Sunday, March 13, 2016

Percubaan

Ini adalah percubaan. Sila abaikan :P

Tuesday, April 28, 2015

Dunia Baru

B i s m i l l a h i r r a h m a n i r r a h i m

Wah setahun saya tak menulis apa-apa dalam blog ni. Setahun yang lalu, pada bulan April, saya serahkan draf tesis pengajian Ph.D ke Institut Pengajian Siswazah (IPS) USM. Sejak itu, saya berhenti menulis. Idea dan segala luahan rasa nampaknya turut berpergian bersama tesis tersebut. Kemudian saya jadi super sibuk setelah melapor diri sebagai felo sandaran. Nama pun sandaran, job description nya pun tersandar-sandar. Sekejap, mengganti kuliah dan tutorial. Sekejap lagi  minta uruskan konferens. Jadi pengiring pelajar dan macam-macam tugas yang bila diingat semula boleh buat saya tergelak.

Ada satu hari, saya terlalu keletihan. Terduduk di lantai ruang tamu kemudian menangis. Teman serumah pelik. Saya katakan, saya keletihan. Kemudian kami sama-sama ketawa besar. Tanpa sebab. Mungkin saya mentertawakan diri sendiri dan dia tertawa melihat saya tertawa padahal sebelumnya menangis macam budak kecil.

Julai, saya dipanggil untuk sidang viva voce. Viva voce inilah waktunya untuk kita bentangkan tesis yang sudah dinilai oleh pemeriksa. Lebih kurang macam ujian lisan lah. Ujian terakhir sama ada layak atau tidak tesis diterima dan diiktiraf tahap Ph.D nya. Alhamdulillah, dalam semangat Ramadhan, sesi viva voce berjalan lancar dan tesis saya diterima dengan pembetulan minor. Hampir seminggu saya bertungkus lumus membetulkan apa-apa yang dikomen dan akhirnya, salinan akhir tesis dapat dihantar. Dalam konvokesyen USM ke-50 pada November lalu, tamatlah riwayat saya sebagai pelajar Ph.D secara rasmi. Heh, tamat riwayat, macam karangan autobiografi darjah 4.


Segala yang tamat menandakan permulaan baru. Macam tu lah juga hidup saya. Dah habis belajar, kenalah kerja pula kan. Memandangkan pengajian saya dibiayai USM, maka jadilah saya sekarang kakitangan USM. Alhamdulillah.

Kisah seterusnya? Sibuk yang sibuk. Kalau orang tanya, sibuk ke? Ya, sibuk. Merantau ke sana-sini. Mengulas dan membaca tesis pelajar. Memenuhi segala macam latihan dan kursus wajib untuk kakitangan baru. Tapi kalau nilai betul-betul, tidak lah sibuk mana.

Ada yang tanya, mana lagi seronok antara belajar dan kerja? Secara jujur saya katakan, kedua-duanya perkara yang berbeza. Belajar, perjuangan dengan diri sendiri. Tambah lagi bila peringkat Ph.D. Nak tertonggeng, nak terbalik, semuanya bergantung pada diri sendiri. Mahu tulis tesiskah, mahu mengalahkah, mahu tidak kenang budi (sebab biasiswa ada penjamin) kah, semuanya terpulang. Tapi kerja, perjuangan dengan orang lain. Perjuangan dengan majikan, perjuangan dengan pelajar, perjuangan dengan segala macam permintaan. Tapi ada satu perkara yang paling menarik bila sudah bekerja, saya tak lagi terfikir-fikir tentang kajian dan tesis sepanjang masa macam waktu belajar dulu. Dulu, ilham menulis tesis selalu dapat dalam tidur dan akibatnya, memang tidur tak lena dan terganggu.

Bila buat sesi mengimbau kenangan macam ni, terasa rindu zaman belajar. Sekejap sungguh masa berlalu. Ini lah juga sebabnya saya kembali menulis di sini. Sekurang-kurangnya boleh satu hari di masa hadapan saya baca semula apa yang telah saya lakukan dalam hidup. Kalau tak, semuanya terlupakan. Tak sedar, masa dan usia tak dihargai diri sendiri.


Ada yang tanya pendapat saya tentang Ph.D. Bagi saya, Ph.D bukan setakat sebuah kajian yang dilaporkan dalam sebuah tesis. Ph.D sebaliknya satu perjalanan berjuang. Sama ada fizikal mahupun rohani. Intelektual mahupun hati. Kalau ikutkan akal cetek saya, tak kan dapat menggenggam sebuah Ph.D. Tapi kerja Tuhan, siapa tahu kan?

Untuk semua yang sedang berjuang, tak kiralah sebagai pelajar ataupun sebagai pekerja, ikat kain ketat-ketat atas kepala dan ayuh, berusaha!

ps: selamat berkonvo super duper junior MISDEV13!


ps lagi: Terbang tinggi-tinggi, hati tetap pada bumi

Thursday, February 20, 2014

Doa Pemuda


"Wahai Tuhan kami, berikanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami (ini)."



