Showing posts with label Medan. Show all posts
Showing posts with label Medan. Show all posts

Wednesday, April 18, 2012

Yang Cerdik dan Solehah

Semasa dalam perjalanan pulang dari Parapat menuju ke Medan tempoh hari, saya diminta untuk mengulas tentang lagu 'Isteri Solehah' oleh Saff-One. Saya biasa dengan lagu tersebut tapi bila bercampur dengan gemuruh sebab kena bercakap depan ramai orang secara mengejut, terus jadi blank. Sebaris lirik pun tak muncul dalam kepala saya untuk dianalisis. Okay. Saya analisis lagu tu di sini saja lah ya.

Isteri solehah – saff one

Isteri cerdik yang solehah
Penyejuk mata, penawar hati, penajam fikiran
Di rumah dia isteri, di jalanan kawan
Di waktu kita buntu, dia penunjuk jalan

Bukan sebarang solehah, isteri dambaan (wah!) dalam lagu ini seorang yang cerdik. Memandangkan 'cerdik' disebut terlebih dahulu, wanita ini mungkin seorang yang cerdik semasa suntinya. Selepas menjadi isteri, barulah menjadi isteri yang solehah (kalau tak, wanita solehah je lah).

Disebabkan dia solehah, dia bersedia menghias dirinya untuk suami dan melayan suami suka dan duka. Disebabkan dia cerdik, dia menjadi penajam fikiran buat suaminya. Di rumah, dia bersedia menjalan tanggungjawabnya sebagai isteri. Dan bila di luar (jalanan), dia bersedia menemani suaminya. Bukan sekadar teman saja-saja, tapi teman dalam berjuang (ini guru saya yang bagi tahu). Maknanya, si isteri turut sama berjuang. Macam isteri Rasulullah SAW dan sahabat dulu. Bila keluar berjihad, ada antara isteri yang ikut serta. Ada yang merawat para mujahidin, ada yang menyediakan makan dan minum. Malah ada yang turut mengangkat pedang. Bukannya merungut dan marah-marah pada suami bila suami pulang lewat dari tempat kerja atau keluar berdakwah. Bukannya suami keluar berfoya-foya dan membuat maksiat kan.

Pandangan kita diperteguhkan
Menjadikan kita tetap pendirian
Ilmu yang diberi dapat disimpan
Kita lupa, dia mengingatkan

Pandangan dalam rangkap ini boleh jadi ada dua maksud. 1. Penglihatan; 2. Pendapat/fikiran. Kalau maksudnya penglihatan, mungkin sang suami diperteguhkan kerana kesudian isteri solehah tadi untuk berhias sebaik mungkin di hadapan suaminya. Memandangkan isterinya sendiri pun sudah secantik bidadari di dunia, buat apa lagi nak memandang perempuan lain di luar kan?

Tapi saya lebih cenderung kepada maksud kedua iaitu pendapat atau fikiran. Sejak awal lagi CERDIK ditekankan sebagai kata kunci yang sangat penting dalam lagu ini. Isteri yang cerdik ini mampu memberi pendapat dan buah fikiran kepada suaminya, sekali gus membolehkan pandangan sang suami tadi dikukuhkan. Ini berkait dengan baris seterusnya. Isteri yang cerdik ini mudah faham dan mudah mengingat ilmu yang diajarkan kepadanya.

Nasihat kita dijadikan pakaian
Silap kita, dia betulkan
Penghibur di waktu kesunyian
Terasa ramai bila bersamanya

Tapi, cerdik saja tidak solehah pun tak boleh juga. Sebab, cerdik itu mungkin boleh membuatkan kita sombong dan ego. Orang ego kan tak boleh dinasihat dan di tegur. Isteri yang solehah boleh menerima nasihat suaminya. Pakaian di sini mungkin bermaksud sebagai penutup kekurangan dirinya. Contohnya, sang suami menegur masakan isteri termasin. Isteri yang solehah tak kan merajuk tetapi sebaliknya memperbaiki masakannya. Kalau tak pandai masak, belajar memasak dengan orang yang pandai. Bukan mogok tak mahu masak. Ini contoh je ye.

Memandangkan isteri ini cerdik dan solehah, dia tahu membezakan mana yang benar dan yang salah. Jadi kalau suaminya tersilap, dia tahu perbuatan itu silap dan dia tahu cara untuk memperbetulkannya. Adanya isteri cerdik dan solehah ini juga sang suami tidak merasa sunyi. Terasa ramai boleh juga membawa maksud terasa meriah, gembira dan senang hati. Tapi bukanlah maknanya si isteri ini boleh jadi badut atau pelawak di hadapan suaminya. Kan isteri ini cerdik. Jadi mungkin sang suami boleh bertukar-tukar fikiran dan berbincang tentang hal kerja, hal dunia, hal politik dengan isteri. Taklah terbatas setakat hal rumah tangga sahaja.

Dia umpama tongkat si buta
Bila tiada satu kehilangan
Dia ibarat simpanan ilmu
Semoga kekal untuk diwariskan

Dua baris teratas dalam rangkap ini menunjukkan betapa sang suami tadi bergantung pada isterinya. Agak-agak, kalau isteri dia tiba-tiba kena outstation, sang suami cari baju kerja pun tak jumpa kot :) Okay, gurau.

Orang buta, tak bertongkat pun masih boleh jalan kan? Tapi mungkin sedikit sulit berbanding kalau ada tongkat. Tongkat tu untuk mempermudahkan, untuk membantu, untuk melancarkan perjalanan. Begitu jugalah isteri yang cerdik dan solehah. Adanya dia, hidup lebih mudah, lebih lancar dan lebih bermakna.

Memandangkan dia seorang yang cerdik maka ilmu yang ada padanya pun banyak dan dengan mudah pula mewariskan atau mengajarkan anak-anaknya ilmu yang bermanfaat.

“Dunia itu adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia ialah wanita yang solehah.”
(Hadis Riwayat Muslim)


Wah~
Hebat kan isteri yang cerdik dan solehah ini. CERDIK dan SOLEHAH ye. Tak ada salah satu pun tak bagus juga. Tapi realiti hidup sekarang ini, bukan mudah mahu menjadi yang cerdik DAN solehah. Wanita sekarang belajar tinggi-tinggi dan berpangkat tinggi. Bila terbiasa memberi arahan di pejabat maka mungkin terbawa-bawa ke rumah. Jadi kalau tak cukup solehah, mungkin boleh jadi Queen control di rumah.

Contoh terbaik isteri cerdik dan solehah bagi saya ialah Saidatina Khadijah r.a, isteri Rasulullah SAW. Kerana cerdiknya, beliau dapat menguruskan harta warisan keluarganya hingga menjadi wanita hartawan pada zaman jahiliyah sedangkan wanita zaman itu kebanyakannya hanya menjadi pemuas nafsu. Masa Rasulullah menggigil ketakutan selepas menerima wahyu pertama, beliau menyelimutkan Baginda dan menenangkannya. Beliau korbankan hartanya untuk perjuangan Islam.

Banyak lagi lagu-lagu nasyid (dan bukan nasyid) yang menjadikan isteri/muslimah sebagai tema. Tapi tak jumpa pula lagu yang menyatakan ciri-ciri suami soleh. Kalau isteri saja solehah, tak sempurna lah keluarga. Suami juga mesti soleh. Mesti boleh jadi pemimpin (imam) dalam solat dan dalam keluarga.

ps: Untuk kawan-kawan yang baru mendirikan rumah tangga, semoga menjadi isteri solehah. Kalau yang belum jadi isteri siapa-siapa, boleh jadi wanita solehah dulu ya!

Friday, April 06, 2012

Hikmah Kembara

oleh MIRWANA

Di sini kau berdiri berpijak di bumi
menjunjung langit yang luas
Pernahkah kau berfikir
alam penuh rahsia anugerah Yang Maha Esa

Berjalan,bermusafirlah
melihat kebesaran Tuhan yang diciptakan untuk
mereka yang berfikir dan bersyukur di atas nikmat dan kurnianya
nilai harganya,iman dan taqwa bagi hamba yang setia

Tiada beza warna, kulit atau rupa
yang ada hanya insan yang lemah
Dengan satu tujuan mencari keredhaan
dan berbudi di bumi Tuhan

Fikirkanlah.. dimana arah kita
Renungilah.. hikmah kembara
menuju kasih
buktikan cinta kita kepadaNya
ini kembara kita


ps: kurang 12 jam lagi akan berangkat ke Medan, Indonesia. insyaAllah, bermusafir bersama rakan-rakan dan para pensyarah untuk menghadiri seminar dan bengkel. juga sebagai kembara iman

Sunday, March 20, 2011

7 Hari

Assalamualaikum~

Alhamdulillah, saya baru saja pulang dari Medan, Indonesia pada hari Khamis lalu. Kali ini merupakan kali ke 3 saya menyertai musafir ISDEV ke Medan. Tujuan utama perjalanan ini adalah untuk mengikuti seminar oleh pensyarah-pensyarah saya dan juga untuk membentangkan kertas kerja saya sendiri.

