Friday, August 27, 2010

Nuzul al-Quran


Malam ini malam Jumaat. Malam ini malam ke-17 Ramadhan. Malam ini malam nuzul al-Quran.

Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.

‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran. Firman Allah yang bermaksud:

Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)

al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.

Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah al-‘Alaq. maksudnya:

”Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (al-‘Alaq:1-5)

Sumber dari e-rujukan Jakim, oleh Dr. Samsu Adabi Mamat.


ps: jom tadarus =)

Wednesday, August 25, 2010

Jalan Yang Hilang 2: Kreatifnya Syaitan

Menurut Imam al-Ghazali, musuh seorang mukmin itu boleh dibahagi kepada 2 unsur: yang jelas kelihatan dan yang ghaib/tidak kelihatan. Yang boleh dilihat itu terdiri daripada golongan kafir yang mendatangkan ancaman, golongan munafik dan golongan yang hasad dan dengki. Manakala yang ghaib atau tak nampak dek mata itu terdiri daripada syaitan dan hawa nafsu kita sendiri.

Ok, saya bukan ahli tasawuf. Jauh sekali seorang ustazah. Cuma, saya terbaca tulisan Ustaz Pahrol di dalam blog beliau, Genta Rasa. Beliau menuliskan kisah seorang gadis yang diberi hidayah oleh Allah lantas berhijrah daripada kejahilan kepada kebenaran. Kalau dulu tidak bertudung, ia kemudian telah bertudung. Kalau dulu pakaiannya mencolok mata, kini longgar dan labuh. Kalau dulu tingkahnya bebas, ia kemudian menjaga laku. Tutur kata dijaga dan amalannya turut terpelihara.

Selang beberapa ketika, bertemu semula dengan gadis yang sama. Tudung yang dulu menutup aurat kini cuma menutup urat. Baju yang longgar makin ketat. Tutur dan tingkah berubah mesra dan manja (gedik?). Dan sebagainya. Ringkasnya, menurut pemahaman saya, si gadis yang dulu berhijrah dari buruk kepada baik kini berhijrah kembali dari baik kepada buruk.

Pernahkah anda merasakan hal seperti ini?

Bagi saya, ini bukan sekadar isu kelabuhan tudung. Jujur, saya juga berdepan dengan situasi ini. Bukannya melihat pada orang lain, tetapi diri sendiri!

Adakah ini hasil kreativiti syaitan atau kelemahan iman dan hawa nafsu sendiri?

Naudzubillah, saya dan semua muslimah saya yakin mahu sentiasa menjadi baik. Mahu sentiasa punya tingkat iman yang tinggi dengan tahap nafsu yang baik. Namun sebagai manusia, inilah kekurangan yang amat sukar di atasi. Iman yang jarang-jarang naik, tapi kerap pula turun. Yang naik cuma berdikit-dikit tapi turun umpama menuruni gelongsor air!

"Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan karuniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau; karena sesungguhnya Engkau-lah Maha Pemberi (karunia)." ali-Imran, 3:8

Saya amat berharap, agar Ramadhan ini menjadi satu laluan untuk saya berhijrah daripada keburukan kepada kebaikan. Doakan saya ya.

Sunday, August 15, 2010

Ramadan Reruns

Alhamdulillah, hampir seminggu kita bersama Ramadan. Berulang kali Ramadan datang menjenguk kita. Datang, dan pergi. Selalu, Ramadan dikatakan sebagai madrasah yang berperanan mendidik diri kita. Ya, barangkali kita berubah menjadi hamba yang lebih taat, yang berpuasa sebaik mungkin dan memberi tumpuan kepada sekecil-kecil perkara yang boleh mengganggu tahap puasa kita. Namun, mampu tak perubahan yang dilaksanakan saat Ramadan berkekalan sesudah Ramadan berlalu?

Saya tanyakan perkara-perkara ini kepada diri sendiri dan kepada semua yang berziarah di sini. InsyaAllah, semoga Ramadan ini kita tidak melakukan kesalahan-kesalahan yang disebut dalam video ini. Dan insyaAllah, semoga hijrah kita pada Ramadan ini menjadi hijrah yang berpanjangan dan berterusan.


Tuesday, August 10, 2010

Pengembaraan bermula!

