Wednesday, October 24, 2018

Tirai semalam

Tuhan
Dia ungkap dalam satu panggilan
Dia buka tirai semalam
Dan pekungnya tersingkap

Dosa silam menghantuinya
dan menghantuiku
Atas asbab mata yang kubutakan dulu

Tuhan
Aku mohon ampunan Mu atas kenaifan ku
Aku mohon ampunan Mu untuk segala ketidak pedulianku
Aku mohon ampunan Mu

Banyak manapun air mata takkan mampu memadamkan kisah silam
yang kelam
yang hitam
Tipu daya yang direlakan
Keindahan yang hanya fatamorgana

Maka Tuhan
Aku mohon ampunan Mu
kerana hanya menyelamatkan diri ku sendiri
Sedang dia aku biarkan
Hanyut di depan mataku

Maka Tuhan
Aku mohon kasih Mu
Buat dia harungi hari-hari barunya
Dan hilangkanlah pekung itu dari sejarah kehidupannya
Agar bahagia sudi menjadi temannya kembali
Dan penyesalannya menjadi perhiasan kehidupan
Untuk menuju syurga Mu dengan beriring redha Mu, wahai Tuhan.                                                                          
source

Monday, September 25, 2017

LUPA

Manusia mudah lupa.Tipulah kalau kata kita tak pernah terlupa. Malah, Allah SWT dah sebut dalam al-Quran tentang kelupaan manusia ni. Firman Allah yang bermaksud:

Dan jangan sekali-kali kamu mengatakan tentang sesuatu: "Sesungguhnya aku akan mengerjakan ini besok pagi, kecuali (dengan menyebut): "Insya Allah"[879]. Dan ingatlah kepada Tuhanmu jika kamu lupa dan katakanlah: "Mudah-mudahan Tuhanku akan memberiku petunjuk kepada yang lebih dekat kebenarannya dari pada ini."
[Al-Kahfi, 23-24]

Lupa ni ada bermacam bentuk. Paling teruk bila lupa dalam solat kerana bisikan syaitan sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda : "Apabila orang azan, maka syaitan lari terkentut-kentut sampai tak kedengaran lagi olehnya azan. Apabila azan telah selesai, dia kembali pula. Kemudian, apabila orang qamat dia lari pula, dan apabila qamat telab selesai dia datang pula kembali menggoda orang (yang sedang solat). Dia membisik, "Ingatlah ini dan itu!" Yaitu hal-hal yang tidak pernah diingatnya selama ini, sehingga orang lupa telah berapa rakaat dia solat. Maka apabila kamu lupa telah berapa rakaat kamu solat, sujudlah dua kali ketika sedang duduk (sujud sahwi)."

Dan lupa ni satu perkara yang sangat malang seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Buruk sekali seseorang di antara mereka, atau di antaramu untuk mengatakan :"Saya lupa pada ayat ini dan ayat itu, tetapi terlupakan (tidak sengaja melupakan) oleh sebab itu selalu ingat-ingatlah (untuk membaca) Al Quran. Demi zat yang jiwaku ditangan-Nya, melupakan Al Quran lebih (jauh) lepasnya dari dada lelaki dibanding lepasnya unta dari ikatannya" Hadis ini hasan sahih dalam Sunan at-Tirmidzi

Lupa sebenarnya ada banyak sebab, antaranya:

1. Maksiat / dosa
Menurut Imam Asy-Syafie, “saya mengadu kepada Waqi’ (guru beliau) mengenai buruknya hafalanku, maka dia menasihatiku agar meninggalkan maksiat. Dan ia mengabarkan kepadaku bahwa ilmu adalah cahaya, dan cahaya Allah Subhanahu wa Ta’ala tidak memberikan kepada pelaku maksiat”.
2. Pola hidup yang tidak seimbang
Contohnya, tidur terlalu sikit/banyak atau tidak berkualiti – tidak cukup oksigen
3. Fikir banyak perkara dalam satu masa
Akan merendahkan keupayaan konsentrasi
4. Melakukan banyak perkara dalam satu masa (multitasking)
5. Gaya hidup pasif – kurang cergas dan tidak bersenam à aliran oksigen dalam badan terganggu
Biasanya akibat pengumpulan lemak dalam saluran darah – kolestrol tinggi?
6. Stress, depression dan tekanan jiwa
7. Malnutrition (kekurangan nutrisi), kesan ubat, kecederaan, sakit kepala/migraine

