kita pula dijemput neraka. Naudzubillah!
 

Friday, January 18, 2013

Calling Names

Zaman kanak-kanak Ribena dulu, saya selalu dipanggil dengan pelbagai gelaran yang saya tak suka. Tok Wan lah, haiWan lah Wan-two-three lah caWan lah aWan lah. Pendek kata, macam-macam la nama panggilan saya. Dan panggilan-panggilan ini tidak terhenti setakat sekolah rendah tapi berlanjutan sampai ke zaman matrikulasi. Akibatnya, saya benci sungguh-sungguh pada nama "Wan" yang ada pada pangkal nama saya. Pernah satu ketika, saya tanyakan pada ayah saya kenapa perlu letak nama "Wan" pada nama saya? Ayah saya senyum dan yakin kan saya bahawa nama saya nama yang bagus (walaupun maknanya tak berapa nak jelas). Kata ayah lagi, nama saya "Wan" sebab saya cucu kepada arwah Atok.

Gelar-menggelar memang biasa dalam masyarakat kita. Ada yang suka menggelar dengan nama seperti yang terjadi pada saya. Ada juga yang suka menggelar pada sifat fizikal. Contohnya, panggil Mok sebab gemuk. Panjang sebab tinggi. Kecik/Ketot sebab rendah. Tapi ada juga yang saja-saja nak panggil orang dengan gelaran tanpa alasan. Macam Makcik, Bibik, Nenek. Malah ada juga yang memanggil dengan nama-nama haiwan. Kambing, Ayam, B*b* dan macam-macam nama lagi.


Salah ke memanggil dengan nama gelaran? Tak salah, kalau tuan empunya badan suka. Contohnya, gelaran Abu Hurairah yang membawa maksud Bapa Kucing pada sahabat Rasulullah SAW, `Abd al-Rahman ibn Sakhr Al-Azdi. Abu Hurairah mendapat gelaran tersebut kerana kecintaannya kepada kucing. Kalau nak tahu lebih lanjut kisah Abu Hurairah, boleh klik sini. 

Maknanya, tak salah lah kan nak memanggil orang dengan gelaran. Tapi ada syaratnya. Si penerima gelaran atau tuan empunya badan suka dengan gelaran tersebut. Kalau dia kata tak suka atau melarang kita memanggil dengan gelaran tu, jangan lah diteruskan. Walaupun cara dia menyatakan ketidaksukaan itu tak nampak macam marah pun, tapi kalau dia kata "Jangan panggil aku sekian-sekian", maka kita sama sekali tidak berhak, tidak boleh malah haram memanggilnya dengan panggilan itu.

Allah SWT mengeji orang yang memanggil orang lain dengan panggilan yang buruk. Firman Allah:
"..Janganlah kamu saling mencela satu sama lain, dan janganlah saling memanggil dengan gelaran yang buruk..." 
[Al-Hujurat 49: 11]

Besar kesannya memanggil orang dengan gelaran atau panggilan yang tidak disukai ini. Tapi yang paling jelas, persahabatan dan silaturrahim akan rosak. Orang yang memanggil mungkin rasa yang dipanggil itu emosional tapi cuba fikir kalau diri sendiri yang dipanggil dengan panggilan-panggilan yang dibenci. Rasa macam kena ejek dan terhina tau! Jadi kawan-kawan, lepas ni, panggillah rakan-rakan kita dan orang sekeliling kita dengan panggilan yang baik dan disukai ya! Tak usah lah menggelar yang pelik dan jelik.  Okay!

ps: ada kawan sekolah rendah dulu dipanggil Ketam sebab nama ayahnya Rostam, Penguin sebab namanya Mazwin

Thursday, January 10, 2013

Love VS Lust

Assalamualaikum~

Apa khabar? Sihat? Alhamdulillah.
Saya nak mulakan post 2013 di blog ini satu persoalan. Rasa, antara lelaki dan perempuan. Adakah ia cinta ataupun, cuma nafsu?

