Monday, February 07, 2011

Tuhan..di mana?

AMARAN
Entri ini perlu dibaca hingga habis jika anda sudah mula membacanya. Jika malas, sila jangan baca langsung.

Saya mula belajar tentang Tuhan waktu di tadika dulu. Saya selalu bertanya, Tuhan itu di mana? Orang-orang dewasa akan menunjuk langit, "Tuhan di atas sana". Saya selalu bayangkan, Tuhan itu sedang bersemayam di atas singgahsana indah dengan hiasan indah di Negeri Atas Kayangan, nun di atas awan. Seperti dalam kisah Jula Juli Bintang Tiga.

Imaginasi kanak-kanak yang tiada batasan membawa saya membayangkan kapal terbang merentasi lapisan troposfera. Akankah terlanggar singgahsana itu?

sumber encik wiki

Saya juga pernah membayangkan bagaimana rupa Tuhan. Punya matakah, punya telingakah? Bukankah Dia melihat, bukankah Dia mendengar?

Waktu kecil dulu, orang-orang dewasa selalu katakan pada saya, jangan berbohong, jangan mencuri. Nanti Tuhan potong lidah. Nanti Tuhan potong tangan. Hingga saya terfikir Tuhan itu selalu membawa gunting besar yang tajam, berwajah ngeri dan suka memotong tangan dan lidah kanak-kanak yang berbohong dan suka mencuri. Waktu itu, saya takut pada Tuhan. Saya juga takut pada orang dewasa.

Sejak kecil lagi saya sudah terdedah dengan imej-imej Tuhan yang menjadi sembahan orang bukan Islam. Saya biasa melihat patung Budha sama ada yang gemuk mahupun yang kurus. Begitu juga dengan Dewi Guanyin yang jelita. Saya biasa melihat dewa dewi Hindu yang banyak tak terbilang, dewa dewi Greek yang pelik tak terkata dan tak lupa patung Jesus yang tersalib dan Marry yang berkelubung. Hingga saya terfikir jika Tuhan itu seperti kaum yang menyembahnya, bagaimana agaknya rupa Tuhan orang Melayu seperti saya?

Perjalanan mencari Tuhan telah saya lalui hampir 20 tahun. Soalan-soalan di atas bermula sejak saya mula belajar doa makan, doa tidur dan belajar bersolat di taman asuhan kanak-kanak Islam, TASKI ketika berumur 5 tahun. Dan proses ini masih belum berhenti walaupun saya kini hampir berumur 25 tahun.

Namun satu perkara yang saya benar-benar yakin dan pasti, imej Tuhan yang saya bayangkan dulu tidak secebispun serupa dengan Tuhan yang benar. Saya tahu, sezarahpun Dia tidak serupa dengan makhluk-makhluk ciptaanNya.

Dia tidak duduk, berdiri atau baring seperti Budha. Dia tidak tersalib seperti Jesus atau berkelubung seperti Mary. Dia tidak berambut ular atau berbadan sasa seperti dewa dewi Greek. MataNya tidak menjegil, tanganNya tidak banyak seperti dewa dewi Hindu.

Kerana Tuhan yang saya percaya adalah Allah. Yang Maha Esa. Satu. Berkuasa.

Allah - yang mempunyai sifat Yang Maha Sempurna. Yang langsung tidak menyerupai mana-mana ciptaanNya. Dia tidak sama dengan apapun. Dia ada. Tapi bukan di mana-mana. Bukan juga pada bila-bila. Tiada batas tempat. Tiada batas waktu.

Menurut Dr. Atikullah, pensyarah saya, "Allah itu, bila sampai kamu tidak dapat memikirkan 'bagaimana' Dia, maknanya kamu sudah mengenal Dia".

Allah, hanya Dia Tuhan Yang Satu. Saya cuba mengenal Dia. Masih dalam proses. Masih. Semoga nanti saya seperti Hud-hud dan 29 burung yang lain, yang berjaya menemui 'raja'nya.

Adakah saya sudah mencapai 'kebodohan tahap tinggi' yang dikatakan oleh Andrea Hirata dalam Laskar Pelangi?

Wallahu'alam.

(Dia) Pencipta langit dan bumi. Dia menjadikan bagi kamu dari jenis kamu sendiri pasangan-pasangan dan dari jenis binatang ternak pasangan- pasangan (pula), dijadikan-Nya kamu berkembang biak dengan jalan itu. Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia, dan Dia-lah yang Maha Mendengar dan Melihat.
[Asy-Syuura, 42:11]


No comments: