Sunday, October 25, 2009

Kisah-kisah si Perompak


Ada sebuah kisah. Tentang Imam al-Ghazali dengan sekumpulan perompak. Kejadian berlaku apabila rombongan Imam al-Ghazali dirompak. Habis semua barangan mereka dirompak. Ini termasuklah manuskrip Imam al-Ghazali yang penuh tercatat pelbagai ilmu pengetahuan yang diperolehnya. Lantas, beliau memberanikan diri menghampiri ketua perompak untuk meminta kembali catatan ilmunya. Beliau sedia untuk menyerahkan semua yang dimilikinya namun beliau merayu agar manuskripnya dipulangkan kembali. Mendengar permintaan Imam al-Ghazali itu, ketua peropak pun berkata, "Apa gunanya lagi catatan-catatan engkau itu kiranya ilmu itu sudah engkau pelajarinya? Bukankah ilmu itu sudah ada di dalam kepalamu?" Meskipun begitu, ketua perompak tetap memulangkan kembali catatan al-Ghazali tersebut. Sejak dari peristiwa itu, Imam al-Ghazali beriltizam menghafal dan memahami pelbagai ilmu yang dipelajari dan diketahuinya, bukan sekadar mencatat ke dalam kitab.

Ada sebuah kisah lagi. Tentang Syeikh Abdul Qadir Jailani ketika kecilnya. Pada suatu hari beliau berangkat menuju ke kota Baghdad untuk menuntut ilmu. Ibunya membekalkan wang sebanyak 40 dinar sebagai perbelanjaan. Sebelum berangkat, ibunya berpesan agar sentiasa bercakap benar apalagi tujuan beliau keluar adalah untuk menuntut ilmu. Beliau menumpang rombongan kafilah. Dalam perjalanan tersebut, kafilah yang ditumpanginya ditahan oleh sekumpulan perompak dan menjadikan Syeikh Abdul Qadir Jailani sebagai tawanan mereka. Semasa dibawa pergi, salah seorang perompak itu bertanya: "Apakah yang kamu bawa bersamamu wahai budak?" "Saya hanya membawa empat puluh dinar." Ujar beliau dengan tegas. Perompak itu kemudian meninggalkannya kerana menyangka beliau mempermain-mainkannya. Kemudian datang lagi seorang perompak dan bertanya soalan yang sama. Dengan tegas beliau memberitahu perompak tersebut bahawa beliau membawa bersama empat puluh dinar sebagai bekalan. Perompak tersebut kemudian membawa Syeikh Abdul Qadir Jailani kepada ketua mereka. Ketua perompak itu juga bertanyakan soalan yang sama dan juga dengan tegas jawapan beliau tetap sama. Ketua perompak tersebut lantas berkata, "Hai budak, kenapa engkau begitu berani sekali berkata benar sedangkan engkau membawa wang?"

Syeikh Abdul Qadir Jailani menjawab "Tuan, sejak kecil ibu bapa saya telah berpesan untuk bercakap benar, hinggakan sebelum berangkat untuk menuntut ilmu ke Baghdad pun dia berpesan agar saya tidak bercakap bohong. Saya tidak sampai hati untuk mengkhianati pesanan dan nasihat ibu saya. Apalah harga empat puluh dinar ini, untuk dibandingkan seseorang yang ingin menuntut ilmu kerana Allah. Setelah mendengar jawapan tersebut, ketua perompak itu lantas menangis tersedu-sedu di hadapan saya sambil berkata, "Alangkah mulianya budi pekertimu wahai budak, dan alangkah beruntungnya ibu yang melahirkanmu. Sedangkan masih kecil begini engkau takut berbuat dosa, tetapi aku pula tanpa segan silu membuat kejahatan dan mengkhianati janji serta amanah Allah. Demi Allah, mulai hari ini aku bersumpah akan bertaubat dan kembali ke jalan yang benar." Ketua perompak itu akhirnya mengarahkan orang-orangnya supaya memulangkan semua harta kafilah. Setelah itu mereka pun meneruskan perjalanan ke kota Baghdad.

