
Di balik kesibukan yang melanda diri saya sepanjang Oktober ini, saya sempat meluangkan masa untuk mengulang bacaan novel Laskar Pelangi karya Andrea Hirata. Bagi anda yang pernah membaca karya ini pasti mengenali A Ling, cinta pertama Ikal, watak pencerita dalam kisah anak-anak Muhammadiyah di Pulau Belitong. Saya berkenalan dengan karya-karya Andrea Hirata ketika undergraduate lagi. Ketika itu saya di semester 1, tahun akhir program Ijazah Sarjana Muda. Karya beliau yang pertama saya kenal adalah Sang Pemimpi yang saya dapati di Book Garden, USM – lokasi kegemaran saya di USM selepas bukit di BHEPP. Rentetan daripada itu, saya berusaha untuk mencari kesinambungan kisah Ikal di Popular, Bukit Jambul dan kemudian diikuti dengan penemuan Edensor. Kini, saya sedang menanti kehadiran Maryamah Karpov – pelengkap kepada tetralogi Laskar Pelangi. Selain itu, saya juga sedang berharap agar Laskar Pelangi The Movie bakal muncul di Malaysia.
Kembali kepada Laskar Pelangi. Kisah ini tentang kisah 10 orang anak-anak Sekolah Muhammadiyah di Kepulauan Belitong di Sumatera. 10 watak tersebut adalah Lintang yang saaaaangaaaatttt bijak, Mahar yang tampan dan berseni tetapi sangat taksub dengan alam ketahyulan, Tripani yang juga tampan dan sangat mengasihi ibunya,Harun yang agak lewat pertumbuhan mentalnya, Sahara yang menjaga aurat tetapi sangat tegas, A Kiong si anak Hokkien yang fanatik dengan ketahyulan Mahar, Kucai ketua kelas yang segak, Syahdan yang gemar berbicara dan beromong kosong, Ikal – watak utama kisah ini (saya menganggap bahawa dia adalah Andrea Hirata sendiri) yang telah jatuh cinta buat pertama kali dalam hidupnya dan lewat percintaan itu terputus kerana kekasihnya, A Ling berpindah mengikut bibinya ke Jakarta dan menyambung pelajaran di sana.
Menurut Ikal;
Kini sering kali aku bertanya pada diri sendiri: berapakah jumlah pasangan yang telah mengalami cinta pertama, lalu hanya memiliki satu cinta itu dalam hidupnya, menikah, dan kemudian hanya terpisah kerana Tuhan memanggil salah seorang daripada mereka? Sedikit sekali! Atau mungkin tidak ada! Seperti kedua-dua jawapan tersebut boleh menjadi hipotesis yang meyakinkan untuk pertanyaan kecil seperti itu. Kerana itulah yang umumnya terjadi dalam dunia nyata.
… cinta pertama memang tidak akan mati, tetapi ia juga tidak akan survive.
Begitulah kisah cinta pertama Ikal yang saya rasa turut dirasai oleh hampir semua daripada kita. Saya sendiri punya cerita tentang cinta pertama. Cinta yang berputik daripada rasa kasih dan sayang hasil daripada persahabatan masa kecil. Dalam mengulit kisah cinta pertama Ikal, dia sempat mengatakan bahawa keindahan menjadi anak muda adalah patah hati kerana cinta yang berlangsung selama bertahun-tahun bisa saja pulih dalam waktu tiga hari dan keindahan serta pesona yang lainnya. Sedangkan orang dewasa mungkin memerlukan waktu tiga tahun untuk mengubati kekecewaan kerana hancurnya cinta platonis dalam tiga minggu. Adakah semakin dewasa manusia menjadi semakin tidak positif?
Begitulah keindahan dunia anak-anak. Saya tidak katakan kanak-kanak kerana ketika merasai cinta pertama ini Ikal telahpun menjejak dunia remaja sekolah menengah Muhammadiyah.
Itu kisah Ikal dengan cinta pertamanya. Bagaimana dengan kisah anda? Sedar atau tidak, kita masing-masing punya kisah cinta pertama yang tersendiri. Mungkin indah untuk dikenang atau mungkin saja kisah itu membuatkan kita menyesal kerana dipertemukan dengan orang yang salah. Usah dinafikan, walau cinta pertama itu tidak kekal namun tetap berjaya menyimpan secebis kenangan manis dalam ingatan. Meskipun cinta itu telah pergi, ia pasti telah memalitkan sedikit corak yang membentuk peribadi kita pada hari ini. Lagipun, mana ada cinta yang kekal selain daripada cinta Ilahi kan? Sudah-sudahlah bersedih dengan cinta yang lama. Bawak-bawak lah bermaafan dengan cinta yang lalu. Cukup-cukuplah saling tuduh-menuduh dan menyalahkan. Cinta pertama tu indah dan janganlah dipadamkan keindahannya dengan hanya mengingati yang buruk-buruk.
3 comments:
terlupa...seorang lagi anggota ;askar pelangi; Samson - yang gagah perkasa :) ketika di sekolah menengah, SMP Flo si annak gedong muncul di sekolah muhammadiyah menjadikan anggota laskar pelangi semuanya menjadi 11
wah.. x sangka ade juga orang yg minat andrea hirata
minat tulisannya aje la..bukan orangnya :)
Post a Comment