"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan;
`Kami telah beriman', sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami
telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah
mengetahui yang manakah orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui
siapakah orang yang dusta."
[Al-Ankabut, 29 :2-3]
Firman Allah di atas berulang-ulang terdetik dalam hati saya. Ayat di atas juga yang saya ulang-ulang buat memujuk diri sendiri dan Kak Murni. Kami hampir putus asa.
10 September lalu, saya dan Kak Murni bertolak menuju ke Ipoh untuk menghadiri seminar anjuran Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) yang dahulu dikenali sebagai KISDAR. Perjalanan bermula baik sehinggalah di R&R Gunung Semanggol arah Selatan. Kereta Kenari Kak Murni tak mahu hidup. Polis Bantuan PLUS datang membantu kami. Kata mereka, alternator Kenari tersebut rosak. Selepas enjin hidup semula, kami berpatah balik menuju ke Pulau Pinang. Kak Murni mahu menukar kereta. Sekali lagi, dugaan hadir kepada kami. Enjin mati lagi berhampiran R&R Gunung Semanggol arah Utara. Kak Murni telefon pihak PLUS untuk minta bantuan. Trak penunda (tow truck) PLUS datang bersama dengan sebuah lagi kereta peronda PLUS. Eh, pakcik tadi! Pakcik Polis Bantuan yang membantu kami ketika di R&R Gunung Semanggol arah Selatan datang membatu kami sekali lagi. Atas nasihat mereka, kami buat keputusan untuk tidak berpatah balik ke Pulau Pinang, sebaliknya menghantar Kenari tersebut ke bengkel yang dicadangkan oleh mereka. Sambil menunggu trak penunda dari bengkel, pakcik-pakcik tersebut kami hidangkan dengan cheese tart yang dibekalkan oleh pensyarah kami, Dr. Sukainah. Alhamdulillah, rezeki buat mereka yang sudi membantu kami.

R&R Gunung Semanggol yang bersejarah dalam hati kami
Hujan semakin lebat. Polis Bantuan PLUS masih setia menunggu trak penunda dari bengkel bersama kami. Pakcik Ujang, mekanik dari bengkel hadir dengan trak penunda. Terima kasih kami ucapkan kepada pakcik-pakcik Polis Bantuan PLUS yang membantu dan memberi segala macam nasihat dan panduan kepada kami. Kenari yang rosak ditunda ke bengkel di Kamunting.
Cik Kena-ri ditunda ke bengkel
Kenari selesai di baiki sekitar pukul 6.30. Dengan doa, dalam keadaan kelaparan kami mulakan kembali perjalanan menuju ke Ipoh. Berhenti seketika di Perhentian Bukit Gantang untuk solat (dan mengadu kepada Allah) serta membeli buah, perjalanan di teruskan. Berpandukan panduan Google Map dan rakan-rakan, kami meredah malam menuju ke Ipoh.
Keluar di Exit Ipoh, kami mula mencari landmark yang bersesuaian dengan panduan. Cari punya cari, pusing punya pusing, kami sampai ke jalan untuk menuju ke Butterworth. Salah jalan ni, saya dan Kak Murni mula panik. Kami berpatah balik. Kata pepatah Melayu, malu bertanya sesat jalan. Berhenti di stesen minyak untuk bertanya arah. Kata adik di stesen tersebut, kami jauh dari tempat yang dituju. Beliau berikan panduan jalan dan kami teruskan perjalanan. Dari kejauhan, landmark yang dinyatakan oleh adik di stesen minyak dapat kami lihat. Hati mula terasa mahu senyum. Kami masuk satu simpang. Dan...KAMI TERSALAH SIMPANG! Simpang tersebut menuju ke lebuh raya. Kuala Lumpur atau Bukit Kayu Hitam.
Waktu itu, saya dan Kak Murni sama-sama menjerit. Tiada cara lain, kami memilih Kuala Lumpur. Kami nampak sinage Ipoh selepas hampir masuk semula ke lebuh raya menuju ke KL. Keluar di simpang bertanda Ipoh, kami sekali lagi berputar-putar dalam kawasan Ipoh. Malam semakin gelap. Kak Murni menelefon sepupunya untuk bertanya arah. Berbekalkan panduan tersebut, kami berputar lagi sekitar Ipoh. Lalu di hadapan Sunway City di Tambun. Terus memandu sampai ke Tanjung Rambutan. Dalam rasa takut dan lapar, kami berhenti di stesen minyak. Kak Murni hubungi lagi sepupunya. Kami disuruh tunggu. Sepupu Kak Murni akan datang mengambil kami dan bawa kami terus ke hotel. Sambil menunggu, sempat saya bergurau mahu menumpang di Hospital Tanjung Rambutan. Esok bila hari sudah cerah baru bertolak ke lokasi seminar, Kinta Riverfront Hotel. Kak Murni tertawa.
Alhamdulillah, selepas lebih setengah jam menunggu, sepupu Kak Murni datang 'menyelamatkan' kami. Kami dibawa ke hotel dan beliau terus menuju ke tempat tugasannya. Pukul 11.45 malam, pintu bilik hotel kami buka dengan penuh rasa kesyukuran.
Syukur, walaupun ujian datang bertimpa-timpa banyak nikmat menanti kami sepanjang dua hari berseminar. Perjalanan Pulau Pinang - Ipoh yang sepatutnya cuma 2 jam menjadi hampir 12 jam. Sepanjang tempoh itu saya dan Kak Murni sempat bermuhasabah diri dan sempat lebih mengenali. Walaupun sesekali terdetik mahu mengalah dan pulang saja, sesekali terasa mahu menangis tapi kami tawarkan rasa-rasa negatif dengan sedikit tawa mempersendakan diri kami sendiri. Mental dan fizikal kami cukup letih dalam perjalanan ini tapi secebis semangat dan ingatan bahawa Allah itu ADA melihat dan menjaga, mendengar dan memakbulkan doa-doa hambanya memberi kekuatan untuk kami terus bertahan.
Alhamdulillah, terima kasih Allah
Terima kasih Dr. Sukainah kerana bekalkan cheese tart
Terima kasih para pakcik Polis Bantuan PLUS
Terima kasih pakcik cleaner R&R Gunung Semanggol
Terima kasih Pakcik Ujang
Terima kasih adik stesen minyak
Terima kasih Tuan Eric (sepupu Kak Murni)
Terima kasih uncle guard Hotel Regalodge
Terima kasih juga Kak Murni sebab sudi bersusah payah bersama saya.
Terima kasih semua!