Alhamdulillah, saya baru saja pulang dari Medan, Indonesia pada hari Khamis lalu. Kali ini merupakan kali ke 3 saya menyertai musafir ISDEV ke Medan. Tujuan utama perjalanan ini adalah untuk mengikuti seminar oleh pensyarah-pensyarah saya dan juga untuk membentangkan kertas kerja saya sendiri.
Pada 2 musafir sebelum ini, saya selalu mengambil kesempatan untuk bermuhasabah diri dan menenangkan fikiran. Biasanya saya akan dilanda masalah atau krisis sebelum saya bertolak ke Medan. Begitu juga kali ini. Saya ke Medan dengan hati yang berat. Jiwa saya separuh tertinggal bersama keluarga besar di Perak kerana ketika saya di Medan, keluarga besar "Wan" berkumpul di kampung di Jalong, Sg Siput, Perak. Menurut ibu saya, hanya beberapa cucu yang tidak hadir dan salah seorangnya adalah saya.
Menariknya, walaupun sebelum kami bertolak ke Medan saya tidak begitu gembira dan agak keberatan, namun setelah kami di sana, saya mula berasa seronok. Malah, lebih seronok berbanding musafir-musafir yang pernah saya ikuti sebelum ini. Kenapa ya? Barangkali kerana saya tidak fikir apa-apa. Saya hanya menikmati setiap detik ketika saya di Medan, tanpa berasa risau akan gempa dan tsunami yang ketika itu melanda Jepun, mahupun ancaman hujan asid akibat ledakan nuklear dan pencemaran radioaktif Jepun. Saya serahkan nasib saya kepada Allah, sepenuhnya tanpa berfikir apapun. Membentang kertas kerja juga jadi lebih mudah berbanding kertas kerja lain yang pernah saya tulis sebelum ini. Barangkali kerana ini antara kertas kerja terburuk pernah saya tulis.
Semasa kertas kerja tersebut ditulis, saya menyedari betapa bodoh dan ceteknya ilmu saya. Lumrah orang belajar, makin belajar makin tidak tahu. Tapi memandangkan masa yang suntuk, saya tulis jugalah apa-apa yang termampu. Jadinya, saya pasrah saja kalau saya dihentam selepas pembentangan. Saya berserah bulat-bulat kepada Allah. Apa nak jadi, jadilah. Yang menariknya, soalan-soalan yang timbul selepas saya membentangkan kertas kerja bukanlah soalan menghentam tetapi soalan yang membina. Malah audiens nampak seperti berminat dengan topik yang saya utarakan. Barangkali kerana yang mengikuti pembentangan saya merupakan mahasiswa Fakultas Ekonomi, maka mereka faham tentang apa yang saya perkatakan. Alhamdulillah.
Hari terakhir sebelum hari kami berangkat pulang, kami semua diberi peluang satu hari untuk membeli-belah di sekitar Medan. Oleh kerana kami dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil mengikut kenderaan MPV, maka tempat-tempat untuk bershopping berbeza mengikut kenderaan.
Kumpulan kami bermula dengan berkunjung ke Zulaikha - kedai yang menjual kek lapis dan bika ambon khas Indonesia. Kemudian ke kedai buku Wali Songo dan seterusnya ke kedai buku Gramedia (juga terdapat di Malaysia, salah satu nya di the Mines). Selepas makan tengah hari dan solat jamak taqdim Zohor-Asar di Masjid Agung, kami berangkat pula ke Pajak Ikan Lama, salah satu lokasi membeli belah khusus untuk ibu-ibu. Lebih kurang macam Jalan TAR la. Saya sepatutnya membeli kain untuk dibuat baju kurung untuk ibu dan juga adik saya. Tapi memandangkan saya kurang arif tentang fabrik dan tekstil, maka segera saya hantar sms kepada ibu, "Mama, kain banyak sangat. Tapi mahal-mahal. Macam untuk orang kahwin. Kakak tak reti beli. Takpe ye kalau tak beli." dan wang ratusan ribu rupiah yang saya simpan untuk membeli kain itu saya gunakan untuk membeli al-Quran (dan novel hehe).
Dan esoknya, hari Khamis, 17 Mac kami pun bertolak ke Bandara (bandar udara) Polonia untuk kembali ke Pulau Pinang. Alhamdulillah, sekitar pukul 12 tengah hari, kami selamat sampai di Bayan Lepas.
Esoknya, hari Jumaat ISDEV menganjurkan Majlis Malam Graduasi untuk meraikan graduan-graduan ISDEV peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah yang berkonvokesyen pada hari Sabtu, 19 Mac di Kampus Kejuruteraan USM, Nibong Tebal. Saya ditugaskan untuk menjadi MC bagi majlis tersebut. Sebelum ini saya cuma pernah menjadi moderator untuk workshop sahaja. Jadinya, bila ditugaskan menjadi MC ni, terketar lah juga. Sampai tersasul-sasul menyebut nama pensyarah sendiri.Begitulah perjalanan hidup saya dalam tempoh 7 hari yang lalu. Hari ini sudah hari Ahad. Esok, akan bermula minggu baru. Dan saya harus mengisi masa yang Allah anugerahkan dengan lebih efisyen lagi. InsyaAllah.


