Saturday, July 03, 2010

Ladies~

Hari ini saya ke majlis walimah classmate semasa degree dulu, Hafizi dan pasangannya di Sg. Besi. Berjanji dengan kawan untuk bertemu di Stesen Komuter Bandar Tasik Selatan. Dari Rawang saya menaiki komuter untuk ke Bandar Tasik Selatan.

Gadis kecil menunggu di ruang menunggu koc wanita. Perhatikan tiang berwarna merah jambu

Alhamdulillah, berpeluang juga akhirnya menaiki koc wanita yang baru dilancarkan oleh pihak KTMB. Selain koc, tempat menunggu khas untuk wanita juga ada disediakan. Tapi, ada juga yang tak nampak atau mungkin tak tahu membaca, sesat juga lah dua tiga orang lelaki di dalam koc wanita ini. Bagi saya pula, penumpang lelaki yang 'tersesat' ke koc wanita ini bukannya tidak tahu membaca tetapi mereka tidak peduli. Mustahil tak nampak stiker bulat berwarna merah jambu tertampal merata-rata di bahagian dalam dan luar koc wanita, kalau pun tidak tahu membaca. Dan lagi, takkanlah tak perasan yang wanita sangat ramai dalam koc tersebut. Tapi, barangkali juga mereka anggap, di mana-mana pun memang perempuan lebih dari lelaki.

Sedikit penerangan untuk kedudukan koc wanita. Setiap tren komuter mempunyai 3 koc. Koc wanita terletak dibahagian tengah. Jadinya, dua lagi koc iaitu koc depan dan koc belakang tidak dikhususkan untuk mana-mana jantina. Penumpang lelaki MESTI menggunakan koc-koc tersebut sahaja. Tetapi untuk penumpang wanita, kalau tak mahu menggunakan koc wanita pun tak mengapa. Boleh juga ke koc depan atau belakang tersebut.

Selain itu, Koc wanita turut dijaga oleh pegawai KTMB. Semasa dalam perjalanan pergi, ada pegawai KTMB turut berada di dalam koc. Oleh kerana pegawai tersebut berjantina lelaki dan berada di dalam koc wanita untuk menjalankan tugasnya, beliau cuma berdiri. Bila ada penumpang lelaki yang masuk, perlahan-lahan beliau mengajak mereka untuk ke koc depan atau koc belakang (yang lebih dekat dengan kedudukan mereka ketika itu) yang tidak dikhususkan untuk wanita. Lain pula halnya ketika saya dalam perjalanan pulang. Tiada pegawai KTMB berjaga di dalam koc kerana waktu tersebut koc-koc komuter agak sesak. Penumpang lelaki makin ramai yang masuk ke dalam koc wanita ketika komuter singgah ke setiap stesen. Sampailah ketika komuter singgah di stesen Mid Valley. Dari luar tren, pegawai KTMB bersuara lantang "LELAKI SILA KELUAR! KOC INI UNTUK WANITA SAHAJA!" Terkejut saya yang ketika itu sedang mengantuk. Pesan untuk para wanita yang mempunyai pasangan, kalau tak mahu berpisah dengan pasangan anda sila-silalah ke koc lain selain koc wanita.

Apapun, terima kasih KTMB kerana menyediakan koc khas untuk wanita. Terasa lebih selesa. Almaklum, ketika waktu puncak komuter boleh berubah menjadi tin sardin. Bukan sekadar bahu yang berlaga. Saya selalu rasa tidak selesa bila terpaksa berkongsi tiang penyokong dengan penumpang lelaki. Satu ting ada empat lima tangan yang memegang. Kalau tiga daripadanya lelaki, bersentuhan semakin sukar untuk dielak. Jadinya, bila koc wanita ini disediakan, berhimpit-himpitpun tak berapa kisah. Apa pun, terima kasih buat KTMB kerana menyediakan kemudahan ini untuk para wanita. Terima kasih daun keladi. Panjang umur saya naik lagi!

ps: bukan sexist =)

1 comment:

Bernard C said...

Nice blog thanks for postingg