Dalam kehidupan kita, ada dua manfaan yang dapat kita peroleh. Sama ada kita akan belajar daripada orang lain atau orang lain akan belajar daripada kita. Isnin yang baru berlalu, rumah nenek saya di Kota Sarang Semut dipecah masuk. Syukur, tiada kecederaan menumpa penghuni rumah. Cuma barang-barang saya yang diambil. Beg, beg duit dan kamera. Oh ya, mereka juga barangkali bercadang untuk mengambil tudung saya. Tidak tahu kenapa. Tudung tersebut ditemui di luar rumah nenek saya. Kejadian berlaku sebelum Subuh menjelang. Pagi Isnin tersebut saya penuhi masa bersama Mak Long yang kini bertugas sebagai Ketua Jururawat di Hospital Sultanah Bahiyah untuk membuat laporan polis dan menguruskan urusan mem'block' kad bank. Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun, sesungguhnya setiap apa yang Allah berikan kepada saya adalah milik-Nya dan kepada-Nya jua semua nikmat itu akan kembali. Waktu itu, saya tiada satu sen pun duit. Mahu cucuk di bank pun tidak boleh kerana semua kad bank saya telah diambil. Tapi tak perlu dibimbangkan kerana saya percaya, rezeki itu daripada Allah. Mungkin ada hak orang lain pada apa yang ada dalam beg dan beg duit saya. Saya relakan dan saya halalkan. Buat si dia yang mengambil, jutaan terima kasih saya ucapkan kerana sudi mengejutkan saya yang sedang mamai tanpa pedoman.

Siapa agaknya antara kita yang belajar antara satu sama lain? Oh...tiada ilmu yang dapat saya beri. Namun satu hal yang saya yakin, si dia yang mengambil telah memberi satu pengajaran tak ternilai buat saya. Oleh itu, terima kasih saudaraku. Saya doakan moga dengan ringgit yang tak seberapa dan apa yang ada dalam beg itu dapat membantunya meneruskan kelangsungan hidup. Semoga suatu hari nanti jalan kebenaran dapat ditemuinya. Dan semoga waktu itu, pintu keampunan Allah masih sedia terbuka.

Tuesday, October 20, 2009

Coret2 Disertasi: Penghargaan

Dalam ruang penghargaan, muka surat (i) disertasi saya telahpun saya nyatakan penghargaan. Tapi untuk menulis nama-nama mereka yang terlibat dalam proses kajian saya dalam ruang satu muka surat amat terbatas. Makanya, saya ingin mengambil kesempatan dalam blog ini untuk menyampaikan ucapan terima kasih saya kepada semua yang terlibat.

1. Ibu dan ayah yang tercinta untuk sokongan, perhatian dan bantuan kewangan.

2. Penyelia yang dikasihi, Dr Zahri Hamat serta isteri. Terima kasih kerana sentiasa bersedia meluangkan masa untuk saya.

3. Guru-guru yang amat dihormati - Prof Syukri, Dr Suekainah dan para pensyarah di ISDEV. Terima kasih kerana selalu ada untuk diganggu oleh saya.

4. Kak Shereeza dan Supit yang selalu sudi berkongsi maklumat, sudi menghubungi saat saya keseorangan di Kedah.

5. Kak Radieah dan Aya yang selalu sudi melayani keresahan dan keterujaan saya. Juga menghadapi kerenah saya yang boleh berubah bila-bila masa.

6. Emy dan Wawa. Walaupun jarang-jarang dapat bertemu tapi sentiasa mengambil tahu tentang diri saya. Buat wawa, semoga selamat melahirkan bayi sulung.

7. Semua rakan sekelas Sarjana Pengurusan Pembangunan Islam batch pertama (MISDEV08). Walaupun mengenali kalian cuma sekejap, tapi ukhuwah terasa sangat mewangi. Semoga persahabatan kekal selamanya. Semoga semangat perjuangan tetap menyala walaupun kita bakal membawa haluan masing-masing.

8. Teman sebilik selama 2 semester pengajian master, Noorlida yang selalu ada saat suka dan duka.

9. Teman sebilik semester terakhir, Norfadzila yang membantu dalam laluan baru kepada jalan yang lebih jauh dan tinggi. Semoga perjalanan ke New Zealand dipermudahkan.

10. Efie Azlan yang membantu semasa kajian perpustakaan (library research) dijalankan di Perpustakaan Utama, UM. Juga buat kakitangan Utama (termasuklah guardnya)

11. En. Salleh, pelajar PhD ISDEV merangkap kakitangan PUZ P. Pinang.

12. En. Wan, PR MAIWP.

13. Dr. Yamin dan Ustaz Nizam di Bahagian Baitulmal Wilayah. Juga PA Dr. Yamin yang sudi membantu melancarkan perjalanan temu bual.