Tiba-tiba je kan tanya soalan macam ni. Tak pernah-pernah menulis pasal cinta lelaki-perempuan, tiba-tiba kali ni boleh pulak terasa nak tulis pasal hal ni. Well~ rasanya tak salahkan sesekali saya sentuh pasal hal ini. Maklumlah, umur pun sudah 26 tahun. Kawan-kawan semua sudah beranak-pinak. Yang masih bujang pun masing-masing sudah berpunya. Bila tengok kawan-kawan ramai yang sudah berbahagia dengan pasangan masing-masing, tipu lah kalau saya kata saya tak rasa apa-apa. Tapi bila kawan-kawan yang nampak macam bahagia ini meluahkan rasa ketidak bahagiaan mereka kepada saya, saya mula terfikir. Apa benar yang mereka rasakan saat bahagia itu cinta? Atau.. nafsu semata?


Okay, kalau yakin itu adalah cinta, sungguhkah ia cinta yang bersandarkan kepada Allah? Cinta yang mengharapkan redha Allah? Cinta yang mahu dibawa sampai ke syurga?

Yakin ke itu benar-benar cinta yang digembar-gemburkan sebagai suci kalau belum apa-apa dah berpegang tangan?
Belum apa-apa dah ringan-ringan?
Belum apa-apa sudah minta yang bukan-bukan?
Belum apa-apa asyik berangan-angan?
Belum apa-apa mak, ayah, saudara, semua dilupakan?

Betul ke cinta kita tu cinta sejati?
Sedangkan kita tertarik sebab rupa dia, sebab gaya dia, sebab pangkat dan gaji dia. Takpun sebab segala ijazah yang dia ada.

Betul ke cinta sedangkan kita tak henti-henti terpedaya dengan bentuk dan rupa?

Hm.... 
Rasa macam dah jatuh cinta? Cuba tanyakan pada hati sendiri. Betul ke cinta? Atau pun nafsu semata? Sungguh ke cinta? Jom buat istikharah dulu. Kot-kot bukannya jatuh cinta, cuma terpesona dengan keterampilan luaran. Allah Maha Mengetahui, tanya pada Dia. Walaupun soal hati sendiri.

“Orang yang berjihad ialah orang yang melawan nafsunya” HR Tirmizi (no: 1621)

Thursday, November 15, 2012

Selamat Berhijrah!

Assalamualaikum

Alhamdulillah, setahun dah berlalu. Maknanya, bertambah lagi setahun kiraan tahun Hijrah kita. Biasanya tahun baharu kita semua sibuk buat azam baharu. Azam lama belum tertunai, kita carry on tahun ini pula.

Alhamdulillah, penghujung 1433 (minggu lepas) saya diberi kesempatan berkunjung ke Brunei Darussalam bersama Tok Guru saya serta dua orang pensyarah lain. InsyaAllah, banyak yang saya belajar. Beberapa hari pulang dari Brunei, saya terima emel layang menegur cara saya berpakaian. Katanya, kalau berbaju kurung lebih comel berbanding dengan berseluar. Dan ada juga sedikit ayat yang kurang proper untuk ditulis di sini.

Mula-mula baca emel tersebut, terkejut juga. Wah! Macam ahli politik pula terima emel layang! Syukur pun ya juga. Ada juga makhluk Allah yang sudi menegur saya. Walaupun saya rasa ayatnya tak berapa nak proper, tapi yang penting isinya kan. Terima kasih tak terhingga buat si pelayang emel yang sudi melayangkan emel memberi teguran walaupun dalam masa yang sama memberi kutukan. Semoga Allah membalas budinya. Saya nak balas tak boleh sebab saya tak tahu siapa pelayangnya. Pelayang emel tersebut menggunakan nama Wan Azizah Mahzan. Epik sungguh! Terbayang aktres Azizah Mahzan yang berlakon jadi Datin Sufiyah dalam Ombak Rindu.


