Ini karya Hlovate terawal yang saya baca. Ketika mula berjinak-jinak dengan Islam. Ketika baru bertukar aliran. Ketika baru sambung belajar. Seingat saya, dulu saya cuma ambil masa dua hari untuk habiskan bacaan novel ni. Tapi kali ni, saya ambil masa hampir sebulan. Setelah lima tahun, saya ulang baca novel ini. Saya baca perlahan-lahan. Perasaan lain dari yang pernah singgah waktu saya baca novel ini pertama kali dulu. Mungkin itu tandanya saya dah semakin tua. Mungkin juga semakin matang? Atau mungkin juga semakin takut menghadapi dunia?
Wednesday, January 22, 2014
Bicara Atas Bumbung
Ini karya Hlovate terawal yang saya baca. Ketika mula berjinak-jinak dengan Islam. Ketika baru bertukar aliran. Ketika baru sambung belajar. Seingat saya, dulu saya cuma ambil masa dua hari untuk habiskan bacaan novel ni. Tapi kali ni, saya ambil masa hampir sebulan. Setelah lima tahun, saya ulang baca novel ini. Saya baca perlahan-lahan. Perasaan lain dari yang pernah singgah waktu saya baca novel ini pertama kali dulu. Mungkin itu tandanya saya dah semakin tua. Mungkin juga semakin matang? Atau mungkin juga semakin takut menghadapi dunia?
Monday, January 14, 2013
Bunga Tigris
Cinta antara lelaki dan perempuan, sentiasa ada batasan. Batasan bangsa, batasan darjat dan batasan agama, antara contoh batasan dalam bercinta.
Zahrah de Tigris atau bunga Tigris mengisahkan tentang seorang gadis bernama Khairunnisa yang menjadi guru di Baghdad, Iraq semasa negara di mana terletaknya Sungai Tigris tersebut bergolak di rempuh Amerika dan Tentera Bersekutu. Mengambil sorot waktu saat Presiden Saddam Hussein diburu, penulis karya ini, Khairyn Othman bercerita dengan terperinci keadaan di Iraq pada waktu tersebut.
Kebetulan pula, Allah takdirkan saya membaca novel ini ketika pihak Zionis Israel rancak menyerang Palestin pada awal Muharram lalu. Lantas membaca Zahrah de Tigris terasa begitu menyentuh hati malah sesekali terasa amat beremosi.
Allah ciptakan manusia dengan penuh rasa kecintaan. Dan walau dalam waktu perang sekalipun, cinta tetap sudi berputik. Khairunnisa saling jatuh cinta dengan dengan sukarelawan Medecins Sans Frontieres (Perubatan Tanpa Sempadan), Dr. Patrick Devereux warga Perancis yang ateis.
Selain mengandungi kisah suka-duka bergelar guru dan penterjemah di Baghdad, novel ini turut mengandungi pergelutan rasa hati Khairunnisa. Pergelutan rasa kasih dan rindu pada ibu dan ayah di Malaysia yang tidak merestui pemergiannya ke Baghdad dengan keinginan untuk berkhidmat di tanah di mana pernah mekarnya ilmu-ilmu Islam satu ketika dahulu. Pergelutan rasa hatinya terhadap rasa cinta kepada seorang lelaki dengan rasa cintanya pada Rabbulizzati.
Saya tak pernah ke mana-mana tempat bergolak. Jauh sekali ke nagara yang sedang berperang. Tapi membaca novel ini cukup membuatkan saya bersyukur kerana hidup di negara yang tiada peperangan senjata (walaupun ada perang lain yang sedang kita hadapi). Kudos buat Khairyn Othman atas kejayaannya membuatkan bulu roma saya merinding dengan rasa ketakutan, kesedihan dan sesekali tersenyum pula. Peperangan dan cinta. Memang selalu ada dalam satu ayat bukan?
Wednesday, June 15, 2011
Contengan Jalanan
"Telah Tuhan hantar kau ke sini, pastinya Dia telah sediakan jawapan?""Apa kau tidak percaya kuasa Tuhan?"
Tiada kuasa Tuhan, tiada soalan, tiada jawapan.
Tiada Tuhan, tiada kau, tiada aku.
Tiba-tiba azan dilaungkan. Sayup.
"Ngak solat?"
K2 hanya geleng sambil angkat bahu."Kau?"
"Aku Kristian."
Tak pernah terbayang pula yang dia sujud hari ini kerana seorang Kristian.
Contengan Jalanan, karya terbaru penulis novel remaja prolifik (menurut saya), Hlovate. Temanya hampir sama dengan karyanya sebelum ini, VERSUS. Bezanya, Contengan Jalanan membawa kaedah yang sedikit beza.
Kalau membaca karya Hlovate, tentu tak sah kalau tak disebut tentang budaya 'bawah tanah' atau 'budaya-yang-cool-bagi remaja'. Jika di VERSUS Hlovate menulis serba sedikit tentang skate-scene, dalam Contengan Jalanan ini Hlovate menonjolkan unsur muzik yang menyatukan Fend, K2 dan rakan-rakan mereka yang lain yang membentuk band Creepy Hues.
Seperti karyanya yang lepas-lepas, Hlovate sinonim dengan penggunaan bahasa pasar yang tidak melampau tetapi sedikit 'luar alam' dengan penggunaan bahasa yang rasanya tak dapat ditemui dalam Kamus Dewan edisi mana pun. Tapi tak mengapa, kerana di situlah letaknya kelebihan permainan bahasa Hlovate.
Secara keseluruhannya, novel ini dihasilkan dalam bentuk seakan-akan diari, sesuai dengan diskripsinya; Contengan pengalaman perjalanan cari Tuhan. Contengan Jalanan dibahagikan kepada dua bahagian. Pertama, I-Fend. Kisah perjalanan Fend mengenali dan memahami nilai dan cara hidup seorang Mukmin. Dan kedua, II-K2 kisah K2 (sebut: K-square) pula mengenali Tuhan dan mengakui keesaan-Nya.
Satu perkara jelas yang ditonjolkan dalam karya Hlovate ini, hati manusia berbeza-beza. Walaupun merentasi dan mengalami peristiwa sama, namun bukan semua orang boleh merasai apa yang dirasai oleh orang lain. Dalam novel ini, Hlovate menekankan betapa hidayah itu milik Allah dan sebagai manusia, kita tidak berhak memaksa orang lain merasakan apa yang kita rasakan. Tapi, tentu sekali kita boleh malah mesti mengajak orang lain ke arah kebaikan.
Ada orang, Allah berikan hati yang lembut. Seperti tanah yang subur. Bila ditimpa hujan, tumbuh-tumbuhan berputik dan mekar. Ada juga hati yang keras seperti tanah yang tandus. Tak cukup hanya hujan. Perlu dibaja dan dijaga barulah pohon tadi mahu bertumbuh.
Satu perkara lagi mengenai novel ini yang terkesan dalam hati saya, betapa hidayah Allah itu boleh hadir dalam pelbagai cara yang mengagumkan. Fend berubah tatkala sepupunya, Chad membawa dia menjadi backpackers melakukan masjid-hopping di Australia ketika bulan Ramadhan. Ya, di negara yang majoriti penduduknya bukan beragama Islam. Di tanah yang surau dan masjid tidak dibina oleh kerajaan tetapi berada berderetan bersama rumah-rumah kedai. K2 pula mula sudi bersujud kepada Allah dengan rela hati - bukan kerana mengikut atau dipaksa tatkala ditegur oleh seorang Kristian di tanah yang menyimpan rekod sebagai negara yang mengandungi Muslim teramai di dunia.
Bagi saya, ironi.
Contengan Jalanan, kisah perjalanan anak muda yang berjaya merangkul iman sebelum sampai masa penamat.
Contengan Jalanan, kisah anak muda realiti sebuah kehidupan.
Contengan Jalanan. Kisah orang-orang tepi jalan. Kisah orang-orang biasa. Kisah saya. Kisah awak. Kisah mereka. Kisah kebanyakan antara kita.
Berapa ramai antara kita yang cuma bergelar Melayu-Islam, tapi liat sekali dalam mengesakan Allah?
Berapa ramai antara kita yang lebih mengenali lagenda muzik, lagenda skaters, lagenda seni lukis berbanding Rasulullah, para sahabat, tokoh sejarah Islam dan tokoh Islam?
Berapa ramai antara kita yang mengisi ipod dan mp3 dengan lagu-lagu kegemaran (rock-pop-kpop-jpop-dangdut-nasyeed) berbanding rakaman al-Quran dan zikir?
Berapa ramai antara kita bila bermusafir cuma berseronok-seronok, menikmati pemandangan indah dan makanan lazat berbanding menjalin ukhuwah dan berfikir kebesaran Allah?
Realiti bukan?
Sekali lagi, Hlovate berjaya menyentuh hati saya dengan kisah orang biasa, yang luar biasa perjalanannya. Hingga bertemu dengan makna dan nikmat menjadi Muslim dan Mukmin.
Menutup naskah 'Contengan Jalanan: Contengan pengalaman perjalanan cari Tuhan' ini, terngiang-ngiang di kepala saya perbualan antara Chad dengan Fend ketika malam 1 Syawal sebelum Chad pergi menghadap Pencipta.
Fend: Thanks, though.
Sebab heret aku ke Australia dengan idea giga kau tu. Sekarang baru aku faham erti hidup. Hidup bukan hanya diertikan dengan not muzik atau warna-warna. Hidup bukan hanya diertikan dengan kejar harta dan kerjaya. Hidup bukan hanya diertikan dengan kejar cita-cita. Hidup untuk akhirat.
Living here for the hereafter.
Chad: The eleventh hour.
The man who decided to change on the twelfth hour dies on the eleventh.
Aku rasa bersyukur kut sebab tersedar on the tenth. Tu pun dah masuk waktu kecederaan tu.
Fend: Nasib baik tersedar pukul sepuluh. Kalau tersedar pukul sebelas satu minit, makan asap la.
Chad: Harapnya Ramadhan tahun ni dapat la buat saham masuk syurga.
Fend: Amin.
Chad: Ramadhan dan habis.
I miss it already.
ps: sekarang sudah Rejab. Tak lama lagi Ramadhan akan tiba. Harap-harap, seperti Chad dan Fend (dan sekarang K2 juga), semoga saya juga dapat menikmati Ramadhan yang bermakna. Ramadhan, terasa rindu pula.
Monday, November 01, 2010
Cinta di Dalam Tudung

Tajuk asal: Love in a Headscarf
Penerbit : Aurum Press Ltd, London
Penulis : Shelina Zahra Janmohamed
Versi Bahasa Indonesia
Jumpalitan Mencari Sang Pengeran
MIZAN Kronik Zaman Baru
Jumpalitan Mencari Sang Pengeran (jumpalitan = jungkirbalik = tunggang terbalik) mengisahkan proses pencarian jodoh yang dilalui oleh Shelina sejak usianya 19 tahun. Sesuai dengan latar belakang keluarga yang terikat kuat dengan tradisi asal dari India, ia berlaku melalui struktur kompleks masyarakat India Muslim - wanita tua (di novel ini digelar para Bibi dan Mak Comblang atau dalam naskah asal Bahasa Inggeris digelar Buxom Aunties) sebagai agen pencari jodoh. Tidak dilupakan, peranan Imam dari masjid di komuniti mereka.
Perkara paling menarik bagi saya mengenai novel ini adalah bagaimana kemelut yang dihadapi Shelina saat perlu berhadapan dengan tradisi yang dianggap sebagai ajaran Islam dan bagaimana tradisi-tradisi ini melanggar prinsip hidupnya. Shelina yang lahir di bumi Britain, memegang kerakyatan Britain, membesar di Kota London dan bersekolah hingga ke Universiti Oxford.
Pelbagai jenis calon suami yang diajukan kepadanya. Sama ada Shelina menolak, atau ditolak. Atas pelbagai sebab dan alasan. Ada yang menolak kerana Shelina bertudung. Ada juga kerana beliau dianggap rendah (160cm) oleh seorang lelaki yang hanya berketinggian 170cm. Ada juga yang Shelina menolak kerana calon suami itu tidak berakhlak, tidak mengamalkan cara hidup Islam malah ada juga yang mahu menikahinya hanya kerana mahukan kerakyatan Britain.