14. En. Razali di PPZ Wilayah. Terima kasih buat semua kakitangan Bahagian Operasi PPZ.

15. En. Solhi di PUZ P. Pinang.

16. Nadia, Kak Wani dan Hidayah di ISDEV. Maaf, selalu mengganggu kalian.

17. Kakitangan sokongan PP Sains Kemasyarakatan untuk bantuan surat dan kiriman fax.

Terima kasih buat semua yang terlibat dalam menjayakan disertasi ini. Jasa kalian hanya Allah yang mampu membalasnya. Maaf jika sepanjang kajian dilaksanakan dan dalam tempoh penulisan disertasi ini saya ada membuat salah dan dosa terhadap anda. Saya manusia biasa. Kadang-kadang tersentuh dek tekanan. Rebah dek tentangan. Jatuh bila kaki disadung. Tapi insyaAllah, saya akan sentiasa berusaha untuk bangkit kembali. Terima kasih banyak-banyak.

Semoga Allah sayang kita semua. o_O

Saturday, October 17, 2009

MISDEV 08


Rasa macam baru semalam saya mengharung hujan, menapak dari Tekun ke ISDEV. Basah lencun saat berkenalan dengan gadis bernama Emy. Rasa macam baru semalam saya bingung dengan ATM yang tak mahu mengeluarkan duit. Lantas terpandang seorang gadis bernama Suraya. Duit dipindah melalui akaun dan dikeluarkan melalui akaunnya.

Rasa macam baru semalam mengenal Pakcik dan Makcik. Mengenal Kak Syereeza, Kak Salwa, Kak Radieah, Wawa, Za, Ja, Fizah, Hafiz, Amin, dan Anwar. Rasa macam baru lagi mengenali semua di ISDEV. Tak sangka hari ni kita masing-masing sudah mula membawa haluan sendiri.

Ada yang sudah bergelar ibu. Ada yang sudah bergelar isteri. Ada juga yang sudah bergelar tunangan orang. Ada yang sudah mula mencari-cari bahan membuat proposal PhD. Ada yang sedang mengintai-intai penyelia di universiti lain untuk menyambung PhD. Ada yang kelam kabut baru nak fikir tajuk PhD sebab memang blur taktau nak sambung kaji apa. Ada juga yang mahu keluar berkhidmat di industri.

Cepatnya masa berlalu. 3 Julai 2008 baru berkenalan, kini pengajian hampir selesai. 16 Oktober mungkin hari terakhir untuk kita bersama-sama. Tapi harapnya ukhuwah kita, persaudaraan kita, persahabatan kita, akan tetap teguh di dalam hati. InsyaAllah.

Nanti bila masing-masing menyambung PhD, boleh lah sama-sama berkumpul di INGRAW ye. Membentang kertas kerja PhD pula.

Jumpa di graduasi Mac 2010 nanti ya! InsyaAllah.

Wednesday, October 14, 2009

Coret2 Disertasi

Alhamdulillah, apa yang diusahakan sejak Mei lalu kini telah menmbuahkan hasil. Disertasi saya telahpun dihantar untuk penilaian tiga penilai. InsyaAllah, dalam sebulan lagi tahulah keputusannya. Ada banyak kisah yang terjadi sepanjang proses menyiapkan draf disertasi ini. Jadi entri kali ini lebih semacam trivia tentang disertasi ini. Oh terlupa. Disertasi tu lebih kurang macam tesis la. Formatnya hampir sama tapi lebih ringkas, pendek dan lebih mudah berbanding tesis penuh pelajar mod penyelidikan (research mod).

1. Hari disertasi dihantar adalah 2 hari selepas saya berumur 23 tahun.

2. Pagi sebelum disertasi dihantar, keputusan peperiksaan IELTS keluar. Alhamdulillah, melepasi batas minima.

3. Sehari selepas disertasi dihantar saya mengikut rombongan ke HPA di Perlis anjuran junior dari MISDEV 09.

4. Semua buku perpustakaan yang dipinjam telah melepasi tarikh tamat...masih belum tahu berapa denda yang perlu dibayar.

5. Saya hanya memahami apa yang saya kaji dan perlu saya kaji semasa bulan Ogos.

6. Setelah berkali-kali gagal menghubungi responden, saya nekad ke pejabat beliau tanpa temu janji.

7. Ibu saya menemani saya ketika pertama kali ke Daruzzakah, pejabat salah satu responden untuk kajian disertasi ini.

8. Semua yang ditemu bual mengatakan saya terlalu muda. Ada apa dengan usia kan... .

9. Ketika disertasi ini dimulakan, saya menetap di rumah nenek di Kota Sarang Semut. Sejak Julai 2009 saya kembali menetap di hostel USM (duduk rumah banyak godaan dan gangguan..hehehe)

10. Saya diserang demam teruk ketika wabak H1N1 mula-mula menular. Oleh kerana tiada teman sebilik, saya mengambil tindakan mengkuarantin diri sendiri di dalam bilik.

11. Memandu seorang diri ke Bukit Mertajam untuk ke PPZ Bandar Perda. Sesat di Bukit Mertajam sebelum ke rumah teman untuk dijadikan penunjuk arah.

12. Kemalangan kereta di Sg. Petani selepas Bab 4 Analisis Kajian dihantar untuk diperiksa oleh penyelia. (masih belum pernah memandu selepas itu).

13. Menghadapi gangguan selera makan yang pelik, mirip eating disorder ala Bulimia nervosa tapi tanpa memuntahkan makanan. Kadang-kadang makan tanpa henti. Kadang-kadang tak makan langsung...minum susu coklat je. Ketagihan kepada makanan (minuman?) bersumberkan susu.

14. Ramai yang menegur makin kurus. Berat badan cuma turun 1 kg. (Oh, saya memang sedia kurus).

15. Diserang migrain semasa sedang menaip untuk Bab 2. Terpaksa tutup laptop, tutup langsir dan duduk dalam gelap. Tidak boleh bertoleransi dengan cahaya.

Alhamdulillah, apa pun yang terjadi sebelum, semasa dan selepas disertasi ini diselesaikan adalah satu pengalaman dan pengajaran buat saya. Sekali terjatuh, kena la bangun balik. Teruskan berjalan dan teruskan berjuang. Dalam setiap ujian Allah mesti ada sesuatu yang sangat berharga untuk dipelajari. Cuma perlu muka mata, buka minda dan buka hati.

Sepanjang kajian dijalankan, ada banyak pihak yang turut terlibat menjayakannya. InsyaAllah, akan saya coretkan di lain masa.

ps: menulis disertasi bukan macam menulis blog..boleh ikut suka, boleh ikut rasa.

Tuesday, October 06, 2009

Pejuang mesti kuat

Perjumpaan lebih satu jam dengan guru saya tempoh hari membuatkan saya tersedar. Rapuhnya diri saya. Tersentuh dengan hal yang kecil-kecil. Kecil hati, kecil jiwa, kecil semangat. Matlamat juga. Macam dunia cuma berputar berpaksikan saya. Padahal, realitinya tidak. Dunia bukan sekadar saya dan apa yang berlaku disekeliling saya. Begitu juga hidup. Bukan cuma berkisar tentang hiruk pikuk seorang pelajar yang disertasinya tak siap-siap.

Ahli Akademik mesti kuat. Jiwa mesti besar. Bukan tak boleh melayan emosi. Tapi perlu dihadapi dengan hikmah.

Aduh...lama tak ditazkirah oleh guru saya ini. Sampai diri hampir tumbang. Hampir saja mengaku kalah. Hampir tertewas dengan ujian kekalahan mental dan rohani yang semakin sakit. (aii kalau Prof takde nak bagi tazkirah, takkan terus jadi lemah..apa lah!)

Tiba-tiba rasa macam sembuh. Tiba-tiba rasa macam kena penampar Jepun. Antara sedar dengan blur yang kejap-kejap datang. Berpinar-pinar. Macam nak pengsan. Tapi tiba-tiba rasa mahu bangkit. Tak ada senapang untuk berperang. Tak ada bom untuk diletupkan. Tak ada batu nak disasarkan. Tapi ada pena. Ada jari jemari. Ada otak yang masih berakal. Ada kudrat. Dan yang paling penting, ada PELUANG.

Isk.isk. isk... lamanya masa disia-siakan. Astaghfirullah...

Tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku termasuk golongan yang menganiayai diri.

