B i s m i l l a h i r r a h m a n i r r a h i m
Wah setahun saya tak menulis apa-apa dalam blog ni. Setahun yang lalu, pada bulan April, saya serahkan draf tesis pengajian Ph.D ke Institut Pengajian Siswazah (IPS) USM. Sejak itu, saya berhenti menulis. Idea dan segala luahan rasa nampaknya turut berpergian bersama tesis tersebut. Kemudian saya jadi super sibuk setelah melapor diri sebagai felo sandaran. Nama pun sandaran, job description nya pun tersandar-sandar. Sekejap, mengganti kuliah dan tutorial. Sekejap lagi minta uruskan konferens. Jadi pengiring pelajar dan macam-macam tugas yang bila diingat semula boleh buat saya tergelak.
Ada satu hari, saya terlalu keletihan. Terduduk di lantai ruang tamu kemudian menangis. Teman serumah pelik. Saya katakan, saya keletihan. Kemudian kami sama-sama ketawa besar. Tanpa sebab. Mungkin saya mentertawakan diri sendiri dan dia tertawa melihat saya tertawa padahal sebelumnya menangis macam budak kecil.
Julai, saya dipanggil untuk sidang viva voce. Viva voce inilah waktunya untuk kita bentangkan tesis yang sudah dinilai oleh pemeriksa. Lebih kurang macam ujian lisan lah. Ujian terakhir sama ada layak atau tidak tesis diterima dan diiktiraf tahap Ph.D nya. Alhamdulillah, dalam semangat Ramadhan, sesi viva voce berjalan lancar dan tesis saya diterima dengan pembetulan minor. Hampir seminggu saya bertungkus lumus membetulkan apa-apa yang dikomen dan akhirnya, salinan akhir tesis dapat dihantar. Dalam konvokesyen USM ke-50 pada November lalu, tamatlah riwayat saya sebagai pelajar Ph.D secara rasmi. Heh, tamat riwayat, macam karangan autobiografi darjah 4.
Segala yang tamat menandakan permulaan baru. Macam tu lah juga hidup saya. Dah habis belajar, kenalah kerja pula kan. Memandangkan pengajian saya dibiayai USM, maka jadilah saya sekarang kakitangan USM. Alhamdulillah.
Kisah seterusnya? Sibuk yang sibuk. Kalau orang tanya, sibuk ke? Ya, sibuk. Merantau ke sana-sini. Mengulas dan membaca tesis pelajar. Memenuhi segala macam latihan dan kursus wajib untuk kakitangan baru. Tapi kalau nilai betul-betul, tidak lah sibuk mana.
Ada yang tanya, mana lagi seronok antara belajar dan kerja? Secara jujur saya katakan, kedua-duanya perkara yang berbeza. Belajar, perjuangan dengan diri sendiri. Tambah lagi bila peringkat Ph.D. Nak tertonggeng, nak terbalik, semuanya bergantung pada diri sendiri. Mahu tulis tesiskah, mahu mengalahkah, mahu tidak kenang budi (sebab biasiswa ada penjamin) kah, semuanya terpulang. Tapi kerja, perjuangan dengan orang lain. Perjuangan dengan majikan, perjuangan dengan pelajar, perjuangan dengan segala macam permintaan. Tapi ada satu perkara yang paling menarik bila sudah bekerja, saya tak lagi terfikir-fikir tentang kajian dan tesis sepanjang masa macam waktu belajar dulu. Dulu, ilham menulis tesis selalu dapat dalam tidur dan akibatnya, memang tidur tak lena dan terganggu.
Bila buat sesi mengimbau kenangan macam ni, terasa rindu zaman belajar. Sekejap sungguh masa berlalu. Ini lah juga sebabnya saya kembali menulis di sini. Sekurang-kurangnya boleh satu hari di masa hadapan saya baca semula apa yang telah saya lakukan dalam hidup. Kalau tak, semuanya terlupakan. Tak sedar, masa dan usia tak dihargai diri sendiri.
Ada yang tanya pendapat saya tentang Ph.D. Bagi saya, Ph.D bukan setakat sebuah kajian yang dilaporkan dalam sebuah tesis. Ph.D sebaliknya satu perjalanan berjuang. Sama ada fizikal mahupun rohani. Intelektual mahupun hati. Kalau ikutkan akal cetek saya, tak kan dapat menggenggam sebuah Ph.D. Tapi kerja Tuhan, siapa tahu kan?
Untuk semua yang sedang berjuang, tak kiralah sebagai pelajar ataupun sebagai pekerja, ikat kain ketat-ketat atas kepala dan ayuh, berusaha!
ps: selamat berkonvo super duper junior MISDEV13!


.jpg)