Saturday, February 01, 2014

SYAIR TUNJUK AJAR MELAYU

(NASIHAT IBU BAPA KEPADA ANAKNYA)
Oleh : Tenas Effendy

Dengan Bismillah membuka madah
Menyampaikan syair petua amanah
Semoga isinya membawa faedah
Hidup dan mati diahmati Allah

Syair mengandung tunjuk dan ajar
Memberi petunjuk kepada yang benar
Untuk menjadi tempat bersandar
Menjauhkan sifat keji dan mungkar

Syair disusun berisikan amanah
Menunjuk mengajar karena Allah
Supaya hidup tiada menyalah
Di akhirat nanti mendapat berkah

Syair dirangkai berisi nasehat
Apabila diikut banyak menfaat
Menjaga hidup supaya tak sesat
Selamat sejahtera dunia akhirat

Syair disusun untuk guru-guru
Di negeri bertuah tanah melayu
Jasanya besar menyebarkan ilmu
Semoga melayu berpadu Satu

1. TENTANG IMAN DAN TAQWA KEPADA ALLAH
Inilah nasihat ibu Bapa
Untuk ananda putera tercinta
Semaklah dengan hati terbuka
Semoga Allah merahmati kita

Wahai ananda tambatan hati
Kepada Allah kita mengabdi
Teguhkan iman kuatkan hati
Supaya selamat hidup dan mati

Dijalan Allah kita berpijak
Taat setia menjujung syarak
Petua diikut amanah disemak
Supaya iman tiada berganjak

Wahai ananda permata ibu
Kepada Allah kita bertumpu
Semoga iman melekat dikalbu
Dijalan yang lurus kita menuju

Wahai ananda permata hati
Kepada Allah berserah diri
Imanmu jangan berbelah bagi
Supaya selamat hidup dan mati

Hidup di dunia banyak godaan
Lahir dan batin penuh cabaran
Apabila dada tiada beriman
Binasalah diri dalam kemaksiatan

Hidup di dunia dipenuhi nafsu
Iblis membujuk syaitan merayu
Untuk melawan godaan itu
Iman di dada dijadikan kubu

Hidup di dunia banyak godaan
Ada tersembunyi ada yang nampak
Apabila iman sudah berkocak
Lahir dan batin menjadi rosak

Hidup di dunia banyak tantangan
Membawa manusia pada kesesatan
Apabila hidup tak ada pegangan
Akhirnya hanyut dalam kenistaan

Hidup di dunia tiadalah kekal
Kerana itu persiapkan bekal
Ilmu dicari banyak beramal
Supaya kelak tidak menyesal

Wahai ananda sibiran tulang
Mengingat Allah janganlah kurang
Mohon petunjuk kejalan yang terang
Supaya hidupmu menjadi cemerlang

Wahai ananda buah hati bunda
Taat dan teguh memegang agama
Quran dan sunnah jadi tiangnya
Engkau amalkan sehabis daya

Wahai ananda buah hati ayah
Mohonlah petunjuk kepada Allah
Supaya imanmu tiada goyah
Hidup dan mati tiada menyalah

Wahai ananda ayah berpesan
Janganlah lalai mengingat Tuhan
Kuatkan hati teguhkan iman
Supaya hidupmu ada pedoman

Wahai ananda ayah beramanat
Kepada Allah ananda berkhidmat
Luruskan hati tuluskan niat
Semoga hidupmu beroleh rahmat

Wahai ananda cahaya mata
Peganglah pesan ibu dan bapa
Mensyukuri rahmat janganlah lupa
Supaya hidupmu aman sentosa

Wahai ananda buah hati ayah
Banyaklah sujud menyembah Allah
Mohon keampunan beserta hidayah
Supaya imanmu tiada goyah

Wahai ananda intan pilihan
Janganlah lengah menyembah tuhan
Semuanya peritahNya engkau kerjakan
Mana dilarangNya engkau jauhkan

Solat jangan engkau tinggalkan
Wajib dan Sunnat engkau dirikan
Penat dan letih engkau tahankan
Supaya hidupmu beroleh keberkahan

Demikian pula dengan berpuasa
Engkau tunaikan sekuat kuasa
Ikhlas Manahan lapar dan dahaga
Supaya terbuka pintunya syurga

Membayar zakat janganlah lengah
Terhadap harta janganlah serakah
Di dalam harta kita ada amanah
Hak orang lain jangan dijamah

Apabila engkau memperoleh rezeki
Bersegerahlah pergi menunaikan haji
Di Baitullah engkau menyucikan diri
Semoga dosa-dosamu Allah ampuni

Banyakkan pula bersedekah
Membantu orang di dalam susah
Tulus dan ikhlas bermanis muka
Supaya amalmu diredhai Allah

Hidupmu jangan lupa berbudi
Berbuat baik petang dan pagi
Mendapat rezeki dibagi-bagi
Supaya mendapat berkah Ilahi

Kepada Allah engkau berpegang
Yang lain-lain usah dipandang
Supaya imanmu tiada becabang
Dunia akhirat hidupmu lapang

Amal ibadah engkau banyakkan
Berbuat kebajikan janganlah segan
Beban dipikul jangan dilupakan
Hak dan kewajiban engkau tunaikan

Dalam beramal ikhlaskan hati
Luruskan niat elokkan pekerti
Hanya Allah tempat mengabdi
Supaya sejahtera hidup dan mati

Kepada Allah berbaik sangka
Rahman rahimNya tiada berhingga
RahmatNya kekal sepanjang masa
Bila berdoa tentu dikabulkan Nya

Allah itu pengasih dan penyayang
KurniaNya banyak bukan kepalang
Rahmatnya mengalir pagi dan petang
Siapa bersyukur hidupnya lapang

Allah itu maha Pengasihan
Siapa meminta Ia kabulkan
Siapa berharap Ia tuluskan
Siapa patuh beroleh kemulian

Menyembah Allah janganlah ragu
Iklaskan hati bersikan kalbu
Kepada Nya jua kita mengadu
Dengan rahmat Nya kita dibantu