Lebih 1 jam menunggu untuk check-in di lapangan terbang. Selesai, berlari menuju ke surau di aras bawah untuk Solat Asar. Kemudian berlari lagi ke bilik mesyuarat di Aras 1. Rakan yang mengandung turut sama berlari mengejar masa. Adat musafir, perjalanan ke Medan ini bukan cuti-cuti Malaysia untuk ambil-ambil angin. Selesai taklimat, kami menuju ke ruang departure. Beratur lagi. Panggilan terakhir untuk penerbangan kami bergema. Selesai urusan di imigresen dan scanning barang-barang, kami berlari menuju ke departure gate. Marah si pramugari, "Kenapa lambat?" Pantas rakan saya menjawab, "Check-in tu lama sangat!"

mendengar taklimat

Disebalik segala kesulitan yang dihadapi sebelum berlepas, semuanya berjalan lancar selepas itu. Alhamdulillah. 6.10p.m di Pulau Pinang. Cuaca sangat baik sepanjang perjalanan. Ketua pramugari melarang penggunaan alat elektronik semasa penerbangan tetapi penumpang semakin galak mengambil gambar. (Saya pun sama.)

dari tingkap pesawat

Rezeki malam pertama
Tiba di Medan 6.00 p.m waktu tempatan (7.00 p.m di Malaysia). Terus ke hotal Royal Perintis. Check-in, solat Jamak Taqdim dan terus bersiap untuk makan malam di kediaman salah seorang urusetia yang juga merupakan pelajar seliaan guru saya. Kami menikmati makan malam - nasi dengan sambal tempe, lontong, rendang dan masak tauchu. Alhamdulillah, rezeki malam pertama.

Duit oh Duit!
Hari ke-2 bermula awal. Usai Solat Subuh berjemaah, tazkirah tentang kemiskinan dan akibatnya d Indonesia mengambil tempat.
"melihat suasana fasiliti di sini - rasa insaf dan bersyukur dengan nikmat yang kita ada di Malaysia"
-suerism
Dikatakan bahawa, selepas tragedi Tsunami, banyak NGO dari luar hadir ke Acheh dan mengambil anak-anak Acheh yang kehilangan ibu bapa lantas memurtadkan mereka. Juga didakwa program memurtadkan ini memfokuskan kepada golongan miskin - memberi wang untuk perdagangkan akidah. Maka bapak yang memberikan tazkirah menyatakan kaedah untuk membasmi keadaan ini adalah melalui pembangunan ekonomi.

Siang itu guru saya berucap di Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU). Pada zaman Rasulullah, ada golongan yang memang tidak disuruh oleh Baginda untuk bekerja sehingga kaya. Mereka hidup dalam keadaan zuhud, digelar golongan suffah. Namun ada juga yang tidak mahu menjadi kaya hingga mahu mendermakan seluruh hartanya tetapi dilarang oleh Nabi.
"Happiness is positively associated with higher income only up to the level where all basic biological needs get fullfilled"
-M. Umer Chapra
Bagi saya, kalau kaya tetapi tak dapat bantu si miskin, nak buat apa? Miskin itu mengundang kufur, kaya juga mengundang kufur! Pokoknya, kembali pada Allah. Biar miskin harta jangan miskin iman. Yang miskin usaha dengan taqwa, yang kaya memberi dengan taqwa.

Solat jemaah

berjemaah ketika dalam perjalanan ke Parapat (Danau Toba)

Satu perkara paling terkesan buat saya sepanjang di Medan adalah cara guru saya mendisiplinkan kami - anak muridnya melalui solat jemaah. Kami solat bersama hampir pada setiap waktu solat. Usai solat, rakan-rakan dari Medan akan menyampaikan tazkirah dan berkongsi cerita yang bermanfaat buat kami. Ada yang bercerita tentang kesusahan hidup bertani semasa kecil - hingga tak pernah bermimpi untuk berpeluang belajar sehingga Ph.D di negara orang. Ada juga yang bercerita tentang susahnya mencari sumber kewangan semasa melanjutkan pelajaran di Malaysia tetapi tetap mahu bernikah - dan mendapatkan rezeki dengan lebih mudah selepas bernikah. Ada juga kisah gempa susulan setelah gempa melanda Acheh ketika kami di Medan. Seribu satu kisah, yang hampir kesemuanya memberi peringatan kepada diri saya sendiri, untuk bersyukur kerana dilahirkan dan diberi peluang untuk melihat dunia sebagai seorang Wan Norhaniza.

Membentang
Hari ke-2 diisi dengan sesi pembentangan kertas kerja. Kami membentang saat peperiksaan kemasukan diadakan. Sesekali selepas ujian tamat, loceng dibunyikan sambil pengumuman "ujian tamat" berkumandang di corong amplifier.

registrasi sebelum workshop dirasmikan

10 minit diberikan untuk setiap pembentang. Bagi yang cukup bersedia, masa yang diberikan tidak mencukupi. Tapi untuk yang antara bersedia dengan tidak, ditambah dengan darah gemuruh, 10 minit itu terlalu lama untuk saya! Maklumlah, bila sudah gementar, butir kata dah jadi macam machine gun!


Ada juga yang tertinggal slide show di kamar hotel. Salute dengan audien di UMSU ini. Walaupun tanpa slide show, mereka tidak lost malah semakin memberikan tumpuan (dengan wajah yang cukup tense!). Tindakan penganjur memberikan kertas kerja penuh juga membolehkan peserta workshop terus membacanya sambil mendengar penerangan pembentang. Bukan semata-mata mendengar. Mereka mencatat nota dan bertanya soalan.

Batuk
3 hari sebelum ke Medan, tekak saya sudah mula sakit dan batuk-batuk. Bimbang juga kalau suara tak mahu keluar ketika giliran saya membentang. Dengan segala macam doa dan zikir yang terlintas di kepala, saya mula membentang. Gemuruh pada awalnya hilang serta merta selepas lafaz salam saya berikan kepada audiens. Suara keluar lantang. Alhamdulillah, doa sejak di Malaysia dimakbulkan Allah. Selesai membentang, saya batuk kembali. Tak apa lah. Yang penting dapat membentang.

Scenery

macet!

Salah satu perkara yang saya gemar tentang Medan adalah pemandangannya. Dari tempat kami menginap di pinggiran kota Medan, sampailah ke Danau Toba di Parapat. Semuanya menakjubkan buat saya. Pemandangan kemacetan (sesak/jam) kota merupakan pemandangan yang paling biasa. Dan di Toba, kehijauan flora dan kebiruan langit dan tasik mengambil tempat menghias pandang. Bukanlah saya kagum dengan kereta yang bersesak-sesak. Kagum itu ada pada penghuninya. Masyarakat Medan ini sangan lembut hatinya. Kalau di Penang, sesak begitu mengundang marah. Tapi di Medan kesesakan sudah menjadi punca rezeki. Ada yang berjualan kepada pemandu dan penumpang kereta. Ada juga mengambil peluang meminta sedekah. Orang-orang di Medan ini juga kuat bekerja. Dari anak kecil hinggalah yang bangka. Terfikir, betapa saya dikelilingi segala macam kesenangan, tapi masih malas belajar sedangkan ada anak-anak kecil di sini tiada peluang bersekolah pun!

Makan!


Sepanjang berada di Medan, semua makanan - dari sarapan hinggalah ke makan malam disediakan oleh pihak urusetia. Sarapan di hotel dan di seminar atau workshop, kami makan nasi kotak (saya beri nama ini kerana nasinya berada di dalam kotak). Tuah bermusafir dengan guru, kami turut dibelanja makan ikan bakar di Belawan (tepi laut). Makan malam pula disediakan oleh pelajar pensyarah-pensyarah saya di kediaman mereka, secara bergilir-gilir. Senang kata, kami tak perlu risau tentang makanan sepanjang berada di Medan. Cuma perlu hati-hati kerana masakan mereka lebih pedas berbanding masakan melayu biasa di Malaysia.

Shopping
Perkara wajib setiap rakyat Malaysia yang mampir ke Medan (dan kota lain di Indonesia) adalah shopping. Pertukaran matawang selalu membuatkan rakyat Malaysia merasakan harga barangan di Indonesia lebih murah berbanding dengan di Malaysia. Sebenarnya tidaklah semurah mana. Malah ada lagi yang lebih murah di Malaysia. Tapi ye lah, sudah di tempat orang, mahu juga membeli tanda mata untuk dibawa pulang.

membeli untuk isteri?

Kalau selalu shopping dikaitkan dengan wanita, perjalanan ini membuktikan bukan cuma wanita yang gemar bershopping! Oh, sebelum bertolak ke Medan, saya berazam untuk tidak bershopping. Azam tersebut gagal. 1juta Rupiah yang saya bawa cuma tersisa 2 ribu rupiah (lebih kurang 60sen). Apa yang saya beli? DVD dan VCD, novel dan buku-buku lainnya. Mujur juga cuma bawa 1 juta. Kalau bawa lebih, makin banyaklah yang dibeli. Akibat dari shopping besar-besaran ini, ramai rakan-rakan yang terpaksa membeli beg tambahan kerana mahu membawa pulang barangan yang dibeli. Kebanyakannya kain, telekung dan bika ambon. Had 15 kg yang diberikan oleh Air Asia tidak mencukupi sehingga ada yang terpaksa mengagihkannya sesama kami.


Saya kesuntukan masa untuk bercerita lebih panjang lagi. Sebenarnya ada terlalu banyak perkara yang saya alami sepanjang seminggu di Medan. Tetapi biarlah perkara-perkara tersebut tersimpan antara saya dengan Allah. Musafir kali ke-2 ke Medan buat diri saya, membuka peluang untuk saya berhijrah dari seorang Wan Haniza kepada Wan Haniza yang lebih baik. InsyaAllah. Terima kasih Medan, terima kasih untuk semuanya.