Tidak sekadar itu, masalah yang dihadapi Shelina turut dihadapi oleh rakan-rakannya yang lain, Sarah dan Noreen. Sebagai Muslimah yang taat dengan ajaran Islam, berpendidikan dan bekerjaya, mereka mendapatkan kesimpulan bahawa:
"Para Bibi mengatakan, kita tidak cukup tradisional.." "..dan pria-pria yang memiliki sifat-sifat yang kita cari mengatakan bahawa kita terlalu tradisional, membosankan dan religious"Tidak hanya berbicara soal pencarian belahan jiwa, Shelina turut menghadapi kemelut lain dalam kehidupan bergelar Muslimah di negeri Inggeris. Novel ini turut menceritakan krisis yang dihadapinya saat tragedi 11 September. Shelina memahami dengan jitu bahawa Islam berakar dari kata Salam yang bermaksud damai, sejahtera. Lantas, melalui karya ini turut diselitkan rasa tidak setuju Shelina terhadap penggunaan istilah 'Jihad' yang digunakan oleh masyarakat dunia untuk memandang masyarakat Islam sebagai teroris, juga kepada golongan Muslim yang berfikiran sempit mengehadkan konsep Jihad hanya untuk berperang. Lalu menurut Shelina, beliau menganggap mereka yang melakukan tragedi tersebut bukanlah mujahid tetapi pembelot. Kata Shelina,
"..beberapa jam terakhir sebelum melaksanakan rencana mereka, para pria ini sibuk mabuk-mabukan dan melakukan hubungan intim dengan perempuan-perempuan tak dikenal...Jika mereka adalah orang-orang yang mengabdikan diri dan berpegang teguh pada agama seperti yang digambarkan media, mereka tak akan pernah melakukan perkara di luar batasan Islami seperti ini."Shelina dan Muslimah lain di Britain perlu berdepan dengan pertikaian tentang agama mereka, peribadi mereka, gender mereka malah pakaian mereka. Serangan 11 September bukan sahaja serangan fizikal pada menara kembar tetapi telah melanjutkan kepada serangan-serangan terhadap inti ajaran Islam, serangan ke atas tudung dan pakaian menutup aurat para Muslimah serta hak sebagai seorang manusia beragama Islam. Berbeza dengan lelaki Muslim yang tidak terlihat identiti Muslimnya saat berjalan di kaki lima, Muslimah dengan tudung dan menutup aurat diserang dan dituduh sebagai teroris oleh mereka yang melakukan teror ke atas diri mereka!
Pencarian belahan jiwa yang dilalui oleh Shelina menghadapi kebuntuan saat konflik Barat-Muslim ini berlangsung. Shelina berhadapan dengan label-label penuh kontradiksi - Terlalu alim, berlagak pintar - orang bodoh yang tinggal di rumah, selalu solat, membosankan - terlalu mandiri, susah diatur.
Saat hampir putus asa dengan usia yang semakin meningkat dan gosip dari masyarakat sekeliling, Shelina memutuskan untuk terus hidup dan melakukan perkara-perkara yang dikatakan mustahil untuk wanita oleh komunitinya. Dan beliau bertekad, meskipun hidup membujang kehidupannya tidak terhenti. Cuma, barangkali lebih bermakna jika setiap yang dilakukan dilaksanakan dengan seorang teman. Oleh itu, Shelina berhenti untuk mencari rasa cinta dari seorang lelaki dan berubah kepada mencari seorang teman untuk berbagi kehidupan dan berkongsi prinsip-prinsip Islam yang dipegangnya. Saat pulang dari mengerjakan haji, Shelina ditemukan dengan cinta sejatinya, cinta Ilahi. Jika sebelum ini beliau hanya menurut ajaran Islam, tetapi kali ini beliau memilih untuk menjadi seorang yang beragama Islam. Bukan sekadar mewarisi, tetapi MEMILIH untuk menjadi sebahagian daripadanya.
Dan dengan berturutan, Shelina juga menemui belahan jiwanya, yang sudi berbagi dunia dan prinsip-prinsip dalam kehidupan.
ps: menghabiskan novel berbahasa Indonesia ini sangat mencabar! Penuh dengan istilah yang tidak difahami. Mujur ada Google Translate. Untuk yang mahu membacanya, saya cadangkan lebih baik jika dibaca dalam naskah asal berbahasa Inggeris.
Friday, October 31, 2008
Cinta Pertama

Di balik kesibukan yang melanda diri saya sepanjang Oktober ini, saya sempat meluangkan masa untuk mengulang bacaan novel Laskar Pelangi karya Andrea Hirata. Bagi anda yang pernah membaca karya ini pasti mengenali A Ling, cinta pertama Ikal, watak pencerita dalam kisah anak-anak Muhammadiyah di Pulau Belitong. Saya berkenalan dengan karya-karya Andrea Hirata ketika undergraduate lagi. Ketika itu saya di semester 1, tahun akhir program Ijazah Sarjana Muda. Karya beliau yang pertama saya kenal adalah Sang Pemimpi yang saya dapati di
Kini sering kali aku bertanya pada diri sendiri: berapakah jumlah pasangan yang telah mengalami cinta pertama, lalu hanya memiliki satu cinta itu dalam hidupnya, menikah, dan kemudian hanya terpisah kerana Tuhan memanggil salah seorang daripada mereka? Sedikit sekali! Atau mungkin tidak ada! Seperti kedua-dua jawapan tersebut boleh menjadi hipotesis yang meyakinkan untuk pertanyaan kecil seperti itu. Kerana itulah yang umumnya terjadi dalam dunia nyata.