Monday, October 05, 2009

Happy 23rd

Hai manusia, jika kamu dalam keraguan tentang kebangkitan (dari kubur), maka (ketahuilah) sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu dari tanah, kemudian dari setetes mani, kemudian dari segumpal darah, kemudian dari segumpal daging yang sempurna kejadiannya dan yang tidak sempurna, agar Kami jelaskan kepada kamu dan Kami tetapkan dalam rahim, apa yang Kami kehendaki sampai waktu yang sudah ditentukan, kemudian Kami keluarkan kamu sebagai bayi, kemudian (dengan beransur- ansur) kamu sampailah kepada kedewasaan, dan di antara kamu ada yang diwafatkan dan (adapula) di antara kamu yang dipanjangkan umurnya sampai pikun (sangat tua), supaya dia tidak mengetahui lagi sesuatupun yang dahulunya telah diketahuinya. Dan kamu lihat bumi ini kering, kemudian apabila telah Kami turunkan air di atasnya, hiduplah bumi itu dan suburlah dan menumbuhkan berbagai macam tumbuh-tumbuhan yang indah. (Surah al-Hajj, 22:5)


Apa lambang sebuah kedewasaan? Umur atau kematangan? Adakah sebuah maturity itu directly proportional dengan sebuah kedewasaan?
Matang selalu dikaitkan dengan pertambahan usia. Bak kata orang tua-tua, orang yang berusia ni makan garam lebih daripada orang yang muda. Hm.. betul la tu.

Beberapa hari lalu sempat bersembang dengan seorang kawan. Sekadar cakap-cakap kosong kisah zaman muda-mudi (zaman sekolah). Kisah saya yang menggunakan pendekatan memberontak secara senyap. Pemberontakan ala mogok lapar. Waktu itu saya masih mentah. Baru 14, 15 tahun. Saya bukan anak nakal. Tapi tak boleh nak dinafikan, saya anak yang degil. Juga pelajar yang degil. Kedegilan yang berpunca dari rasa benci yang amat sangat pada orang dewasa. Tak tahu apa punca sebenar kebencian kepada orang dewasa. Barangkali kerana persekitaran saya, kerana kisah-kisah kekejaman dan ketidakperikemanusiaan seorang dewasa. Barangkali kerana saya sendiri tidak faham dengan tindakan orang dewasa dalam percaturan hidup.

Kisah silam saya, zaman remaja saya memang tidak indah untuk dikenang. Apa yang indahnya kalau saya sendiri tidak pernah membuka ruang untuk sebuah kegembiraan? Tapi saya tidak pernah menyesal hidup dalam palitan warna hitam selama beberapa tahun di usia remaja. Kerana warna hitam itu memberi saya dimensi hidup yang berbeza. Yang membolehkan saya memahami sedikit demi sedikit tuntutan hidup seorang dewasa.

Saya juga tidak bangga menjadi seorang 'rebellious girl'. Cuma saya bersyukur Allah jadikan gaya pemberontakan yang tidak mendatangkan kerosakan pada diri sendiri. Walaupun saya pernah diajak menjadi golongan gadis yang rosak. Namun kerana gaya pemikiran saya yang sukar difahami orang lain maka saya tidak terjebak dengan mereka.

Alhamdulillah, semua kisah lalu dan semua yang terjadi mematangkan saya. Tentunya saya tidak sematang dan sedewasa mereka yang seusia saya di bumi yang bergolak. Tapi inilah bekalan saya. Untuk meniti hari-hari esok yang saya yakin akan ada berjuta halangan dan ujian untuk saya hadapi. Alhamdulillah, apa yang berlaku telah pun berlaku. Dan hari akan datang adalah apa yang bakal saya lalui.

22 tahun menghirup udara di Bumi Allah. Dan InsyaAllah Taala, dengan izinnya, saya ingin hidup untuk terus berjan pada jalan-Nya.

Happy 23rd wan!

Tuesday, September 29, 2009

Katung

Jika hipokrit itu munafik
Masih layakkah kita dibelar mukmin?
Jika perkongsian itu ghibah
Masih layakkah kita digelar muslim?
Sungguh,
hatimu dan hatiku
Hanya Allah yang lebih tahu
Degar...degar
Kata-katamu kata-kataku
Hujahmu dan hujahku
Masihkah dalam batas waras?
Masihkah berpaksi sumber asas?
Kau, aku
Masih layakkah digelar mukhsin?

wan haniza
4.05 am Ahad
8 Syawwal 1430H
27 September 09