"Berjuang menempah susah
Menanggung derita menongkah fitnah
Berjuang tak pernah senang
Ombak derita tiada henti
Tenang resah silih berganti
Inilah sunnah orang berjuang"
- Sunnah Orang Berjuang, Hijjaz
Oktober telah pun berlalu. Bulan kesukaan saya dalam kalendar Masihi. Tapi tahun ini Oktober sangat mencabar buat saya. Dari emosi, fizikal, mental malah spiritual saya sendiri.
Awal Oktober yang lalu saya genap berusia 26 tahun. Dan saya juga sudah 26 bulan menjadi pelajar Ph.D. Sepanjang 26 bulan ini saya sukar sekali untuk merasakan bahawa saya sedang berjuang. Betul, kajian saya tentang Islam. Semua orang kata, belajar itu jihad. Tambah-tambah lagi kalau tentang Islam. Saya tahu, tapi saya tak merasakannya di dalam hati. Macam mana nak explain ya. Hm..macam makan oat dengan air panas kosong. Kita tahu berkhasiat tapi tak ada rasa.
Alhamdulillah, Allah anugerahkan saya seorang sahabat di luar linkungan akademik. Maklum, bila kita sentiasa berada dengan rakan-rakan seangkatan, fikiran kita cuma fikir dalam satu corak, satu pattern. Saya jadi kurang empathy dan kurang peduli tentang dunia dan warganya. Bagi saya, masalah saya sendiri sudah banyak tambah lagi dengan tesis dan segala macam kertas kerja yang perlu diselesaikan. Perkara lain semuanya titik-bengik yang cuma memberatkan otak.
Tapi saya silap. Sahabat saya buat saya berfikir dengan bertanya pada saya,
"Niza, cuba kau bagi tahu aku, kenapa kau buat Ph.D?"
Saya senyap dan saya tiada jawapan. Malam itu saya muntah teruk dan demam keesokannya. Terlantar dan tidak mampu bangun. Saat itu, terasa seperti sudah tiba masa untuk saya menghadap Dia. Ironinya, saat itu juga saya sedar kenapa saya perlu selesaikan Ph.D. Saya rasakan dalam hati bahawa ini adalah wadah yang Allah sediakan untuk saya berjuang. Bukan untuk gelar Dr. pada pangkal nama, bukan pada jawatan pensyarah yang bakal disandang selepas tamat belajar. Pertama kali setelah dewasa, saya benar-benar terasa mahu hidup dan mahu berjuang.
Prof. Roshada, Dekan Institut Pengajian Siswazah USM

Slide daripada Prof. Chan Lai Keng
Belum sempat selesai berbengkel dengan KPT, saya bergegas pula ke Kuala Lumpur untuk konvensyen dua hari. Saya bertemu dengan orang-orang hebat dalam dunia akademik Malaysia. Belajar banyak tentang keibu bapaan (walaupun konvensyen tentang kepimpinan).
Sidang pleno
Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, yaitu Al Kitab (Al Quran) dan
dirikanlah shalat. Sesungguhnya shalat itu mencegah dari (perbuatan- perbuatan)
keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah (shalat) adalah lebih besar
(keutamaannya dari ibadat-ibadat yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu
kerjakan.
Al-Ankabut, 29:45
Tapi, solat saja tak guna juga kalau tak rasa dalam hati. Kosong. Sebab Allah ada firmankan lagi yang bermaksud:
Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian
itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu', (yaitu) orang-orang yang meyakini, bahwa mereka akan menemui Tuhannya, dan bahwa
mereka akan kembali kepada-Nya.
Al-Baqarah, 2:45-46

Bersama Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin dan Lenny
Pulang ke Penang saya bertungkus lumus pula dengan kertas kerja untuk seminar. Satu di USM dan satu lagi di luar negara. Saya perah otak sungguh-sungguh. Kemudian Aidiladha tiba, saya sambut pagi Aidiladha bersama jiran sebelah dari Sarawak di Masjid USM. Petangnya baru saya ke Kedah untuk bersama keluarga sebelah ibu. Dua malam di Kedah, pulang ke Penang saya demam lagi. Dalam keadaan demam gagahkan juga untuk uruskan hal-hal penerbangan saya untuk seminar di negara jiran. Sempat juga mencelah masuk dan mendengar pembentangan dalam seminar di USM dan membentangkan kertas kerja saya sendiri.
Allahuakbar, sungguh terasa letih. Urusan saya masih belum selesai lagi. Semoga Allah permudahkan semuanya. Allah kan Maha Berkuasa.
Maaflah saya mengadu di sini. Saya berimpian untuk menjadi pejuang. Tapi iman dan ilmu saya cuma sebesar biji sawi. Mungkin inilah caranya untuk iman dan ilmu itu berkembang lebih baik dalam diri saya. Supaya boleh diamalkan kelak.
ps: kutip semangat Tun Fatimah



5 comments:
semoga phd berjaya diraih :)
ameen. terima kasih cik rapunzeel. semoga tabah juga ye :)
gudluck wan...lama x jmp..pekaba eh??tergerak ati utk cari blog wan..sbb tingat kenangan kat isdev masa stayback dulu..huhuhu..
-Nadia..
Terima kasih, Nadia. Lama tak dengar berita. Wan sihat. Nadia, contact Wan balik ye. Emel wanneeza(at)yahoo(dot)com(dot)my
bereh3...nadia add YM je la :)
Post a Comment