Friday, December 03, 2010

Belajar untuk apa?

Assalamualaikum,

2010 sudah semakin menghampiri penghujung. Menjadikan tempoh saya berada di USM ini melebihi tempoh 5 tahun. Dari umur belasan tahun, hingga kini sudah hampir ke pertengahan usia 20-an. Tiba-tiba terasa tua.

Semalam, saya ke kafe Ibu di Desasiswa Tekun. Beliau menegur, "Hai Anak! Lamanya Anak belajar. Bila mahu habis?"

"3 tahun lagi, insyaAllah"

"Baguslah, belajar tinggi-tinggi. Nanti gaji banyak. Mak mesti suka Anak dapat gaji banyak."

Saya cuma tersenyum sambil menyerahkan bayaran untuk makanan yang saya beli. Terfikir pula apa sebabnya kita belajar?


Kebanyakan rakyat Malaysia khususnya yang berada di kawasan bandar sudah mula dihantar ke pra-sekolah sejak usia 5 tahun. Malah ada juga yang telah dihantar ke sekolah main-main (play-school) sejak usia 3 tahun. Bila sudah 7 tahun masuk ke sekolah rendah. Dalam masa yang sama, dihantar juga ke sekolah agama. Bila sudah 13 tahun, masuk ke sekolah menengah. Tamat SPM, sambung ke tingkatan 6 atau matrikulasi atau mana-mana IPT untuk program sijil atau diploma. Selepas itu sambung pula ke ijazah sarjana muda. Tamat saja sambung pula program sarjana. Selepas peroleh sarjana, memburu PhD pula.

Kalau belajar tanpa henti, insyaAllah sebelum umur 30tahun sudah peroleh Doktor Falsafah. Soalnya, untuk apa kita belajar sejak gigi susu masih cantik putih hingga gigi bongsu tumbuh di celah rahang? Adakah semata-mata untuk segala macam skrol ijazah? Ataupun mengejar pangkat tinggi? Atau kita mengharapkan dengan adanya skrol-skrol ijazah ini kita akan peroleh gaji besar dan penghormatan? Mendapat anugerah dan puji-pujian?

Saya tergamam bila timbul isu pemalsuan gelaran Doktor Falsafah 'Dr.' Fazley. Sampai macam tu sekali keinginan pada ijazah tersebut sampai sanggup memalsukannya. Apabila disoal, katanya sedang membuat PhD. Wah, kalau begitu, bersepahlah para 'Dr.' di Malaysia ini. Di USM saja calon Doktor Falsafah sudah bertimbun.


Isu pemalsuan ijazah bukanlah perkara yang baru. Dalam tempoh 5 tahun kebelakangan ini sudah bermacam berita yang timbul. Tak perlu berpenat lelah belajar, tak perlu bersusah payah menulis tesis. Bayar saja. Hari ini hulurkan duit, minggu depan sudah peroleh skrol pengijazahan. Itu yang sindiket. Kalau di IPTA lain pula ceritanya.

Pernah satu ketika dulu, wartawan Berita Kampus USM mendedahkan kisah pelajar-pelajar PJJ (Pengajian Jarak Jauh) mengupah pelajar undergraduate sepenuh masa untuk membuat tugasan. Saya sendiri pernah ditawarkan RM300 untuk menyelesaikan tugasan mereka. Tapi tak perlu berfikir panjang, terus saya menolak. Apa guna menyambung belajar jika tugasan diselesaikan oleh orang lain? Tamat belajar nanti, apa agaknya yang akan kita dapat? Apa agaknya yang kita belajar?

Kebanyakan malah menjadi trend dalam kalangan orang Melayu untuk menyambung belajar setinggi mungkin. Tapi sayang, ijazah yang diperoleh hanya untuk mendapatkan kenaikan pangkat dan gaji. Ramai juga yang menyambung belajar kerana mahu mengejar rakan-rakan yang juga menyambung belajar. Jadinya, belajar tinggi-tinggi sekadar ikut-ikutan.

Belajarlah setinggi yang boleh. Belajarlah sampai akhir hayat kita. Tapi kan lebih baik kalau kita belajar bukan semata-mata untuk pangkat, gaji atau kemegahan. Bukan juga kerana ikut-ikutan. Kan lebih baik kalau kita belajar untuk Allah. Sebab kita mahu tahu dan mahu memahami ilmu yang Allah ciptakan. Kita mahu mengenal Allah dengan lebih mendalam melalui ilmu-ilmunya. Belajar itukan proses mencari ilmu. Dan ilmu itukan datang dari Allah.

Belajar itu bagus. Tapi untuk apa kita belajar sebenarnya?

"Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Mulia. Yang mengajar (manusia) dengan kalam. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya." [al-'Alaq, 96:4-5]

No comments: