Thursday, May 05, 2016

Writer's block

"the condition of being unable to think of what to write or how to proceed with writing." - google saja.

Sungguh-sungguh tak tahu nak tulis apa. Tapi paksa diri juga menulis. Sebab menulis itu terapi. Tak tau kata siapa. Tapi memang, menulis itu terapi. Mengeluarkan yang terbuku di hati, terpendam dalam fikiran. Yang sampai membuat tidur tidak lagi lena. Yang membuat makanan tidak lagi menyelerakan. Yang membuatkan keindahan alam tidak lagi mendamaikan.

Bila banyak sangat bertampuk dan bertumpuk, hati mula gundah, jiwa mula kacau. Dan pada waktu ini, tubuh semakin lemah, mata semakin kabur. Masalah kecil terasa besar, perkara remeh boleh jadi punca perbalahan. Dan syaitan semakin galak menari. Berpesta dan menjerit memaki.

Ini mungkin salah satu punca saya terkenal dengan "garang" dalam kalangan pelajar di tempat saya bertugas. Sebab masalah memendam. Kadang-kadang, bila tugas menggunung, ekspektasi melangit dan reaksi-reaksi manusia berbaur membuatkan diri terasa sungguh serabut. Hilang rasional. Logik akal mula jadi tak laku.

SILA JANGAN CONTOHI SIKAP INI.

Dan atas sebab ini, saya membebel di sini. Memaksa diri untuk membebel. Sebagai seorang yang pernah satu ketika dahulu menghadap dan menghadam buku teks psikologi, saya faham ada sesuatu yang tidak kena dengan diri sendiri. Jadi, bila perkara seperti ini berlaku, tentu sekali kena cari cara untuk atasi.

1. Pergi terapi. Sebenarnya, jiran sebelah pejabat saya merupakan seorang pensyarah psikologi dengan pengkhususan kaunseling. Tapi, sebagai seorang anak Melayu yang tipikal, saya tidak merasakan perlu untuk menerima bantuan kaunseling. Belum, belum di tahap itu.

2. Pergi bercuti. Ha, ini memang menarik. Tambah lagi sekarang ini ada Pesta Buku Antarabangsa di KL. Dan bagi seorang pencinta buku, saya memang saaaaaangat teringin nak ambil cuti dan pergi shopping buku di sana. Tapi, bila menimbang semula pros-&-cons, nampaknya cons ada lebih banyak s berbanding pros. Jadi, batalkan saja. Bercuti dan bersiar-siar apatah lagi.

3. Berehat dan berurut. Kalau dapat ke spa, memang mengasyikkan. Berurut dan relaksasi. Hm...mungkin boleh dipertimbangkan.

4. Berhibur - mendengar muzik, menonton wayang, shopping dan berfoya-foya. Ohhh ini tidak menyelesaikan masalah. Malah mungkin boleh mendatangkan lebih banyak masalah.

5. Beriadah - bersenam, zumba, jogging, gim, apa sajalah aktiviti asalkan keluar peluh.

6. Bermenung. Termenung saja, kot-kot boleh merenung khilaf diri atau punca masalah. Tapi kalau keadaan macam saya, termenung tidak menyelesaikan masalah. Malah membuang masa.

7. Yang ni yang paling penting sebagai seorang Muslim - Mengadu dan menangis dengan solat dan sabar kepada Allah SWT. Sebab kita sendiri tak tahu apa yang baik dan apa yang buruk sebenar-benarnya untuk kita. Yang kita idamkan, belum tentu baik. Yang kita tak mahu terjadi, mungkin itu yang lebih baik. Allah ada berfirman yang maksudnya:
"..apakah manusia akan mendapat segala yang dicita-citakannya?" [An-Najm, 53:24]

Kalau diikutkan, masalah yang saya hadapi ni sebesar kuman je pun. Benda-benda kecil, berkaitan tugas. Malah langsung tidak menyentuh kehidupan peribadi. Tapi mungkin, hidup saya terlalu terjerumus dengan kerjaya dan mungkin, memandangkan saya tak begitu berpengalaman dalam dunia kerjaya (belajar lama sangat, tak pernah kerja secara rasmi), menyebabkan saya mudah dihinggap tekanan. Muka pun keruh semacam. Dan satu perkara yang saya sangat perasan, personaliti dan gaya hidup saya berubah. Wanneeza yang cheerful dan menikmati hidup itu telah hilang! Hidup terasa sungguh tidak efisyen. Ya, atas faktor ini saya menulis di sini.

Tak, ini bukan confession of the broken heart. Bukan juga membuka pekung di dada. Ini sekadar leteran biasa untuk memaksa jemari saya menaip, otak saya berfungsi dan bahasa saya mengalir kembali. Ini cara saya memaksa sekatan dalam minda penulis saya terbuka dan saya boleh kembali menulis.

Alhamdulillah, nampaknya cara ini berjaya. Anda saksinya. Kata saja writer's block. Sekali tulis entri berjela.

Kalau anda juga hadapi keadaan seperti saya, semoga anda pulih semula dan kehidupan anda ceria kembali!

ps: tiba-tiba rasa lega :)

Saturday, April 02, 2016

Chicken pox

Assalamualaikum. 

Okay. 
This is embarrassing. 
Yet painful. 

Drama sangat! Setahun tak tulis apa-apa, tiba-tiba keluar entri pasal chicken pox.

Virus varicella zoster tak segan-segan datang menjenguk saya. Semua orang tanya macam mana boleh kena. Selain daripada meyakini virus tersebut diutus sebagai penggugur dosa, saya pun tak pasti daripada mana, siapa dan bila saya mula dijangkiti. Tapi saya perlu akui, Dua minggu lalu fizikal saya terlalu letih. Mungkin waktu itu antibodi badan turun mendadak dan virus pun mula mengembang biak. Saya tanyakan pada doktor di Pusat Sejahtera USM. Katanya saya kes pertama untuk tempoh terdekat ini.

Tidaklah seorang muslim yang tertimpa gangguan berupa penyakit atau semacamnya, kecuali Allah akan menggugurkan bersama dengannya dosa-dosanya, sebagaimana pohon yang menggugurkan dedaunannya.” 
(HR. Bukhari dan Muslim) 

Kawan saya ada tanyakan macam mana rasa sakitnya chicken pox sebab dia kena waktu kecil. Jadi dah tak ingat. Saya rasa pengalaman dan rasa ada perbezaan antara satu sama lain. Abang saya sendiri waktu dijangkiti virus ini bersekali dengan demam yang sangat panas. Katanya, sampai minta maaf dengan ibu. Bimbang ajal sampai waktu sedang tidur. Beza pula dengan seorang kenalan yang chicken pox cuma pada luaran, tidak diikuti dengan demam panas. Pengalaman saya sendiri, chicken pox ni macam gabungan chicken pox + migraine + demam + gastritis + tekanan darah rendah. Sudahnya, terlantarlah saya sepanjang tempoh cuti sakit yang doktor bagi.


Tapi saya salute sungguh-sungguh pada dua housemate yang sangat baik hati menjaga, memasak dan memantau keadaan saya sepanjang saya sakit. Pagi-pagi sebelum pergi kerja, mereka masakkan makanan untuk saya. Carikan daun mambu (semambu @ neem - ada dalam USM) untuk mandi dan air kelapa untuk minum. Belikan stok roti. Tak berkira langsung. Malah risau nak tinggalkan saya sendirian di perantauan ni. Terima kasih sangat-sangat. Mereka pelik kenapa saya tak mahu pulang ke rumah keluarga. Jawapannya mudah. Saya tak mampu harungi perjalanan lama dalam kenderaan. Bila darah rendah ni, bukan saja dunia terasa bergoyang. Ada juga rasa loya dan mungkin akan muntah. Penah rasa mabuk laut? Lebih kurang begitulah rasanya.

Alhamdulillah, hari ini dah makin pulih. Dah tak demam, masih rasa loya bila makan tapi tak terasa sakit macam gastritis. Suhu badan pun ok. Darah mungkin masih rendah sebab masa tengah taip ni pun rasa dunia sedang bergoyang menari sumbang. Okay, bukan dunia. Pandangan saya yang bergoyang. Dan chicken pox ini, tak tahu lah bila akan pulih. Harap-harap cepat. Banyak tugas tergendala. 

Tapi tak apa, sakit juga satu nikmat, bukan?

Dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkanku.”
 [Surah Asy Syu’ara: 80]

Alhamdulillah.

ps: Blog ni dah nak 8 tahun! Saya decide nak kekalkan gaya menulis. Sesuai dengan matlamat blog ni: bukan blog akademik. InsyaAllah, kalau ada yang minat untuk baca pemikiran yang lebih serius, dengan bahasa yang menepati Gaya Dewan, nanti saya maklumkan tentang blog baru. Sedang dalam pembinaan. Under construction dah setengah tahun. Tak siap-siap juga.

Sunday, March 13, 2016

Percubaan

Ini adalah percubaan. Sila abaikan :P