riwayat hidup Rasulullah s.a.w dalam puisi (A. Samad Said)
Hari yang berlalu seperti pilu, malam yang berganti seperti sepi. Setiap khabar sekitar Baginda, bangun dan tidurnya, cakap dan senyapnya, terkhabar dalam resah, ditafsir dan ditamsil pelbagai warna. Dan Nabi, dalam lemah dan resahnya, masih tetap berulang-alikke masdid mengimami solat berjemaah, dan hinggalah pada satu ketika, Baginda sendiri terasa amat lemahnya, lalu kepada Aisyah diperintah supaya Abu Bakar mengimami solat, dalam khusyuk yang sama, Aisyah, entah mengapa, kurang selesa menerimanya.
Seperti terkejut Umar bin Al-Khattab, dipandangnya Nabi dibaca wajah, pemimpin yang sangat cergas berfikir nasib ummah ditafsirkannya. Berkira dan beralas, diseluk ke dalam batin, ditenung mata Baginda, dan dengan yakin tapi ketar, Umar cuba mengingatkan : benar kita dalam gawat, benar ummah dalam kacau, tapi tidakkah telah diwariskan mereka dengan al-Quran, tidakkah kitab yang demikian sempurna, tidakkah segala ayat di dalamnya jawapan setiap masalah, pimpinan setiap tindak. Lalu sesama sahabat, depan Nabi, berhujahlah mereka.
Berkisah dan berhujah, sihat suasana yang dicari, dewasa hati ummah. Dan sementara mereka kuyup dalam jernih bicara, Nabi, dalam usia enam puluh tiga, lemah yang segar, dengan mata tetap bercahaya, rambut putih sekelompok dua, mula mengulangi keyakinan dan mimpinya. Telah bermimpi Baginda akan syurga, telah dicapainya buah anggur. Khalayak yang amat menyayangi Baginda, mendengar khabar sedemikian, faham dalam sedihnya, kerana amat tahu, Baginda lebih dan ghairah berkata tidak lagi tentang dunia, segala-gala mula ke akhirat impinya.
Masih khalayak di keliling katil, Aisyah paling hampir dipanggil, dan, dalam bisik, ditanyakan ke mana milik delapan dinarnya, dan dengan tegas, dipinta supaya disedekah. Malam menjadi lebih bertanya, awan yang ghaib dipercayai ada, langit masih penuh rahsia, dan unggas yang lena diyakin wujud. Malam lanjut dengan resah, nafas Nabi seperti teriring, dan khalayak ketar dan pilu, bauran ganjil dalam syahdu. Dan seperti tenang nampaknya Nabi, suhu badan seperti berkurang, berkat ubat dari Asma’, dan Nabi, seperti biasa, pinta ke masjid dirinya.
Hari panas ketika itu, mentari mempunyai kisahnya sendiri, dan langit masih penuh rahsia. Hari panas ketika itu, alam mempunyai ceritanya sendiri, dan gurun masih penuh rahsia. Nabi meminta bejana air, diseluk ke air dan diusap wajahnya, berkata tenang datangnya ajal dan rela. Di pangkuan isteri kepalanya, berkata ia sukar diterka, dan tengah hari Rabiulawal tahun 11 Hijrah Nabi yang mulia menghembus nafas akhirnya.
Hari panas ketika itu, mentari mempunyai kisahnya sendiri, dan langit masih penuh rahsia.
Hari panas ketika itu, aduh Nabi sudah tiada.
ps: Salam Maulidur Rasul. Ayuh, sama-sama berselawat buat Nabi, ahli keluarganya serta para sahabat. Semoga kita menjadi umat yang baik, yang akan bersama-samanya di akhirat nanti