Wahai ananda ibu berpesan
Mohonlah ampun kepada Tuhan
Mohon petunjuk kepada kebenaran
Supaya hidupmu tak salah jalan

Apabila ananda ibunda berpesan
Mohonlah ampun kepada Tuhan
Mohon petunjuk kepada kebenaran
Supaya hidumu tak salah jalan

Apabila ananda taat beribadah
Menyerahkan diri kepada Allah
Hidup didunia membawa faedah
Setelah mati rahmat melimpah

Wahai anada ingatlah petua
Hiduplah dengan iman dan taqwa
Supaya dirimu Allah pelihara
Di dunia selamat di akhirat sejahtera

Apabila hidup menurutkan nafsu
Hilanglah iman pupuslah malu
Perangai pun rosak bagaikan hantu
Di akhirat kelak neraka menunggu

Bila hidup menurutkan selera
Apa yang Nampak hendak dirasa
Halal dan haram tiada dikira
Hidup matimu akan sengsara

Apabila imanmu sudah dicabut
Banyak perangai yang tidak patut
Tamak serakah bercampur kedekut
Di kaki syaitan engkau berlutut

Oleh sebab itu wahai ananda
Teguhkan iman di dalam dada
Supaya hidupmu tak terpedaya
Oleh godaan syaitan durjana

2. TENTANG SABAR DAN TABAH KEPADA ANANDA IBU BERPESAN

Hidup di dunia banyak cubaan
Entah penyakit entah kemalangan
Banyakkan sabar kuatkan iman

Apabila ananda ditimpa musibah
Janganlah sibuk bekeluh kesah
Dalam musibah terkandung hikmah
Apabila bersabar dirahmati Allah

Apabila ananda dirundung malang
Hidup sengsara pagi dan petang
Hadapi dengan berdada lapang
Tebah berkerja membanting tulang

Apabila ananda hidup melarat
Jangan sekali patah semangat
Bekerjalah dengan sepenuh minat
Nescaya hidupmu tidak ternista

Apabila ananda dalam derita
Hidup miskin papa kedana
Jangalah sekali meminta-minta
Supaya hidupmu tidak ternista

Apabila ananda terkena fitnah
Dituduh dihina serta ditomah
Hadapi dengan hati yang tabah
Semoga dapat pertolongan Allah

Apabila ananda dianiaya orang
Hadapi dengan berdada lapang
Banyakkan sabar bawa bertenang
Pertolongan Allah tentulah datang

Apabila ananda gagal berusaha
Bekerja keras tak ada hasilnya
Janganlah cepat berputus asa
Berusahalah terus sambil berdoa

Apabila ananda dipermalukan orang
Jangan ananda cepat meradang
Dinginkan kepala bawa bertenang
Hadapi dengan berdada lapang

Apabila ananda hidup sengsara
Sakit menahun harta tak ada
Banyakkan sabar tekun berdoa
Kesabaran itu menghapus dosa

Hidup di dunia banyak bersabar
Iblis menggoda syaitan mencabar
Bila terpengaruh dosanya besar
Hidup terhina mati tercemar

Apabila hidup tak mahu bersabar
Salah sedikit tentu bertengkar
Seteru banyak nama tercemar
Mudamu sengsara tua terlantar

Sabar itu membawa keberkahan
Memelihara diri dari kebinasaan
Dengan sabar nafsu dikendalikan
Banyak bersabar Tuhan kasihan

Apabila ananda berhati tabah
Membela yang benar tidakkan goyah
Menghadapi cubaan tidakkah lemah
Hidup matimu dirahmati Allah

Demikian pula sifat tawakal
Berserah diri gunakan akal
Menghadapi cubaan berhati pukal
Supaya usahamu tiada gagal

Bertawakal itu sambil berusaha
Jangan diam bertemenung sahaja
Bantinglah tulang sehabis daya
Berulah hidup akan Berjaya

Wahai ananda dengarlah amanah
Hidup didunia hendaklah tabah
Menghadapi cubaan janganlah menyerah
Peliharalah iman supaya tak goyah

Hidup di dunia banyak penghalang
Ada di muka ada di belakang
Apabila imanmu sudah melayang
Nasibmu akan dirundung malang

Hidup di dunia banyak penghasut
Ada mengancam ada mengugut
Bila hati mu menjadi pengecut
Tuah hilang maruah pun hanyut

Hidup di dunia banyak masalah
Syaitan menghasut iblis memfitnah
Apabila imanmu menjadi lemah
Tentulah engkau menyerah kalah

Hidup di dunia dimanfaatkan syaitan
Membawa manusia kepada kesesatan
Dibujuk dirayu penuh godaan
Siapa tak tabah tentu menyerah

Hidup di dunia banyaklah musuh
Syaitan menggoda iblis berumah
Menghasut umat mengingkari Allah
Siapa tak tabah tentu menyerah

Hidup di dunia banyaklah musuh
Syaitan menghasut iblis menggaduh
Apabila imanmu tiada kukuh
Disitulah tempat ananda jatuh

Hidup di dunia iri mengiri
Kesalahan orang dicari-cari
Kesalahan dirinya tidak peduli
Akhirnya semua lupakan diri

Hidup di dunia memandang harta
Orang yang miskin selalu dinista
Orang yang kaya dipuji dipuja
Apabila tak sabar menjadi sengketa

Apabila ketabahan sudah memudar
Ditambah pula iman melonggar
Tak ada lagi tempat bersandar
Maruahpun hilang nama tercemar

Hidup di dunia berebut pangkat
Ada menyanjung ada menjilat
Apabila imanmu tiada kuat
Akhirnya ananda turut terpikat

