Monday, November 29, 2010

Ketika Tangan dan Kaki Berkata


Akan datang hari mulut dikunci
Kata tak ada lagi

Akan tiba masa
Tak ada suara dari mulut kita

Berkata tangan kita
Tentang apa yang dilakukannya
Berkata kaki kita
Ke mana saja dia melangkahnya
Tidak tahu kita bila harinya
Tanggung jawab tiba...

Rabbana
Tangan kami
Kaki kami
Mulut kami
Mata hati kami
Luruskanlah
Kukuhkanlah
Di jalan cahaya
Sempurna

Mohon karunia
Kepada kami
HambaMu
Yang hina

by Allahyarham Chrisye

Ya Allah, peliharalah aku. Bantulah aku. Menjauh dari dosa. Menjauh dari maksiat. Menghindar dari murka-Mu. Di dunia dan di hari kesaksian kelak.
Ya Allah, hinalah aku tanpa belas dan kasih-Mu.

Saturday, November 06, 2010

Messed up!

Sejak minggu lepas saya sibuk print segala macam artikel dan laporan yang dah terlalu lama bersarang dalam external hard-disk. Sebelum ini sekadar membaca dari skrin laptop ni je. Tapi, lepas penyelia kata nak tengok kategori untuk literature review, barulah kelam kabut nak print dan extract setiap maklumat. Haish! perangai last minute dari dulu masih tak boleh tinggal. Padan muka kat diri sendiri. Kan dah kelam kabut.

Tapi pelik juga kan. Dalam dok kelam kabut masih sempat menaip entri untuk post ini. Sebenarnya saja nak membebel. Nak lepaskan tekanan. Roomate tak ada. Minggu depan kot baru pulang ke USM untuk viva master. Jiran sebelah menyebelah pun tak ada. Ada yang pergi interview kerja. Ada yang buat field work. Ada yang balik rumah. Jadi saya pun membebel lah di sini sorang-sorang :)Aktiviti saya sejak semalam, kemas bilik - sepahkan balik - makan - kemas bilik - sepahkan balik. Bersepah dengan artikel. Kena buat sistem failing lepas ni. Dan tak lupa, sambil-sambil tu layan lagu MC Mong kuat-kuat. Tapi yang part Bahasa Inggeris je la. Yang Bahasa Korea tu tak reti. Masa degree dulu, kalau duduk sorang-sorang di hostel, Linkin Park dan Good Charlotte jadi pilihan telinga. Takpun lagu-lagu IndoPop. Tapi sejak sambung belajar, semua dah didelete. Konon-konon nak layan nasyid je la. Sekali bila dengar nasyid, semangat makin lama makin tak membara. Sudahnya, saya berpaling ke K-Pop. Sesekali dengar J-Pop. Tak faham pun liriknya. Sekadar dengar je.

Cakap fasal K-Pop ni, seorang rakan saya terkejut bila tahu saya juga meminati drama dan hiburan dari Korea. Sebenarnya, dah lama saya mengikuti drama bersiri Korea dan Jepun. Cuma sekarang ni drama dari Jepun dah semakin tak menarik. Jadi lebih cenderung kepada Korea. Saya tak berapa berkenan dengan rancangan dari Barat. Kalau dulu, semasa menengah rendah, fail yang saya bawa setiap hari ke sekolah bertampal poster Takuya Kimura dan Takashi Sorimachi. Sekarang dah tak buat dah. Biasalah, kata orang 'zaman jahiliyah'. Waktu tu lelaki idaman muncul dalam bentuk artis dan selebriti. Dah tu, takkan nak minat pada tok siak pula kan? Macam remaja-remaja lain, waktu itu sibuk mencari-cari idola. Dan biasanya, tentulah kita tertarik dengan orang yang kita rasa 'cool'. Selalunya, yang 'cool' ni pula hadir sebagai artis dan selebriti.

Bercakap tentang idola ni, beberapa hari lepas, terbaca tentang fenomena Maher Zain di majalah i-Islam. Katanya, Maher Zain sangat sesuai untuk dijadikan idola oleh anak-anak muda. Beliau berpendidikan tinggi, berakhlak baik dan Islamik.

Kakak-kakak, jangan tergoda dengan MZ ni ye. Tercemar jalan dakwahnya nanti

Nasihat saya, tak perlulah terlalu taksub dengan idola. Teladan terbaik kita, Rasulullah SAW. Tak salah kalau nak contohi orang. Tapi yang baik-baik sudah la ye. Yang buruk tu jangan ikut. Maklumlah, setiap manusia tu tak ada yang sempurna. Allah bagi status maksum tu pada nabi je. Untuk kita pula, Allah dah bagi iman dan akal. Makanya, gunakanlah sebaik mungkin ye.

ps: pernah nak tindik kening masa form 2 sebab taksub dengan vokalis band (rahsia!). Sudahnya Allah bagi saya kulit sensitif, telinga pun tak boleh ditindik subang. Padan muka. (Alhamdulillah, kalau tak, menyesal kot sekarang ni)

Monday, November 01, 2010

Cinta di Dalam Tudung


Tajuk asal: Love in a Headscarf
Penerbit : Aurum Press Ltd, London
Penulis : Shelina Zahra Janmohamed

Versi Bahasa Indonesia
Jumpalitan Mencari Sang Pengeran
MIZAN Kronik Zaman Baru



Sekadar menatap kulit luar dan tajuknya, saya menyangka ia cuma novel biasa tentang pencarian seorang wanita Muslim yang berkeinginan untuk membina rumah tangga, seperti novel-novel pop yang membanjiri pasaran buku di Malaysia. Ternyata, karya ini bukan sekadar novel cinta murahan. Juga bukan seperti novel Islami dari Indonesia yang semakin banyak membanjiri pasaran buku Malaysia.


Jumpalitan Mencari Sang Pengeran (jumpalitan = jungkirbalik = tunggang terbalik) mengisahkan proses pencarian jodoh yang dilalui oleh Shelina sejak usianya 19 tahun. Sesuai dengan latar belakang keluarga yang terikat kuat dengan tradisi asal dari India, ia berlaku melalui struktur kompleks masyarakat India Muslim - wanita tua (di novel ini digelar para Bibi dan Mak Comblang atau dalam naskah asal Bahasa Inggeris digelar Buxom Aunties) sebagai agen pencari jodoh. Tidak dilupakan, peranan Imam dari masjid di komuniti mereka.

Perkara paling menarik bagi saya mengenai novel ini adalah bagaimana kemelut yang dihadapi Shelina saat perlu berhadapan dengan tradisi yang dianggap sebagai ajaran Islam dan bagaimana tradisi-tradisi ini melanggar prinsip hidupnya. Shelina yang lahir di bumi Britain, memegang kerakyatan Britain, membesar di Kota London dan bersekolah hingga ke Universiti Oxford.

Pelbagai jenis calon suami yang diajukan kepadanya. Sama ada Shelina menolak, atau ditolak. Atas pelbagai sebab dan alasan. Ada yang menolak kerana Shelina bertudung. Ada juga kerana beliau dianggap rendah (160cm) oleh seorang lelaki yang hanya berketinggian 170cm. Ada juga yang Shelina menolak kerana calon suami itu tidak berakhlak, tidak mengamalkan cara hidup Islam malah ada juga yang mahu menikahinya hanya kerana mahukan kerakyatan Britain.