Untuk mengatasi lupa, berikut beberapa tips yang boleh dilakukan

1. Menghindari perkara kemaksiatan dan menjauhkan diri daripada melakukan dosa
2. Beristighfar, memohon keampunan
3. Berdoa
4. Gaya hidup sihat
- Tidur yang berkualiti dan sesuai dengan keperluan badan - tidak lebih dan tidak kurang
- Makan – elak MSG, makanan tinggi kolestrol, ambil makanan yang mengandungi vit E – almond, buah tin, buah zaitun (atau minyak zaitun)
- Beriadah – rekriasi, senaman
- Tenangkan minda – hobi sihat dan bermanfaat à bercucuk tanam, mengait
5. Latihan minda – permainan yang melatih minda à Sudoku, sahiba, teka silang kata, jigsaw puzzle, catur, menulis diari/blog
6. Pastikan aliran darah lancar – untuk membolehkan aliran oksigen yang lancar, memelihara rembesan hormon badan
7. Latih untuk lebih teratur
8. Fokus dan kurangkan multi tasking. Selesaiakan pekerjaan satu-persatu, elakkan bertangguh dan lambakan tugas
9. Minum air kosong
10. Haramkan diri daripada rokok dan alkohol

"Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri ma'aflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir." [Al-baqarah, 2:286]

Thursday, May 05, 2016

Writer's block

"the condition of being unable to think of what to write or how to proceed with writing." - google saja.

Sungguh-sungguh tak tahu nak tulis apa. Tapi paksa diri juga menulis. Sebab menulis itu terapi. Tak tau kata siapa. Tapi memang, menulis itu terapi. Mengeluarkan yang terbuku di hati, terpendam dalam fikiran. Yang sampai membuat tidur tidak lagi lena. Yang membuat makanan tidak lagi menyelerakan. Yang membuatkan keindahan alam tidak lagi mendamaikan.

Bila banyak sangat bertampuk dan bertumpuk, hati mula gundah, jiwa mula kacau. Dan pada waktu ini, tubuh semakin lemah, mata semakin kabur. Masalah kecil terasa besar, perkara remeh boleh jadi punca perbalahan. Dan syaitan semakin galak menari. Berpesta dan menjerit memaki.

Ini mungkin salah satu punca saya terkenal dengan "garang" dalam kalangan pelajar di tempat saya bertugas. Sebab masalah memendam. Kadang-kadang, bila tugas menggunung, ekspektasi melangit dan reaksi-reaksi manusia berbaur membuatkan diri terasa sungguh serabut. Hilang rasional. Logik akal mula jadi tak laku.

SILA JANGAN CONTOHI SIKAP INI.

Dan atas sebab ini, saya membebel di sini. Memaksa diri untuk membebel. Sebagai seorang yang pernah satu ketika dahulu menghadap dan menghadam buku teks psikologi, saya faham ada sesuatu yang tidak kena dengan diri sendiri. Jadi, bila perkara seperti ini berlaku, tentu sekali kena cari cara untuk atasi.

1. Pergi terapi. Sebenarnya, jiran sebelah pejabat saya merupakan seorang pensyarah psikologi dengan pengkhususan kaunseling. Tapi, sebagai seorang anak Melayu yang tipikal, saya tidak merasakan perlu untuk menerima bantuan kaunseling. Belum, belum di tahap itu.