Hidup di dunia berebut kuasa
Siapa yang kuat boleh memaksa
Siapa lemah menjadi mangsa
Akhirnya hidup rosak binasa

Oleh karena itu wahai ananda
Ingatlah pesan ayah dan bunda
Janganlah engkau mabukkan dunia
mabukkan dunia Besar mudaratnya

3. TENTANG KESANTUNAN DALAM PERGAULAN

Wahai ananda bunda berpesan
Bersopan santun dalam pergaulan
Elokkan sikap baikkan kelakuan
Supaya bergaul beroleh keberkahan

Bergaul itu orangnya ramai
Baik-baiklah menjaga perangai
Jangan suka memandai-mandai
Supaya maruah mu tidak tergadai

Bergaul itu mencari sahabat
Elokkan laku baikkan tabiat
Bersikan hati luruskan niat
Supaya bergaul ada manfaat

Bergaul itu mencari kawan
Bersikan hati teguhkan iman
Mana yang salah ananda maafkan
Mana yang lalai ananda ingatkan

Bergaul itu mencari saudara
Laku perangai ananda pelihara
Bercakap dengan budi bicara
Supaya hidupmu tidak cedera

Bergaul itu mencari teman
Tunjukan sifat santun dan sopan
Aib malu orang jangan didedahkan
Supaya kekal tali persudaraan

Bergaul bukan mencari musuh
Kerenanya jangan membuat gaduh
Jauhkan sifat yang tidak senonoh
Supaya persaudaraan menjadi kukuh

Bergaul bukan mencari lawan
Kerananya jaga sebarang kelakuan
Bertanam budi ananda utamakan
Supaya persaudaraan jadi berkekalan

Bergaul bukan mencari seteru
Kerananya jaga tingkah lakumu
Berbuat baik janganlah jemu
Tolong menolong bantu membantu

Bergaul bukan mengambil muka
Mengejar pangkat mencari nama
Kerananya jangan berpura-pura
Supaya hidupmu selalu sejahtera

Wahai ananda permata bunda
Bergaullah dengan bermanis muka
Tulus dan ikhlas berbaik sangka
Kelaut kedarat orangkan suka

Wahai ananda permata hati
Elok bergaul hormat menghormati
Pendapat orang ananda hargai
Perasaan orang ananda pahami

Elok bergaul bertimbang rasa
Sakit dan senang sama dirasa
Perasaan orang hendaklah jaga
Supaya hidup aman sentosa

Dalam bergaul rela berkorban
Menolong orang janganlah segan
Penderitaan orang ananda rasakan
Supaya bergaul di rahmati Tuhan

Dalam bergaul banyak mengalah
Jangan suka bantah membantah
Bila ada pendapat bercanggah
Selesaikan dengan cara musyawarah

Dalam bergaul bertenggang rasa
Jangan mementingkan diri sahaja
Kepentingan orang hendaklah jaga
Supaya hidup sama-sama bahagia

Jujur bergaul di jadikan tiang
Tulus ikhlas dimuka dibelakang
Bercakap lidah jangan bercabang
Janji dipenuhi sumpah di pegang

Elok bergaul sama sepadan
Bila melangkah seiring sejalan
Bila berlayar satu haluan
Hidup damai dalam perpaduan

Bermanfaat bergaul seiya sekata
Seiring lenggang seayun langkah
Apabila beruntung di bagi rata
Apabila rugi ditanggung bersama

Bertuah bergaul tahukan diri
Tahu menjaga maruah sendiri
Tahu menolong ikhlas memberi
Banyaklah sahabat kanan dan kiri

Kebaikan orang hendaklah ingat
Balas olehmu sekedar yang dapat
Berterima kasih membawa berkat
Supaya kekal dalam bersahabat

Bertanam budi hendaklah ikhlas
Jangan sekali minta dibalas
Pahalanya besar Allah membalas
Hidup dan mati takkan terkandas

Wahai ananda buah hati sayang
Hidup bergaul berpantang larang
Kerananya jangan sebarang-barang
Supaya dirimu dihormati orang

Bergaul pantang cabar mencabar
Berlagak sombong bercakap kasar
Perangai itu mudaratnya besar
Orang membenci nama tercemar

Bergaul pantang merendahkan orang
Membanggakan diri lagak temberang
Mudaratnya besar bukan kepalang
Kemanapun pergi dibenci orang

Bergaul pantang besar kepala
Cakap besar membusungkan dada
Perbuatan itu amatlah tercela
Orangkan muak bala menimpa

Bergaul pantang berdendam kusumat
Hasut menghasut umpat mengumpat
Kelakuan begitu teramatlah jahat
Hidup dan mati orang melaknat

Kerana itu wahai ananda
Jagalah perangai selama didunia
Bergaullah dengan budi mulia
Supaya hidupmu Allah pelihara

4. TENTANG MENDIDIK, MENGAJAR DAN MEMELIHARA ANAK

Wahai ananda tambatan kalbu
Dengarlah petua ibu bapamu
Mengingat nasihat janganlah jemu
Supaya ada tempatmu bertumpu

Apabila ananda berumahtangga
Mendapat keturuna cahaya mata
Sudah menjadi kewajiban ibu bapa
Membela peliharanya sehabis daya

Mendidik anak bersungguh-sungguh
Bagai menatang minyak yang penuh
Ditunjuk diajar dengan senonoh
Siangnya dijaga malamnya diasuh

Mendidik mengajar janganlah kurang
Tumpahkan segala kasih dan sayang
Ingat hidupnya dimasa mendatang
Supaya besarnya kelak menjadi orang

Pendidikan awal mengenal Tuhan
Ketika lahir telinganya diazankan
Didoakan pula supaya beriman
Semoga hidupnya penuh keberkahan

Dididik diajarkan ilmu bermanfaat
Bekal hidupnya didunia akhirat
Supaya berjalan tidak tersesat
Bila berusaha tak pula terdedat

Mendidik mengajar berhemat cermat
Supaya fahamnya mudah melekat
Ilmu dituangkan membawa berkat
Menjadi pegangan sepanjang hayat

Mendidik mengajar hendaklah sabar
Lakukan dengan santun dan benar
Jaukan sifat yang kasar langgar
Supaya anakmu tidak bertengkar

Mendidik mengajar ikhlaskan hati
Berlemah lembut sebarang pekerti
Supaya anakmu mudah mengerti
Ilmu yang diajarkan melekat di hati

Mendidik mengajar hendaklah tunak
Jauhkan sifat kasar dan muak
Menegur menyapa secara lunak
Supaya pelajaran diminati anak

Mendidik mengajar berlemah lembut
Jangan mengancam jangan mengugut
Kalaupun marah sehingga yang patut
Supaya tercapai segala maksud

Mendidik mengajar lapangan dada
Luruskan niat maniskan muka
Kenakalan anak diusul periksa
Supaya diketahui sebab musababnya

Mendidik mengajar jangan berlengah
Kerana umur semakin bertambah
Bila terlambat harapan musnah
Dipaksakan juga tak banyak faedah

Wahai ananda kekasih ibu
Mendidik mengajar janganlah jemu
Sudah menjadi tanggungjawabmu
Mengajari anak berbagai ilmu

Apabila anak semakin membesar
Ditambah terus tunjuk dan ajar
Umpama pohon diberi berakar
Umpama kuntum cepatlah mekar

Mendidik mengajar dengan teladan
Berilah contoh pada yang sepadan
Sesuaikan kata dengan perbuatan
Supaya anak mudah memahamkan

Mendidik mengajar jangan dimanjakan
Kasih dan sayang jangan berlebihan
Terlalu dimanja dapat merosakkan
Terlalu disayang dapat membinasakan

Mendidik mengajar ada batasan
Jangan terlalu berlebih-lebihan
Kemampuan anak kita perhatikan
Supaya tidak membawa kemudaratan

Wahai ananda dengarlah pesan
Anak dan istrimu amanah Tuhan
Kerananya jangan engkau sia-siakan
Supaya rumahtanggamu beroleh keberkahan

Sudah menjadi ketentuan Ilahi
Anak yang lahir semuanya suci
Ibu bapanya yang akan mewarnai
Kerananya engkau harus hati-hati

Wahai ananda hendaklah ingat
Anak membesar berlainan tabiat
Ada yang baik ada yang jahat
Kerananya engkau haruslah cermat

Apabila anakmu berfikiran lemah
Hadapi dengan hati yang tabah
Banyakkan berdoa kepada Allah
Supaya mendapat taufik dan hidayah

Apabila anakmu terlalu nakal
Dididik tak mahu diajar bingal
Jangan ananda kehilangan akal
Hadapi dengan hati yang pukal

Apabila anakmu berkelakuan jahat
Dididik melawan diajar mengumpat
Janganlah ananda patah semagat
Sebarkan hati banyaklah nasihat

Apabila anakmu suka membangkang
Dididik tak mahu diajar menentang
Janganlah ananda cepat meradang
Kasih sayangmu jangan berkurang

Apabila anakmu malas belajar
Bila disuruh ia menengkar
Jangan ananda berlaku kasar
Hadapi dengan hati yang sabar

Apabila anakmu suka merayau
Kesana kemari membuat kacau
Jangan diturutkan hati yang risau
Bujuk anakmu bawa kesurau

Apabila anakmu suka membantah
Ditujuk diajar selalu menyanggah
Jangan dikutuk jangan disumpah
Mohonlah petunjuk kepada Allah

Apabila anakmu buruk kelakukan
Dididik diajar selalu melawan
Jangan ananda muak dan bosan
Bujuklah anakmu perlahan-lahan

Apabila anakmu suka bergaduh
Kemana pergi membuat rusuh
Janganlah engkau main pelupuh
Nasihati dia bersungguh-sungguh

Apabila anakmu suka dimanja
Ke sana ke mari teranja-anja
Jangan turutkan semua kehendaknya
Supaya tidak membawa bencana

Apabila anakmu bebal dan dungu
Janganlah engkau merasa malu
Teruslah berusaha mencarikan guru
Untuk membantu mendidik anakmu

Apabila anakmu cerdik dan pintar
Doronglah dirinya untuk belajar
Kepada orang pandai dia diantar
Supaya ilmunya semakin bersinar

Apabila anakmu berkemahuan keras
Janganlah ananda pula yang malas
Turutkan kemauannya secara ikhlas
Salurkan bakatnya secara pantas

Apabila anakmu ada pendapat
Dengarkan dengan sepenuh minat
Mana yang baik ananda perkuat
Mana yang salah diberi nasihat

Apabila anakmu banyak permintaan
Jangan semuanya ananda kabulkan
Ditimbang-timbang menurut kepatutan
Supaya tidak membawa kemubaziran

Apabila anakmu tak mahu bersusah
Belajar keras semangatnya patah
Jangan ananda menjadi lemah
Perlahan-lahan semangatnya diasah

