Tuesday, April 19, 2011

Lembaran di atas kepala

Ada selembar kain. Yang dimuliakan para wanita. Dipakai di atas kepala. Buat menutup rambut, mahkota anugerah Allah.

Ada yang memanggilnya tudung. Ada yang memanggilnya kelubung. Ada yang memanggilnya hijab. Ada yang memanggilnya head scarf, shawl, jilbab, macam-macam lagi lah. Anda namakan.

Ada macam-macam gaya, macam-macam fesyen lembaran penutup rambut ini. Kalau di Malaysia, yang paling Islami biasanya memakai tudung bulat. Kebanyakannya yang dari sekolah agama. Tapi ada juga yang dari sekolah biasa. Kemudian ada tudung labuh - yang tak bulat. Bidang 60". Kecil sikit, ada yang bidang 50". Kecil lagi - yang paling biasa dipakai oleh gadis-gadis Melayu, bidang 45". Kebanyakan tudung bawal saiznya 45". Kebanyakan ya, bukan semua.

Kalau yang malas sikit (sikit je), gemarkan tudung segera. Tak pun tudung Syria. Tapi yang terhangat di pasaran sekarang ni, tentulah selendang (shawl). Pengaruh Yuna barangkali. Dan sehari dua ini, kerap pula nama baru muncul. Hana Tajima Simpson - fashion designer cum Yuna's best friend cum her designer. Dengar kata Hana Tajima ni datang ke Malaysia baru-baru ini. Mungkin sebab itu lah saya ternampak namanya di merata-rata.

Ok ok. Apa motif saya menulis perkembangan industri per-tudung-an di Malaysia ni? Sebenarnya bukan apa. Isu tudung ni dah begitu banyak diperdebatkan. Saya selalu juga dengar orang kata, 'Alah pakai tudung pun buat maksiat apa'. Ayat biasa, menyalahkan golongan bertudung bila sendiri tak mahu bertudung. Dan ada juga yang kata, 'Dosa tau tak pakai tudung. Setiap helai rambut yang orang lelaki tengok akan di tulis dosanya.' Ini saya petik ayat ustazah fardhu ain saya.

Saya berkawan dengan macam-macam jenis orang. Ada yang tak bertudung, tapi lebih ramai yang bertudung. Fesyen tudung rakan-rakan saya juga bervariety. Dari tudung bulat, sampailah ke shawl ala Yuna - semua yang saya sebutkan di atas. Tapi ada satu kesimpulan yang dapat saya buat tentang tudung - ia satu amanah, bukan sekadar selembar kain buat penutup kepala. IA lebih dari itu.

Tudung, lambang maruah seorang wanita. Lambang kebebasan dan hak. Mungkin ada yang pelik, kenapa kebebasan dan hak? Sebabnya, ia memberi peluang kepada seorang wanita membebaskan dirinya daripada menggayakan diri, mendedah rambut (yang katanya mahkota wanita) untuk tontonan lelaki. Ini sebenarnya saya petik dari kata-kata seorang wanita yang ditanyakan oleh Oprah tentang cara berpakaiannya. Katanya, dia memilih bertudung dan berpakaian menutup aurat untuk membebaskan diri daripada berhias untuk menarik perhatian lelaki. Membebaskan dirinya daripada menjadi simbol daya tarikan seksual lelaki. Bukankah di Barat sana, yang terdedah itu seksi. Yang paling banyak nampak kulit dan bentuk tubuh adalah yang paling hot.

Perdebatan tentang tudung, tentang ayat al-Quran tentang tudung, tentang hadis berkaitan tudung sudah lama berlaku. Antara sesama Muslim mahupun antara non-Muslim dengan Muslim. Terpulanglah. Bagi saya, ada yang lebih penting untuk dititik beratkan berbanding perdebatan tentang tudung. Ya, tudung itu penting. Tapi ramai saja yang saya lihat tidak bertudung masih sudi menjaga solat berbanding dengan yang bertudung. Ramai saja yang tidak bertudung masih sudi menghormati orang tua dan mengasihi yang muda berbanding dengan yang bertudung.

Alhamdulillah, kita bertudung. Tapi cukupkah sekadar bertudung? Macam mana dengan kain belah kita? Dengan leggings kita? Dengan skinny pants kita? Kita bertudung, tapi macam mana pergaulan lelaki-perempuan kita? Pegang-peluk-cumbu dengan 'Cik Abang' kita?

Untuk yang belum bertudung, usah pula menjadikan kesilapan orang-orang bertudung sebagai alasan tak mahu bertudung. Kalau pilihan anda masih tetap free hair, bertanggungjawab dengan pilihan yang anda lakukan. Tak perlulah meletakkan tanggungjawab terhadap keputusan anda itu di atas pundak (bahu) wanita bertudung. Masing-masing sudah besar kan. Setiap keputusan, setiap pilihan yang kita lakukan adalah tanggungjawab kita.

Bertudunglah. Hanya kerana Allah. Bukan ikut-ikutan. Bukan bersuka-suka.



ps: pernah kata pada kawan beragama Kritian-Methodis, "Lihat pada Islam, bukan pada orang Islam. Sebab yang salahnya bukan Islam, tapi orang Islam"

Thursday, April 14, 2011

Rayuan hamba


Wahai Tuhan pemilik hati, jadikanlah hati ini mendamba tiada yang lain melainkan Engkau.
Wahai Tuhan pemilik jiwa, jadikanlah jiwa ini mengharap tiada yang lain melainkan Engkau.

Wahai Tuhan pencipta akal, jadikanlah akal ini memikir tiada yang lain melainkan Engkau.
Wahai Tuhan pemilik ilmu, jadikanlah ilmu ini tiada yang lain melainkan yang bermanfaat di sisi Engkau.

Wahai Tuhan yang menciptakan tubuh, jadikanlah tubuh ini berkhidmat tiada yang lain melainkan untuk Engkau.
Wahai Tuhan yang menciptakan kejadian manusia, jadikanlah kejadian ini tiada yang lain melainkan hidupnya untuk Engkau dan matinya untuk Engkau.

Wahai Tuhan yang memberi kekuatan, jadikanlah kekuatan ini tiada yang lain melainkan untuk beribadah kepada Engkau.
Wahai Tuhan yang memberi petunjuk, jadikanlah petunjuk ini tiada yang lain melainkan yang membawaku menuju kepada Engkau.

Wahai Allah, Tuhan Yang Esa.

Dengan nama-Mu Yang Maha Pemurah, Yang Maha Penyayang.
Segala puji bagi-Mu, Tuhan semesta alam.
Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Pemilik hari pembalasan.
Hanya Engkau yang kami sembah dan hanya kepada Engkaulah kami mohon pertolongan.
Tunjukilah kami jalan yang lurus.
Jalan orang-orang yang Engkau beri nikmat; bukan jalan mereka yang Kau murkai dan bukan pula jalan mereka yang sesat.

Saturday, April 02, 2011

Tribulasi

Assalamualaikum.

Berakhir sudah Mac. Bila baca blog kawan-kawan, masing-masing menempuhi tribulasi. Ya, masing-masing punya cerita tersendiri. Tak kira siapa kita, dugaan, ujian, tribulasi, apapun yang kita panggil, selalu saja menjengah. Kalau tak cukup kuat, mudah saja rebah.

Menjadi pelajar khususnya pelajar siswazah (post-grad) memberi peluang buat diri saya sendiri untuk bukan saja merasai tribulasi pencari ilmu tetapi juga melihat yang dihadapi oleh rakan-rakan saya. Air mata jadi sangat murah bila bergelar pelajar. Adik saya yang kini di tingkatan 3 pernah bertanyakan pada saya, "Kakak, stress sangat ke ambil PhD?". Barangkali dia pelik melihat kakaknya yang selalu pulang ke rumah sekadar 2 - 3 hari. Cukup untuk sekadar mengurangkan sindrom stress.


Apa yang stressnya mengambil Master atau PhD?

1. Perkara paling tak best bila sambung belajar adalah masalah kewangan. Memang sungguh-sungguh tak best. Maklum saja, rakan-rakan lain sudah bekerja. Sudah berkereta malah ada yang sudah berkeluarga. Sedangkan kita masih terkontang-kanting mencari ilmu, sambil-sambil menadah tangan dan menebal muka pada mak ayah untuk membayarkan yuran beribu-ribu ringgit (per semester). Sibuk juga cari kerja part-time sana sini untuk buat duit makan dan fotostat.

