Showing posts sorted by relevance for query contengan jalanan. Sort by date Show all posts
Showing posts sorted by relevance for query contengan jalanan. Sort by date Show all posts

Wednesday, June 15, 2011

Contengan Jalanan

"Telah Tuhan hantar kau ke sini, pastinya Dia telah sediakan jawapan?"
"Apa kau tidak percaya kuasa Tuhan?"
Tiada kuasa Tuhan, tiada soalan, tiada jawapan.
Tiada Tuhan, tiada kau, tiada aku.
Tiba-tiba azan dilaungkan. Sayup.
"Ngak solat?"
K2 hanya geleng sambil angkat bahu."Kau?"
"Aku Kristian."
Tak pernah terbayang pula yang dia sujud hari ini kerana seorang Kristian.



Contengan Jalanan, karya terbaru penulis novel remaja prolifik (menurut saya), Hlovate. Temanya hampir sama dengan karyanya sebelum ini, VERSUS. Bezanya, Contengan Jalanan membawa kaedah yang sedikit beza.

Kalau membaca karya Hlovate, tentu tak sah kalau tak disebut tentang budaya 'bawah tanah' atau 'budaya-yang-cool-bagi remaja'. Jika di VERSUS Hlovate menulis serba sedikit tentang skate-scene, dalam Contengan Jalanan ini Hlovate menonjolkan unsur muzik yang menyatukan Fend, K2 dan rakan-rakan mereka yang lain yang membentuk band Creepy Hues.

Seperti karyanya yang lepas-lepas, Hlovate sinonim dengan penggunaan bahasa pasar yang tidak melampau tetapi sedikit 'luar alam' dengan penggunaan bahasa yang rasanya tak dapat ditemui dalam Kamus Dewan edisi mana pun. Tapi tak mengapa, kerana di situlah letaknya kelebihan permainan bahasa Hlovate.

Secara keseluruhannya, novel ini dihasilkan dalam bentuk seakan-akan diari, sesuai dengan diskripsinya; Contengan pengalaman perjalanan cari Tuhan. Contengan Jalanan dibahagikan kepada dua bahagian. Pertama, I-Fend. Kisah perjalanan Fend mengenali dan memahami nilai dan cara hidup seorang Mukmin. Dan kedua, II-K2 kisah K2 (sebut: K-square) pula mengenali Tuhan dan mengakui keesaan-Nya.

Satu perkara jelas yang ditonjolkan dalam karya Hlovate ini, hati manusia berbeza-beza. Walaupun merentasi dan mengalami peristiwa sama, namun bukan semua orang boleh merasai apa yang dirasai oleh orang lain. Dalam novel ini, Hlovate menekankan betapa hidayah itu milik Allah dan sebagai manusia, kita tidak berhak memaksa orang lain merasakan apa yang kita rasakan. Tapi, tentu sekali kita boleh malah mesti mengajak orang lain ke arah kebaikan.

Ada orang, Allah berikan hati yang lembut. Seperti tanah yang subur. Bila ditimpa hujan, tumbuh-tumbuhan berputik dan mekar. Ada juga hati yang keras seperti tanah yang tandus. Tak cukup hanya hujan. Perlu dibaja dan dijaga barulah pohon tadi mahu bertumbuh.

Satu perkara lagi mengenai novel ini yang terkesan dalam hati saya, betapa hidayah Allah itu boleh hadir dalam pelbagai cara yang mengagumkan. Fend berubah tatkala sepupunya, Chad membawa dia menjadi backpackers melakukan masjid-hopping di Australia ketika bulan Ramadhan. Ya, di negara yang majoriti penduduknya bukan beragama Islam. Di tanah yang surau dan masjid tidak dibina oleh kerajaan tetapi berada berderetan bersama rumah-rumah kedai. K2 pula mula sudi bersujud kepada Allah dengan rela hati - bukan kerana mengikut atau dipaksa tatkala ditegur oleh seorang Kristian di tanah yang menyimpan rekod sebagai negara yang mengandungi Muslim teramai di dunia.

Bagi saya, ironi.

Contengan Jalanan, kisah perjalanan anak muda yang berjaya merangkul iman sebelum sampai masa penamat.

Contengan Jalanan, kisah anak muda realiti sebuah kehidupan.

Contengan Jalanan. Kisah orang-orang tepi jalan. Kisah orang-orang biasa. Kisah saya. Kisah awak. Kisah mereka. Kisah kebanyakan antara kita.

Berapa ramai antara kita yang cuma bergelar Melayu-Islam, tapi liat sekali dalam mengesakan Allah?

Berapa ramai antara kita yang lebih mengenali lagenda muzik, lagenda skaters, lagenda seni lukis berbanding Rasulullah, para sahabat, tokoh sejarah Islam dan tokoh Islam?

Berapa ramai antara kita yang mengisi ipod dan mp3 dengan lagu-lagu kegemaran (rock-pop-kpop-jpop-dangdut-nasyeed) berbanding rakaman al-Quran dan zikir?

Berapa ramai antara kita bila bermusafir cuma berseronok-seronok, menikmati pemandangan indah dan makanan lazat berbanding menjalin ukhuwah dan berfikir kebesaran Allah?

Realiti bukan?

Sekali lagi, Hlovate berjaya menyentuh hati saya dengan kisah orang biasa, yang luar biasa perjalanannya. Hingga bertemu dengan makna dan nikmat menjadi Muslim dan Mukmin.

Menutup naskah 'Contengan Jalanan: Contengan pengalaman perjalanan cari Tuhan' ini, terngiang-ngiang di kepala saya perbualan antara Chad dengan Fend ketika malam 1 Syawal sebelum Chad pergi menghadap Pencipta.

Fend: Thanks, though.
Sebab heret aku ke Australia dengan idea giga kau tu. Sekarang baru aku faham erti hidup. Hidup bukan hanya diertikan dengan not muzik atau warna-warna. Hidup bukan hanya diertikan dengan kejar harta dan kerjaya. Hidup bukan hanya diertikan dengan kejar cita-cita. Hidup untuk akhirat.
Living here for the hereafter.

Chad: The eleventh hour.
The man who decided to change on the twelfth hour dies on the eleventh.
Aku rasa bersyukur kut sebab tersedar on the tenth. Tu pun dah masuk waktu kecederaan tu.

Fend: Nasib baik tersedar pukul sepuluh. Kalau tersedar pukul sebelas satu minit, makan asap la.

Chad: Harapnya Ramadhan tahun ni dapat la buat saham masuk syurga.
Fend: Amin.
Chad: Ramadhan dan habis.
I miss it already.


ps: sekarang sudah Rejab. Tak lama lagi Ramadhan akan tiba. Harap-harap, seperti Chad dan Fend (dan sekarang K2 juga), semoga saya juga dapat menikmati Ramadhan yang bermakna. Ramadhan, terasa rindu pula.



Thursday, August 04, 2011

Check list for Ramadhan

Saya mengenali Mutabaah amal, check list untuk amalan seharian melalui novel karya Hlovate, Contengan Jalanan.

Mutabaah amal selalunya digunakan oleh ahli kumpulan usrah untuk memastikan ahli-ahlinya melaksanakan apa yang telah dipersetujui. Biasanya ibadah sunat la. Kalau ibadah wajib tu, dah tentu-tentulah mesti dilaksanakan kan? Tapi, tak semestinya untuk kumpulan usrah saja. Untuk individu pun boleh.

Kalau kita ada azam pada bulan Ramadhan ni nak lakukan amal ibadah yang mungkin tak kita lakukan sebelum ini, maka dengan Mutabaah amal ni kita boleh 'paksa' diri kita untuk lakukan dan laksanakan azam-azam kita tu. Fake it till you make it. Paksa sikit diri kita. InsyaAllah, kalau dapat lakukannya dalam tempoh 30 hari di bulan Ramadhan ni, besar kemungkinan Allah izinkan untuk tulang temulang kita ni ringan melakukan ibadah yang sama pada bulan-bulan kemudiannya. Ameen :)


Ini versi saya yang saya edit daripada versi yang saya dapati dari talamiz. Anda pun boleh buat Mutabaah amal anda sendiri. Boleh download di sini dan edit saja dengan Microsoft Word. Kalau tak berapa suka edisi simple macam ni, boleh klik kat sini untuk dapatkan versi yang lebih detail, siap dengan markah lagi.

Semoga Ramadhan kali ini kita dapat istiqamah beramal ibadat dan melakukannya dengan lebih baik lagi dari tahun-tahun lepas.

Selamat berpuasa, selamat beramal!

ps: harap tak cuma hangat-hangat tahi ayam