Tidak sekadar itu, masalah yang dihadapi Shelina turut dihadapi oleh rakan-rakannya yang lain, Sarah dan Noreen. Sebagai Muslimah yang taat dengan ajaran Islam, berpendidikan dan bekerjaya, mereka mendapatkan kesimpulan bahawa:
"Para Bibi mengatakan, kita tidak cukup tradisional.." "..dan pria-pria yang memiliki sifat-sifat yang kita cari mengatakan bahawa kita terlalu tradisional, membosankan dan religious"
Tidak hanya berbicara soal pencarian belahan jiwa, Shelina turut menghadapi kemelut lain dalam kehidupan bergelar Muslimah di negeri Inggeris. Novel ini turut menceritakan krisis yang dihadapinya saat tragedi 11 September. Shelina memahami dengan jitu bahawa Islam berakar dari kata Salam yang bermaksud damai, sejahtera. Lantas, melalui karya ini turut diselitkan rasa tidak setuju Shelina terhadap penggunaan istilah 'Jihad' yang digunakan oleh masyarakat dunia untuk memandang masyarakat Islam sebagai teroris, juga kepada golongan Muslim yang berfikiran sempit mengehadkan konsep Jihad hanya untuk berperang. Lalu menurut Shelina, beliau menganggap mereka yang melakukan tragedi tersebut bukanlah mujahid tetapi pembelot. Kata Shelina,
"..beberapa jam terakhir sebelum melaksanakan rencana mereka, para pria ini sibuk mabuk-mabukan dan melakukan hubungan intim dengan perempuan-perempuan tak dikenal...Jika mereka adalah orang-orang yang mengabdikan diri dan berpegang teguh pada agama seperti yang digambarkan media, mereka tak akan pernah melakukan perkara di luar batasan Islami seperti ini."
Shelina dan Muslimah lain di Britain perlu berdepan dengan pertikaian tentang agama mereka, peribadi mereka, gender mereka malah pakaian mereka. Serangan 11 September bukan sahaja serangan fizikal pada menara kembar tetapi telah melanjutkan kepada serangan-serangan terhadap inti ajaran Islam, serangan ke atas tudung dan pakaian menutup aurat para Muslimah serta hak sebagai seorang manusia beragama Islam. Berbeza dengan lelaki Muslim yang tidak terlihat identiti Muslimnya saat berjalan di kaki lima, Muslimah dengan tudung dan menutup aurat diserang dan dituduh sebagai teroris oleh mereka yang melakukan teror ke atas diri mereka!

Pencarian belahan jiwa yang dilalui oleh Shelina menghadapi kebuntuan saat konflik Barat-Muslim ini berlangsung. Shelina berhadapan dengan label-label penuh kontradiksi - Terlalu alim, berlagak pintar - orang bodoh yang tinggal di rumah, selalu solat, membosankan - terlalu mandiri, susah diatur.

Saat hampir putus asa dengan usia yang semakin meningkat dan gosip dari masyarakat sekeliling, Shelina memutuskan untuk terus hidup dan melakukan perkara-perkara yang dikatakan mustahil untuk wanita oleh komunitinya. Dan beliau bertekad, meskipun hidup membujang kehidupannya tidak terhenti. Cuma, barangkali lebih bermakna jika setiap yang dilakukan dilaksanakan dengan seorang teman. Oleh itu, Shelina berhenti untuk mencari rasa cinta dari seorang lelaki dan berubah kepada mencari seorang teman untuk berbagi kehidupan dan berkongsi prinsip-prinsip Islam yang dipegangnya. Saat pulang dari mengerjakan haji, Shelina ditemukan dengan cinta sejatinya, cinta Ilahi. Jika sebelum ini beliau hanya menurut ajaran Islam, tetapi kali ini beliau memilih untuk menjadi seorang yang beragama Islam. Bukan sekadar mewarisi, tetapi MEMILIH untuk menjadi sebahagian daripadanya.

Dan dengan berturutan, Shelina juga menemui belahan jiwanya, yang sudi berbagi dunia dan prinsip-prinsip dalam kehidupan.

ps: menghabiskan novel berbahasa Indonesia ini sangat mencabar! Penuh dengan istilah yang tidak difahami. Mujur ada Google Translate. Untuk yang mahu membacanya, saya cadangkan lebih baik jika dibaca dalam naskah asal berbahasa Inggeris.