… cinta pertama memang tidak akan mati, tetapi ia juga tidak akan survive.
Itu kisah Ikal dengan cinta pertamanya. Bagaimana dengan kisah anda? Sedar atau tidak, kita masing-masing punya kisah cinta pertama yang tersendiri. Mungkin indah untuk dikenang atau mungkin saja kisah itu membuatkan kita menyesal kerana dipertemukan dengan orang yang salah. Usah dinafikan, walau cinta pertama itu tidak kekal namun tetap berjaya menyimpan secebis kenangan manis dalam ingatan. Meskipun cinta itu telah pergi, ia pasti telah memalitkan sedikit corak yang membentuk peribadi kita pada hari ini. Lagipun, mana ada cinta yang kekal selain daripada cinta Ilahi
Thursday, July 31, 2008
Menanti Teduh
Bagaimana bisa
Sekian lama aku tergiur
Oleh yang bukan Engkau
Tuhan mencipta manusia.
Tuhan mengatur semua jalur hidup insan – warna cerah atau kelam, hujan atau teduh.”
Saya kira perenggan pertama ini dapat menggambari keseluruhan novel ini yang secara jelas mahu membawa kita untuk mengakui keesaan Tuhan, kekuasaan-Nya dan betapa kejadian yang berlaku terhadap diri kita dan sekeliling kita adalah dibawah kuasa-Nya.
Membaca Tunggu Teduh Dulu seperti membaca catatan diri. Didirikan melalui watak Salsabila Fahim, wanita kental graduan dari universiti di Amerika dan pulang ke tanah air lantas berjuang memajukan tanah peninggalan arwah ayahnya. Tanah kaki bukit dijadikan ladang betik dengan nama Teduh Dulu. Perjuangan membina Teduh Dulu menjadi satu liku, membuka ruang cinta antara Salsabila, Kamil, dan Lam atau nama Islamnya Saifullah. Tapi Tunggu Teduh Dulu bukan sebuah karya cinta tiga segi. Salsabila tidak memilih keduanya tapi memilih untuk berserah kepada Allah untuk memilih tempat teduhannya. Dalam membangunkan ladang Teduh Dulu, Salsabila didukung kuat oleh sahabatnya, Teh Sofia yang rupawan dan sering mengucapkan ungkapan “Kerja Tuhan siapa tahu?”
Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai jalan cerita Tunggu Teduh Dulu kerana saya tidak layak. Saya bukan orang sastera. Saya juga bukan seorang agamawan untuk mempertikaikan segala hadith dan fakta-fakta Islam yang dikemukakan oleh penulis dalam karyanya ini. Saya memandang dan menghadam karya ini sebagai diri saya, seorang saya.
Kerap kali teman-teman melabelkan saya sebagai fanatik Indonesia kerana minat saya terhadap karya sama ada karya sastera mahupun kesenian dari negara republik itu. Namun sering juga saya buktikan, andai karya tempatan lebih berhak untuk diangkat tentu sekali saya memilih karya tempatan. Ini buktinya. Jika ramai yang mengagungkan Ayat-ayat Cinta, saya kira Tunggu Teduh Dulu lebih berisi. Malah sarat. Sarat dengan ilmu, sarat dengan rasa kerendahan hati, sarat dengan emosi manusiawi. Dalam Tunggu Teduh Dulu, saya dibawa kepada tahap penyerahan diri yang lama saya tinggalkan. Betapa karya ini mengingatkan saya. Saat dugaan mendatang, sebagai manusia biasa kita pasti terasa hati. Kita pasti berasa lemah dan lelah. Namun rasa kecewa itu, jika dikembalikan kepada Allah melalui ketauhidan bahawa setiap yang berlaku adalah perancangan dan ketentuan Allah, maka rasa pilu dapat kita atasi. Syukur, Allah temukan saya dengan novel ini sesuai pada masanya. Kerja Tuhan itu memang penuh keajaiban, penuh menggamamkan. Saya sedang berasa sedih dan sedang berasa pilu. Dan sesuai pada waktunya Allah beri peluang untuk saya memahami diri sendiri.
Saya tahu ribut apa pun, taufan mana pun, tetap di bawah kekuasaan Allah. Dan saya tahu tiada guna untuk saya melawan kuasa Allah itu. Mungkin ini waktu yang tepat untuk saya berteduh dahulu sementara menanti untuk mentari bersinar kembali. Menanti agar hujan yang lebat ini teduh kembali.

