Showing posts with label INGRAW2011. Show all posts
Showing posts with label INGRAW2011. Show all posts

Wednesday, October 12, 2011

Coret-coret INGRAW: My Power Puff Girls

Alhamdulillah, INGRAW2011 telah pun melabuhkan tirai. Banyak yang saya belajar sepanjang saya terlibat mengendalikan INGRAW kali ini. Saya belajar erti tanggungjawab, saya belajar menjadi lebih sabar, belajar memaafkan, belajar membuang putik dendam malah belajar menyingkir benci. Saya belajar untuk jadi lebih tabah, lebih teguh pendirian malah kuat secara fizikal. Saya belajar untuk menyelesaikan masalah. Saya belajar protokol dan kerenah birokrasi universiti. Saya belajar untuk mengenali pegawai dan kakitangan pelbagai pusat di USM. Saya belajar tentang kerenah dan ragam manusia. Banyak yang saya belajar. InsyaAllah, semuanya sangat berharga.

Walaupun tirai sudah dilabuhkan, tapi tugas saya masih belum selesai. Kerja-kerja belakang tabir masih banyak yang perlu dibereskan. Tapi nanti lah sebentar. Tulang temulang saya berpakat dengan segala urat dan otot untuk minta berehat. Mana tidaknya, sepanjang dua hari ini, saya rasa saya tidak berjalan perlahan langsung. Saya sentiasa berlari. Tak pun berjalan pantas. Ditegur juga dua tiga kali oleh pelajar lelaki. Tapi apa boleh buat, saya cuma satu. Mula-mula segan juga bila ditegur begitu. Tapi kalau saya tidak berlari begitu, sempat ke nak dikejarkan semua? Dalam dok berlari itupun banyak yang saya terlepas dan tertinggal. Kalau boleh di-duplicate banyak-banyak macam Hanuman itu, boleh juga lah saya bersenang dan bersantai.Tapi itu tak bermaksud semua benda dalam INGRAW2011 ini saya lakukan. Ada urusetia-urusetia lain yang telah dilantik. Alhamdulillah, ada yang bertanggungjawab menjalankan tugas sehingga selesai. Tapi ramai juga yang ghaib. Tak apa lah. Saya maklum dan faham. Menjadi urusetia bukan perkara mudah. Kita masing-masing sibuk dan ada hal. Kalau rajin sangat pun, takkan dapat sebarang keuntungan material melainkan sekeping sijil yang kosnya cuma RM1. Atas sebab inilah saya AMAT MENGHARGAI mereka-mereka yang membantu saya. Sepanjang proses penganjuran INGRAW2011 ini, ada 3 orang yang sangat istimewa di hati saya. Mereka, saya gelarkan 'The Power Puff Girls'.

Power Puff Girls saya ini tak boleh terbang atau berkarate macam Power Puff Girls dalam kartun tu. Tapi mereka: Kak Murni, Azrin dan Kak Radieah memang hebat, tak kalah sedikit pun dengan Power Puff Girls di kartun itu.


Bermula sekitar sebulan yang lalu, Kak Murni hampir setiap pagi (kalau tidak pagi, malam) akan menelefon saya. Beliau setiausaha untuk INGRAW2011. Kadang-kadang sekadar melaporkan berita terkini. Kadang-kadang berbincang cara penyelesaian masalah yang kami hadapi ketika berkomunikasi dengan pembentang INGRAW2011. Maklumlah, banyak orang, tentulah banyak ragam. Kak Murni ini tegas orangnya tapi hatinya lembut sekali. Jadi bila hadir masalah pelik-pelik, beliau terasa gusar dan panik. Tapi, kalau nak tahu dialah orang disebalik tabir emel-emel secretariat-dot-ingraw itu. Kak Murni bagi saya seperti Si Hijau Buttercup yang sedikit agresif tapi lembut hatinya.


Lain pula dengan Azrin yang tak ubah seperti Blossom yang bijak dan menawan. Lemah lembut saja orangnya. Tingkahnya tenang. Sepanjang kami bertugas di belakang tabir ini cuma sekali dua dia 'ter' marah. Itu pun kerana tertekan dengan kertas kerja pelik-pelik yang sukar untuk diedit. Tugas editor, begitulah. Maklum saja, yang menyertai INGRAW ini dari segenap lapisan umur. Dari pelbagai latar belakang. Ramai juga yang menyebabkan editor pening kepala bila jadual dan rajah dibuat tunggang terbalik. Jadi satu hal pula Azrin the editor ni nak mengeditnya. Tapi, beliau tetap maintain dengan wajah manis. Bila terlalu tertekan, beliau keluarkan keluhan dalam bentuk lelucon yang buat Pusat Sumber ISDEV diisi dengan tawa. Bila ada kertas kerja yang lewat, saya cuba untuk bertegas. Tapi kata Azrin, "Jangan Wan, kesian dia." Bila ada peserta minta diskaun sebab cuma hadir satu hari, dia mudah lembut hati.
Berbeza dengan Kak Radieah yang bagi saya seperti Bubbles yang berwarna biru itu. Pertamanya, Kak Radieah seperti Bubbles sebab dia memang sering berbaju biru. Keduanya, dia selalu buat saya gembira. Bila saya sedih, dia berikan kata semangat. Bila saya buntu dengan masalah yang muncul bertubi-tubi, dia berikan idea untuk menyelesaikannya. Bila saya harus membeli barangan untuk INGRAW ini, dia mudah membantu. Dia tidak berkira sedangkan masanya sendiri sangat suntuk kerana Kak Radieah sudah berkeluarga dan punya anak kecil.


Kak Murni, Azrin dan Kak Radieah, ketiga-tiganya superhero(-in?) saya. Mereka Power Puff Girls saya. Mereka "sugar, spice, ...and everything nice!" Tak pernah berkira, tak pernah beralasan. Tak pernah mengelak bila saya meminta bantuan. Mereka tak dapat apa-apa. Walaupun peruntukan INGRAW2011 ini nilainya RM25k, tapi tidak sesen pun masuk ke dalam beg duit mereka.

Ramai yang mengucapkan tahniah kepada saya usai INGRAW2011 petang tadi. Tapi saya tidak merasa apa. Malam ini baru saya faham kenapa. Rupa-rupanya kerana ini bukan INGRAW saya. INGRAW ini milik Kak Murni, Azrin dan Kak Radieah. Pesertanya hadiah buat Kak Murni. Ilmu-ilmunya hadiah buat Azrin. Pensyarah-pensyarahnya milik Kak Radieah. Terima kasih My Power Puff Girls. Terima kasih kerana sanggup bersakit-sakit dan bermuntah-muntah ketika mengendalikan INGRAW2011 ini. Tiada kalian, mungkin saya rebah sebelum berdiri. Terima kasih Allah kerana memberi peluang ini untuk kami lebih saling mengenali.

Alhamdulillah.

Kalau mereka The Power Puff Girls, saya? Jimmy Neutron kot. (Saya memang peminat saluran Cartoon Network dulu. Dulu lah ye)


ps: ada ramai lagi pihak yang berjasa kepada saya. lain kali saya buat senarai panjang penghargaan ya :D