2. Pergi bercuti. Ha, ini memang menarik. Tambah lagi sekarang ini ada Pesta Buku Antarabangsa di KL. Dan bagi seorang pencinta buku, saya memang saaaaaangat teringin nak ambil cuti dan pergi shopping buku di sana. Tapi, bila menimbang semula pros-&-cons, nampaknya cons ada lebih banyak s berbanding pros. Jadi, batalkan saja. Bercuti dan bersiar-siar apatah lagi.

3. Berehat dan berurut. Kalau dapat ke spa, memang mengasyikkan. Berurut dan relaksasi. Hm...mungkin boleh dipertimbangkan.

4. Berhibur - mendengar muzik, menonton wayang, shopping dan berfoya-foya. Ohhh ini tidak menyelesaikan masalah. Malah mungkin boleh mendatangkan lebih banyak masalah.

5. Beriadah - bersenam, zumba, jogging, gim, apa sajalah aktiviti asalkan keluar peluh.

6. Bermenung. Termenung saja, kot-kot boleh merenung khilaf diri atau punca masalah. Tapi kalau keadaan macam saya, termenung tidak menyelesaikan masalah. Malah membuang masa.

7. Yang ni yang paling penting sebagai seorang Muslim - Mengadu dan menangis dengan solat dan sabar kepada Allah SWT. Sebab kita sendiri tak tahu apa yang baik dan apa yang buruk sebenar-benarnya untuk kita. Yang kita idamkan, belum tentu baik. Yang kita tak mahu terjadi, mungkin itu yang lebih baik. Allah ada berfirman yang maksudnya:
"..apakah manusia akan mendapat segala yang dicita-citakannya?" [An-Najm, 53:24]

Kalau diikutkan, masalah yang saya hadapi ni sebesar kuman je pun. Benda-benda kecil, berkaitan tugas. Malah langsung tidak menyentuh kehidupan peribadi. Tapi mungkin, hidup saya terlalu terjerumus dengan kerjaya dan mungkin, memandangkan saya tak begitu berpengalaman dalam dunia kerjaya (belajar lama sangat, tak pernah kerja secara rasmi), menyebabkan saya mudah dihinggap tekanan. Muka pun keruh semacam. Dan satu perkara yang saya sangat perasan, personaliti dan gaya hidup saya berubah. Wanneeza yang cheerful dan menikmati hidup itu telah hilang! Hidup terasa sungguh tidak efisyen. Ya, atas faktor ini saya menulis di sini.

Tak, ini bukan confession of the broken heart. Bukan juga membuka pekung di dada. Ini sekadar leteran biasa untuk memaksa jemari saya menaip, otak saya berfungsi dan bahasa saya mengalir kembali. Ini cara saya memaksa sekatan dalam minda penulis saya terbuka dan saya boleh kembali menulis.

Alhamdulillah, nampaknya cara ini berjaya. Anda saksinya. Kata saja writer's block. Sekali tulis entri berjela.

Kalau anda juga hadapi keadaan seperti saya, semoga anda pulih semula dan kehidupan anda ceria kembali!

ps: tiba-tiba rasa lega :)

Saturday, April 02, 2016

Chicken pox

Assalamualaikum. 

Okay. 
This is embarrassing. 
Yet painful. 

Drama sangat! Setahun tak tulis apa-apa, tiba-tiba keluar entri pasal chicken pox.

Virus varicella zoster tak segan-segan datang menjenguk saya. Semua orang tanya macam mana boleh kena. Selain daripada meyakini virus tersebut diutus sebagai penggugur dosa, saya pun tak pasti daripada mana, siapa dan bila saya mula dijangkiti. Tapi saya perlu akui, Dua minggu lalu fizikal saya terlalu letih. Mungkin waktu itu antibodi badan turun mendadak dan virus pun mula mengembang biak. Saya tanyakan pada doktor di Pusat Sejahtera USM. Katanya saya kes pertama untuk tempoh terdekat ini.