Saya pernah mengalami masalah ini. Tapi alhamdulillah, sekarang tidak lagi selepas memperoleh biasiswa. Semasa Master dulu, saya sudah fikir untuk mencari kerja kalau tiada pihak yang sudi sponsor pengajian. Allah mendengar doa saya, Dia berikan bantuan kewangan yang tidak pernahpun saya bayangkan. Jangan kata bayangkan, tak pernah idamkan pun! Sebabnya, saya selalu fikir saya tidak layak.

2. Menjadi pelajar post-grad bermakna anda menjadi lone-ranger. Maklum saja, selepas konvokesyen ramai yang keluar dengan haluan masing-masing. Kawan baik, kawan se'geng' semua dah bertaburan merata negara. Tinggal kita saja dengan kawan-kawan yang baru. Persahabatan dengan kawan-kawan post-grad tentu sekali tidak sama dengan kawan-kawan semasa degree. Tambah lagi kalau kita seorang saja yang sambung belajar. Pensyarah saya pernah bercerita bahawa beliau tak pernah merasa bersendirian saat beliau mengambil PhD. Tapi orang disekeliling saya, hampir semuanya mengalami masalah ini. Yang perempuan terutamanya. Saya rasa lelaki tak terlalu menghadapi masalah ini. Sebabnya, orang lelaki ni sentiasa berkawan-kawan. Berbeza dengan yang perempuan. Tak kisah lah yang bujang atau yang berkahwin.

Bukan tiada kawan. Bukan tiada siapa peduli. Tapi semua orang sibuk dengan kajian masing-masing. Tak sempat nak terlalu ambil tahu tentang orang lain. Lagipun, "kalau kau ada masalah, akupun ada masalah aku sendiri!" Sudahnya, menangis sorang-sorang. Inilah masanya kita akan dapat tahu siapa sahabat, siapa sekadar kawan. Kalau sahabat, dia bukan memujuk tapi akan selalu bersedia mendengar keluh-kesah kita. Kalau yang sekadar kawan, mungkin akan lari, mungkin akan mengejek. Paling teruk kalau yang bercerita pula tentang masalah kita kepada orang lain. Bukan untuk membantu tetapi sekadar mahu membuka aib. Tak baik tau! Cara terbaik untuk atasi masalah ini adalah menyertai study circle a.k.a usrah. Ha, usrah bukan semata-mata bercakap tentang hal agama saja ya. Dalam usrah ini boleh bertukar-tukar cerita, berkongsi masalah dan mengeratkan ukhuwah. Bagi saya, ke-lon-ranger-an seseorang itu bukan kerana orang tak mahu berkawan dengannya tetapi kerana kita yang tak mahu berkawan dengan orang. Tak perlu ubah orang lain, tetapi ubah diri kita.

4. Yang tak best juga bila buat Master atau PhD adalah bila perlu menulis. SAAAANGGAAATTTT SUUUUSAAAAHHHH!!! Apa yang susah? Taip saja lah! Banyak bezanya menulis semasa degree kalau nak dibandingkan dengan semasa Master dan Phd. Semasa degree dulu, saya boleh selesaikan assignment dalam masa 1 hari saja. Tambah-tambah lagi kalau lab report. Pakcik Wikipedia kan ada, copy sana sikit sini sikit, paste. Tukar format, repair alignment. Masukkan gambar, masukkan result and discussion. Siap! Sebelum pukul 5 dah boleh hantar bawah pintu bilik cikgu amali.

Bila dah masuk Master dan PhD, semuanya perlu references. Semua perlu ikut format. Semua perlu akademik. Perlu analitikal, perlu kritikal, perlu apa lagi ya? Pakcik Wiki dah tak boleh dirujuk. Sekadar tengok-tengok nak faham konsep tu boleh la. Tapi kalau nak copy paste memang tak boleh! Kena baca jurnal akademik, kena baca buku akademik. Buatnya orang yang bertukar aliran macam saya, memang terseksa nak membaca bahan-bahan akademik ni. Semasa degree dulu ada juga baca jurnal untuk buat final year project. Tapi jurnal sains tak sama dengan jurnal sains sosial. Jurnal sains sosial ni, baca 2-3 kali pun belum tentu dapat faham. Tambah pulak kalau dalam bahasa Inggeris. Maklum saja, bahasa Inggeris saya belum capai tahap excellent. Bila ditambahkan dengan istilah-istilah sains sosial yang tak pernah jumpa, pening-pening lalat dibuatnya.

5. Satu lagi perkara besar yang buat pelajar post-grad stress adalah penyelia. Alhamdulillah, saya sentiasa dapat penyelia yang baik dan sangat membantu sejak dari degree lagi. Mr. Kesaven dan Dr. Sudesh dulu sangat membantu. Begitu juga dengan penyelia saya semasa Master dulu. Penyelia saya sekarang juga sangat banyak membantu. Bukan sekadar bantuan penyeliaan, bantuan emosi juga. Penyelia saya yang sekarang ini bukan hanya menyelia tesis saya. Saya selalu meminta nasihat dan teguran-tegurannya buat pedoman hidup. Kalau nak bercerita, bimbang berjela-jela.

Bertuahnya saya punya penyelia yang baik-baik kan? Hakikatnya, bukan semua penyelia begini. Ada juga yang suka menjatuhkan. Ada yang menindas pelajar. Ramai juga yang mengabaikan pelajar. Masing-masing punya ragam tersendiri. Biasalah, manusia. Pelajar juga ada macam-macam perangai. Jadi jangan expect penyelia yang baik-baik saja. Bersyukur dengan siapapun yang menjadi penyelia kita. Kalau beliau bermasalah, boleh tukar penyelia. Tapi kalau kita yang bermasalah, sila-silalah tukar perangai kita.

Ada seribu satu macam lagi tribulasi yang boleh buat pelajar post-grad stress. Tapi bagi saya kebanyakannya merupakan masalah peribadi, masalah yang berpunca dari diri sendiri. Kalau difikirkan, pelajar degree juga banyak masalahnya. Tapi dapat diatasi dengan mudah. Mungkin kerana faktor usia. Waktu degree kita masih muda. Masalah-masalah yang datang diambil remeh, diselesaikan berkawan-kawan, dengan hati yang riang gembira. Berbeza dengan waktu Master/PhD. Usia masing-masing sudah makin meningkat. Orang perempuan ni, bila usia makin meningkat makin suka risau hal-hal remeh temeh. Benda kecik pun jadi besar.

Tak kira belajar, bekerja ataupun suri rumah, kita takkan terlepas dengan tribulasi. Tapi yang paling utama, cara kita menghadapinya. Ada orang yang melarikan diri. Berhenti belajar. Mengalah di tengah jalan. Kalau ini pilihan anda, teruskan. Kalau itu yang terbaik, apa salahnya. Berhenti ambil Master/PhD bukan bermakna dunia sudah berakhir kan? Bangkit semula. Kalau akademik bukan bidang untuk masa depan anda, mungkin ada bidang lain. Tapi jangan sesekali putus asa. Dunia Allah ni luas. Terokailah ia.

Buat anda yang terus bertahan mencari ilmu, selamat bertahan! Tabah selalu, kuatkan semangat. Ingat, pencari ilmu itu pejuang. mencari ilmu itu perjuangan. Mana ada perjuangan yang mudah? Kalau kita rasa kita dah cukup berusaha, nilai semula usaha yang kita lakukan berbanding pencari ilmu dahulu kala. Macam Imam Syafie yang merantau dari Madinah ke Mekah tanpa bekalan pena dan kertas, sampai perlu menulis dengan lidi dan air liur di tapak tangannya (tapi beliau hebat, kering air liur terus melekat ilmunya). Contohi Imam Bukhari juga yang merantau jauh hanya untuk mencari perawi hadis. Malah setiap hadis yang beliau riwayatkan mesti didahului dengan solat-solat sunat untuk pastikan setiap hadis yang ditulisnya ditulis dengan izin Allah, dengan kebenaran, dengan bantuan Allah.

Sedangkan kita? Betulkah kita sudah cukup berusaha? Malam-malam kita stay-up belajar atau tahjud tak atau cuma berdengkur? Siangnya kita sungguh-sungguh membaca, ke library atau ke kelas tak? Atau cuma berkurung dibilik bermain FB, Twitter, atau melayari OhBulan!?

Buat anda yang baru berniat nak sambung belajar, jangan pula takut nak sambung belajar sebab membaca entri ini ya. Perbetul niat masing-masing. Paling penting, kalau rasa nak sambung belajar sebab tak dapat kerja, fikir dan muhasabah diri 2 - 3 kali lagi. Mencari ilmu itu perjuangan, perjuangan itu kalau kerana Allah, insyaAllah, jadi jihad. Jadi pencari ilmu itu pejuang, dan jika ia pejuang Allah, maka ia adalah mujahid.

p/s: Kita ni...mujahid tak?


Sunday, March 20, 2011

7 Hari

Assalamualaikum~

Alhamdulillah, saya baru saja pulang dari Medan, Indonesia pada hari Khamis lalu. Kali ini merupakan kali ke 3 saya menyertai musafir ISDEV ke Medan. Tujuan utama perjalanan ini adalah untuk mengikuti seminar oleh pensyarah-pensyarah saya dan juga untuk membentangkan kertas kerja saya sendiri.

Pada 2 musafir sebelum ini, saya selalu mengambil kesempatan untuk bermuhasabah diri dan menenangkan fikiran. Biasanya saya akan dilanda masalah atau krisis sebelum saya bertolak ke Medan. Begitu juga kali ini. Saya ke Medan dengan hati yang berat. Jiwa saya separuh tertinggal bersama keluarga besar di Perak kerana ketika saya di Medan, keluarga besar "Wan" berkumpul di kampung di Jalong, Sg Siput, Perak. Menurut ibu saya, hanya beberapa cucu yang tidak hadir dan salah seorangnya adalah saya.

Menariknya, walaupun sebelum kami bertolak ke Medan saya tidak begitu gembira dan agak keberatan, namun setelah kami di sana, saya mula berasa seronok. Malah, lebih seronok berbanding musafir-musafir yang pernah saya ikuti sebelum ini. Kenapa ya? Barangkali kerana saya tidak fikir apa-apa. Saya hanya menikmati setiap detik ketika saya di Medan, tanpa berasa risau akan gempa dan tsunami yang ketika itu melanda Jepun, mahupun ancaman hujan asid akibat ledakan nuklear dan pencemaran radioaktif Jepun. Saya serahkan nasib saya kepada Allah, sepenuhnya tanpa berfikir apapun. Membentang kertas kerja juga jadi lebih mudah berbanding kertas kerja lain yang pernah saya tulis sebelum ini. Barangkali kerana ini antara kertas kerja terburuk pernah saya tulis.

Semasa kertas kerja tersebut ditulis, saya menyedari betapa bodoh dan ceteknya ilmu saya. Lumrah orang belajar, makin belajar makin tidak tahu. Tapi memandangkan masa yang suntuk, saya tulis jugalah apa-apa yang termampu. Jadinya, saya pasrah saja kalau saya dihentam selepas pembentangan. Saya berserah bulat-bulat kepada Allah. Apa nak jadi, jadilah. Yang menariknya, soalan-soalan yang timbul selepas saya membentangkan kertas kerja bukanlah soalan menghentam tetapi soalan yang membina. Malah audiens nampak seperti berminat dengan topik yang saya utarakan. Barangkali kerana yang mengikuti pembentangan saya merupakan mahasiswa Fakultas Ekonomi, maka mereka faham tentang apa yang saya perkatakan. Alhamdulillah.


Saya bersama seluruh ahli musafir yang berjumlah lebih 40 orang berada di Medan Indonesia selama 7 hari dari 11 Mac hingga 17 Mac lalu. Hari kedua diisi dengan seminar di Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU). Sehari suntuk kami disajikan dengan hidangan intelektual yang menguji kekuatan otak dan hati. Bukan mudah nak memberi tumpuan apabila wajah anda disuluh lampu spotlight sambil mendengar pembentangan 6 ilmuan dari pagi sampai ke petang. Spotlight tersebut dinyalakan ke arah penonton barangkali kerana keadaan dewan yang agak suram menyukarkan krew rakaman untuk merakam seminar tersebut.


Hari ke-3 kami bertolak ke Parapat. Di sini letaknya Danau Toba. Setiap kali ke Medan, setiap kali jugalah kami ke Danau Toba. Di tengah-tengah danau yang katanya terhasil akibat letusan gunung berapi ini terletak sebuah pulau bernama Samosir. Samosir ye, bukan samosa. Majoriti penduduk di sini berketurunan Batak, beragama Kristian. Mazhab apa, tak tahulah. Dua hari di Parapat, shopping apa yang patut (juga yang tak patut) dan menikmati keindahan kawasan pelancongan tersebut, kami kemudian bertolak kembali ke Medan.


