Wednesday, June 29, 2011

Wednesday, June 15, 2011

Contengan Jalanan

"Telah Tuhan hantar kau ke sini, pastinya Dia telah sediakan jawapan?"
"Apa kau tidak percaya kuasa Tuhan?"
Tiada kuasa Tuhan, tiada soalan, tiada jawapan.
Tiada Tuhan, tiada kau, tiada aku.
Tiba-tiba azan dilaungkan. Sayup.
"Ngak solat?"
K2 hanya geleng sambil angkat bahu."Kau?"
"Aku Kristian."
Tak pernah terbayang pula yang dia sujud hari ini kerana seorang Kristian.



Contengan Jalanan, karya terbaru penulis novel remaja prolifik (menurut saya), Hlovate. Temanya hampir sama dengan karyanya sebelum ini, VERSUS. Bezanya, Contengan Jalanan membawa kaedah yang sedikit beza.

Kalau membaca karya Hlovate, tentu tak sah kalau tak disebut tentang budaya 'bawah tanah' atau 'budaya-yang-cool-bagi remaja'. Jika di VERSUS Hlovate menulis serba sedikit tentang skate-scene, dalam Contengan Jalanan ini Hlovate menonjolkan unsur muzik yang menyatukan Fend, K2 dan rakan-rakan mereka yang lain yang membentuk band Creepy Hues.

Seperti karyanya yang lepas-lepas, Hlovate sinonim dengan penggunaan bahasa pasar yang tidak melampau tetapi sedikit 'luar alam' dengan penggunaan bahasa yang rasanya tak dapat ditemui dalam Kamus Dewan edisi mana pun. Tapi tak mengapa, kerana di situlah letaknya kelebihan permainan bahasa Hlovate.

Secara keseluruhannya, novel ini dihasilkan dalam bentuk seakan-akan diari, sesuai dengan diskripsinya; Contengan pengalaman perjalanan cari Tuhan. Contengan Jalanan dibahagikan kepada dua bahagian. Pertama, I-Fend. Kisah perjalanan Fend mengenali dan memahami nilai dan cara hidup seorang Mukmin. Dan kedua, II-K2 kisah K2 (sebut: K-square) pula mengenali Tuhan dan mengakui keesaan-Nya.

Satu perkara jelas yang ditonjolkan dalam karya Hlovate ini, hati manusia berbeza-beza. Walaupun merentasi dan mengalami peristiwa sama, namun bukan semua orang boleh merasai apa yang dirasai oleh orang lain. Dalam novel ini, Hlovate menekankan betapa hidayah itu milik Allah dan sebagai manusia, kita tidak berhak memaksa orang lain merasakan apa yang kita rasakan. Tapi, tentu sekali kita boleh malah mesti mengajak orang lain ke arah kebaikan.

Ada orang, Allah berikan hati yang lembut. Seperti tanah yang subur. Bila ditimpa hujan, tumbuh-tumbuhan berputik dan mekar. Ada juga hati yang keras seperti tanah yang tandus. Tak cukup hanya hujan. Perlu dibaja dan dijaga barulah pohon tadi mahu bertumbuh.

Satu perkara lagi mengenai novel ini yang terkesan dalam hati saya, betapa hidayah Allah itu boleh hadir dalam pelbagai cara yang mengagumkan. Fend berubah tatkala sepupunya, Chad membawa dia menjadi backpackers melakukan masjid-hopping di Australia ketika bulan Ramadhan. Ya, di negara yang majoriti penduduknya bukan beragama Islam. Di tanah yang surau dan masjid tidak dibina oleh kerajaan tetapi berada berderetan bersama rumah-rumah kedai. K2 pula mula sudi bersujud kepada Allah dengan rela hati - bukan kerana mengikut atau dipaksa tatkala ditegur oleh seorang Kristian di tanah yang menyimpan rekod sebagai negara yang mengandungi Muslim teramai di dunia.

Bagi saya, ironi.

