Tuesday, January 26, 2010

Jom BERDAKWAH!


Topik macam serius sangat je kan. Tapi sebenarnya, apa yang nak saya kongsikan tidaklah seserius mana. Hal remeh-temeh saja. Tapi insya-Allah, jika diambil perhatian, besar impaknya.

Dakwah ada banyak tahap, banyak pendekatan. Dakwah bagi yang pandai bercakap, melalui ceramah. Yang pandai menulis, melalui penulisan. Yang pandai melukis, boleh saja berdakwah melalui komik. Kalau pandai berpuitis dan menyanyi, boleh pula melalui nasyid. Pendek kata, dakwah boleh dilakukan melalui medium apa pun. Tak semestinya perlu sertai tabligh. Atau badan dakwah (tapi kalau sertai mana-mana jemaah lebih baik lah...lebih sistematik dan lebih kukuh).

Tapi kita mungkin merasakan, ilmu belum cukup. Aku pun bukan baik mana..macam mana nak dakwah orang? Sedar atau tidak, setiap muslim itu bertanggungjawab untuk menjadi seorang da'ie (pendakwah). Kalau kita rasa tak layak, tak tahu atau tak mahu, fikir balik dan tenung balik MyKad yang bertulis ISLAM tu. Kalau bukan kita yang nak berdakwah, siapa lagi?

Tak susah. Caranya, mulakan dengan diri sendiri. Tunjukkan contoh yang baik. Lihat cara kita berpakaian. Kalau pakai tudung, pakai elok-elok. Biar tutup semua rambut, biar tutup sampai dada. Aset yang ada, simpan baik-baik. Kalau belajar, belajar elok-elok. Jangan dok ponteng je. Jangan biar orang lain kata orang Islam ni pemalas. Cukup apa adanya, tak mahu berusaha. Mengharap subsidi kerajaan semata. Macam tu jugak bila bekerja. Tambah-tambah lagi kalau colleague kita bukan Islam. Lagi lah kena kerja sungguh-sungguh.

Mungkin kita boleh kata, "Peduli apa dengan cakap orang. Yang penting aku tau apa aku buat". Tapi, dalam tak sedar, diri kita sebenarnya mungkin saja dijadikan contoh. Mungkin oleh adik-adik, oleh kawan-kawan, atau mungkin saja oleh seseorang yang langsung tidak kita kenali. Daripada menjadi contoh yang buruk, lebih baik menunjukkan contoh yang baik. Betulkan?

Contoh paling mudah, cara berpakaian. Pakaian menutup aurat, bersih, nampak tenang dan mudah didekati. Bukankah itu lebih baik daripada menutup aurat tapi kotor, busuk, malah wajah tampak resah, garang dan sukar didekati. Contoh macam ni bukan saja buat orang tak mahu bertudung labuh, malah timbul pula persepsi orang Islam ni pengotor. Lagi tak best lah kalau orang Islam tu sendiri seksi sampai kalah orang bukan Islam. Timbul pula pertanyaan orang bukan Islam, "Why some of you are very particular about your dress code while some of you are very open?" Bukan main-main, saya dah beberapa kali berdepan dengan pertanyaan seperti ini oleh teman bukan Islam.

Tu baru bab pakaian. Masuk bab pelajaran dan pekerjaan. Ye, saya tahu, bukan semua orang berpeluang untuk melanjutkan pelajaran. Bukan semua orang berminat untuk belajar. Tapi sekurang-kurangnya, jangan sampai orang bukan Islam kata, "Malaysian Muslims are most likely the American. They don't like to study. They just like to have fun." Haiyak! Berdesing telinga mendengar. Tapi nak buat macam mana, yang berkata begitu pada saya adalah seorang auntie berbangsa Cina yang umurnya sebaya dengan ibu saya. Nak lari pun tak boleh, dia duduk sebelah saya dalam bas sepanjang perjalanan dari Penang ke KL. Nak tak nak, terpaksalah tunjukkan kebolehan diri sendiri. Speaking la apa yang patut. Terfikir juga, entah betul entah tidak grammar aku ni. Bukan nak menunjuk-nunjuk pada dia..cuma nak buktikan, Muslim di Malaysia ni tak lah teruk mana. Walaupun kadang-kadang saya sendiri rasa teruk!
Ada banyak lagi contoh yang boleh kita tunjukkan. You name it! Asal apa saja yang baik, boleh dijadikan dakwah. Almaklum, bukan semua orang belajar tentang Islam sedalam-dalamnya. Tapi sekurang-kurangnya, kita semua tahu yang kita beragama Islam. Jadi, apa salahnya kalau menunjukkan yang baik-baik kan? Kalau kebaikan yang kita lakukan tu dicontohi, selama mana ia dicontohi, insya-Allah selama itu kita akan dapat manfaat. Macam kalau kita pakai tutup aurat elok-elok, ada pula yang mencontohi. Insya-Allah, ia sudah menjadi satu dakwah. Tapi kalau kita pakai yang tak elok. Pakai tudung, tapi dedah sini sana. Pakai tudung, tapi dari jauh dah boleh nampak bonggol unta atas kepala. Ada pulak yang meniru. Tak ke risau nanti, bukan orang yang meniru tu saja dapat dosa. Yang ditiru ni pun dapat tempias.

Kita mungkin boleh kata, "Alah, lu pikir la sendiri!" Tapi kita tak boleh lupa, setiap mukmin itu saling bersaudara. Kalau dah bersaudara, mestilah bertanggungjawab ke atas satu sama lain.


ps: cuba tanya pendapat orang bukan Islam tentang orang Islam..terasa bak meratah jantung sendiri!


Thursday, January 21, 2010

PRIORITI

Dalam hidup, ada banyak hal yang mahu dan perlu kita lakukan. Bangun pagi, sudah tersenarai semua benda yang perlu dan mahu dilakukan. Ada perkara yang perlu kita lakukan. Ada pula perkara yang mahu kita lakukan. Kadang-kadang, tak semua yang perlu itu kita mahu. Dan tak semua yang kita mahu itu sebenarnya perlu. Kalau saya sendiri, bila yang perlu itu tidak saya mahu dan yang saya mahu itu tidak perlu, biasanya menimbulkan konflik. Konflik untuk memilih, menentukan prioriti.

Seorang pelajar tahun 2 yang baru saja bertukar major sebagai contoh, perlu mengulang mengambil subjek asas yang biasanya diambil oleh pelajar tahun 1. Dalam masa yang sama beliau perlu mengejar kelas-kelas yang memang khusus untuk tahun 2. Dan manambah burukkan keadaan, kedua-dua kelas tersebut saling bertembung pada waktu dan hari yang sama. Kalau tak ambil kelas-kelas tersebut, bimbang pula tak berpeluang untuk bergraduasi bersama kawan-kawan satu batch yang lain. Ya, mungkin kita boleh mengatakan "Siapa suruh tukar major" atau "Kenapa tak rancang betul-betul sebelum pilih major". Tapi itu tidak membantu bukan?

Pelajar tersebut perlu mengambil subjek tahun 1. Dalam masa yang sama mahu mengambil kelas tahun 2. Matlamat utamanya adalah untuk bergraduasi bersama kawan-kawan seangkatan. Penentuan prioriti amat penting bagi pelajar tersebut. Jika ada subjek lain yang boleh digantikan, subjek elektif, subjek universiti atau apa saja lah... yang penting unit tersebut tak di sia-siakan. Prioriti perlu diltakkan pada subjek yang by hook or by crook perlu diambil dan tidak lagi ditawarkan pada semester yang lainnya.

Itu cuma satu contoh pemilihan prioriti. Ada banyak lagi situasi yang memerlukan kita memilih prioriti. Menentukan mana yang lebih utama. Kalau dalam Islam, penentuan prioriti ini terletak pada kedudukan sesuatu keputusan itu sama ada ia sebahagian daripada maslahah atau mafsadah. Antara menfaat dan mudarat, yang mana lebih banyak.

Tak dapat dinafikan, penentuan dan pemilihan prioriti ini memerlukan banyak pengorbanan. Saya teringat seorang teman yang begitu ingin menyertai sebuah seminar yang dianjurkan pada hujung tahun lalu. Dalam masa yang sama, suami beliau jatuh sakit dan tidak mengizinkannya untuk menyertai kami. Bukan semata-mata kerana mahu berada di seminar, tetapi juga untuk memenuhi permintaan dan tanggungjawab sebagai seorang pelajar, konflik dalam dirinya timbul kerana rasa tanggungjawab. Tanggungjawab sebagai pelajar, tanggungjawab sebagai isteri. Taat kepada guru dalam masa yang sama taat kepada suami. Akhirnya bebiau memilih untuk menetapkan suami sebagai prioriti, tetap di rumah dan menjaga kebajikan suaminya.
Selain pengorbanan, prioriti juga menuntut kita untuk menimbang banyak perkara. Norma masyarakat, agama dan yang paling kerap difikirkan adalah masa depan. Kalau memilih mendahulukan pilihan 1, apa akan jadi di masa hadapan. Begitu juga jika memilih pilihan ke-2.

Meskipun begitu, semuanya terpulang kepada diri kita sendiri. Saya percaya, kita adalah siapa yang kita fikir. Bak kata Dr. Fazilah Kamsah, kita adalah apa yang kita tumpukan, bukan apa yang kita mahukan! Tentukan prioriti anda sendiri. Orang boleh berkata maaaaacam-macam. Tapi alih-alih, derita itu cuma terpikul di bahu anda (dan orang yang menanggung anda..mak ayah contohnya). Maka, pilih apa yang penting dalam hidup anda dan tumpukan padanya.

Set for your goal!

ps: usaha lebih kuat, doa lebih giat...tawakkal pada Dia Yang Maha Mengingat