Keesokan harinya, kami membentangkan kertas kerja di Workshop Antarbangsa (antarabangsa) Pembangunan Berteraskan Islam (WAPI) yang diadakan di UMSU. Program tersebut berjalan sehari suntuk. Kami cuma berhenti rehat untuk makan tengah hari (makan dalam bilik pembentangan) dan solat Zohor di masjid UMSU. Setelah tiga kali menyertai dan mengikuti workshop ini, saya rasakan audiens kali ini adalah yang terbaik! Mereka mengambil nota dan menumpukan perhatian kepada setiap pembentangan. Respon dan soalan-soalan yang diberikan juga cukup baik. Barangkali hanya untuk bilik kami sahaja, kerana dengar cerita perbincangan di bilik lain lebih banyak disertai oleh ahli-ahli ISDEV sendiri berbanding audiens dari UMSU.


pemandangan sekitar Pajak Ikan

Hari terakhir sebelum hari kami berangkat pulang, kami semua diberi peluang satu hari untuk membeli-belah di sekitar Medan. Oleh kerana kami dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil mengikut kenderaan MPV, maka tempat-tempat untuk bershopping berbeza mengikut kenderaan.

Kumpulan kami bermula dengan berkunjung ke Zulaikha - kedai yang menjual kek lapis dan bika ambon khas Indonesia. Kemudian ke kedai buku Wali Songo dan seterusnya ke kedai buku Gramedia (juga terdapat di Malaysia, salah satu nya di the Mines). Selepas makan tengah hari dan solat jamak taqdim Zohor-Asar di Masjid Agung, kami berangkat pula ke Pajak Ikan Lama, salah satu lokasi membeli belah khusus untuk ibu-ibu. Lebih kurang macam Jalan TAR la. Saya sepatutnya membeli kain untuk dibuat baju kurung untuk ibu dan juga adik saya. Tapi memandangkan saya kurang arif tentang fabrik dan tekstil, maka segera saya hantar sms kepada ibu, "Mama, kain banyak sangat. Tapi mahal-mahal. Macam untuk orang kahwin. Kakak tak reti beli. Takpe ye kalau tak beli." dan wang ratusan ribu rupiah yang saya simpan untuk membeli kain itu saya gunakan untuk membeli al-Quran (dan novel hehe).

hasil 'shopping'an kami, macam orang pulang haji!

Dan esoknya, hari Khamis, 17 Mac kami pun bertolak ke Bandara (bandar udara) Polonia untuk kembali ke Pulau Pinang. Alhamdulillah, sekitar pukul 12 tengah hari, kami selamat sampai di Bayan Lepas.

Esoknya, hari Jumaat ISDEV menganjurkan Majlis Malam Graduasi untuk meraikan graduan-graduan ISDEV peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah yang berkonvokesyen pada hari Sabtu, 19 Mac di Kampus Kejuruteraan USM, Nibong Tebal. Saya ditugaskan untuk menjadi MC bagi majlis tersebut. Sebelum ini saya cuma pernah menjadi moderator untuk workshop sahaja. Jadinya, bila ditugaskan menjadi MC ni, terketar lah juga. Sampai tersasul-sasul menyebut nama pensyarah sendiri.

Begitulah perjalanan hidup saya dalam tempoh 7 hari yang lalu. Hari ini sudah hari Ahad. Esok, akan bermula minggu baru. Dan saya harus mengisi masa yang Allah anugerahkan dengan lebih efisyen lagi. InsyaAllah.

Doakan saya ya! Sampai jumpa lagi ^^

Tuesday, March 08, 2011

Kalah tak semestinya tewas


Dalam kehidupan seharian, kita selalu berdepan dengan pelbagai persaingan. Dalam pelajaran, dalam pekerjaan, dalam perniagaan. Sama ada mengejar tempat tertinggi, pangkat, mahupun kuasa. Semua ini melibatkan pertandingan. Tak kisah lah sama ada secara adil ataupun tidak, pertandingan tetap akan berlangsung dan pemenang tentu sekali akan diperoleh oleh mereka yang terhebat. 'Survival of the fittest', menjadikan manusia dengan apa cara sekalipun mahu menang. Mahu menewaskan pesaingnya. Sebagai seorang manusia, kita sendiri tentu tak terlepas daripada mahu menang bukan? Ini perkara biasa. Sejak tadika lagi kita sudah biasa dengan pertandingan yang melibatkan persaingan ini.



Namun persepsi saya berubah beberapa minggu lepas. Ia bermula apabila saya menonton 2 Days 1 Night, rancangan hiburan-dokumentari Korea di KBS World. Pertandingannya antara Comedian (Hodong-Suguen) VS Singer (Sunggi-Jiwon-Jongmin). Bermula pada saat mereka masuk ke dalam kemah masing-masing untuk tidur, kedua-dua pasukan perlu bertahan di dalam kemah sehingga 5 petang untuk membolehkan mereka mendapat sarapan pagi. Pasukan yang keluar dahulu dari kemah akan kalah.

Menjelang tengah hari, Jiwon memberi idea agar kumpulan Singer pulang saja ke rumah dan bersarapan sendiri dengan syarat pihak produksi rancangan tersebut tidak memberitahu tentang kepulangan mereka kepada kumpulan Comedian. Menjelang petang, Hodong mula berasa pelik kerana keadaan terlalu sunyi dan waktu itu baru mereka sedar lebih separuh dari krew produksi telah pulang bersama-sama kumpulan Singer. Comedian menjadi pemenang pertandingan tersebut, mendapat sarapan pada waktu mereka sepatutnya makan tengah hari, dan mereka pulang lewat ke rumah. Malah kemenangan itu tak memberi rasa menangpun. Berbeza dengan kumpulan Singer. Walaupun mereka kalah, tapi mereka tidak berasa tewas. Mereka dapat pulang lebih awal dan paling penting dapat mengenakan hyung (abang) mereka.



Kalau kita susur balik sejarah peperangan, Sultan Muhammad al-Fateh, sultan yang membuka Konstantinopel (kini Istanbul) juga pernah mengalah dengan Maharaja Rom. Baginda Sultan mengundurkan tenteranya dari Orland ketika 30 ribu tenteranya berdepan dengan 100 ribu tentera Rom. Tentera-tentera Islam waktu itu tidak puas hati. Kerana mereka rela mati di medan perang daripada malu mengundur dari medan perang. Tapi kata Sultan, tentera mesti mengikut kata sultannya!

Sebenarnya mengalahnya Sultan Muhammad al-Fateh bukan kerana berasa takut atau kalah dengan tentera Rom. Tapi pengundurannya untuk memastikan tenteranya dalam keadaan cemerlang, dan serangan akan dilakukan di Kota Konstantinopel, bukan di perkampungan Orland itu. Baginda mahu bersedia dengan sebaik mungkin agar tenteranya tidak syahid kerana tindakan melulunya tetapi syahid dengan kemenangan pada pihak Islam.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
"Sesungguhnya Konstantinopel itu pasti dibuka. Sebaik-baik ketua adalah ketuanya dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya"

Kisah seterusnya, kita semua tahu. Hadis Rasulullah SAW mengenai pembuka Kota Konstantinopel telah menjadi realiti. Konstantinopel diIslamkan, menjadi Istanbul (yang bermaksud Islam sepenuhnya) di bawah pemerintahan Sultan Muhammad al-Fateh dalam Empayar Uthmaniyah.

Jadi, kalau kita kalah sekarang, tak semestinya kita tewas. Malah, sebagai seorang Muslim (yang Islam), tentu sekali kita mahu menjadi seorang Mukmin (yang beriman) jadi kita kena percaya yang kekalahan itu lebih baik buat kita berbanding kemenangan sebab Allah tahu yang terbaik untuk kita. Bangkit semula, dan jangan tewas dengan kekalahan itu. Sebab kemenangan bukan ada pada hadiah. Kemenangan itu ada dalam hati kita.

OK? ^^

Monday, February 14, 2011

al-Amin

riwayat hidup Rasulullah s.a.w dalam puisi (A. Samad Said)

Hari yang berlalu seperti pilu, malam yang berganti seperti sepi. Setiap khabar sekitar Baginda, bangun dan tidurnya, cakap dan senyapnya, terkhabar dalam resah, ditafsir dan ditamsil pelbagai warna. Dan Nabi, dalam lemah dan resahnya, masih tetap berulang-alikke masdid mengimami solat berjemaah, dan hinggalah pada satu ketika, Baginda sendiri terasa amat lemahnya, lalu kepada Aisyah diperintah supaya Abu Bakar mengimami solat, dalam khusyuk yang sama, Aisyah, entah mengapa, kurang selesa menerimanya.

