
Kami berdua berbeza sungguh-sungguh. Waktu sebilik dulu, bilik kami macam terbahagi dua. Pink di bahagiannya, biru di bahagian saya. Personaliti kami juga seperti warna bahagian masing-masing. Pink - sinonim dengan girlish, cute, sweet dan lembut. Sedangkan biru - boyish, not-cute-at-all, bitter dan kasar! Zetty memandu Kancil ketika di tahun akhir dan saya, sejak tahun dua sentiasa merempit dengan scooter ego (yang masih setia hingga kini). Ruang lingkup pergaulan kami juga berbeza. Zetty lebih rapat dengan pelajar-pelajar kursus degree kami. Saya pula lebih selesa ber-hu-ha dengan rakan-rakan persatuan. Zetty sangat rajin belajar dan selalu stay-up. Assignmentnya pernah mendapat pujian Prof Roshada (yang kini Dekan IPS) sedangkan assignment saya, Prof Roshada cuma berkata perlahan pada saya (sebab tak mahu saya malu), "I don't know what are trying to do". Waktu itu memang saya malu. Tapi bila diingatkan sekarang, kelakar pula. Dan saya bukanlah orang yang sanggup menghadap dan menghafal struktur DNA untuk genetik ataupun struktur-struktur adik-beradik glukosa di tengah malam buta.
Zetty menghabiskan masa di meja studi. Bila mengantuk dia tidur sebentar, kemudian bangun dan belajar lagi sambil ditemani secawan Nescafe. Sedangkan saya, selepas Isyak bergegas ke mesyuarat persatuan. Tengah malam masih belum di bilik. Zetty biasa tidur dengan lampu malap terpasang sedangkan saya biasa tidur dalam keadaan bergelap. Tapi memandangkan Zetty punya hati yang baik, dia bersedia mengikut kebiasaan saya. Cuma, ada satu ketika USM heboh dengan 'the Oil Man'. Saya tetap dengan rutin aktiviti persatuan hingga menjengah tengah malam. Zetty berseorangan di bilik. Kerana takut, dia membuka pintu bilik kami yang bertentangan dengan bilik air cluster desasiswa kami [desasiswa=kolej penginapan. Pelan lantai desasiswa kami berbentuk + dengan setiap wing ( - ) ada 4 cluster. 1 cluster ada 4 bilik dan 1 bilik air). Sekitar 12 malam, Zetty menghantar sms bertanya lokasi saya dan bila saya akan pulang.
Cara kami berkawan agak unik. Saya anggap Zetty lebih dari sekadar kawan. Saya melayannya seperti melayan seorang adik. Seboleh mungkin setiap kemahuannya mahu saya penuhi. Saya belajar menjadi sabar dan beralah.
Saya ingat lagi ketika kami masih di tahun 1, semester 1. Saya dan seorang lagi rakan bergurau agak kasar dengannya dan Zetty menangis. Waktu itu saya terlalu panik. Tahu saya telah melukainya tapi tidak tahu bagaimana cara untuk meminta maaf. Maklumlah, personaliti saya waktu itu memang kasar. Memang tidak tahu untuk meminta maaf. Saya tulis permohonan maaf saya atas kekasaran saya dalam satu kertas kecil dan nota itu saya tinggalkan di atas meja studinya. Esoknya, Zetty kembali ceria dan sejak itu, kami tak pernah bergaduh (tapi selisih faham tu adatlah).
Saya dan Zetty lahir pada bulan yang sama. Cuma saya lahir 9 hari lebih awal. Mungkin atas sebab itu, walaupun kami banyak perbezaan kami tetap punya sikap yang sama - ber'angin'. Ada waktu-waktu tertentu kami menjadi moody. Tapi kami saling memahami. Bila saya moody, saya biasanya gemar menyendiri. Saya suka meronda seorang diri dan menghabiskan masa melihat pemandangan di tempat-tempat tinggi sekitar USM (bilik kami juga tinggi - tingkat 10 selama 2 tahun dan tingkat 9 ketika tahun akhir). Zetty pula, gemar menghabiskan masa secara luar biasa di meja belajar apabila moody. Luar biasa kerana sepatah kata pun sukar untuk didengari. Senyap dan sunyi. 3 tahun, moody sudah menjadi antara jadual hidup kami. Tapi bukan bertengkar. Jauh sekali berlawan kata. Tapi saya terperasan 1 perkara sejak Zetty bergelar isteri, moody mungkin sudah terpadam dari kamus emosinya. Dalam kesulitan dan masalah-masalah yang muncul ketika majlisnya, Zetty masih mampu tersenyum. Ada ketika yang saya rasa orang lain pasti akan marah, tapi dia masih tenang dan terkawal.
3 tahun duduk sebilik. 3 tahun kami berkongsi suka dan duka. 3 tahun berkongsi rasa.
Zetty kini sudah bergelar Puan Zetty. Melihat suaminya melafazkan akad buat saya sebak. Bukankah 'behind real life, there's always drama'? Begitu juga hidup kami. Sempat juga terfikir, bagaimana agaknya persahabatan kami selepas ini?
Sebelum ini, setiap kali saya pulang ke rumah saya pasti memaklumkannya kepada Zetty. Kalau-kalau dia berkelapangan untuk kami bertemu. Selepas bergraduasi, sekurang-kurangnya setahun sekali kami bertemu. Bagaimana agaknya selepas ini?
Tapi saya sedar, persahabatan itu tak perlu sentiasa bertemu, bukan? Persahabatan itu walaupun jauh dari mata, tapi selalu dekat dengan hati. InsyaAllah, kami bersahabat kerana Allah. Allah yang mentakdirkan kami bertemu, menjadi teman sebilik dan dapat terus bersilaturrahim selama 3 tahun, kemudian sehingga hari ini dan insyaAllah, sampai bila-bila.
Zetty, terima kasih sudi bersabar dengan cara saya selama 3 tahun. Terima kasih sudi jadi room-mate dan best friend saya.
Tahniah Zetty & Nazmir. Semoga Allah selalu merahmati kaliah dengan rumah tangga yang bahagia, tenang dan penuh kasih sayang. Juga dengan anak-anak yang sihat, comel dan soleh. InsyaAllah, majlis cukur jambul Zetty Jr. & Nazmir Jr. nanti saya datang :)
"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir."
[ar-rum, 30:21]
[ar-rum, 30:21]
ps: BFF!





