Sunday, April 18, 2010

The Other I

Baru-baru ini dalam satu temu bual dengan sebuah stesen radio swasta, Faizal Tahir telah memperkatakan tentang kewujudan alter ego yang membuatkan personalitinya berubah, berbeza antara Faizal Tahir di atas pentas dengan Faizal Tahir secara peribadi. Alter ego ini juga digunakan sebaik mungin untuk beliau beraksi dengan lincah sedangkan diri sebenar beliau adalah seorang yang pendiam.

Alter ego atau "the other I" dalam bahasa Latin membawa maksud persona ke dua yang terdapat dalam diri seseorang. Dikatakan juga bahawa orang yang memiliki alter ego ini mempunyai dua kehidupan, yang biasanya mempunyai sifat yang agak kontra. Contoh yang paling mudah adalah Clark Kent yang mempunyai Superman sebagai alter egonya.


Biasanya alter ego ini amat berguna untuk membolehkan seseorang itu relevan dengan persekitarannya, membolehkan ia berfungsi sebaik mungkin. Ambil saja contoh Spiderman yang merupakan alter ego kepada Peter Parker. Parker adalah orang biasa yang tiada sebarang keistimewaan. Tidak menonjol malah sering pula dipandang rendah. Namun apabila alter egonya mengambil alih, Parker sebagai Spiderman mendapat perhatian, menonjol, malah dianggap sebagai hero.


Meskipun begitu, alter ego ini tidak diklasifikasikan sebagai Multiple Personality Disorder (MPD). Ini kerana alter ego dicipta oleh diri seseorang itu sendiri secara sedar manakala MPD pula biasanya terlahir di luar sedar, akibat trauma atau kisah silam yang terpendam dalam pemikiran seserang.

Namun begitu, adakah kewujudan alter ego dalam diri seseorang merupakan satu kepura-puraan yang juga melahirkan sifat hipokrit? Apakah personaliti yang ditampilkan untuk membolehkan seseorang itu menyerlah dalam institusi masyarakat diklasifikasikan sebagai munafik?

Dalam kehidupan biasa, alter ego digunakan bagi membolehkan seseorang itu bergaul dan bertindak seperti orang kebanyakan. Sebagai contoh, orang yang pendiam mahupun pemendam sering tampil di khalayak dalam keadaan ceria. Namun begitu, jika difikirkan kembali, yang mana satukah alter ego dan yang mana satu personaliti sebenar? Mahu atau tidak, perlu diakui bahawa alter ego bukanlah satu kepura-puraan. Ia adalah sebahagian daripada diri seorang manusia malah punya kelebihan yang boleh membawa manfaat yang lebih besar.

ps: alter ego saya semakin menguasai diri dan saya tidak sukakannya!


No comments: