Thursday, July 28, 2011

Buka mata, buka hati

Bayangkan anda sedang berjalan dalam sebuah kampung mencari tempat untuk menggunting rambut. Melalui orang kampung, ada mendapat tahu terdapat dua kedai gunting rambut dalam kampung tersebut.



Kedai pertama, lantainya kurang bersih dicemari sisa-sisa rambut. Tukang guntingnya nampak selekeh dengan potongan rambut yang kacau dan serabut. Wajahnya sedikit keletihan

Kedai kedua pula bersih, tersusun dan kemas. Tukang guntingnya tampak segak dengan potongan rambut menawan yang sesuai dengan raut wajahnya yang segar dan bertenaga.

Antara kedua-dua kedai ini, yang mana yang akan anada pilih? Apa yang sedang anda nilaikan dalam penilaian untuk memilih antara kedua-dua kedai ini?

Manusia, secara umumnya mudah membuat penilaian. Hebatnya kita dalam menilai orang lain, dalam 3 saat pertama bertemu dengan seseorang yang tak pernah kita kenali kita sudah membuat pilihan tersendiri terhadap peribadi orang tersebut. Tapi pernah tak kita berfikir kisah di sebalik diri orang yang kita nilai?

Seperti dua tukang gunting tadi, tukang gunting pertama yang selekeh dan kedainya yang bersepah itu mungkin saja kerana pelanggannya datang bertalu-talu sehingga beliau tak sempat untuk mengemasnya dengan sebersih mungkin. Mungkin atas kedatangan pelanggan yang tanpa henti itu menyebabkan keletihan tergambar pada raut wajahnya. Rambutnya yang kacau mungkin kerana beliau tidak berkesempatan untuk pergi ke kedai gunting rambut kerana kesibukannya menggunting rambut orang lain.

Jadi, daripada berfikir yang tidak-tidak mengenai tukang gunting pertama yang penampilannya tampak sedikit negatif, bukankah lebih baik kalau kita bersangka baik? Tapi, tak bermakna pula apabila kita bersangka baik dengan tukang gunting pertama, kita boleh bersangka buruk terhadap tukang gunting kedua.

Kehidupan manusia bukan hanya satu dimensi. Sebab itu lah, Hlovate pernah tulis peraturan utama dalam hubungan antara manusia ialah "Never assume. Ask!"
Tak usah berandai-andai. Silalah bertanya jika tak tahu atau tak pasti. Bukankah bahaya jika andaian kita salah. Nanti jadi fitnah pula. Bukankah dosa memfitnah itu lebih besar dari membunuh?

Jadi, sempena Ramadhan yang bakal tiba insyaAllah lagi tiga hari ni, apa kata kalau kita bersihkan hati dari semua prasangka buruk terhadap saudara-saudara kita. Mudah-mudahan hati kita lebih lapang dan Ramadhan ini kita dapat menjadi manusia yang sentiasa bersangka baik dan positif.

Selamat berpuasa dan Salam Ramadhan!

ps: Minta maaf semua salah silap. 0 - 0 (kosong-kosong) ye.

2 comments:

fadzlinfouzi said...

i love to read this post...
really motivated..:)

wan-niza said...

glad you love it. thanks for reading :)