Tidaklah seorang muslim yang tertimpa gangguan berupa penyakit atau semacamnya, kecuali Allah akan menggugurkan bersama dengannya dosa-dosanya, sebagaimana pohon yang menggugurkan dedaunannya.” 
(HR. Bukhari dan Muslim) 

Kawan saya ada tanyakan macam mana rasa sakitnya chicken pox sebab dia kena waktu kecil. Jadi dah tak ingat. Saya rasa pengalaman dan rasa ada perbezaan antara satu sama lain. Abang saya sendiri waktu dijangkiti virus ini bersekali dengan demam yang sangat panas. Katanya, sampai minta maaf dengan ibu. Bimbang ajal sampai waktu sedang tidur. Beza pula dengan seorang kenalan yang chicken pox cuma pada luaran, tidak diikuti dengan demam panas. Pengalaman saya sendiri, chicken pox ni macam gabungan chicken pox + migraine + demam + gastritis + tekanan darah rendah. Sudahnya, terlantarlah saya sepanjang tempoh cuti sakit yang doktor bagi.


Tapi saya salute sungguh-sungguh pada dua housemate yang sangat baik hati menjaga, memasak dan memantau keadaan saya sepanjang saya sakit. Pagi-pagi sebelum pergi kerja, mereka masakkan makanan untuk saya. Carikan daun mambu (semambu @ neem - ada dalam USM) untuk mandi dan air kelapa untuk minum. Belikan stok roti. Tak berkira langsung. Malah risau nak tinggalkan saya sendirian di perantauan ni. Terima kasih sangat-sangat. Mereka pelik kenapa saya tak mahu pulang ke rumah keluarga. Jawapannya mudah. Saya tak mampu harungi perjalanan lama dalam kenderaan. Bila darah rendah ni, bukan saja dunia terasa bergoyang. Ada juga rasa loya dan mungkin akan muntah. Penah rasa mabuk laut? Lebih kurang begitulah rasanya.

Alhamdulillah, hari ini dah makin pulih. Dah tak demam, masih rasa loya bila makan tapi tak terasa sakit macam gastritis. Suhu badan pun ok. Darah mungkin masih rendah sebab masa tengah taip ni pun rasa dunia sedang bergoyang menari sumbang. Okay, bukan dunia. Pandangan saya yang bergoyang. Dan chicken pox ini, tak tahu lah bila akan pulih. Harap-harap cepat. Banyak tugas tergendala. 

Tapi tak apa, sakit juga satu nikmat, bukan?

Dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkanku.”
 [Surah Asy Syu’ara: 80]

Alhamdulillah.

ps: Blog ni dah nak 8 tahun! Saya decide nak kekalkan gaya menulis. Sesuai dengan matlamat blog ni: bukan blog akademik. InsyaAllah, kalau ada yang minat untuk baca pemikiran yang lebih serius, dengan bahasa yang menepati Gaya Dewan, nanti saya maklumkan tentang blog baru. Sedang dalam pembinaan. Under construction dah setengah tahun. Tak siap-siap juga.

Sunday, March 13, 2016

Percubaan

Ini adalah percubaan. Sila abaikan :P

Tuesday, April 28, 2015

Dunia Baru

B i s m i l l a h i r r a h m a n i r r a h i m

Wah setahun saya tak menulis apa-apa dalam blog ni. Setahun yang lalu, pada bulan April, saya serahkan draf tesis pengajian Ph.D ke Institut Pengajian Siswazah (IPS) USM. Sejak itu, saya berhenti menulis. Idea dan segala luahan rasa nampaknya turut berpergian bersama tesis tersebut. Kemudian saya jadi super sibuk setelah melapor diri sebagai felo sandaran. Nama pun sandaran, job description nya pun tersandar-sandar. Sekejap, mengganti kuliah dan tutorial. Sekejap lagi  minta uruskan konferens. Jadi pengiring pelajar dan macam-macam tugas yang bila diingat semula boleh buat saya tergelak.

