Wednesday, August 25, 2010

Jalan Yang Hilang 2: Kreatifnya Syaitan

Menurut Imam al-Ghazali, musuh seorang mukmin itu boleh dibahagi kepada 2 unsur: yang jelas kelihatan dan yang ghaib/tidak kelihatan. Yang boleh dilihat itu terdiri daripada golongan kafir yang mendatangkan ancaman, golongan munafik dan golongan yang hasad dan dengki. Manakala yang ghaib atau tak nampak dek mata itu terdiri daripada syaitan dan hawa nafsu kita sendiri.

Ok, saya bukan ahli tasawuf. Jauh sekali seorang ustazah. Cuma, saya terbaca tulisan Ustaz Pahrol di dalam blog beliau, Genta Rasa. Beliau menuliskan kisah seorang gadis yang diberi hidayah oleh Allah lantas berhijrah daripada kejahilan kepada kebenaran. Kalau dulu tidak bertudung, ia kemudian telah bertudung. Kalau dulu pakaiannya mencolok mata, kini longgar dan labuh. Kalau dulu tingkahnya bebas, ia kemudian menjaga laku. Tutur kata dijaga dan amalannya turut terpelihara.

Selang beberapa ketika, bertemu semula dengan gadis yang sama. Tudung yang dulu menutup aurat kini cuma menutup urat. Baju yang longgar makin ketat. Tutur dan tingkah berubah mesra dan manja (gedik?). Dan sebagainya. Ringkasnya, menurut pemahaman saya, si gadis yang dulu berhijrah dari buruk kepada baik kini berhijrah kembali dari baik kepada buruk.

Pernahkah anda merasakan hal seperti ini?

Bagi saya, ini bukan sekadar isu kelabuhan tudung. Jujur, saya juga berdepan dengan situasi ini. Bukannya melihat pada orang lain, tetapi diri sendiri!

Adakah ini hasil kreativiti syaitan atau kelemahan iman dan hawa nafsu sendiri?

Naudzubillah, saya dan semua muslimah saya yakin mahu sentiasa menjadi baik. Mahu sentiasa punya tingkat iman yang tinggi dengan tahap nafsu yang baik. Namun sebagai manusia, inilah kekurangan yang amat sukar di atasi. Iman yang jarang-jarang naik, tapi kerap pula turun. Yang naik cuma berdikit-dikit tapi turun umpama menuruni gelongsor air!

"Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan karuniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau; karena sesungguhnya Engkau-lah Maha Pemberi (karunia)." ali-Imran, 3:8

Saya amat berharap, agar Ramadhan ini menjadi satu laluan untuk saya berhijrah daripada keburukan kepada kebaikan. Doakan saya ya.

2 comments:

Anonymous said...

assalamualaikum
saudari, saya silent reader pd blog saudari. terima ksh kerana blog saudari banyak memberi tunjuk ajar pada saya. kebetulan topik kali ini ada kena mengena dgn saya.
saya seorang wanita yg moden. dari segi pakaian juga moden. ya saya bertudung. tp masih ketat di sana, singkat di sini.
tapi, jauh di sudut hati saya. sudah lama perasaan ini wujud. saya ingin berubah. saya sentiasa kagum dan tersenyum melihat wanita2 berjubah dan bertudung labuh. alangkah manis dan sopan berpakaian sebegitu. saya teringin untuk jadi begitu. tapi saya selalu tertanya2 pada diri saya. mampukah aku?
bisikan syaitan sentiasa menyatakan kalau pakai sebegitu nanti nampak tua, tak boleh bergaya lagi, apa kawan2 akan kata. lemahnya saya tak mampu lawan bisikan itu.
tp saya takut pada seksaan Allah. saya tak mahu berterusan tanpa ubah menjadi lebih baik. saya teringin hendak berhijrah. tapi bagaimana?

wan-niza said...

Waalaikumussalam w.b.,

Saudari, terima kasih kerana sudi membaca blog saya yang tidak seberapa ini. Pada pendapat saya, langkah pertama yang saudari boleh buat adalah dengan mendekati golongan yang warak. Kalau saudari masih belajar, di kampus, mungkin boleh rajin-rajin ke masjid. Luangkan masa untuk solat di masjid. Mula-mula mungkin akan terasa keseorangan tapi insyaAllah, lama-lama saudari akan bertemu dengan mereka yang saya maksudkan.

Tentang pakaian dan pendapat dari rakan-rakan, ini perkara biasa. Maklumlah, bertahun sudah berfesyen dan bergaya moden, tiba-tiba bertukar ke jubah dan tudung labuh. Tentu ada yang terkejut dan tidak boleh menerima. Bagi saya, ada eloknya saudari mulakan secara perlahan-lahan. Kalau biasa bertudung selempang mendedah dada, mungkin boleh diturunkan sedikit. Gaya butterfly yang menutup dada. Kalau selalu berbaju t sendat, mungkin boleh memakai dress luar yang menutup pinggul.

Yang penting, berubah kepada yang lebih baik dan keinginan untuk menjadi lebih baik.

Tak perlu risau nampak tua, kalau kena pada gayanya, mungkin nampak lebih muda dan lebih lembut.

Saya tahu, bercakap (menulis) memang mudah sedangkan untuk melaksanakannya bukan sesenang yang di kata. Tapi yang penting kita usaha. InsyaAllah, Allah Maha Tahu apa yang kita rasa.

(^_^)"