Showing posts with label keluarga. Show all posts
Showing posts with label keluarga. Show all posts

Thursday, April 11, 2013

Anugerah

Seumur hidup saya, saya tidak pernah dapat anugerah terbaik. Pencapaian paling cemerlang pernah saya dapat masa di taski, ketika umur 5 tahun. Saya dapat nombor 2. 

Saya pelajar dengan akademik yang sederhana. Tidak pernah dapat anugerah pelajar cemerlang, pelajar berdisiplin, kehadiran penuh atau pun anugerah nilam yang sekolah beri pada pelajar yang baca banyak buku. Ya saya pelajar yang sangat sederhana. Tidak genius untuk cemerlang dalam akademik tanpa belajar dan tidak pula rajin belajar untuk pastikan saya menjadi pelajar cemerlang. Bak kata lagu dangdut, yang sedang-sedang saja. 

Guru-guru jarang mengingati saya. Saya pasif di dalam kelas dan jarang sekali mahu bermanja dengan guru. Tapi pernah juga dipanggil Guru Penolong Kanan. Pertama waktu darjah 6 sebab terlupa menyiapkan kerja rumah Bahasa Melayu. Kedua semasa tingkatan 4 sebab rakan sekelas saya memanjat pagar ponteng sekolah. Waktu itu saya ketua kelas jadi terpaksa menjawab bagi pihak kawan-kawan yang terlebih bijak itu. Mujur juga mereka tidak membelasah saya macam ketua kelas sebuah sekolah di Penang ini. Tak tahu lah bagaimana mahu melawan pelajar lelaki dengan saiz badan saya yang meniang ini.

Secara mudahnya, saya memang tak pernah dapat anugerah. Tak pernah jadi yang terbaik jauh sekali jadi nombor 1. Tapi hari ini universiti bagi saya anugerah cemerlang. Bila dapat tau, saya tanya staff, kenapa saya dapat? Dia ketawa sambil ucap tahniah. Saya yakin Allah nak ajar saya sesuatu. Saya dapat bukan sebab saya cemerlang tapi kerana saya perlu belajar sesuatu daripada anugerah ini. Bukan sebab diri saya sendiri saya dapat anugerah. Sebab, saya masih pelajar yang sederhana. Serba-serbi sederhana. 

Anugerah yang saya dapat ini saya dedikasikan untuk 3 manusia yang sangat berjasa sepanjang perjalanan saya mencari ilmu. Malah sepanjang kehidupan saya. 1. Guru saya Prof. Dr. Muhammad Syukri Salleh. 2. Ayah saya, Wan Hasan Wan Zakaria 3. Ibu saya, Zaiton Salleh

Waktu saya naik ke pentas, saya terbayang-bayang wajah ibu saya yang tersenyum waktu saya mendapat biasiswa untuk menyambung belajar. Ibu saya seronok sekali sebab anaknya ini memang tidak pernah mendapat biasiswa seumur hidup. Maklumlah, biasiswa kan untuk pelajar-pelajar pandai. Saya juga terbayang wajah guru saya yang bertanya bagaimana saya boleh mendapat biasiswa sedangkan saya tak pernah mendapat anugerah apapun. Bila saya angkat bahu sambil kata tak tahu, beliau senyum sambil kata "rezeki". Saya ternampak wajah ayah saya yang selalu senyum setiap kali melawat saya di Penang. 

Betul, anugerah ini bukan untuk saya. Tetapi untuk tiga manusia paling berjasa dalam hidup saya. Segala puji hanya bagi Allah. Alhamdulillah, saya berpeluang menerima anugerah bagi pihak mereka.

Saya.. masih gadis biasa-biasa. Masih sederhana. Walaupun anugerah sudah di tangan, perjalanan masih belum selesai. Masih banyak bab belum bertulis. Masih banyak dugaan yang perlu ditempuh. Berkali-kali terasa mahu putus asa tapi bak kata Angel Pakai Gucci, "Jangan sesekali berputus-asa dengan diri sendiri, kerana Allah pun tidak pernah berputus-asa dengan diri kita." 

Jadi saya terus kan juga walau kadang-kadang nak berdiri pun terasa lemah. Tapi hidup kita ini kan ada pemiliknya. InsyaAllah, saya ingin terus berjalan sampai nanti Pemilik saya panggil untuk menghadapNya.

Alhamdulillah, terima kasih Allah.



ps: terima kasih buat semua yang sudi hadir meraikan. terima kasih juga buat yang memberi ucapan tahniah. terima kasih semua!

Wednesday, March 21, 2012

감사합니다 (Kamsahamnida - thank you)

Ramai yang merungut pada saya, "Pergi Korea tak ajak." "Pergi Korea tak bagitahu." Saya cuma maklumkan pemergian saya ke Korea kepada orang-orang tertentu saja. Yang paling penting tentulah guru saya. Kemudian teman-teman rapat yang saya rasa mereka akan hubungi saya macam Kak Murni dan Azrin (powerpuff girls saya tu~). Ke Korea saja pun, tak perlulah hebah-hebahkan. Lagipun, kalau kecoh sekampung kemudian tak jadi pergi, tentu malu bukan?

Semalam kawan baik dari sekolah menengah menjerit pada saya di telefon, "Wan! Tak aci! Nak pergi jugak!" Lantas saya jawab, "Kumpul duit. Kita book tiket murah Air Asia, pastu kita buat Seoul Tour for the Bachelor". Ada banyak lagi tempat di Seoul yang belum saya kunjungi. Macam saya ceritakan sebelum ini dalam Pangabseubnida, kebanyakan tempat yang kami kunjungi adalah yang berkaitan dengan membeli belah. Memang kurang selari dengan selera saya. Jadi, kalau ada kawan-kawan yang rasa nak buat pengembaraan ke Seoul lagi, memang saya alu-alukan. Tapi bila fikir-fikir balik, dari kumpul duit ribu-ribu kemudian berlibur di Korea, baik kumpul duit lebih sikit untuk buat umrah dan ziarah ke Mekah dan Madinah kan!

OK. Seperti yang dijanjikan, entri kali ini saya nak cerita sikit dugaan yang saya hadapi sepanjang perjalanan dari Penang ke KL kemudian ke Korea dan kembali semula ke KL.


Dugaan bermula seperti yang saya ceritakan dalam Annyeonghaseyo, kami nyaris tidak dapat ke Korea selepas gagal menghubungi ajen yang menguruskan perjalanan kami. Selepas tiba di Korea, dugaan pertama yang saya hadapi adalah suhu hujung winter yang terlalu sejuk, di bawah paras beku. Untuk orang yang punya tekanan darah sedikit rendah seperti saya, suhu yang terlalu sejuk menyebabkan kaki dan tangan terasa kebas. Nak jalan pun susah. Akibat cuaca terlalu dingin, kulit saya mengelupas, bibir luka dan hidung berdarah. Jadi, bila tiba saja di Korea, perkara pertama yang terlintas di fikiran saya adalah, bertuahnya saya menjadi orang Malaysia. Dan sungguh, tak sampai beberapa minit kaki saya memijak bumi Korea, saya sudah merindui Malaysia. Saya janji dalam hati saya, saya tak akan merungut lagi bila Pulau Pinang terasa panas. Saya tak akan merungut lagi kalau matahari memancar terlalu cemerlang. Saya belajar untuk bersyukur ditakdirkan Allah sebagai manusia yang lahir di bumi Malaysia.

Dugaan kedua. Saya jarang bertemu dengan ayah dan ibu. Maklumlah, duduk di perantauan, balik ke rumah sekali-sekala. Bila balik, kalaupun saya bercuti selama seminggu, ayah dan ibu bekerja. Jadi cuma dapat berjumpa pada waktu malam dan 2 hari pada hujung minggu. 1 hari daripada hujung minggu, saya pula mahu keluar berjumpa kawan-kawan. Jadi cuma berbaki 1 hari. Sedangkan tempoh kami di Korea hampir 5 hari campur dengan masa saya di rumah sebelum bertolak dan kembali dari Korea, tepat-tepat seminggu. Sepanjang tempoh seminggu ini saya berdepan dengan ibu dan ayah saya. Bukan mudah sebenarnya bagi saya yang tak berapa nak reti bermanja dengan ibu ayah ni. Kekoknya rasa! Jadi, sepanjang di Korea, dugaan saya adalah untuk menjadi anak solehah yang baik dan mesra dengan orang tuanya.

