Membaca entri teman saya,
Aryn tentang kemahuannya di masa akan datang membuatkan saya teringat kepada teman sebilik ketika undergraduate dulu, Zetty Syairah. Zetty pernah mengatakan saya seorang yang punya banyak kemahuan, kenginan dan angan-angan. Terpaksa saya akui, saya memang begitu.

Seingat saya, cita-cita pertama saya mula terbina ketika darjah 1. Waktu itu, jika ditanyakan tentang cita-cita, saya akan menjawab "nak jadi macam abah". Dan jika ditanya abah kerja apa, saya menjawab, "cari minyak". Bapa saya bekerja di syarikat petroleum negara dan kini telahpun bersara. Ketika itu, bapa saya sering outstation (keluar daerah?) ke Bangkok, Terengganu, Miri dan entah ke mana-mana lagi. Saya cuma memandang keinginan saya untuk berjalan merata dunia.

Kemudian seorang ustazah baru muncul di kelas fardhu ain (KAFA) Madrasah Asy-Syakirin, Ampang. Kalau tak silap namanya Ustazah Masyitah. Saya baru darjah 4. Ustazah Masyitah sering bercerita. Satu hari, diceritakannya kisah perjalanan isra' dan mikraj Rasulullah SAW. Ketika merentasi neraka, baginda melihat ramai golongan wanita diseksa di dalamnya. Kemudian ustazah ceritakan lagi tentang aurat seorang perempuan, dosa yang ditanggung sama ada oleh ibu, bapa, atau adik beradik lelakinya. Ustazah ceritakan lagi bila seorang perempuan itu berdosa, maka nerakalah akibatnya. Maka jadilah saya dan teman baik saya, Effida Liyana geng bertudung ketika bermain di taman perumahan kami. Ustazah juga bercerita tentang belajar agama di Al-Azhar, Mesir serta di Jordan. Maka jadilah saya pelajar sekolah rendah darjah 4 yang mahu menjadi ustazah yang belajar agama di Al-Azhar atau di Jordan.
Ketika darjah 6, saya berhenti menghadiri KAFA kerana hilang geng sepasukan. Effida pindah ke Sarawak. Saya jadi tidak berminat untuk belajar agama lagi. Setelah tamat UPSR, ibu mula bimbang kerana saya mula meninggalkan bacaan al-Quran yang sebelumnya menjadi rutin harian saya. Tudung yang menutupi kepala saya juga sudah melayang. Saya bergaul dengan teman-teman dari kalangan mereka yang tergilakan Spice Girls dan BSB. Oh ya! ketika itu Beckham masih bujang (walaupun perut Posh sudah memboyot). Malah seorang teman saya gemarkan rancangan Sex n the City! Waktu ini juga teman-teman ada yang sudah mula menjadi pengacara di Disney Channel. Dengan kuku bercorak dan gambar Nick Carter di mana-mana, saya bersekolah tanpa cita-cita.

Syukur juga ibu bawa saya berpindah ke Rawang sebelum sempat saya menjadi lebih terpengaruh. Di Rawang, saya mula menyimpan cita-cita. Mahu jadi doktor, saya pernah berkata dengan tegas kepada seorang guru kaunseling. Lagipun waktu itu semua orang mahu menjadi doktor. Dan kerana mudahnya saya terpengaruh, saya juga mahu menjadi doktor. Ketika tingkatan 3, saya terbaca kisah pelajar Malaysia di luar negara dalam bidang Farmasi. Maka saya pun mula menyimpan cita-cita mahu menjadi ahli farmasi.
Ketika tingkatan 4, saya ditimpa musibah kesihatan yang jatuh menjunam. Ibu ingatkan saya supaya sentiasa tabah, Waktu itu saya sudah tidak mahu hidup. Saya persoalkan takdir Tuhan. Kemudian saya ditunjukkan tentang kenikmatan hidup. Allah hadirkan 3 lelaki - Mr. Mazwar, Mr. Ozlan dan Mr. Fadzil yang merupakan pakar ortopedik di HKL yang merawat saya. Mereka berikan semangat. Kemudian saya menerima bahawa qada' dan qadar itu ketentuan daripada-Nya. Tidak perlu saya persoalkan. Cukup sekadar menjalaninya dan mengambil ikhtibar. Melihat Mr. Mazwar, saya mula berkeinginan menjadi orang yang berbakti. Ibu saya ceritakan bahawa Mr. Mazwar itu jika ke hospital swasta, gajinya pasti memuncak tinggi. Tapi kerana keinginan untuk berbakti maka ditetapkan juga untuk berada di Wisma kayu HKL. Kalau pergi ke sana sekarang, Institut Ortopedik dan Traumatologi itu telah berpindah ke bangunan baru di sebelahnya. Maka jadilah saya orang yang mahu berbakti kepada manusia. Yang terlintas di kepala, saya mahu membantu saudara di Palestin atau barangkali di Iraq atau mungkin di rumah anak-anak yatim di Malaysia saja. Kemudian setelah 2 bulan tidak bersekolah, guru biologi mengajarkan tentang pewarisan genetik berasaskan teori Mandell. Saya mula menyimpan keinginan untuk menyiasat penyakit saya dan mencari penawarnya. Tiba-tiba saya mahu menjadi ahli genetik.
Kemudiannya di tingkatan 5 guru fizik mengajar tentang nuklear dan separuh nyawa (half-life). Pn Norseha namanya, bercerita tentang kewujudan sebuah institut mengkaji nuklear di Malaysia yang saya lupa namanya. Kebetulan waktu itu timbul krisis nuklear di Korea Utara, Iran, India dan Pakistan. Saya melihat diskriminasi yang dilakukan Amerika keatas negara Islam khususnya Iran. Kemarahan saya ketika itu membuatkan saya menyimpan cita-cita untuk menjadi penghasil (pencipta atau pereka?) bom nuklear di Malaysia. Saya juga pernah terfikir mahu menjadi pengebom berani mati. Kononnya mahu berjihad, mahu mati syahid. Sedangkan waktu itu, perjuangan bukan kerana Allah pun. Sekadar kemarahan dan luapan nafsu remaja semata.

Keputusan subjek Fizik dalam SPM saya sangat teruk. Maka masuklah saya ke Kolej Matrikulasi sebagai pelajar aliran Hayat. Oleh kerana Matematik saya agak cemerlang di sekolah, maka saya pun bercita-cita mahu menjadi guru matematik. Tetapi kemudiannya saya tersedar bahawa bakat saya bukan dalam bidang matematik kerana pada peperiksaan pertengahan semester, saya hanya berjaya memperoleh markah keseluruhan 8 per 100 bagi subjek tersebut. Bertukarlah cita-cita saya dalam semester pertama di matrikulasi itu daripada guru matematik kepada apa2-yang-boleh-jadi-yang-penting-masuk-universiti. Hehehe. Begitulah.
Saya berjaya ke USM sesudah tamat pra-U. Ketika menghadiri taklimat kursus, saya diperkenalkan dengan terma mikrobiologi. Pensyarah yang bercerita kalau tak silap saya adalah Prof Ibrahim Che Omar (ICO) yang kini telah berhijrah ke universiti lain (xtau kat mana..dengar kata ke UMK). Dengan sedikit taklimat, jadilah saya pelajar tahun 1 yang berkobar mahu menjadikan mikrobiologi sebagai major. Cita-cita saya untuk menjadi ahli bom nuklear kembali muncul. Saya mahu mencipta nuklear biologi seperti yang pernah famous suatu ketika dulu, antrax. Sambil-sambil tu, ada juga terlintas mahu buka kilang makanan. Mahu menjadi QC di kilang, mahu jadi laboratorist di makmal terkemuka, mahu cipta ubat baru, mahu mencari penawar HIV/AIDS. Dan oh ya! Tak lupa mahu mencari penawar penyakit saya. Kebetulan, saya perlu belajar subjek genetik. Walaupun ruang untuk melaksanakan kajian (saya cuma lakukan kajian literature..apa ya dalam bahasa melayu? pembacaan kot) berkenaan penyakit saya terhad, syukur saya temui juga secebis pemahaman berkenaan anugerah Tuhan ini. Kaedah rawatan juga saya temui tapi mungkin sedikit bertentangan dengan konsep manusia sebagai ciptaan Allah iaitu rawatan genetik (genetic treatment) yang perlu dilakukan di awal trimester kandungan (senang kata, masa 1st trimester). Saya harap para saintis dan teman-teman saya yang masih dalam bidang ini akan menemui kaedah lain. Kita bukan Tuhan untuk sesuka hati mengubah genetik manusia dan makhluk ciptaan Allah. Ini jugalah antara sebab saya bertukar aliran. Saya tidak sanggup memutasikan segala macam bakteria untuk kemaslahatan manusia. Saya merasa seksaan itu menyelubungi diri saya ketika melakukan projek tahun akhir dulu.
Setelah tamat ijazah pertama, saya menyambung pelajaran dalam aliran sains sosial yang berteraskan Islam. Saya kembali ingat cita-cita saya mahu menjadi ustazah dulu. Pensyarah saya pernah memanggil saya ustazah walaupun saya langsung tiada kelayakan menjadi ustazah dan langsung tidak kelihatan seperti seorang ustazah. Tapi saya aminkan kata-katanya. Mana tahu, satu hari nanti ia menjadi kenyataan. Jika ditanya tentang cita-cita saya kini, maaf saya tidak dapat menjawabnya. Saya sendiri kurang pasti mahu jadi apa. Boleh saja saya kembali kepada bidang biologi. Atau mungkin menyambung belajar ke peringkat tertinggi. Atau menjadi suri rumah dan isteri jika saya punya seorang suami. Tapi saya tak punya suami. Saya juga masih belum tamat master degree. Kalau boleh tak mahu kembali ke bidang biologi.
Saya cuma tahu saya ingin berjaya di dunia dan akhirat. Saya mahu menghasilkan disertasi yang baik dengan kajian yang baik. Saya cuma tahu saya mahu membalas jasa kedua orang tua saya yang berhabis masa, tenaga dan wang ringgit untuk menyekolahkan saya. Saya cuma tahu saya mahu tetap di jalan yang diredhai Allah. Kemana pun jalannya, kemana pun Dia hala kan saya, insyaAllah akan saya ikuti. Cukup jika jalan itu jalan yang terbaik buat saya dan orang yang bergantung kepada saya, baik buat masa ini dan baik buat masa akan datang, baik di sisi Allah serta baik buat agama-Nya.
ps: harap2 ahli ziarah yang sudi berkunjung tidak meraikan Valentine's Day...selami kembali ruh perjuangan Islam dengan keruntuhan Islam di Andalusia