Contengan Jalanan, kisah perjalanan anak muda yang berjaya merangkul iman sebelum sampai masa penamat.

Contengan Jalanan, kisah anak muda realiti sebuah kehidupan.

Contengan Jalanan. Kisah orang-orang tepi jalan. Kisah orang-orang biasa. Kisah saya. Kisah awak. Kisah mereka. Kisah kebanyakan antara kita.

Berapa ramai antara kita yang cuma bergelar Melayu-Islam, tapi liat sekali dalam mengesakan Allah?

Berapa ramai antara kita yang lebih mengenali lagenda muzik, lagenda skaters, lagenda seni lukis berbanding Rasulullah, para sahabat, tokoh sejarah Islam dan tokoh Islam?

Berapa ramai antara kita yang mengisi ipod dan mp3 dengan lagu-lagu kegemaran (rock-pop-kpop-jpop-dangdut-nasyeed) berbanding rakaman al-Quran dan zikir?

Berapa ramai antara kita bila bermusafir cuma berseronok-seronok, menikmati pemandangan indah dan makanan lazat berbanding menjalin ukhuwah dan berfikir kebesaran Allah?

Realiti bukan?

Sekali lagi, Hlovate berjaya menyentuh hati saya dengan kisah orang biasa, yang luar biasa perjalanannya. Hingga bertemu dengan makna dan nikmat menjadi Muslim dan Mukmin.

Menutup naskah 'Contengan Jalanan: Contengan pengalaman perjalanan cari Tuhan' ini, terngiang-ngiang di kepala saya perbualan antara Chad dengan Fend ketika malam 1 Syawal sebelum Chad pergi menghadap Pencipta.

Fend: Thanks, though.
Sebab heret aku ke Australia dengan idea giga kau tu. Sekarang baru aku faham erti hidup. Hidup bukan hanya diertikan dengan not muzik atau warna-warna. Hidup bukan hanya diertikan dengan kejar harta dan kerjaya. Hidup bukan hanya diertikan dengan kejar cita-cita. Hidup untuk akhirat.
Living here for the hereafter.

Chad: The eleventh hour.
The man who decided to change on the twelfth hour dies on the eleventh.
Aku rasa bersyukur kut sebab tersedar on the tenth. Tu pun dah masuk waktu kecederaan tu.

Fend: Nasib baik tersedar pukul sepuluh. Kalau tersedar pukul sebelas satu minit, makan asap la.

Chad: Harapnya Ramadhan tahun ni dapat la buat saham masuk syurga.
Fend: Amin.
Chad: Ramadhan dan habis.
I miss it already.


ps: sekarang sudah Rejab. Tak lama lagi Ramadhan akan tiba. Harap-harap, seperti Chad dan Fend (dan sekarang K2 juga), semoga saya juga dapat menikmati Ramadhan yang bermakna. Ramadhan, terasa rindu pula.



Saturday, June 11, 2011

the Fly



Dari Abi Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: "Apabila lalat jatuh ke dalam minuman salah seorang di antara kamu maka rendamkanlah lalat itu kemudian buanglah. Kerana pada salah satu sayapnya terdapat penyakit dan pada sayap yang lain terdapat ubat."
Riwayat al-Bukhari

Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?

Monday, June 06, 2011

Journey to the East

Kalau sebut tentang pantai timur, mesti tergambar di kepala Negeri Cik Siti Wan Kembang. Tapi kali ini, negeri yang saya maksudkan adalah Pahang dan Terengganu. Minggu lepas, lebih tepat lagi pada Jumaat, 27 Mei yang lalu, saya dengan seorang lagi rakan bertolak ke Kuantan sekitar jam 9 malam dari Pulau Pinang. Perjalanan ke Kuantan memakan masa hampir 10 jam dengan 3 kali berhenti di perhentian yang tidak diketahui. Maklumlah, langsung tak familiar dengan perjalanan bas Penang-Kuantan. Inilah pertama kali saya ke ibu negeri Pahang. Sebelum ini, cuma sekadar pernah menjejak dua tanah tinggi terkenal negeri terbesar di Semenanjung Malaysia - Genting dan Cameron Highlands.

Kami singgah sebentar di kawasan tol Gambang untuk solat Subuh dan perjalanan diteruskan lagi hampir 1 jam untuk sampai di stesen bas Kuantan. Tak banyak beza antara Kuantan dengan ibu negeri bagi negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia. Tapi yang pasti, Kuantan lebih nyaman dari Pulau Pinang mahupun Kuala Lumpur (biasalah tu kan).

Tak banyak yang boleh saya kongsikan tentang perjalanan saya ke Kuantan. Maklum saja, mengambil perjalanan bas waktu malam, apalah yang boleh dilihat melainkan kegelapan di luar tingkap bas. Cuaca baik, dengan suhu penyejuk udara yang sangat rendah a.k.a amatlah sejuk serta pemanduan Pakcik Bas yang sangat berhemah. Terima kasih Pakcik Bas Konsortium! OK, promosi sikit.

And the rest, is history. Tipikal kenduri-kendara zaman sekarang. Takkan nak cerita satu-satu kan.

tahniah Pn. Zetty Syairah dan En. Nazmir

Pulang dari Kuantan sekitar 6 pagi hari Isnin, komitmen sebagai pelajar merangkap felo di tempat saya belajar menanti. Sempat melepas lelah sebentar lalu bergegas menghadiri mesyuarat sekitar jam 11 pagi (saya terlewat 1 jam!). Selesai satu tugas, tugas menganjurkan seminar pula menanti. Tapi insyaAllah, saya terima dengan tangan dan hati yang terbuka. Bak kata guru saya, ini semua latihan. Dan bak kata senior saya, insyaAllah, selepas tugas mengendalikan seminar ini, penulisan tesis akan lebih lancar. InsyaAllah, semoga semuanya menjadi lebih mudah.

Seminggu berlalu dengan otak memikirkan itu ini serta keadaan tubuh yang tak berapa nak baik. Sambil-sambil itu, sempat juga saya meninjau-ninjau laptop di pasaran. Terfikir mahu menggantikan Toshiba yang diberikan ayah saya ini. Sudah pandai meragam dan beruzur-uzur!

Jumaat seterusnya, 3 Jun, saya bertolak ke Kuala Lumpur. Malam itu, rakan sekolah saya melangsungkan pernikahan di surau kawasan kariahnya di Rawang. Terkilan juga kerana tidak dapat menghadiri majlis resepsinya pada keesokan hari kerana perlu bertolak ke Kuala Terengganu (KT) pula bagi menghadiri majlis perkahwinan rakan yang lain. Serba salah sebenarnya bila harus memilih begini. Selain jemputan di Rawang dan Kuala Terengganu, saya juga punya jemputan di Penang.

Bas ke KT saya naiki dari Hentian Putra, berhadapan PWTC. Pertama kali saya menaiki bas di perhentian tersebut. Pertama kali juga saya ke KT seorang diri. Ketika tingkatan 4 dulu pernah ke negeri yang terkenal dengan keropok lekor itu tapi dengan keluarga menaiki kapal terbang. Menaiki bas KL-KT pada waktu siang bukanlah pilihan yang baik. Perjalanan memakan masa selama 10 jam dengan gaya pemanduan yang mengecutkan perut buat saya tak senang duduk. Diburukkan lagi dengan earphone yang tertinggal di rumah. Matahari bersinar garang membuat mata saya cerah tak mahu terlelap. Novel juga tertinggal. Apalah yang boleh saya buat dengan tiada langsung bahan bacaan dan MP4 yang tidak dapat mengeluarkan bunyi?
230 km lagi!

Satu kelebihan daripada semua kekurangan yang saya hadapi dalam perjalanan KL-KT ini adalah saya dapat mencuci mata, menyaksikan pemandangan hutan dara ketika bas melintasi negeri Pahang. Tapi apabila melihat signboard jarak perjalanan yang harus ditempuhi untuk tiba di KT, saya rasa mahu menangis!