Ada satu hari, saya terlalu keletihan. Terduduk di lantai ruang tamu kemudian menangis. Teman serumah pelik. Saya katakan, saya keletihan. Kemudian kami sama-sama ketawa besar. Tanpa sebab. Mungkin saya mentertawakan diri sendiri dan dia tertawa melihat saya tertawa padahal sebelumnya menangis macam budak kecil.

Julai, saya dipanggil untuk sidang viva voce. Viva voce inilah waktunya untuk kita bentangkan tesis yang sudah dinilai oleh pemeriksa. Lebih kurang macam ujian lisan lah. Ujian terakhir sama ada layak atau tidak tesis diterima dan diiktiraf tahap Ph.D nya. Alhamdulillah, dalam semangat Ramadhan, sesi viva voce berjalan lancar dan tesis saya diterima dengan pembetulan minor. Hampir seminggu saya bertungkus lumus membetulkan apa-apa yang dikomen dan akhirnya, salinan akhir tesis dapat dihantar. Dalam konvokesyen USM ke-50 pada November lalu, tamatlah riwayat saya sebagai pelajar Ph.D secara rasmi. Heh, tamat riwayat, macam karangan autobiografi darjah 4.


Segala yang tamat menandakan permulaan baru. Macam tu lah juga hidup saya. Dah habis belajar, kenalah kerja pula kan. Memandangkan pengajian saya dibiayai USM, maka jadilah saya sekarang kakitangan USM. Alhamdulillah.

Kisah seterusnya? Sibuk yang sibuk. Kalau orang tanya, sibuk ke? Ya, sibuk. Merantau ke sana-sini. Mengulas dan membaca tesis pelajar. Memenuhi segala macam latihan dan kursus wajib untuk kakitangan baru. Tapi kalau nilai betul-betul, tidak lah sibuk mana.

Ada yang tanya, mana lagi seronok antara belajar dan kerja? Secara jujur saya katakan, kedua-duanya perkara yang berbeza. Belajar, perjuangan dengan diri sendiri. Tambah lagi bila peringkat Ph.D. Nak tertonggeng, nak terbalik, semuanya bergantung pada diri sendiri. Mahu tulis tesiskah, mahu mengalahkah, mahu tidak kenang budi (sebab biasiswa ada penjamin) kah, semuanya terpulang. Tapi kerja, perjuangan dengan orang lain. Perjuangan dengan majikan, perjuangan dengan pelajar, perjuangan dengan segala macam permintaan. Tapi ada satu perkara yang paling menarik bila sudah bekerja, saya tak lagi terfikir-fikir tentang kajian dan tesis sepanjang masa macam waktu belajar dulu. Dulu, ilham menulis tesis selalu dapat dalam tidur dan akibatnya, memang tidur tak lena dan terganggu.

Bila buat sesi mengimbau kenangan macam ni, terasa rindu zaman belajar. Sekejap sungguh masa berlalu. Ini lah juga sebabnya saya kembali menulis di sini. Sekurang-kurangnya boleh satu hari di masa hadapan saya baca semula apa yang telah saya lakukan dalam hidup. Kalau tak, semuanya terlupakan. Tak sedar, masa dan usia tak dihargai diri sendiri.


Ada yang tanya pendapat saya tentang Ph.D. Bagi saya, Ph.D bukan setakat sebuah kajian yang dilaporkan dalam sebuah tesis. Ph.D sebaliknya satu perjalanan berjuang. Sama ada fizikal mahupun rohani. Intelektual mahupun hati. Kalau ikutkan akal cetek saya, tak kan dapat menggenggam sebuah Ph.D. Tapi kerja Tuhan, siapa tahu kan?

Untuk semua yang sedang berjuang, tak kiralah sebagai pelajar ataupun sebagai pekerja, ikat kain ketat-ketat atas kepala dan ayuh, berusaha!

ps: selamat berkonvo super duper junior MISDEV13!


ps lagi: Terbang tinggi-tinggi, hati tetap pada bumi

Thursday, February 20, 2014

Doa Pemuda


"Wahai Tuhan kami, berikanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami (ini)."