Saya pernah ditegur tentang perwatakan saya yang sedikit kasar dan kegemaran saya memakai seluar. Malah saya juga pernah dikutuk sebagai anti lelaki sebab saya agak garang dengan lelaki. Mulut orang, bukan mulut tempayan. Mulut tempayan boleh lah kita tutup tapi mulut orang, nak tutup dengan apa? Kot satu hari nanti Allah bagi bisu pun, tangannya masih boleh menaip mengata orang kan? Nak buat macam mana, saya membesar dengan abang dan abang sepupu serta kawan-kawan abang. Main basikal, panjat pokok memang perkara biasa. Bila abang masuk asrama, tanggungjawab sebagai anak sulung jatuh ke bahu saya. Waktu tingkatan 3, saya dipaksa belajar membawa motorsikal. Mula-mula memang takut. Tapi setelah 11 tahun menjadi penunggang tegar, saya lebih selesa dengan motorsikal berbanding kereta. Tapi kalau nak kata saya anti lelaki, kurang logik lah kot. Kegarangan saya dengan lelaki sebenarnya lebih kepada untuk menjaga diri. Yalah, kalau berlemah lembik nanti dapat pula emel layang kata saya menggedik pula kan!

Tapi kata-kata kutukan dan kritikan ini sebenarnya kalau diambil dari sudut positif insyaAllah boleh menjadikan kita manusia yang lebih baik. Betul, bukan senang nak terus bersabar bila dikata macam-macam terutamanya kalau melibatkan fizikal kita. Kita, tak pernah mahu mempunyai kekurangan. Tapi kalau Allah dah beri kekurangan itu pada kita, maknanya ada juga kelebihan lain yang Allah kirimkan bersama. Kan Rasulullah SAW ada berpesan:

“Sesungguhnya ALLAH Ta`ala tidak melihat pada bentuk tubuhmu dan tidak pada rupa parasmu, tetapi DIA melihat pada hatimu.”
 (HR Muslim)

Sebelum kita nak rasa bengang dan marah bila menghadapi kutukan atau kritikan ini, lebih baik kalau kita ambik point penting daripada kutukan dan kritikan tersebut. Kalau melibatkan sesuatu yang tak boleh diubah, anggap saja orang yang mengata tu tak percaya kuasa Allah. Betulkan? Rupa paras kita, tinggi rendahnya kita, atau penyakit yang kita hadapi, mana mampu untuk kita ubah. Itu semuakan Allah yang beri. Suka-suka hati je nak mengata ciptaan Ilahi.

Tapi, kalau kutukan atau kritikan itu melibatkan kelemahan kita yang boleh kita ubah, apa salahnya kan untuk kita ubah. Kalau sebelum ini kita kasar, mungkin boleh ubah dengan menjadi sedikit lembut. Tapi kena pastikan lembut bersyariatlah. Antaranya melalui cara berjalan dan bercakap.

"Dan sederhanalah kamu dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk ialah suara keledai." 
[Surah Luqman, 31:19]

Tapi tengok juga pada siapa kita patut lunakkan suara sebab Allah ada berfirman yang maksudnya:

"Hai isteri-isteri Nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya dan ucapkanlah perkataan yang baik" 
[Surah al-Ahzab, 33:32]

OK, kita bukan isteri Nabi. Tapi kita mahu kan jadi wanita bertakwa. Lagi pula, orang-orang yang berpenyakit dalam hati ini ada di mana-mana. Jangan lihat yang berserban besar, berkopiah dan berjanggut itu tentu-tentu beriman, beramal, bertakwa. Manusia biasa, tiada yang maksum. Jadi selagi boleh, kita jaga diri kita daripada orang-orang yang berpenyakit hati ini.


