Sunday, February 08, 2009

Anak didik Tok Kura


Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam pembentangan Rancangan Malaysia ke 9 (RMK-9) bagi tahun 2006-2010 telah memasukkan elemen pembangunan modal insan ke dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP). Kalau menjenguk ke website rasmi modal insan, ciri-ciri utama modal insan yang ingin dibina menjelang tahun 2020 adalah:
Berilmu
Nilai murni
Sopan santun
Inovatif
Patriotik
Beretika
Berdisiplin
Kreatif
Berkeyakinan
Dinamik
Sihat
Ibn Khaldun menganggar bahawa suatu dinasti kuasa hanya mampu bertahan sekitar tiga generasi. Generasi pertama terdiri daripada mereka yang berjuang mendapatkan kuasa (mungkin kemerdekaan jika di Malaysia). Generasi kedua adalah generasi yang mendengar kisah kesusahan perjuangan tersebut manakala generasi ketiga adalah generasi yang senang lenang, tidak mengetahui tentang kesusahan untuk memperoleh kuasa tersebut serta membenci pemimpinnya sendiri. Jika anda meneliti fenomena politik tanah air hari INI! anda mungkin boleh merasakan betapa kita berada di antara generasi kedua dan ketiga. Meskipun ada yang mengatakan satu generasi berusia 40 tahun (berdasarkan ayat Quran yang saya lupa), meskipun Malaysia ini baru berusia 51 tahun lebih sedikit.

Modal insan yang bagaimana agaknya mahu dilahirkan oleh pemimpin-pemimpin kita? Saya tidak menyebelahi mana-mana pihak. Malah saya tidak mengundi pun ketika PRU ke-12 pada tahun lalu. Namun saat memerhati, hati saya terdetik. Mana perginya pegangan KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN dalam rukun negara yang dipegang oleh pemimpin-pemimpin kita? Besar sungguhkah kuasa di muka bumi yang ingin dikejar hingga sanggup mengkhianati rakyat sendiri? Saya sedih melihat nasib negeri kuning hitam putih yang kaya dengan galian ini. Sayang, negeri tempat saya diasuh meski hanya seketika waktu bayi dulu menjadi begini. Modal insan dalam PIPP bertujuan untuk diterapkan kepada anak-anak sekolah. Tak termampu fikiran saya membayangkan kesan penerapan modal insan ini. Akan terbentukkah modal insan yang bernilai murni dengan tabiat lompat melompat ahli siasah kita? Akan sopan dan santunkah modal insan Malaysia dengan perangai fitnah memfitnah dan cakap tak serupa bikin pemimpin kita? Akan beretika dan berbudi pekertikah anak bangsa kita dengan cuaca politik Malaysia ini?

Semenanjung ini semenanjung emas. Lautnya perak….

Moga Allah sentiasa menjauhkan kita daripada amanah yang terpecah, maruah yang tercalar, daripada kemunafikan dan kemusyrikan. Ya Allah yang memiliki kekuasaan, yang memberi kuasa dan menjatuhkannya, yang meninggikan kedudukan manusia dan merendahkannya, tunjukkanlah jalan pada kami. Berikan kami bimbingan. Kirimkan kami penguasa yang memimpin kami di jalan Mu. Kirimkan kami bala tentera yang berjuang di jalan Mu. Berikan kami hidayah Mu, agar perjuangan kami tidak terkabur dengan tamak haloba nafsu kami. Amin.

ps: buat teman-teman dr ilmu pendidikan, semoga tabah dan sabar mengharungi LM..bukan mudah jadi guru, tapi besar pahalanya!

No comments: