
Acap kali guru saya bercerita tentang betapa sengsaranya seorang manusia yang hatinya tidak dapat melihat kesenangan orang lain. Semua yang indah ada pada orang. Semua yang hebat ada pada orang. Sedang dalam tak sedar, dirinya punya banyak kesenangan, keindahan dan kemewahan.
Begitulah manusia. Tidak pernah rasa cukup, tidak pernah rasa puas. Sering membandingkan nikmat-nikmat yang dimiliki orang dengan dirinya sendiri. Sering pula tidak sedar bahawa limpahan kurniaan Allah padanya melebihi daripada apa yang ada pada orang lain.
Tak salah sebenarnya untuk kita membandingkan diri kita dengan orang lain. Apatah lagi kalau kita rasakan orang itu punya banyak kelebihan. Sebagai contoh, membandingkan diri kita dengan rakan yang punya pointer lebih tinggi. Dan tentu sekali berusaha untuk mencapai pointer setingginya. Atau barangkali membandingkan diri kita dengan orang yang lebih kaya daripada kita. Dan berusaha untuk mengumpul kekayaan sepertinya. Dalam pada itu, jangan pula berusaha menjatuhkan sahabat kita yang tinggi pointernya dengan cara mengkhianati atau membawanya berfoya-foya. Apatah lagi dengan tujuan menjatuhkan pointernya. Jangan pula mengkhianati si kaya dengan melakukan sabotaj atau pergi merompak di rumahnya atau harta kekayaannya. Dengan tunjuan menjatuhkan dirinya.
Tak salah untuk cemburu pada orang yang lebih hebat daripada kita, jika orang itu memang benar-benar hebat. Tapi salah besar kalau kita dengki pada orang yang barangkali hebat atau barangkali tak sehebat mana cuma orang itu menikmati kehidupannya dengan baik. Kerana sifat dengki itu amat memenatkan. Apakan tidak, sifat dengki ini membuatkan kita tidak senang duduk melihat kejayaan orang lain, kesenangan orang lain mahupun kebahagiaan orang lain. Setiap masa hanya berfikir, bagaimana caranya untuk menjatuhkan si fulan dan si fulan?
Kadang-kadang kita tak sedar bahawa apa yang kita miliki lebih baik lagi daripada yang dimiliki orang lain. Macam mana nak sedar jika kita tak pernah mahu menghargai. Macam mana nak sedar jika kemilau berlian pada jari sendiri ditutupi selut cemburu dan hasad dengki. Sedangkan orang lain yang cuma memiliki belah rotan itu sering menggilap dan merawatinya sepenuh hati dengan penuh rasa bahagia.

Barsyukur dengan apa yang kita ada dan sentiasa berusaha sedaya upaya untuk menjaga, memelihara dan merawatinya.
ps: quote daripada Dr. Fadzila Azni, "Every privilage comes with obligation"..tak kisah la privilage tu datang dalam bentuk belah rotan mahupun yang bertatah berlian..dua-dua pun nikmat kan? :)