Kesimpulannya, mula-mula kita kena bersyukur dengan diri kita. Terima apa yang Allah dah berikan pada kita dan cari hikmah setiap pemberian Allah pada kita. Lepastu, terima kutukan dan kritikan secara positif. Baiki mana-mana yang boleh dibaiki. Yang mana tak boleh, kita cuba minimum kan. Dan yang terakhir, istiqamah dalam memperbaiki diri. Tak perlu tunggu orang tegur. Sentiasa berusaha untuk jadi yang lebih baik di sisi Allah. Berubah kerana Allah, berhijrah semata-mata kerana Allah. Bukan untuk menutup mulut orang.

Oh panjangnya saya berleter! OK lah sampai jumpa lagi. Selamat tahun baharu 1434 Hijrah! SELAMAT BERHIJRAH!

ps: azam tahun baharu - nak jadi perempuan Melayu terakhir :p

Friday, November 02, 2012

Berjalan Tanpa Henti

Bagaikan jauh jalan yang kutempuh
Langkah demi langkah akan kugagah
Hari demi hari berjalan tanpa henti
Yakinku ada sinar yang menentu
Kalau dah bertemu arah
Yakin penuh pasrah
PadaNya Yang Kuasa dikau berserah
Jika kau rebah jika kau kalah
Bersaksilah rahmatNya akan terserlah
Segala kepahitan segala keperitan
Terima bagai penghapus dosa
Malang yang menimpa duka yang melara
Mungkin di baliknya ada bahagia
Jangan jangan berputus asa
Dari rahmat Yang Maha Esa
Jangan jangan kita lupa
Ujian lumrahnya dunia 

-song by Devotees-

Friday, October 05, 2012

Ama Zilna?


Approaching God with our hearts
No fear nor grief for whom He guides
His rope is strong and will never waver
His provision is there for all who are in need
In every place, at every time
Above you is The Glorious Caretaking Lord
In every place, at every time
You have a Lord who loves you and will never forget you
Do we know our Lord?
Do we see our Lord’s blessings?
Do we know our Lord?
Do we thank Him… or have we forgotten..
that His servants… we are
In His Dominion we exist for as long as He wills
And we call upon His bounty through prayer
And seek His favors through hope
For He is our refuge when difficulty strengthens its hold
In every place, at every time
Above you is a Gloriouscare Taking Lord
In every place, at every time
You have a Lord who loves and will never forget you
Do we know our Lord? Do we see our Lord’s blessings?
Do we know our Lord? Do we thank Him… or have we forgotten..
that His servants… we are
My heart is Allah’s, My soul is Allah’s
My wealth is Allah’s

song by Bennami

Sunday, August 26, 2012

Selepas Raya..

Assalamualaikum w.b.t.,

Alhamdulillah, Syawal sudah seminggu menjenguk kita. Macam mana Aidilfitri anda? Seronok beraya? Alhamdulillah, kalau seronok.

Tapi realiti tak sentiasa seronok. Betul tak? Akibat budaya kita, orang Melayu ni, biasanya Aidilfitri datang bersama masalah. Tak, saya tak maksudkan yang Aidilfitri tu negatif. Cuma budaya kita beraya yang buatkan 1 Syawal tercemar. Sepatutnya Aidilfitri untuk raikan kemenangan selepas berjuang semasa Ramadhan. Tapi, kalau yang tak menang pun meraikan beriya-iya, hm... . Okay. Jom lihat apa masalah yang selalu mengHANTUi orang Melayu kita selepas Aidilfitri tiba.

1. Masalah kewangan

Syawal ke-2, terpampang di dada akhbar tentang laporan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) tentang peningkatan permintaan untuk sesi kaunseling kewangan selepas Syawal. Akhbar turut melaporkan tentang permintaan pinjaman yang meningkat di pusat pinjaman 'berlesen' dan bank. Dan pinjaman ini semuanya 'berbunga-bunga'.