Yang menariknya, ke-kekok-kan ini berubah bila saya diberikan dugaan ketiga. Saya jatuh sakit di Korea! Saya muntah-muntah dan sakit perut pada hari ketiga kami di Korea. Demi tak mahu mengganggu perjalanan ahli rombongan lain, saya diamkan saja. Tapi jalan sedikt, saya mencari tandas untuk muntah. Sampai hari keempat, ketika di Myeongdong, saya surrender. Saya maklumkan pada ayah dan ibu, bawalah adik saya pergi berjalan. Saya mahu duduk saja di sebelah tandas. Nanti bila sudah cukup masa yang diberi oleh Jenny Unni, saya akan kembali ke bas rombongan kami. Wajah ayah tampak risau sedangkan adik mahu lekas mengejar ahli rombongan lain yang mahu ke Namdaemun. Lantas ayah buat keputusan. Ayah akan menemani saya dan ibu pula akan membawa adik ke Namdaemun.

laluan bawah tanah

Saya dan ayah berjalan perlahan di laluan bawah tanah untuk melintas menuju ke Myendong. Dalam laluan bawah tanah itu ada kedai-kedai menjual pelbagai barangan. Saya nampak signage tandas. Terus ayah dan saya menuju ke sana. Dan bertapa lah saya di dalam tandas. Entah berapa lama, saya kurang pasti. Saya menangis dalam tandas. Saya rasa kali terakhir saya menangis disebabkan sakit perut adalah ketika sekolah rendah dulu. Dan sejak itu, sakit perut tidak pernah menjadi sebab untuk saya menangis. Tapi kali ini saya tewas. Saya menangis, muntah dan menangis lagi. Menangis bukan sebab sakit yang saya hadapi tapi saya menangis bila terfikir betapa saya menyusahkan ibu dan ayah saya, saya menangis kerana terasa bersalah merosakkan hadiah percutian adik saya, saya menangis kerana saat itu saya sedar, walaupun umur saya bakal mencecah 26 tahun, ayah saya tetap sentiasa sudi menjaga dan risau tentang saya.

Malam itu, ketika dalam perjalanan pulang ke hotel, saya minta maaf pada adik. Saya minta maaf kerana jatuh sakit. Saya minta maaf kerana merosakkan percutiannya. Adik menangis dan saya menangis sekali lagi.


Dugaan ketiga membawa kepada dugaan keempat: saya fobia untuk makan. Sakit perut yang saya hadapi mungkin berkait rapat dengan makanan kami di Korea. Tiga hari pertama kami makan makanan Korea. Lauk, tiada masalah, berubah setiap hari. Jadi saya fikir, mungkin faktor nasinya. Nasi Korea sangat berkanji. Hampir menyerupai pulut. Saya memang bukan penggemar pulut. Kalau hari raya, lemang dan ketupat palas memang jarang saya jamah. Yang peliknya, saya gemar dengan nasi Korea ini. Tapi nampaknya perut saya tidak boleh menerimanya, hingga saya jadi fobia untuk makan nasi. Cukup untuk mengalas perut, saya makan lauk saja selepas itu. Tapi berada jauh dari Malaysia, mana mungkin saya boleh demand mahu itu ini seperti di Malaysia. Inilah salah satu mujahadah buat nafsu saya. Makan apa yang perut saya sudi terima. Sikit pun tak apa, asal nanti jangan rebah dan menyusahkan orang. Walaupun fobia untuk makan, saya paksa juga sambil berdoa dalam hati agar Allah izinkan makanan tersebut menjadi rezeki saya dan membolehkan tubuh saya kuat semula.

Dugaan kelima adalah perjalanan pulang yang masih belum pasti. Tour guide kami maklumkan, tiket penerbangan pulang ke Malaysia masih belum confirm. Syukur, akhirnya tiket penerbangan pulang dapat kami perolehi. Tapi bukan dengan Korean Air. Kami mendapat tiket Air Asia X yang jauh lebih murah, tanpa makanan dalam penerbangan. Ahli rombongan kami masing-masing sudah merungut. Maklumlah, ada antara mereka yang sudah menempah pakej pelancongan ini lebih sebulan lalu. Jadi bila timbul masalah begini, ramai yang tidak puas hati. Saya diamkan saja mendengar rungutan mereka. Bagi saya, dapat kembali ke Malaysia pun sudah cukup syukur. Hampir 5 hari di Korea, menghadapi pelbagai dugaan, sekadar dugaan ketidakselesaan Air Asia X tidak menjadi masalah buat saya.

Di imigresen, saya diduga bila bagpack saya gagal melepasi pemeriksaan. Bimbang juga sebenarnya sebab saya membawa banyak ubat. Tapi takat pil pain killer, ubat demam dan selsema, takkan kena tahan kot? Beg saya di skan kali pertama. "Can i check your bag miss?" "Yes, sure," Saya balas dengan yakin sambil tersenyum. Beg saya diselongkar. Dia tidak menemui apa yangg dicarinya, lantas saya tanyakan pada dia, "Is anything wrong?" Dia senyap dan beg saya diskan dan di selongkar lagi. Tapi nampaknya dia tidak menemui apa yang dicarinya. Beg saya dipulangkan. Sambil tunduk (bow) 30 darjah, dia berkata "Kamsahamnida." Saya angguk dan berlalu menuju ke boarding gate.

Malaysia terasa melambai-lambai. Saya tinggalkan Korea, Jenny Unni dan Peter yang prihatin tentang saya dengan rasa berbaur. Jenny Unni mungkin akan ke Malaysia dua tiga tahun akan datang untuk belajar Bahasa Inggeris. Peter pula sedang kerja keras mengumpul wang untuk berkahwin. Dan saya bawa kisah perjalanan di Korea yang langsung tidak enjoy tapi sangat bermakna untuk saya hadapi perjalanan hidup saya yang seterusnya.

Alhamdulillah, terima kasih Allah kerana mengizinkan saya menjejak bumi Korea.
Terima kasih abah, mama dan adik kerana sudi membawa saya bersama mereka.
Terima kasih Jenny Unni dan Peter Shi kerana menemani dan meng-guide kami sepanjang di sana.

고마워요 (kumawoyo!)


Tuesday, March 20, 2012

반갑습니다 (Pangabseubnida - nice to meet you)

Selepas menonton filem Special Investigation Unit, tidur dan menikmati bubur nasi perisa teh hijau bersama rumpai laut (yang berjaya membuatkan saya rasa nak termuntah) dalam pesawat Korean Air, enam jam tiga puluh minit penerbangan berlalu dengan pantas. Sekitar 7.30 pagi waktu Korea, kami tiba di Incheon International Airport. Suhu -3oC menyambut kami. Kami sekeluarga sungguh-sungguh tak bersedia menghadapi suhu sesejuk itu. Sangka kami, musim sejuk sudah berakhir dan musim bunga sudah bermula. Rupa-rupanya, musim sejuk belum berakhir sepenuhnya. Fenomena flower cold - transisi musim dari musim sejuk ke musim bunga sedang berlaku. Suhu menjadi lebih sejuk daripada biasa. Asap nipis jelas kelihatan keluar dari mulut dan hidung kami.

kami berempat bersama Jenny Unni (dua dari kiri)

Tiba di Incheon, kami diperkenalkan dengan tour guide kami, Jennifer. Adik dan saya memanggilnya Jenny Unni (Kak Jenny). Beliau turut dibantu oleh Peter sepanjang ahli rombongan kami berada di Korea. Kedua-dua mereka orang Korea. Masing-masing ada nama Korea tapi mereka lebih senang dipanggil dengan nama Inggeris.

Dari Incheon kami terus dibawa ke Pulau Nami (Namisum), pulau kecil di utara sungai Han. Namisum ini popular sebagai lokasi penggambaran drama bersiri terkenal Korea, Winter Sonata. Kalau tak silap saya, Winter Sonata ini pencetus Hallyu Wave (gelombang Korea) di Malaysia lebih 10 tahun dulu. Menariknya Namisum ini turut digelar sebagai Naminara atau Republic of Nami. Pelawat perlu mendapatkan visa atau pasport Naminara untuk melawat ke negara olok-olok ini. Nak tahu lebih lanjut tentang pulau ini, klik sini.

mencari haba

Macam saya bagitahu sebelum ini, kami empat beranak memang tak bersedia untuk menghadapi suhu di bawah paras beku. Akibatnya, ketika di Namisum kaki saya kebas dan hidung mula berair. Tapi syukur, banyak unggun api disediakan di sekitar Namisum ini untuk para pelawat memanaskan badan. Kalau tak tahan sangat, masuk saja ke booth ATM. Di dalamnya hangat!


잘 먹었습니다! (jal meogeosseumnida)

Makanan menjadi isu utama seorang Muslim dalam musafir. Alhamdulillah, makanan halal boleh didapati dengan mudah di Seoul, khususnya di Itaewon, sekitar Seoul Central Mousque. Tapi rombongan kami tidak hanya berada di Seoul. Kami mengembara dari Namisum hingga ke Seoraksan (Gunung Seorak) yang berada dalam kawasan DMZ (De-Militarized Zone). DMZ merupakan kawasan gencatan senjata antara Korea Selatan dengan Korea Utara. Berada jauh dari Seoul, cabaran mendapatkan makanan halal dan toyyiba memang tinggi. Alternatifnya, makanan laut menjadi pilihan kami.

Seoraksan

Selain Namisum dan Seoraksan, kami juga melawat ke Taman tema Everland (lebih kurang macam Taman tema Genting ) yang sangat kids-friendly. Tempat parking stroller disediakan di sekitar kawasan taman dan ada juga pusat jagaan bayi.

Di Seoul, kami melawat Blue House yang fungsinya sama seperti White House di US. Juga sempat ke Gyeongbok Palace dan National Folk Museum. Kemudian ke Cheonggyecheon, sungai yang ditimbus sejak 1948 dan dibuka semula pada 2005. Sempat juga melihat dari jauh Gwanghwamun Square yang menempatkan tugu King Sejong, pengasas tulisan Hangeul (tulisan Bahasa Korea sekarang) dan tugu Admiral Yi, pahlawan perang ketika kemasukan Jepun di Korea.

Selebihnya, kami berkunjung ke kedai bebas cukai produk ginseng, raisins, kosmetik Korea dan kawasan membeli-belah ala Petaling Street - Bukit Bintang di Namdaemun, Myeongdong dan Dongdaemun. Maklum saja, ahli rombongan kami kebanyakannya ajumma (makcik-makcik). Jadi selalu mahu bershopping. Untuk saya sendiri, shopping mata sudahlah. Barang-barang di sana agak mahal kerana tukaran matawang Won dan Ringgit yang mahal. 1000 Won lebih kurang RM3. Kalau sehelai t-shirt berharga 35,000 Won, dalam ringgit sudah RM105. Makanya, kalau barang yang diingini boleh didapati di Malaysia, balik shopping di Malaysia saja lah ya.

Kami juga sempat belajar membuat kimchi yang paling asas. Dan terus terang, saya tak suka kimchi. Kalau anda biasa menikmati kimchi di Seoul Garden di Malaysia ini, kimchi sebenarnya lebih enak berbanding yang disediakan di Seoul Garden. Tapi untuk orang yang kurang gemar dengan makanan masin seperti saya, kimchi tetap bukan pilihan. Selesai belajar tentang kimchi, kami berkesempatan mencuba Hanbok, pakaian tradisional wanita Korea.

Hari terakhir, kami melawat ke N Seoul Tower yang juga dikenali sebagai Namsan Tower. Fungsi menara ini ebih kurang macam KL Tower - sebagai menara komunikasi dan satelit. Yang menarik di sini, pasangan yang bercinta ataupun sahabat akan mengunci mangga di tempat yang disediakan dan membuang kuncinya. Simbolik untuk percintaan atau persahabatan yang tak akan putus sebab kunci dah tak ada, nak buka macam mana kan. Tapi sebagai orang Islam, tak boleh percaya ye.



