Wednesday, September 15, 2010

Cara Saya Beraya

Dah Syawal ke-6. Saya pun dah kembali ke USM di Pulau Mutiara nan indah permai (ye ke?). Ramai yang bising, "Awat sat sangat cuti?" hehe, depa tak tau yang sebelum raya saya dah cuti sampai seminggu. Lagipun, buat apa la nak cuti raya lama-lama? Ibu dan ayah saya juga sudah mula bekerja semalam. Cuma adik-adik yang ada di rumah, menyiapkan kerja sekolah yang dititip cikgu sebelum cuti tempoh hari.

Syawal kali ini, kami sekeluarga bersama abang dan kakak ipar menyambut di kediaman ibu dan ayah saya di Rawang. Persiapan sememangnya ala kadar. Kami jarang beria-ia menyambut Syawal. Cuma pastikan rumah bersih dan kemas menyambut tetamu. Kuih raya semuanya beli. Oh tak perlu cerita!


Malam raya, kumpulan takbir dari masjid kampung kami hadir. Menurut ayah saya, takbir kali ini lebih seronok kerana ramai golongan muda yang ikut serta. Selalunya, takbir cuma disertai oleh pakcik-pakcik bersama kanak-kanak bawah 12 tahun. Tapi kali ini nampaknya bekas rakan-rakan sekolah saya juga ada yang ikut serta. Siap ada yang volunteer untuk memimpin takbir. Alhamdulillah, insyaAllah tidak pupus tradisi bertakbir dari rumah ke rumah ni. Oh lupa nak beritahu, takbir ini hanya disertai kaum lelaki. Orang perempuan cuma menyediakan makanan. Siap sediakan makanan, duduk senyap-senyap di dapur. Takpun, masuk dalam bilik. Hehe macam anak dara dulu-dulu kan. Yang paling seronok mengikut kumpulan takbir ini tentulah kanak-kanak sebab biasanya tuan rumah akan memberikan duit raya. Hm..malam raya dah boleh kumpul duit raya.


1 Syawal biasanya rumah kami akan dikunjungi kanak-kanak dari merata tempat sekitar Rawang. Ada yang dari taman perumahan sekitar kampung kami. Pernah dulu ada yang dari Serendah. Naik bas sampai ke Batu 16. Rasanya lebih 5 kilometer kot. Tapi Syawal kali ini, tiada seorang pun yang datang! Cuma pekerja ayah saya dan rakannya saja yang bertandang. Abang saya sibuk mengambil gambar bersama adik lelaki dan kakak ipar, saya dan adik perempuan menghabiskan masa menonton SuJu di 8tv sambil mengunyah kuih raya sendiri. Alahai~

Selepas Zohor, kami sekeluarga bertolak ke Sungai Siput, Perak. Rindunya pada Opah. Sungai Siput ini kampung halaman ayah saya. Sepanjang perjalanan ada beberapa kemalangan kecil. Ayah saya memecut laju. Tiba-tiba saya rasa loya. Ah..fobia saya datang kembali. Mata saya pejam kuat-kuat. Tak boleh lena. Nampak bayangan kemalangan. Isk tak boleh jadi. Saya katakan pada ayah, "Abah, slow sikit. Ija takut." Terus ayah perlahankan kereta. Perlahan tak perlahan la, masih 100km/j ke atas. Hehe. Dalam perjalanan ke Sg. Siput, macam-macam perangai pemandu yang boleh diperhatikan. Ada yang kurang sabar, memotong melalui laluan kecemasan, ada yang memandu perlahan di laluan kanan, ada juga yang memandu ikut suka - menyelit-menyelit. Hish sungguh ngeri! Selepas kemalangan seminggu sebelum raya tahun lepas, perjalanan kali ini saya rasakan benar-benar dijenguk malaikat maut. Dah macam main cak-cak pula. Sebelum ini, walaupun fobia masih ada tapi tidaklah sampai terasa diambang maut. Syahadah tak tahu sudah berapa kali saya ucapkan. Petua untuk tidur pantas yang diberikan oleh isteri pensyarah saya juga saya amalkan untuk memaksa diri saya tidur. Alhamdulillah, setelah tiga jam di atas highway, kami selamat tiba di Sg Siput ketika maghrib sudah menjengah ke hujung.

Pagi Syawal ke-2, kami empat beradik bersama kakak ipar berjalan sekitar rumah Opah. Sasaran, tempat penternakan ayam di belakang rumah. Pertama kali dapat memegang anak ayam. Bukannya tidak pernah melihat anak ayam. Opah dan nenek di Kedah ada membela ayam kampung tapi saya tak berani nak pegang. Nanti kena kejar dengan ibunya! Tak pasal je kena patuk nanti. Lagipun, anak ayam kampung tak sejinak anak ayam yang diternak. Jinaknya sampai boleh makan ditapak tangan kita. Penternakan ini diusahakan oleh adik ayah saya. Satu lagi usaha memajukan ekonomi adik beradik ayah saya selepas Pak Ngah saya yang berjaya keluar dari kepompong kemiskinan melalui penternakan kambing. Bak kata Pak Lah, jadikan pertanian/penternakan sebagai perniagaan. Tak tahu boleh berjaya ke tidak sebab usia penternakan masih terlalu muda. Tapi yakin lah dengan janji Allah, usaha dan tawakal - lambang orang bertaqwa. Kalau kita bertaqwa, kita bersyukur, Allah akan selalu tambahkan rezeki kita. Paling penting, kena niat yang kita mahu berternak haiwan yang halal dengan cara yang halal supaya nanti dapat salurkan sebagai sumber makanan halal untuk ummah. Hm..penternakan pun boleh jadi dakwah tau!


Selepas habis sepagi di kawasan penternakan, kami sekeluarga pergi beraya di rumah saudara mara kemudian terus bertolak ke Kedah. Raya ke-3 Tok Su saya mengadakan majlis perkahwinan untuk anak perempuannya yang merupakan sepupu ibu saya. Umurnya hampir sebaya dengan abang saya. Anak-anak Tok Su saya memang masih muda. Anak bongsunya yang kami adik beradik panggil Pak Su hampir sebaya dengan adik lelaki saya - 17 tahun. Waktu kecil dulu, selalu bermain dengannya sambil memanggil "Pak Su! Pak Su!" Tapi waktu kenduri tempoh hari, terus tak kenal. Dengan wajah berjambang, Pak Su kami yang comel dan tembam dulu dah tiada. Dia sudah besar! Tiba-tiba saya rasa kesal. Kesal kerana dalam tempoh saya melanjutkan pelajaran - dari matrikulasi sehingga kini, terlalu banyak yang saya abaikan. Terutamanya keluarga besar kami. Saya tidak kenal dengan anak-anak sepupu saya sedangkan waktu kecil dulu, dengan sepupu-sepupu inilah saya bermain. Saya tidak menjaga silaturrahim dengan mereka yang memberi kasih dan sayang sewaktu saya kecil. Syawal ini saya tersedar, betapa saya terlalu mementingkan diri, belajar hingga terlupa dengan silaturrahim. Sejak menjejakkan kaki ke Pulau Pinang seawal usia 18 tahun dan kini sudah 24 tahun, saya membiarkan masa menelan saya hingga silaturrahim yang pernah terjalin terbiar mereput. Maafkan saya. InsyaAllah, saya berazam untuk menjaga dan memulihkan sebanyak mungkin silaturrahim yang pernah terjalin.

Raya ke-4, ibu bawa kami adik beradik ke rumah sepupunya. Sempat bertemu sepupu-sepupu ibu yang lain, yang majoritinya tidak saya kenali. Kemudian berkunjung ke rumah kenalan keluarga kami dan ke rumah orang tua rakan sepejabat ayah saya. Dari Kedah, kami bertolak ke Pulau Pinang. Kabel TNB yang terbakar sehari sebelumnya nampaknya sudah pulih. Jambatan tidak terlalu sesak. Tiba di USM sekitar 6 petang. Bersalaman dengan ayah, ibu dan adik beradik. Mereka teruskan perjalanan ke Rawang dan saya ditinggalkan di sini..Sob sob.. .


Begitulah Syawal saya. Anda pula bagaimana?

4 comments:

ARYN said...

muka siblings neeza suma lain2. hehe

selamat hari raya aidilfitri. maaf zahir & batin :)

wan-niza said...

tu la kan..haha plg teruk bila ramai yg tanya, mana satu anak sulung, semua tunjuk niza padahal yg sulung tu abang, 4 thn lagi tua
huhu muka tua~

Anonymous said...

seronok baca cerita raya wan... teringat kt wan dan usm..(^^,)

fad =)

wan-niza said...

thanks fad :)
senang-senang, jenguklah xrumet mu ini di usm ye