Beli apa banyak sangat untuk raya sampai kena berhutang tu? Dan lagi, bunga dalam pinjaman tu bukan bunga mawar yang mekar wangi atau bunga raya yang patriotik tu. Tapi bunga yang boleh buat orang jadi gila. Kan Allah SWT ada berfirman yang maksudnya:

"Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu, adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Orang-orang yang telah sampai kepadanya larangan dari Tuhannya, lalu terus berhenti (dari mengambil riba), maka baginya apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum datang larangan); dan urusannya (terserah) kepada Allah. Orang yang kembali (mengambil riba), maka orang itu adalah penghuni-penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya."
[Al-Baqarah, 2: 275]

Sengsara dengan masalah kewangan dah satu hal. Kemudian tertekan dengan peminta hutang pula. Lagi teruk sebab Allah pula laknat. Maka sengsaralah sekarang kerana tidak berwang, sengsara masa hadapan sebab berhutang dan sengsara pula di akhirat sana sebab Allah dan janji azab kerana mengambil riba.

Jadi harus bagaimana? Berayalah seadanya. Tak salah nak berbaju baru sedondon satu warna seluruh keluarga. Tapi sepasang sudahlah. Tak perlu lah dengan langsir dan alas meja pun mahu sedondon. Tak perlu juga sampai 7 pasang baju raya untuk awak seorang. Begitu juga dengan makanan dan segala macam kuih muih. Kata kuncinya, berpada-pada. Beli dengan iman, guna akal dan ukur-ukur duit sendiri.

2. Masalah kemalangan

Tak berapa berani nak tulis bab ini sebab saya sendiri pun pernah kemalangan seminggu sebelum raya tiga tahun yang lalu. Tapi musim perayaan memang sangat sinonim dengan kemalangan. Jumlah kenderaan meningkat di lebuh raya. Ramai yang tak mahu patuh dengan undang-undang lalu lintas. Ramai juga yang memandu dengan emosional. Tak terkira yang memandu dalam keadaan letih dan mengantuk. Tapi masih terus mahu memandu.

Macam-macam jenis kemalangan yang sempat saya saksikan sepanjang perjalanan Kedah-Perak-Rawang tempoh hari. Ada yang terperosok di bawah lori (moga-moga penunggang motorsikal tersebut selamat). Ada yang terbabas ke parit. Ada juga yang melanggar kereta hadapan.

Hati-hatilah memandu. Jangan lupa baca basmallah dan doa yang sepatutnya. Kalaupun Allah takdirkan 'ter'kemalangan, jangan sampai ada nyawa melayang kerana kecuaian kita.

3. Masalah berat badan

Semasa Ramadhan lalu, berjaya turun 5 kg. Tapi bila raya, naik pula 8 kg. Alahai~ Nak buat macam mana? Dari azan maghrib selepas berakhirnya 29 Ramadhan kita dok pelahap rendang-ketupat-lemang dan segala macam hidangan khas raya. (Oh sangat terkena batang hidung sendiri).

4. Masalah rumah tangga

Saya terima sms siang tadi, teman saya yang baru saja bernikan hujung tahun lalu sedang menimbang-nimbang untuk bercerai dengan suaminya. Bergaduh sikit-sikit berebut giliran untuk beraya di rumah orang tua masing-masing adalah perkara biasa. Tapi bercerai? Hm...

Apa kata, Aidilfitri ini kita muhasabah diri sebentar (sepatutnya bukan Aidilfitri saja. tiap-tiap hari pun perlu bermuhasabah). Berhenti sejenang memikirkan kekurangan dan kelemahan pasanga. Sebaliknya, fikir tentang kekurangan dan kelemahan kita. Cuba perbaiki. Dan dalam masa yang sama, cuba terima kekurangan dan kelemahan pasangan. Cuba juga untuk beradaptasi untuk menyesuaikan diri dengan sikap dan sifat antara suami isteri.