InsyaAllah dalam entri akan datang akan saya ceritakan pula dugaan yang saya hadapi sepanjang perjalanan saya bersama keluarga dan ahli rombongan di Korea.

Sampai sini dulu, 안녕!

Sunday, March 18, 2012

안녕하세요 (Annyeonghaseyo) - Pre-departure story

Tepat 8.20 malam 11 Mac 2012. Ayah, ibu, adik dan saya terpacak di hadapan pintu 6 KLIA. Betul-betul di hadapan kaunter Korean Air. Berkali-kali ayah dan ibu cuba menghubungi orang yang sepatutnya menguruskan perjalanan kami empat beranak ke Seoul, Korea. Penerbangan dijadualkan pada 11.30 malam. Kami menunggu sehingga 10.30 malam. Orang yang ditunggu masih belum nampak batang hidungnya. Ayah ke kaunter Korean Air. Nama kami berempat disemak. Tiada dalam senarai. Kata pegawai bertugas, mengikut rujukan yang ada pada tangan ayah, penerbangan kami sepatutnya pada 10 Mac 2012. Maknanya, kami terlepas kapal terbang?

Kalut para pegawai Korean Air seketika. Pegawai atasan mereka, warga negara Korea turut hadir membantu. Mereka semak nama kami dalam penerbangan 10 haribulan, nama kami tiada. 11 haribulan juga tiada. Adik saya sudah menangis. Maklum, perjalanan kami sekeluarga ke Korea sebenarnya merupakan hadiah dari ayah untuk adik sempena keputusan PMR nya yang cemerlang. Senarai penumpang Korean Air 12 haribulan pula disemak. Dan syukur, selepas berkongsi panik dengan para pegawai Korean Air di KLIA, nama kami muncul sebagai penumpang pesawat mereka. Alhamdulillah.


Siang 12 Mac 2012. Ayah menghubungi syarikat agensi pelancongan untuk mendapatkan penjelasan tentang masalah yang kami hadapi. Rupa-rupanya orang yang sepatutnya menguruskan kami rupa-rupanya ghaib tidak dapat dihubungi. Syukur, penerbangan yang sepatutnya pada 10 Mac ditangguhkan kepada 12 Mac. Jika tidak, mungkin kami empat beranak tidak dapat menjejak kaki ke bumi Korea.

Wajah keruh ayah, ibu dan adik kembali jernih. Saya ambil kesempatan waktu yang berbaki sebelum berlepas ke Korea untuk menyelesaikan pekerjaan yang tergendala. Alhamdulillah, dugaan pertama sebelum berlepas ke Korea dapat kami hadapi.

Malam 12 Mac 2012. Pegawai Korean Air menyambut kami dengan senyuman lebar. Sempat bertegur sapa dengan saya sambil mengucapkan tahniah kerana berjaya juga berlepas ke Korea. Terima kasih yang tidak terhingga kepada kakitangan Korean Air, dari yang di kaunter hingga yang di pintu masuk ke pesawat. Kamsahamnida!

Perjalanan ini, nampak tak ubah seperti percutian keluarga yang biasa. Tapi tidak bagi saya. Detik hati terasa kurang enak. Mungkin, ini perjalanan untuk nafsu saya bermujahadah. Saya serahkan diri pada Allah. Senyum saya ukir walau terasa kelat. Kaki kanan melangkah masuk ke pesawat.

بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ

Dengan nama Allah, aku bertawakkal kepada Allah, tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan-Nya.


Wednesday, April 08, 2009

Belasungkawa Nasir Salleh Syafie

saya dan pakcik ketika majlis walimah abang

Saya terima panggilan daripada abang saya ketika di dalam kelas. Sedang mendengar tazkirah daripada Ustaz Zul tentang hadis berkenaan dengan amal kebaikan. Matan hadis berkaitan dengan suruhan Rasulullah s.a.w yang menyuruh agar bersegera membuat kebaikan. Panggilan daripada abang memerlukan saya keluar dari kelas. Suara abang kedengaran sedih. Seakan menahan sebak. Dikhabarnya pakcik saya yang merupakan satu-satunya adik ibu meninggal dunia. Saya tergamam. Istighfar kerana kejutan yang melanda. Innalillah, sedar bahawa setiap yang hidup pasti akan mati. Kembali masuk ke kelas, air mata saya bergenang. Ustaz Zul masih meneruskan pengajaran. Saya terperosok di kerusi. Rasa terhenyak dan bayangan pakcik muncul satu demi satu.

Hj Nasir begitu panggilan orang kepadanya. Anak jati Kedah yang banyak mendorong saya untuk meneruskan pengajian peringkat sarjana. Pakcik saya sedang menyambung belajar peringkat ijazah sarjana muda. Katanya mahu seperti saya suatu hari nanti, menyambung belajar ke peringkat lebih tinggi.

Tak ramai yang tinggi dalam keluarga saya. Dalam adik beradik ibu, cuma pakcik seorang yang tinggi. Anak-anak maklong, cuma sepupu lelaki saya seorang yang tinggi dan anak-anak ibu, cuma saya seorang yang tinggi. Mungkin kerana faktor ini, pakcik gemar bergambar bersama saya. Pakcik juga punya kecenderungan yang hampir sama dengan saya. Gemar membaca, hobi kami yang amat nyata. Bezanya, hobi pakcik tak disukai nenek. Membazir katanya. Sedangkan hobi saya amat disokong ibu.

Saya tak punya banyak kisah dengan pakcik walaupun saya cucu perempuan sulung. Tapi kehadiran pakcik sangat mengesankan hidup saya terutamanya setelah saya menginjak dewasa. Pakcik turut hadir ketika konvokesyen saya. Pakcik juga turut mempengaruhi ibu agar mengizinkan saya menyambung belajar saat orang lain memperkecilkan hasrat saya.

Alhamdulillah pagi tadi, sekitar jam 11 jasad pakcik telahpun disemadikan. Di tanah perkuburan, ada suara yang menyatakan wajah saya seiras dengan wajah pakcik. Ada juga yang bertanya dengan siapa akan nenek saya menetap kerana sebelum ini pakcik yang menemani nenek di kampung. Saya bulatkan hati. Nekad meluah rasa pada ibu. Biar saya yang menemani nenek. Jarak perjalanan 2 jam antara USM dengan Kota Setar bukan penghalang. Lokasi kajian saya bakal diubah daripada Wilayah Persekutuan kepada Kedah. Nanti bakal saya usulkan pada penyelia dan guru saya.

Berada di tanah perkuburan dan melihat nenek saya yang lesu terduduk di tangga masjid sambil memerhati dari jauh pengebumian pakcik buat saya terfikir. Saya juga tidak sesihat mana. Akankah saya pergi dulu sebelum ibu saya? Akankah saya punya kesempatan menjaga dan membalas jasa ibu? Akankah sempat saya menjengah usia tua dalam hidup? Kerana maut tak mengenal usia. Pakcik baru 47 tahun. Masih muda belia untuk seorang lelaki.

Untuk pakcik, Yasin dan Al-Fatihah saja yang mampu saya hadiahkan. Doa saya agar Allah terima roh dan jasad pakcik sama seperti mukmin yang dicintaiNya. Saya dan adik beradik saya serta sepupu yang cuma tiga orang akan sentiasa berharap agar doa kami diterima Allah kerana kami anak pakcik.

Saya tak yakin ada sesiapa yang mengenali pakcik di sini. Tapi andai ada yang tersesat membaca entri ini dan ditakdirkan Allah mengenali diri pakcik, saya mahu mohon maaf andai pakcik ada berbuat salah atau silap. Sebagai manusia biasa tentunya tidak terlepas dari dosa.

Md. Nasir bin Salleh
Bekas kakitangan MIDA, Kuala Lumpur
Batu 9 1/2, Kota Sarang Semut, Kedah