Memelihara janganlah lalai
Menjaga mengasuh janganlah cuai
Supaya kerja tidaklah terbengkalai
Niat terkabul hajat pun sampai

Memelihara anak elokkan pekerti
Berlemah lembut sucikan hati
Tunjuk dan ajar ananda ikuti
Supaya rumahtanggamu Allah berkati

Memelihara anak berhati ikhlas
Pahalanya besar Allah membalas
Kewajiban dipenuhi manfaatnya jelas
Hidup bahagia hutang pun lepas

Memelihara anak hendaklah tekun
Lakukan dengan bersopan santun
Di jalan Allah anak dituntun
Supaya rumahtanggamu selalu rukun

Memelihara anak sepenuh hati
Kasih dan sayang jangan berbagi
Banyak cubaan harus dihadapi
Bila tak tabah kerja tak jadi

Memelihara anak hendaklah sungguh
Jangan lalai jangan bertangguh
Supaya anakmu menjadi senonoh
Besarnya dapat tempat berteduh

Memelihara anak janganlah menyalah
Ingatlah anakmu amanah Allah
Perlakukan dia dengan dengan semenggah
Supaya besarnya membawa berkah

5. TENTANG MENGHORMATI GURU

Wahai ananda dengarlah amanat
Terhadap gurumu hendaklah hormat
Ilmunya banyak memberi manfaat
Menyelamatkan hidup dunia akhirat

Kepada guru hendaklah sopan
Tunjuk ajarnya ananda dengarkan
Penat letihnya jangan dilupakan
Supaya hidupmu dirahmati Tuhan

Kepada gurumu janganlah durhaka
Jangalah pula berburuk sangka
Tunjuk ajarnya ananda jaga
Supaya manfaatnya dapat dirasa

Kepada gurumu eloklah perangai
Apabila disuruhnya janganlah lalai
Tunjuk ajarnya selalu dipakai
Supaya hasratmu cepat tercapai

Apabila gurumu selalu kau tantang
Ditujuk diajar engkau membangkang
Akibatnya buruk bukan kepalang
Ilmu dituntut berkahnya hilang

Kepada guru jangan menista
Bercakap kasar bermasam muka
Orang benci Allah pun murka
Hidupmu akan terlunta-lunta

Kepada gurumu nampakkan minat
Petuah didengar petunjuk diingat
Supaya belajar beroleh manfaat
Membawa berkah dunia akhirat

Kepada gurumu hendaklah patuh
Ditunjuk diajar jangan mengeluh
Belajarlah dengan bersungguh-sungguh
Supaya hidupmu menjadi senonoh

Anggaplah guru sebagai ibu bapa
Tempat merunjuk tempat bertanya
Memudahkan ananda memahami ilmunya
Supaya pelajaranmu tak sia-sia

Jadikan gurumu contoh teladan
Minta nasihat untuk pegangan
Apa masalahmu boleh disampaikan
Supaya bebanmu menjadi ringan

Kepada gurumu berterus terang
Jangan bercakap main belakang
Supaya belajar hatimu lapang
Guru mengajar hatnya senang

Kepada gurumu berterima kasih
Kerana mengajarmu berpenat letih
Sampaikan dengan hati yang bersih
Semoga menjadi amalan soleh

Wahai ananda permata bunda
Gurumu itu juga manusia
Tentulah ada lebih kurangnya
Maafkan olehmu bila ada salahnya

Kepada guru jangan mendendam
Orang pendendam imannya padam
Budi yang baik jadi tenggelam
Hari depanmu menjadi suram

Budi gurumu janganlah dilupakan
Penat letihnya jangan diabaikan
Ilmu diterima engkau amalkan
Semoga pahalanya sama dirasakan

Budi gurumu selalu dikenang
Jasanya besar bukan kepalang
Engkau dididik menjadi orang
Ditunjukan pula jalan yang terang

6. TENTANG KETAATAN KAPADA IBU DAN BAPA

Wahai ananda dengarlah petua
Taati olehmu Ibu dan Bapa
Kerana merekalah engkau di dunia
Pengorbanan mereka tiada tara

Ibu dan Bapamu engkau muliakan
Siang dan malam engkau doakan
Semoga keduanya dirahmati Tuhan
Selamat sejahtera sepanjang zaman

Jasa Ibu Bapa tak dapat dihitung
Memelihara engkau sejak dikandung
Sesudah lahir didukung digendong
Sakit dan susah semua ditanggung

Dari kecil engkau dipelihara
Dipeluk dicium dengan gembira
Siang dan malam mereka menjaga
Penat dan letih tiada terkira

Air susu ibumu penuh berkat
Disitulah tempat kasih melekat
Engkau dipeluk dipegang erat
Kasihnya kekal sepanjang hayat

Apabila sakit mereka tunggukan
Dibelai mesra serta didoakan
Kepadamu kasih mereka curahkan
Kadang-kadang lupa minum dan makan

Apabila lapar mereka suapkan
Entah nasi entah panganan
Apa kehendak mereka turutkan
Apa yang ada mereka berikan

Wahai ananda kesayangan ibu
Berbaktilah kepada Ibu Bapamu
Balas budinya sekuat dayamu
Supaya Allah memberkahi dirimu

Hati Ibu Bapa hendaklah jaga
Jangan mereka sampai kecewa
Senangkan hatinya sehabis daya
Supaya hidupmu selalu berjaya

Kepada ibu bapa engkau mengabdi
Sebagai tanda membalas budi
Luruskan niat ikhlaskan hati
Semoga Allah akan merahmati