Pada 2 musafir sebelum ini, saya selalu mengambil kesempatan untuk bermuhasabah diri dan menenangkan fikiran. Biasanya saya akan dilanda masalah atau krisis sebelum saya bertolak ke Medan. Begitu juga kali ini. Saya ke Medan dengan hati yang berat. Jiwa saya separuh tertinggal bersama keluarga besar di Perak kerana ketika saya di Medan, keluarga besar "Wan" berkumpul di kampung di Jalong, Sg Siput, Perak. Menurut ibu saya, hanya beberapa cucu yang tidak hadir dan salah seorangnya adalah saya.

Menariknya, walaupun sebelum kami bertolak ke Medan saya tidak begitu gembira dan agak keberatan, namun setelah kami di sana, saya mula berasa seronok. Malah, lebih seronok berbanding musafir-musafir yang pernah saya ikuti sebelum ini. Kenapa ya? Barangkali kerana saya tidak fikir apa-apa. Saya hanya menikmati setiap detik ketika saya di Medan, tanpa berasa risau akan gempa dan tsunami yang ketika itu melanda Jepun, mahupun ancaman hujan asid akibat ledakan nuklear dan pencemaran radioaktif Jepun. Saya serahkan nasib saya kepada Allah, sepenuhnya tanpa berfikir apapun. Membentang kertas kerja juga jadi lebih mudah berbanding kertas kerja lain yang pernah saya tulis sebelum ini. Barangkali kerana ini antara kertas kerja terburuk pernah saya tulis.

Semasa kertas kerja tersebut ditulis, saya menyedari betapa bodoh dan ceteknya ilmu saya. Lumrah orang belajar, makin belajar makin tidak tahu. Tapi memandangkan masa yang suntuk, saya tulis jugalah apa-apa yang termampu. Jadinya, saya pasrah saja kalau saya dihentam selepas pembentangan. Saya berserah bulat-bulat kepada Allah. Apa nak jadi, jadilah. Yang menariknya, soalan-soalan yang timbul selepas saya membentangkan kertas kerja bukanlah soalan menghentam tetapi soalan yang membina. Malah audiens nampak seperti berminat dengan topik yang saya utarakan. Barangkali kerana yang mengikuti pembentangan saya merupakan mahasiswa Fakultas Ekonomi, maka mereka faham tentang apa yang saya perkatakan. Alhamdulillah.


Saya bersama seluruh ahli musafir yang berjumlah lebih 40 orang berada di Medan Indonesia selama 7 hari dari 11 Mac hingga 17 Mac lalu. Hari kedua diisi dengan seminar di Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU). Sehari suntuk kami disajikan dengan hidangan intelektual yang menguji kekuatan otak dan hati. Bukan mudah nak memberi tumpuan apabila wajah anda disuluh lampu spotlight sambil mendengar pembentangan 6 ilmuan dari pagi sampai ke petang. Spotlight tersebut dinyalakan ke arah penonton barangkali kerana keadaan dewan yang agak suram menyukarkan krew rakaman untuk merakam seminar tersebut.


Hari ke-3 kami bertolak ke Parapat. Di sini letaknya Danau Toba. Setiap kali ke Medan, setiap kali jugalah kami ke Danau Toba. Di tengah-tengah danau yang katanya terhasil akibat letusan gunung berapi ini terletak sebuah pulau bernama Samosir. Samosir ye, bukan samosa. Majoriti penduduk di sini berketurunan Batak, beragama Kristian. Mazhab apa, tak tahulah. Dua hari di Parapat, shopping apa yang patut (juga yang tak patut) dan menikmati keindahan kawasan pelancongan tersebut, kami kemudian bertolak kembali ke Medan.


Keesokan harinya, kami membentangkan kertas kerja di Workshop Antarbangsa (antarabangsa) Pembangunan Berteraskan Islam (WAPI) yang diadakan di UMSU. Program tersebut berjalan sehari suntuk. Kami cuma berhenti rehat untuk makan tengah hari (makan dalam bilik pembentangan) dan solat Zohor di masjid UMSU. Setelah tiga kali menyertai dan mengikuti workshop ini, saya rasakan audiens kali ini adalah yang terbaik! Mereka mengambil nota dan menumpukan perhatian kepada setiap pembentangan. Respon dan soalan-soalan yang diberikan juga cukup baik. Barangkali hanya untuk bilik kami sahaja, kerana dengar cerita perbincangan di bilik lain lebih banyak disertai oleh ahli-ahli ISDEV sendiri berbanding audiens dari UMSU.


pemandangan sekitar Pajak Ikan

Hari terakhir sebelum hari kami berangkat pulang, kami semua diberi peluang satu hari untuk membeli-belah di sekitar Medan. Oleh kerana kami dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil mengikut kenderaan MPV, maka tempat-tempat untuk bershopping berbeza mengikut kenderaan.

Kumpulan kami bermula dengan berkunjung ke Zulaikha - kedai yang menjual kek lapis dan bika ambon khas Indonesia. Kemudian ke kedai buku Wali Songo dan seterusnya ke kedai buku Gramedia (juga terdapat di Malaysia, salah satu nya di the Mines). Selepas makan tengah hari dan solat jamak taqdim Zohor-Asar di Masjid Agung, kami berangkat pula ke Pajak Ikan Lama, salah satu lokasi membeli belah khusus untuk ibu-ibu. Lebih kurang macam Jalan TAR la. Saya sepatutnya membeli kain untuk dibuat baju kurung untuk ibu dan juga adik saya. Tapi memandangkan saya kurang arif tentang fabrik dan tekstil, maka segera saya hantar sms kepada ibu, "Mama, kain banyak sangat. Tapi mahal-mahal. Macam untuk orang kahwin. Kakak tak reti beli. Takpe ye kalau tak beli." dan wang ratusan ribu rupiah yang saya simpan untuk membeli kain itu saya gunakan untuk membeli al-Quran (dan novel hehe).

hasil 'shopping'an kami, macam orang pulang haji!

Dan esoknya, hari Khamis, 17 Mac kami pun bertolak ke Bandara (bandar udara) Polonia untuk kembali ke Pulau Pinang. Alhamdulillah, sekitar pukul 12 tengah hari, kami selamat sampai di Bayan Lepas.

Esoknya, hari Jumaat ISDEV menganjurkan Majlis Malam Graduasi untuk meraikan graduan-graduan ISDEV peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah yang berkonvokesyen pada hari Sabtu, 19 Mac di Kampus Kejuruteraan USM, Nibong Tebal. Saya ditugaskan untuk menjadi MC bagi majlis tersebut. Sebelum ini saya cuma pernah menjadi moderator untuk workshop sahaja. Jadinya, bila ditugaskan menjadi MC ni, terketar lah juga. Sampai tersasul-sasul menyebut nama pensyarah sendiri.

Begitulah perjalanan hidup saya dalam tempoh 7 hari yang lalu. Hari ini sudah hari Ahad. Esok, akan bermula minggu baru. Dan saya harus mengisi masa yang Allah anugerahkan dengan lebih efisyen lagi. InsyaAllah.

Doakan saya ya! Sampai jumpa lagi ^^

Tuesday, August 10, 2010

Pengembaraan bermula!

Lebih 1 jam menunggu untuk check-in di lapangan terbang. Selesai, berlari menuju ke surau di aras bawah untuk Solat Asar. Kemudian berlari lagi ke bilik mesyuarat di Aras 1. Rakan yang mengandung turut sama berlari mengejar masa. Adat musafir, perjalanan ke Medan ini bukan cuti-cuti Malaysia untuk ambil-ambil angin. Selesai taklimat, kami menuju ke ruang departure. Beratur lagi. Panggilan terakhir untuk penerbangan kami bergema. Selesai urusan di imigresen dan scanning barang-barang, kami berlari menuju ke departure gate. Marah si pramugari, "Kenapa lambat?" Pantas rakan saya menjawab, "Check-in tu lama sangat!"

mendengar taklimat

Disebalik segala kesulitan yang dihadapi sebelum berlepas, semuanya berjalan lancar selepas itu. Alhamdulillah. 6.10p.m di Pulau Pinang. Cuaca sangat baik sepanjang perjalanan. Ketua pramugari melarang penggunaan alat elektronik semasa penerbangan tetapi penumpang semakin galak mengambil gambar. (Saya pun sama.)

dari tingkap pesawat

Rezeki malam pertama
Tiba di Medan 6.00 p.m waktu tempatan (7.00 p.m di Malaysia). Terus ke hotal Royal Perintis. Check-in, solat Jamak Taqdim dan terus bersiap untuk makan malam di kediaman salah seorang urusetia yang juga merupakan pelajar seliaan guru saya. Kami menikmati makan malam - nasi dengan sambal tempe, lontong, rendang dan masak tauchu. Alhamdulillah, rezeki malam pertama.

Duit oh Duit!
Hari ke-2 bermula awal. Usai Solat Subuh berjemaah, tazkirah tentang kemiskinan dan akibatnya d Indonesia mengambil tempat.
"melihat suasana fasiliti di sini - rasa insaf dan bersyukur dengan nikmat yang kita ada di Malaysia"
-suerism
Dikatakan bahawa, selepas tragedi Tsunami, banyak NGO dari luar hadir ke Acheh dan mengambil anak-anak Acheh yang kehilangan ibu bapa lantas memurtadkan mereka. Juga didakwa program memurtadkan ini memfokuskan kepada golongan miskin - memberi wang untuk perdagangkan akidah. Maka bapak yang memberikan tazkirah menyatakan kaedah untuk membasmi keadaan ini adalah melalui pembangunan ekonomi.

Siang itu guru saya berucap di Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU). Pada zaman Rasulullah, ada golongan yang memang tidak disuruh oleh Baginda untuk bekerja sehingga kaya. Mereka hidup dalam keadaan zuhud, digelar golongan suffah. Namun ada juga yang tidak mahu menjadi kaya hingga mahu mendermakan seluruh hartanya tetapi dilarang oleh Nabi.
"Happiness is positively associated with higher income only up to the level where all basic biological needs get fullfilled"
-M. Umer Chapra
Bagi saya, kalau kaya tetapi tak dapat bantu si miskin, nak buat apa? Miskin itu mengundang kufur, kaya juga mengundang kufur! Pokoknya, kembali pada Allah. Biar miskin harta jangan miskin iman. Yang miskin usaha dengan taqwa, yang kaya memberi dengan taqwa.

Solat jemaah

berjemaah ketika dalam perjalanan ke Parapat (Danau Toba)

Satu perkara paling terkesan buat saya sepanjang di Medan adalah cara guru saya mendisiplinkan kami - anak muridnya melalui solat jemaah. Kami solat bersama hampir pada setiap waktu solat. Usai solat, rakan-rakan dari Medan akan menyampaikan tazkirah dan berkongsi cerita yang bermanfaat buat kami. Ada yang bercerita tentang kesusahan hidup bertani semasa kecil - hingga tak pernah bermimpi untuk berpeluang belajar sehingga Ph.D di negara orang. Ada juga yang bercerita tentang susahnya mencari sumber kewangan semasa melanjutkan pelajaran di Malaysia tetapi tetap mahu bernikah - dan mendapatkan rezeki dengan lebih mudah selepas bernikah. Ada juga kisah gempa susulan setelah gempa melanda Acheh ketika kami di Medan. Seribu satu kisah, yang hampir kesemuanya memberi peringatan kepada diri saya sendiri, untuk bersyukur kerana dilahirkan dan diberi peluang untuk melihat dunia sebagai seorang Wan Norhaniza.

Membentang
Hari ke-2 diisi dengan sesi pembentangan kertas kerja. Kami membentang saat peperiksaan kemasukan diadakan. Sesekali selepas ujian tamat, loceng dibunyikan sambil pengumuman "ujian tamat" berkumandang di corong amplifier.

registrasi sebelum workshop dirasmikan

10 minit diberikan untuk setiap pembentang. Bagi yang cukup bersedia, masa yang diberikan tidak mencukupi. Tapi untuk yang antara bersedia dengan tidak, ditambah dengan darah gemuruh, 10 minit itu terlalu lama untuk saya! Maklumlah, bila sudah gementar, butir kata dah jadi macam machine gun!


Ada juga yang tertinggal slide show di kamar hotel. Salute dengan audien di UMSU ini. Walaupun tanpa slide show, mereka tidak lost malah semakin memberikan tumpuan (dengan wajah yang cukup tense!). Tindakan penganjur memberikan kertas kerja penuh juga membolehkan peserta workshop terus membacanya sambil mendengar penerangan pembentang. Bukan semata-mata mendengar. Mereka mencatat nota dan bertanya soalan.

Batuk
3 hari sebelum ke Medan, tekak saya sudah mula sakit dan batuk-batuk. Bimbang juga kalau suara tak mahu keluar ketika giliran saya membentang. Dengan segala macam doa dan zikir yang terlintas di kepala, saya mula membentang. Gemuruh pada awalnya hilang serta merta selepas lafaz salam saya berikan kepada audiens. Suara keluar lantang. Alhamdulillah, doa sejak di Malaysia dimakbulkan Allah. Selesai membentang, saya batuk kembali. Tak apa lah. Yang penting dapat membentang.

Scenery

macet!

Salah satu perkara yang saya gemar tentang Medan adalah pemandangannya. Dari tempat kami menginap di pinggiran kota Medan, sampailah ke Danau Toba di Parapat. Semuanya menakjubkan buat saya. Pemandangan kemacetan (sesak/jam) kota merupakan pemandangan yang paling biasa. Dan di Toba, kehijauan flora dan kebiruan langit dan tasik mengambil tempat menghias pandang. Bukanlah saya kagum dengan kereta yang bersesak-sesak. Kagum itu ada pada penghuninya. Masyarakat Medan ini sangan lembut hatinya. Kalau di Penang, sesak begitu mengundang marah. Tapi di Medan kesesakan sudah menjadi punca rezeki. Ada yang berjualan kepada pemandu dan penumpang kereta. Ada juga mengambil peluang meminta sedekah. Orang-orang di Medan ini juga kuat bekerja. Dari anak kecil hinggalah yang bangka. Terfikir, betapa saya dikelilingi segala macam kesenangan, tapi masih malas belajar sedangkan ada anak-anak kecil di sini tiada peluang bersekolah pun!

Makan!


Sepanjang berada di Medan, semua makanan - dari sarapan hinggalah ke makan malam disediakan oleh pihak urusetia. Sarapan di hotel dan di seminar atau workshop, kami makan nasi kotak (saya beri nama ini kerana nasinya berada di dalam kotak). Tuah bermusafir dengan guru, kami turut dibelanja makan ikan bakar di Belawan (tepi laut). Makan malam pula disediakan oleh pelajar pensyarah-pensyarah saya di kediaman mereka, secara bergilir-gilir. Senang kata, kami tak perlu risau tentang makanan sepanjang berada di Medan. Cuma perlu hati-hati kerana masakan mereka lebih pedas berbanding masakan melayu biasa di Malaysia.

Shopping
Perkara wajib setiap rakyat Malaysia yang mampir ke Medan (dan kota lain di Indonesia) adalah shopping. Pertukaran matawang selalu membuatkan rakyat Malaysia merasakan harga barangan di Indonesia lebih murah berbanding dengan di Malaysia. Sebenarnya tidaklah semurah mana. Malah ada lagi yang lebih murah di Malaysia. Tapi ye lah, sudah di tempat orang, mahu juga membeli tanda mata untuk dibawa pulang.

membeli untuk isteri?

Kalau selalu shopping dikaitkan dengan wanita, perjalanan ini membuktikan bukan cuma wanita yang gemar bershopping! Oh, sebelum bertolak ke Medan, saya berazam untuk tidak bershopping. Azam tersebut gagal. 1juta Rupiah yang saya bawa cuma tersisa 2 ribu rupiah (lebih kurang 60sen). Apa yang saya beli? DVD dan VCD, novel dan buku-buku lainnya. Mujur juga cuma bawa 1 juta. Kalau bawa lebih, makin banyaklah yang dibeli. Akibat dari shopping besar-besaran ini, ramai rakan-rakan yang terpaksa membeli beg tambahan kerana mahu membawa pulang barangan yang dibeli. Kebanyakannya kain, telekung dan bika ambon. Had 15 kg yang diberikan oleh Air Asia tidak mencukupi sehingga ada yang terpaksa mengagihkannya sesama kami.


Saya kesuntukan masa untuk bercerita lebih panjang lagi. Sebenarnya ada terlalu banyak perkara yang saya alami sepanjang seminggu di Medan. Tetapi biarlah perkara-perkara tersebut tersimpan antara saya dengan Allah. Musafir kali ke-2 ke Medan buat diri saya, membuka peluang untuk saya berhijrah dari seorang Wan Haniza kepada Wan Haniza yang lebih baik. InsyaAllah. Terima kasih Medan, terima kasih untuk semuanya.