Setibanya di KT sekitar jam 6 petang, rakan saya sudah menunggu di stesen bas. Terus ke rumah pengantin dan sekali lagi, cerita biasa di kediaman yang bakal berkenduri-kendara keesokan harinya.

tahniah Pn Wan Norshira dan En. Bukhari!

Saya malas nak bercerita tentang kenduri. Biasa lah kan. Tak banyak beza kenduri sama ada di Rawang, di Pahang, mahupun di Terengganu. Semuanya orang Melayu. Ada yang ikut adat, maka ada bersanding dan menepung tawar. Ada yang sedikit Islamik, pelamin sekadar menjadi tempat bergambar. Lebih Islamik lagi.. bagaimana ya?

Tapi dalam perjalanan saya merentas negeri-negeri dari pantai barat (Penang dan KL) ke pantai timur (Pahang dan Terengganu) saya dapat rasakan perbezaan pada perasaan saya. Kalau di Kuantan udaranya nyaman, di KT pula, bukan sekadar udaranya nyaman, lautnya biru pantainya indah malah masyarakatnya juga terasa sedikit berbeza. Macam mana ya nak dinyatakan dalam perkataan?

Mungkin... lebih terjaga? Bukanlah maksud saya orang-orang di KT bertudung labuh, berpurdah, berserban. Ada juga yang tidak bertudung. Ramai juga yang berjean ketat. Tapi pergaulannya, tingkah laku pemandunya, persekitaran masyarakatnya, buat saya rasa selamat dan tenang. Perasaan yang hampir sama ketika saya ke Brunei dulu. Sesuailah kot dengan nama negeri 'Terengganu Darul Iman' - negeri orang-orang beriman ^^

Selesai majlis, saya bertolak terus dari KT ke Penang. Bas yang dijadualkan bertolak jam 8.30 malam terlewat hampir 1 jam. Sampai di Kulim sekitar 4 pagi saya diarahkan untuk bertukar bas. Ok, saya boikot syarikat bas Sh... ini selepas ini.

Setelah melalui perjalanan panjang ke negeri-negeri pantai timur ini. Salute saya berikan kepada rakan-rakan saya serta semua orang pantai timur yang belajar/bekerja di Penang mahupun di Kuala Lumpur (atau mana-mana negeri lah). Salute bertambah-tambah kalau mereka berulang-alik menaiki bas. Rasa-rasanya no more express bus for me kalau nak ke pantai timur. Tak sanggup dah! Rela book tiket flight awal-awal (for low rate!).

Saya punya satu lagi jemputan di Kelantan esok (7 Jun) tapi nampaknya tak dapat memenuhi jemputan. Banyak yang harus dipertimbangkan. Walaupun saya berani ke KT seorang diri, tapi kalau tiada yang boleh menjemput, payah sikit kan. Maklumlah, seadvencer manapun saya, perempuan tetap perempuan. Ada adab musafir yang harus saya jaga demi keselamatan diri dan maruah.

Apapun terima kasih daun keladi buat semua yang menjemput saya ke majlis mereka. Tahniah Zetty, Amanda dan Shushie. Tahniah juga buat Malissa Nadia dan Ja. Maaf tak dapat menghadiri majlis kalian. Buat adik sepupu yang bertunang ketika saya berada di dalam bas menuju KT, insyaAllah, walimahnya nanti saya hadir.

Semoga semua rakan-rakan saya yang kini bergelar isteri orang menjadi isteri yang solehah dan ibu yang mithali. InsyaAllah.

kanak-kanak riang di Kuala Terengganu

ps: guru saya bertanya, "Asyik pergi majlis orang je, majlis sendiri bila lagi?" - tak dapat nak jawab. Sebab jawapannya ada pada Allah. Tunggu Dia kata 'kun faya kun' ^^