Jasa kedua Ibu Bapa amatlah banyak
Tak terbayar emas dan perak
Kerananya janganlah engkau mengelak
Untuk memelihara ibu dan bapa

Kepada ibu bapa jangan durhaka
Orang membenci Allah pun murka
Sepanjang hayatmu hidup celaka
Akhirnya nanti masuk neraka

Kepada ibu bapa engkau berkhidmat
Membela pelihara secara cermat
Pahalanya besar Allah merahmat
Selamatkan hidup dunia akhirat

Kepada ibu bapa curahkan minat
Membela pelihara sepenuh minat
Supaya hidupmu mendapat rahmat
Hidup dan mati dalam selamat

Kapada ibu bapa tumpahkan sayang
Budinya diingat jasanya dikenang
Petua amanahnya selalulah pegang
Supaya hidupmu menjadi lapang

Kepada ananda ayahanda beritahu
Ibu bapa tidak mengaharapkan duitmu
Yang mereka harapkan kasih sayangmu
Dekatilah mereka sepanjang waktu

Memelihara ibu bapa jangan berkira
Ikhlaskan tenaga relakan harta
Supaya baktimu memperoleh pahala
Allah meredhai hiduppun sejahtera

Wahai ananda kekasih hati
Perasaan ibu bapa jangan disakiti
Elokkan perangai baikan pekerti
Dengan ikhlas engkau mengabdi

Ibu bapa janganlah dipandang rendah
Walau hidupmu menanggung susah
Wajib bagimu untuk membantunya
Menunaikan bakti kerana Allah

Apabila ibu bapamu sudah tua dan renta
Mengidap penyakit kehabisan daya
Jangan dihina jangan pula dinista
Wajib bagimu untuk merawatnya

Apabila ibu dan bapamu dalam kesusahan
Janganlah engkau berlepas tangan
Pikullah bebannya berat dan ringan
Bantulah dengan segala kemampuan

Apabila ibu dan bapamu tua dan lemah
Duduk tak dapat tegakpun susah
Janganlah menjauh dari dirinya
Kewajiban engkau untuk menjaganya

Redha ibu bapa engkau harapkan
Redha ibu bapa redhalah Tuhan
Kerananya mereka jangan disia-siakan
Supaya hidupmu dalam keberkahan

Kepada ananda ayah berpesan
Ibu bapamu engkau banggakan
Jadikan keduanya contoh teladan
Tunjuk ajarnya engkau amalkan

Wahai ananda dengarlah amanat
Kepada ibu bapa jangan khianat
Dosanya besar Allah melaknat
Sesaralah hidup dunia akhirat

Wahai ananda dengarlah peri
Ibu bapamu jangan dikasari
Lemah lembut sebarang pekerti
Suruh tegahnya engkau turuti

Wahai ananda buah hati ayah
Ibu bapamu jangan dibantah
Dengar cakapnya walau sepatah
Turut kamahuannya walaupun susah

Kepada ananda ayah ingatkan
Ibu bapa marah untuk kabaikan
Supaya anaknya tak salah jalan
Hidup berbudi mati beriman

Marah ibu bapa bukannya benci
Atau tak sayang keanak sendiri
Marah sekedar untuk menasihati
Supaya anaknya tahukan diri

Kerana ibu wahai ananda
Ke ibu bapa baikkan sangka
Supaya engkau tidak berdosa
Hidup dan mati aman sentosa

Sudah ditakdirkan Allah Rabbani
Semua yang bernyawa akhirnya mati
Kerananya segeralah engkau berbakti
Sebelum ibu bapamu menghadap Ilahi

Apabila keduanya sudah tiada
Sesal dan tangis tiada guna
Bakti terakhirmu banyakkan doa
Semoga arwahnya dirahmati Allah

7. PENUTUP

Syair ini hamba persembahkan
Ke majlis guru-guru arif budiman
Untuk menjadi kenang-kenangan
Sambil berkongsi barbagi pengalaman

Apabila ada salah dan sumbang
Baiknya diambil buruknya dibuang
Mana yang sesuai sama dipegang
Mana yang janggal usah dikenang

Kepada tuan dan puan hamba harapkan
Mana-mana yang salah tolong betulkan
Mana yang bengkok mohon diluruskan
Supaya tunjuk ajarnya tidak bersalahan

Sampai di sini syairpun tamat
Semoga isinya membawa manfaat
Kepada Allah memohonkan rahmat
Diampunakan dosa dunia akhirat

Wednesday, January 22, 2014

Bicara Atas Bumbung

Rooftop Rant
Ini karya Hlovate terawal yang saya baca. Ketika mula berjinak-jinak dengan Islam. Ketika baru bertukar aliran. Ketika baru sambung belajar. Seingat saya, dulu saya cuma ambil masa dua hari untuk habiskan bacaan novel ni. Tapi kali ni, saya ambil masa hampir sebulan. Setelah lima tahun, saya ulang baca novel ini. Saya baca perlahan-lahan. Perasaan lain dari yang pernah singgah waktu saya baca novel ini pertama kali dulu. Mungkin itu tandanya saya dah semakin tua. Mungkin juga semakin matang? Atau mungkin juga semakin takut menghadapi dunia?

Al-kisahnya, Rooftop Rant mengisahkan tentang Trisy gadis 16 tahun yang membesar dalam keadaan keluarga yang berantakan sehingga menyebabkannya menghadapi masalah depresi. Pil tidur dan ubat anti-depresi dah jadi macam 'coklat MnM’s' bagi Trisy. Satu hari, di kala sedang termenung masa cikgu tusyen mengajar, Trisy ternampak lokasi yang sesuai sebagai escapisme untuk ‘melarikan’ diri: atas bumbung Wisma Topaz. Di atas bumbung Wisma Topaz ni kemudiannya Trisy kenal dengan Jade.

Seperti juga Trisy, Jade juga menjadikan atas bumbung Wisma Topaz ini sebagai lokasi pelariannya. Bezanya, keluarga Jade tidak berantakan. Jade anak tengah yang selalu merasa terpinggir dalam keluarga sendiri. Abang dan adik Jade excellence dalam pelajaran. Sedangkan Jade minat melukis kartun. Dan minat Jade dipandang remeh oleh kedua orang tuanya. Makanya, di atas bumbung Wisma Topaz itulah Jade menumpahkan isi hatinya ke atas kertas-kertas putih.

Bumbung Wisma Topaz jadi saksi bagaimana Trisy dan Jade mula berkawan – selepas Jade menyelamatkan Trisy yang pengsan akibat hypoglycemic (kekurangan gula). Juga menjadi saksi Jade menyelamatkan Trisy sekali lagi semasa Trisy overdose pil-pil MnM’s bila tak tahan dengar ibu dan ayah berperang. Keluar dari hospital, Trisy kemudiannya dihantar ke Johor dijaga oleh atuk dan opahnya. Mungkin untuk pastikan Trisy fokus menghadapi SPM. Mungkin juga untuk pastikan Trisy tak buat lagi aksi overdose MnM’s atau sebarang cubaan pengambilan nyawa. Ataupun mungkin sebab ibu dan ayahnya mahu lepas tangan, tak mahu fikir tentang anak gadis bongsu mereka yang satu ni.

Orang kata, biar jauh dimata tapi dekat dihati. Macam tu la jugaknya kisah Trisy dan Jade. Kalau kita tengok pada tema cinta lovey-dovey yang cetek, novel ni akan nampak yang tu je la. In the end, they live happily ever after~


Tapi ada banyak benda lain yang ingin disampaikan dan boleh kita dapat dalam novel ni. Tak kisah status kita. Sama ada sebagai orang luar, guru, abang atau kakak, pakcik atau makcik, parents, malah kalau kita ni atok atau nenek pun boleh belajar sesuatu daripada novel ni, insyaAllah.

Ada dua perkara utama yang saya belajar dan saya ingatkan sungguh-sungguh kepada diri saya supaya JANGAN sesekali melakukannya. Pertama, jangan pernah menghakimi. Sebab kita tak tahu kisah disebalik seseorang. Kita tak tahu apa yang dia rasa dan kita tak tahu apa yang dia hadapi. Kedua, tanya hanya bila kita mahu mendengar. Kalau rasa takmau tau jawapan, tak usah tanya. Baik diam, pi main jauh-jauh. Buat apa tanya kalau akhirnya kita tak mau dengar pun jawapan tu dan kita judge kemudian menghukum ikut suka rasa kita. Ada banyak lagi benda lain, tapi anda baca sendiri lah ye.

Habis baca novel ni, saya tersenyum. Tapi ada rasa yang terbuku. Ada rasa sedih dan marah yang berbaur dengan gembira. Sedih sebab kesian sungguh-sungguh pada Trisy yang masih mengemis kasih sayang ibu ayah sendiri. Marah pada ibu, ayah, abang dan kakak-kakak Trisy yang tak peduli dengan keluarga sendiri. Tapi saya gembira sebab Trisy ada atuk, nenek, Pak Su dan Buk Jah (pembantu rumah) yang sayang padanya. Dan yang paling penting, Trisy ada Jade yang sudi jaga dan sayangkan Trisy insyaAllah sampai akhir hayat.

Rasanya ada banyak lagi Trisy kat luar sana yang masih mengemis kasih sayang keluarga sendiri. Yang rasa macam nak putus asa dan rasa macam nak menamatkan riwayat sendiri. Dan kalau anda tahu dan kenal mereka, dampingilah. Semoga happy ending yang Trisy peroleh dalam Rooftop Rant ini juga boleh menjadi milik ‘Trisy-Trisy’ yang di luar sana.

“Kau nak jadi apa?”
“Aku nak jadi Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga”
“Bila jadi menteri tu nanti, law apa yang kau nak buat?”
“Nobody’s allowed to have babies if they’re not to love `em”

Wednesday, November 27, 2013

Allah ada

"Ya, Allah ada. Jangan bimbang."
Lelaki dari Aceh itu ulang lagi kata-katanya. Dalam sebak, dia lafazkan dengan tegas.
"Allah ada. Saya sedia untuk mati. Saya relakan diri saya untuk mati. Dan saya bayangkan yang indah-indah untuk bertemu Allah."
Senyap sedetik. Ombak besar yang menelannya hadir melintas minda.
"Saya tenggelam dalam air laut. Saat terdampar, saya buka mata. Saya nampak mayat. Lautan mayat."
"Saya jadi yakin. Bahawa sesungguhnya Allah itu ada. Bukan pada apa, bukan pada siapa untuk kita meminta."
Yang mendengar terus sunyi. 
"Saya bermula semula. Bermula dari null. Dari kosong"
"Sedikit, sedikit. Alhamdulillah, akhirnya hari ini saya dapat kembali ke Malaysia untuk menyambung belajar."

Tahu bahawa Allah itu ada 
VS
Yakin, merasa dengan hati, mengakui dengan akal dan bertindak dengan fizikal bahawa Allah itu ada

Dua perkara berbeza.


ps: menggeledah hati