Seperti terkejut Umar bin Al-Khattab, dipandangnya Nabi dibaca wajah, pemimpin yang sangat cergas berfikir nasib ummah ditafsirkannya. Berkira dan beralas, diseluk ke dalam batin, ditenung mata Baginda, dan dengan yakin tapi ketar, Umar cuba mengingatkan : benar kita dalam gawat, benar ummah dalam kacau, tapi tidakkah telah diwariskan mereka dengan al-Quran, tidakkah kitab yang demikian sempurna, tidakkah segala ayat di dalamnya jawapan setiap masalah, pimpinan setiap tindak. Lalu sesama sahabat, depan Nabi, berhujahlah mereka.

Berkisah dan berhujah, sihat suasana yang dicari, dewasa hati ummah. Dan sementara mereka kuyup dalam jernih bicara, Nabi, dalam usia enam puluh tiga, lemah yang segar, dengan mata tetap bercahaya, rambut putih sekelompok dua, mula mengulangi keyakinan dan mimpinya. Telah bermimpi Baginda akan syurga, telah dicapainya buah anggur. Khalayak yang amat menyayangi Baginda, mendengar khabar sedemikian, faham dalam sedihnya, kerana amat tahu, Baginda lebih dan ghairah berkata tidak lagi tentang dunia, segala-gala mula ke akhirat impinya.

Masih khalayak di keliling katil, Aisyah paling hampir dipanggil, dan, dalam bisik, ditanyakan ke mana milik delapan dinarnya, dan dengan tegas, dipinta supaya disedekah. Malam menjadi lebih bertanya, awan yang ghaib dipercayai ada, langit masih penuh rahsia, dan unggas yang lena diyakin wujud. Malam lanjut dengan resah, nafas Nabi seperti teriring, dan khalayak ketar dan pilu, bauran ganjil dalam syahdu. Dan seperti tenang nampaknya Nabi, suhu badan seperti berkurang, berkat ubat dari Asma’, dan Nabi, seperti biasa, pinta ke masjid dirinya.

Hari panas ketika itu, mentari mempunyai kisahnya sendiri, dan langit masih penuh rahsia. Hari panas ketika itu, alam mempunyai ceritanya sendiri, dan gurun masih penuh rahsia. Nabi meminta bejana air, diseluk ke air dan diusap wajahnya, berkata tenang datangnya ajal dan rela. Di pangkuan isteri kepalanya, berkata ia sukar diterka, dan tengah hari Rabiulawal tahun 11 Hijrah Nabi yang mulia menghembus nafas akhirnya.

Hari panas ketika itu, mentari mempunyai kisahnya sendiri, dan langit masih penuh rahsia.

Hari panas ketika itu, aduh Nabi sudah tiada.


ps: Salam Maulidur Rasul. Ayuh, sama-sama berselawat buat Nabi, ahli keluarganya serta para sahabat. Semoga kita menjadi umat yang baik, yang akan bersama-samanya di akhirat nanti

Saturday, February 12, 2011

Allah Knows..

When you feel all alone in this world
And there's nobody to count your tears
Just remember, no matter where you are
Allah knows
Allah knows

When you carrying a monster load
And you wonder how far you can go
With every step on that road that you take
Allah knows
Allah knows

No matter what, inside or out
There's one thing of which there's no doubt
Allah knows
Allah knows
And whatever lies in the heavens and the earth
Every star in this whole universe
Allah knows
Allah knows

When you find that special someone
Feel your whole life has barely begun
You can walk on the moon, shout it to everyone
Allah knows
Allah knows

When you gaze with love in your eyes
Catch a glimpse of paradise
And you see your child take the first breath of life
Allah knows
Allah knows

When you lose someone close to your heart
See your whole world fall apart
And you try to go on but it seems so hard
Allah knows
Allah knows

You see we all have a path to choose
Through the valleys and hills we go
With the ups and the downs, never fret never frown
Allah knows
Allah knows

Every grain of sand,
In every desert land, He knows.
Every shade of palm,
Every closed hand, He knows.
Every sparkling tear,
On every eyelash, He knows.
Every thought I have,
And every word I share, He knows.
Allah knows

Zain Bikha & Dawud Wharnsby Ali



al-Fatihah untuk Arwah Tok Teh Harun, datuk saudara yang tak tumpah seperti datuk sendiri. Semoga rohnya ditempatkan bersama-sama mereka yang beriman dan dicintai Allah