Bercerai bukan macam putus cinta dan putus tunang. Kan Rasulullah SAW ada bersabda:

‎"Perbuatan halal yang dimurkai Allah ialah talak"
[Riwayat Abu Daud dan Hakim]

Kita tak mahu murka Allah kan? Bincang lah elok-elok sebagai dua orang yang dewasa dan matang. Gunakan akal rasional yang ditemani selalu dengan iman. InsyaAllah ada jalan penyelesaiannya. Tapi untuk itu, langkah paling penting, buangkan ego anda. Ya, ego-sombong-bongkak-perasanbagus-sendirisajabetuloranglainsemuasalah-tapimasarayabukanmainsalammintamaaf


Ada banyak lagi masalah lain macam masalah putus jari akibat mercun dan beberapa yang saya tak mahu sebut.

Bila tengok masalah-masalah kat atas ni, nampak benar yang kita tak kembali kepada fitrah yang sepatutnya. Bukankah pada Aidilfitri kita sepatutnya suci kembali, putih kembali, macam asalnya fitrah kita waktu ibu kita lahirkan dulu?

Bercakap dan menuliskan semua ini dalam blog memang mudah. Tapi realitinya? Pahit amat! Buat kawan-kawan yang tak menghadapi masalah-masalah yang dinyatakan di atas, Alhamdulillah dan tahniah. Tapi tak salahkan untuk hati-hati dan ambil langkah pencegahan.

Be practical, be rational dan yang paling penting setiap amalan tu kita sandarkan kepada iman kepada Allah. 

“Tidak akan berzina seorang penzina itu sekiranya di kala dia berzina itu dia berada dalam keimanan. Tidak akan mencuri seorang pencuri itu sekiranya di kala dia mencuri itu dia berada dalam keimanan. Tidak akan meminum arak seorang peminum arak itu sekiranya di kala dia meminum arak itu dia berada dalam keimanan.”
[H.R. Bukhari, Muslim, Tirmizi, An-Nasa’ie, Abu Daud, Ibn Majah, Ahmad]

Thursday, August 16, 2012

Balik kampung~

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh

InsyaAllah, Ramadhan sudah semakin ke penghujung dan Aidilfitri dah semakin dekat. Khusus untuk rakan-rakan yang bakal bermusafir balik kampung untuk menyambut lebaran, ini ada doa yang dikongsikan daripada Ustaz Dr. Zahazan Mohamed sebelum kita meninggalkan kediaman/tempat tinggal. Semoga perjalanan anda semua lancar dan diberkati Allah SWT. 
Ø£َسْتَÙˆْدِعَ اللهَ دِÙŠْÙ†َÙƒَ Ùˆَ Ø£َÙ…َانَتَÙƒَ Ùˆَ Ø®َÙˆَاتِÙŠْÙ…َ عَÙ…َÙ„ِÙƒَ
Maksudnya: 
Aku pertaruhkan/titipkan agamamu, amanatmu (keluarga dan harta benda) dan perbuatanmu yang terakhir kepadamu Allah.” -Riwayat at-Tirmizi

Monday, August 06, 2012

Puasa kita

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh.

Wah separuh Ramadan telah kita lalui. Apa khabar puasa dan ibadah rakan-rakan sekalian? Harap makin hebat lah ye. Ke sibuk buat persediaan raya je? Jangan lah macam tu. Kena dahulukan apa yang dahulu, kemudiankan apa yang kemudian. Puasa dahulu, baru raya kan? Jadi lebihkan amal ibadah semasa berpuasa berbanding persediaan beraya. 

Tak, saya tak kata pun salah nak buat persediaan raya. Nak sambut raya gilang gemilang pun tak salah. Tapi raya Aidilfitri tu kan lambang kemenangan. Beriya-iya kita sambut sedangkan kita tak menang pun. Tak malu ke? Tapi kalau benar kita ni orang yang menang, Alhamdulillah. Boleh lah sambut raya dengan penuh kejayaan.

Okay. Sedang saya sibuk-sibuk mencari jurnal di laman sesawang database untuk menulis tesis, saya terjumpa satu artikel tentang Melayu. Tajuk artikel tersebut, Malays oleh Ronald Provencher (2004) yang menulis tentang orang Melayu dan cara hidup orang Melayu di Malay Archipelago (Kepulauan Melayu). Penulis ada menyentuh tentang puasa di bulan Ramadan. Katanya,
the Fasting Month (Ramadan) which is the annual celebration of God’s greatest gift, the Holy Koran.The monthlong fast that precedes this ceremonial weeklong feast is not absolute, of course. It is a fast (kuasa) that begins with the first daily prayer (just at first light in the morning) and ends just after sundown each day of the month of Ramadan. Evenings, into the early morning hours, are spent drinking iced sweet drinks, eating especially tasty foods, and performing and listening to the message and beauty of Koranic verses. Very few people lose and many gain weight during the fasting month.

Dari perspektif 'Orang Putih' ini, sepanjang tempoh boleh makan semasa Ramadan, dari senja sampai ke awal pagi diisi dengan meminum minuman dingin yang manis, memakan makanan yang lazat-lazat dan membaca dan mendengar ayat-ayat al-Quran. Sangat sedikit yang turun berat badan dan ramai pula yang meningkat berat badan semasa bulan puasa.

Memandangkan ini sebuah artikel dari jurnal saintifik, saya percaya penulisan ini bersandarkan kajian saintifik beliau. Paling tidakpun, melalui pemerhatian.

Saat membaca artikel ini, saya tertawa sendiri. Ada betulnya juga. Waktu berbuka, kita makan. Kemudian selepas solat maghrib, kita makan lagi. Kemudian selepas solat isyak dan tarawih, kita makan lagi. Dan yang paling penting, air sejuk yang manis-manis itu, jarang sekali tertinggal. Macam wajib pula kan.


Saya tertawa tapi terasa juga malunya. Begitu rupanya yang kelihatan pada puasa kita, orang Melayu. Alahai. Tak apalah. Kalau dah 16 hari kita buat macam tu, apa kata lagi 13 hari seterusnya kita isi dengan lebih baik. Makan dan minum semasa berbuka kita sederhanakan. Amal ibadah kita pertingkatkan. Moga-moga separuh masa kedua Ramadan ini membawa iman kita ke tahap yang lebih tinggi sampai tahap orang-orang yang bertakwa. Puasa kita kan untuk Allah. Kan? Kan? InsyaAllah.

"Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa." 
al-Baqarah, 2:183

Wallauhu'alam.



Thursday, July 19, 2012

Siapa?

You’re not defined of what you were and what you are.
You are not defined by of where you were or where you are. 

You’re defined on how you act on it, wherever you are.
Hlovate

Bukan pekerjaan dan status kita dulu dan pekerjaan dan status kita sekarang yang menentukan siapa kita. Bukan di mana kita dulu dan di mana kita sekarang yang menentukan siapa kita. Tapi bagaimana tindak-tanduk kita, di mana saja kita berada yang menentukan siapa kita sebenarnya.

Kita cuma orang biasa yang takdir masa depan kita masih belum tahu atas atau bawah, mulia atau hina, syurga atau neraka. Itu pun masih ada hati mahu berlagak?

Allah tak nilai kita dengan B.Sc, M.A atau Ph.D. Allah nilai hubungan kita dengan Dia, dan hubungan kita dengan kita-kita. Hablumminallah, hablumminannas. Allah nilai taqwa kita.


Ramadan dah nak sampai. Masih lagi mahu ego dan sombong melangit? Simpati pada lapar dan dahaga pada saudara seakidah di bumi bergolak masih mahu cuma diisi dengan dengkuran di siang hari? Macam Ramadan yang lepas-lepas, masih lagi mahu berbuka dengan hidangan melimpah tak muat meja?

Ramadan ini, ayuh lebih produktif. Berusaha dan bekerja di siang hari, ibadah sungguh-sungguh malamnya. Ramadan ini, ayuh kembara iman. Ke tingkat lebih tinggi lagi.

ps: terasa rindu pada Chad, Fend dan K2. Nama mereka sinonim dengan Ramadan buat saya.


Wednesday, June 20, 2012

Curhat

Suatu hari, di petang yang rembang, saya duduk bersama seorang sahabat lama di tepi padang kawad USM. Bertanya khabar ala kadar, kami terus kepada pokok persoalan. Dia sedang patah hati, putus cinta dengan kekasihnya. Oh ramai pula yang patah hati. Macam biasa, telinga saya tadahkan. Bak kata Kak Murni, saya boleh buka perkhidmatan "curhat" (curahan hati).

Hidup, kalau gembira semedang, pun tak seronok juga kan. Tak warna-warni lah kalau cuma ada gembira. Macam juga kesihatan. Sentiasa sihat saja, kita takkan tahu nikmat sihat. Sesekali sakit, barulah kita hargai kesihatan tu kan.

Hidup ni, macam spektrum warna. Dari satu warna, boleh ada tujuh warna lain dan dari tujuh warna tadi, setiap satunya ada tujuh lagi warna lain. Wah metafora!


Sebagai manusia biasa, lumrah untuk kita punya pelbagai emosi. Ada gembira, sedih, marah, takut, tenang, dan.. macam-macam emosi lagi. Biasanya, setiap emosi ini ada puncanya. Antara contohnya:

Gembira bila kenyang, macam pepatah Melayu;
 "Gendang-gendut tali kecapi, kenyang perut suka hati"
Atau pun sedih sebab frust berchenta macam dalam pantun ni;
Pisau raut hilang di rimba
 Pakaian anak raja di Juddah
Karam di laut boleh ditimba
 Karam di hati bilakah sudah? 
(Amboi!)
Tak pun, marah sebab salah faham atau memang tak mahu faham bak kata Marshall Rosenberg:
"Every criticism, judgment, diagnosis, and expression of anger is the tragic expression of an unmet need"
 Mungkin juga takut sebab buat rumah kat tepi pantai (haha!) bak kata pepatah Melayu;
"Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai"
Dan contoh terakhir, tenang sebab diredhai Allah SWT. Macam firman Allah SWT dalam Surah Al-Fajr, 89:28-29 yang bermaksud,
"Hai jiwa yang tenang.Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jama'ah hamba-hamba-Ku, masuklah ke dalam syurga-Ku."
Tak salah nak kecewa, nak sedih atau apa-apa emosi pun sebab emosi-emosi ini yang menjadikan kita MANUSIA, bukan malaikat atau apa-apa makhluk lain. Tapi emosi ini kena selalu dijaga sebab Allah SWT kan tak suka dengan orang yang berlebih-lebihan.Firman Allah SWT dalam Surah Al-Maaidah, 5:77 yang bermaksud,
Katakanlah: "Hai Ahli Kitab, janganlah kamu berlebih-lebihan (melampaui batas) dengan cara tidak benar dalam agamamu. Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang telah sesat dahulunya (sebelum kedatangan Muhammad) dan mereka telah menyesatkan kebanyakan (manusia), dan mereka tersesat dari jalan yang lurus." 
Jadi kalau ada emosi-emosi yang kurang baik dalam hati dan minda kita, elok-elok lah ditawarkan segera. Penawar terbaik? Kepada Allah juga kita kembali.

Wallahua'lam.
"Ya Tuhan kami, ampunilah dosa-dosa kami dan tindakan-tindakan kami yang berlebih-lebihan dalam urusan kami dan tetapkanlah pendirian kami, dan tolonglah kami terhadap kaum yang kafir." 
[Ali Imran, 3:147]