
Semasa bergelar pelajar sekolah dulu, saya bukanlah pelajar yang baik. Masih saya ingat, semasa pelajar-pelajar yang bakal menduduki PMR perlu bersalaman dengan semua guru, guru Matematik yang pernah mengajar semasa tingkatan 1 menarik tangannya pantas, tidak mahu dicium. Bukan saya seorang yang diperlakukan begitu, rakan-rakan seangkatan yang sama nakal turut menghadapinya. Mujur juga, subjek tersebut dapat saya hadapi dengan baik ketika PMR. Mungkin itu kelebihannya bertukar guru setiap tahun. Buat salah pada satu guru, tahun seterusnya setelah sedikit matang, belajarlah dengan lebih baik.
Itu hanya secebis kecil fragmen dalam kehidupan saya dengan insan bernama guru. Sejujurnya, memang ada guru yang berjaya mencarik luka dalam hati saya. Namun, jutaan terima kasih juga buat mereka kerana luka itulah buat saya masih ingat mereka. Kerana luka itulah yang mengajar dan mendewasakan. Kini, saya percaya dan yakin kelukaan itu bukan sengaja diada-adakan. Pasti tujuannya untuk mendidik.
Tidak kurang juga guru-guru yang terlalu baik dan ajarannya sangat berkesan dan dekat dengan hati saya.
Sekolah Rendah
Ustazah Salwa yang mengajar alif ba ta hingga khatam al-Quran, yang selalu membacakan kisah-kisah sirah. Yang merawat luka ketika terjatuh saat bermain dengan rakan-rakan. Pn. Rohani, guru kelas 2 Anggerik (SKA) yang selalu percaya dengan anak didiknya yang walaupun berada di kelas terkebelakang masih boleh berjaya. Pn. Sarah, guru Matematik 6 Usaha kerana mengajarkan Matematik yang sangat indah dan tersusun.
Sekolah Menengah
Cikgu Rizal dan Cikgu Anwar yang pernah menjadi rebutan pelajar-pelajar 1 Amanah di SMKDAR (kerana mereka guru sandaran, baru tamat STPM ketika itu). Barangkali sudah jadi pegawai besar kini. Pn. Mazlah, guru Sains 2 Harapan (SEMEKAR) yang berjaya membuatkan saya memahami sifat cahaya dan lensa. Ustazah Wan Najibah (Pendidikan Islam, 2 Harapan, 3 Harapan, 4 Cekal) yang selalu bersabar dengan kerenah saya yang suka ponteng kelas PAFA dan melewatkan hafazan tetapi masih berani menjadikan saya sebagai wakil sekolah untuk Kuiz Agama Daerah Gombak. Pn. Kartini, (Matematik 3 Harapan) yang bersabar mengajar saya silibus tingkatan 1 hingga 3 dalam masa 1 tahun. En. Jamil (Sejarah, 3 Harapan & B. Melayu 4 Cekal) yang berjaya membuatkan saya berminat dengan Sejarah melalui kaedah berceritanya. Mr. Teh Tat Leong (Matematik Tambahan 4 & 5 Cekal) yang bersemangat dan tidak pernah malu menyatakan, "Saya baru belajar mencari formula menggunakan kalkulator," dan mengajarkannya kepada kami, yang selalu berusaha membumikan teorem dan fungsi Matematik kepada kehidupan sebenar, yang selalu menceriakan kelas dengan permainan Matematik dan hadiah-hadiah unik (paling best kalau dapat stem!), yang tidak pernah memandang warna kulit dan berjaya mendidik saya untuk biasa dengan DEADLINE! Pn. Azizah (B. Melayu 5 Cekal) yang memperkenalkan Faisal Tehrani dan Abdullah Hussein, yang membuatkan saya mencintai bahasa ibunda sendiri, yang selalu menceritakan pengalamannya ketika menuntut di USM (hingga saya terpengaruh untuk memilik KMPPinang untuk pra-u). Pn. Azean (B. Inggeris, 5 Cekal) yang membuatkan saya suka pada B. Inggeris dan mahu menggunakannya (B. Inggeris saya sungguh teruk sehingga membuatkan guru BI ketika Tingkatan 3 memanggil ayah saya kerana risau saya akan berjaya subjek lain tetapi gagal subjek tersebut).
Kolej Matrikulasi Pulau Pinang (KMPP) - H5P5
En. Azman (Biologi) yang selalu menunjukkan bukti kekuasaan Tuhan melalui kehidupan dan penciptaan makhluk-Nya. Pn. Jamaliah dan Pn. Nik (Matematik) yang selalu dedikasi tanpa mengira masa dan tak pernah jemu menghadapi pelajar yaang apabila diajar akan faham tetapi saat disuruh membuat tutorial, semuanya hilang. En. Rizal (BI) yang berjaya memaksa anak-anak Kelantan bertutur dalam BI.
USM - School of Biological Sciences
Dr. Rasyidah yang menarik minat saya untuk memilih Mikrobiologi sebagai major. Prof. Zubeir (kini Dato') yang meperkenalkan Biostatistik. Dr. Azizan (kini di UMK) dan Dr. Razif yang mengajar Microb's Physio dengan cara yang SANGAT unik! Dr. Joe (Tengku Sifzizul, kini di UMK) penasihat akademik dan pensyarah Immunologi yang selalu kata, "kenapa turun ni Wan?" saat pointer saya jatuh berturut-turut sejak semester 2 tahun 1. Dr. Amir yang menjadi penyelia latihan industri dan pensyarah Environmental Microbes yang selalu bersabar dengan ke-tidak-minat-an saya. Dr. Sudesh Kumar & Mr. Kesaven yang selalu membantu dan memberi tunjuk ajar sepanjang melakukan Projek Tahun Akhir dan memperkenalkan saya kepada journal akademik.
USM - ISDEV
Prof. Syukri yang percaya kepada saya. Dr. Fadzila Azni yang selalu berjaya mengesan perubahan emosi saya. Dr. Zahri, Dr. Zakaria yang mengajarkan kepentingan dan kelebihan muamalat Islam. Serta semua pensyarah di ISDEV, termasuk Doctoral Fellow dan penyelidik ISDEV yang selalu sudi berkongsi Ilmu dan menjawab pertanyaan-pertanyaan yang kadang kala kurang munasabah daripada saya. Juga buat Dr. Tajul dari Grad. School of Business yang mengajarkan tentang tekad dan kerja keras.
Terima kasih buat semua yang mendidik saya dari kecil hingga kini. Terima kasih, semoga Allah s.w.t sentiasa merahmati para guru saya.