Rezeki malam pertama
Tiba di Medan 6.00 p.m waktu tempatan (7.00 p.m di Malaysia). Terus ke hotal Royal Perintis. Check-in, solat Jamak Taqdim dan terus bersiap untuk makan malam di kediaman salah seorang urusetia yang juga merupakan pelajar seliaan guru saya. Kami menikmati makan malam - nasi dengan sambal tempe, lontong, rendang dan masak tauchu. Alhamdulillah, rezeki malam pertama.
Duit oh Duit!
Hari ke-2 bermula awal. Usai Solat Subuh berjemaah, tazkirah tentang kemiskinan dan akibatnya d Indonesia mengambil tempat.
"melihat suasana fasiliti di sini - rasa insaf dan bersyukur dengan nikmat yang kita ada di Malaysia"Dikatakan bahawa, selepas tragedi Tsunami, banyak NGO dari luar hadir ke Acheh dan mengambil anak-anak Acheh yang kehilangan ibu bapa lantas memurtadkan mereka. Juga didakwa program memurtadkan ini memfokuskan kepada golongan miskin - memberi wang untuk perdagangkan akidah. Maka bapak yang memberikan tazkirah menyatakan kaedah untuk membasmi keadaan ini adalah melalui pembangunan ekonomi.
-suerism
Siang itu guru saya berucap di Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU). Pada zaman Rasulullah, ada golongan yang memang tidak disuruh oleh Baginda untuk bekerja sehingga kaya. Mereka hidup dalam keadaan zuhud, digelar golongan suffah. Namun ada juga yang tidak mahu menjadi kaya hingga mahu mendermakan seluruh hartanya tetapi dilarang oleh Nabi.
"Happiness is positively associated with higher income only up to the level where all basic biological needs get fullfilled"Bagi saya, kalau kaya tetapi tak dapat bantu si miskin, nak buat apa? Miskin itu mengundang kufur, kaya juga mengundang kufur! Pokoknya, kembali pada Allah. Biar miskin harta jangan miskin iman. Yang miskin usaha dengan taqwa, yang kaya memberi dengan taqwa.
-M. Umer Chapra
Solat jemaah
Satu perkara paling terkesan buat saya sepanjang di Medan adalah cara guru saya mendisiplinkan kami - anak muridnya melalui solat jemaah. Kami solat bersama hampir pada setiap waktu solat. Usai solat, rakan-rakan dari Medan akan menyampaikan tazkirah dan berkongsi cerita yang bermanfaat buat kami. Ada yang bercerita tentang kesusahan hidup bertani semasa kecil - hingga tak pernah bermimpi untuk berpeluang belajar sehingga Ph.D di negara orang. Ada juga yang bercerita tentang susahnya mencari sumber kewangan semasa melanjutkan pelajaran di Malaysia tetapi tetap mahu bernikah - dan mendapatkan rezeki dengan lebih mudah selepas bernikah. Ada juga kisah gempa susulan setelah gempa melanda Acheh ketika kami di Medan. Seribu satu kisah, yang hampir kesemuanya memberi peringatan kepada diri saya sendiri, untuk bersyukur kerana dilahirkan dan diberi peluang untuk melihat dunia sebagai seorang Wan Norhaniza.
Membentang
Hari ke-2 diisi dengan sesi pembentangan kertas kerja. Kami membentang saat peperiksaan kemasukan diadakan. Sesekali selepas ujian tamat, loceng dibunyikan sambil pengumuman "ujian tamat" berkumandang di corong amplifier.
10 minit diberikan untuk setiap pembentang. Bagi yang cukup bersedia, masa yang diberikan tidak mencukupi. Tapi untuk yang antara bersedia dengan tidak, ditambah dengan darah gemuruh, 10 minit itu terlalu lama untuk saya! Maklumlah, bila sudah gementar, butir kata dah jadi macam machine gun!

Ada juga yang tertinggal slide show di kamar hotel. Salute dengan audien di UMSU ini. Walaupun tanpa slide show, mereka tidak lost malah semakin memberikan tumpuan (dengan wajah yang cukup tense!). Tindakan penganjur memberikan kertas kerja penuh juga membolehkan peserta workshop terus membacanya sambil mendengar penerangan pembentang. Bukan semata-mata mendengar. Mereka mencatat nota dan bertanya soalan.
Batuk
3 hari sebelum ke Medan, tekak saya sudah mula sakit dan batuk-batuk. Bimbang juga kalau suara tak mahu keluar ketika giliran saya membentang. Dengan segala macam doa dan zikir yang terlintas di kepala, saya mula membentang. Gemuruh pada awalnya hilang serta merta selepas lafaz salam saya berikan kepada audiens. Suara keluar lantang. Alhamdulillah, doa sejak di Malaysia dimakbulkan Allah. Selesai membentang, saya batuk kembali. Tak apa lah. Yang penting dapat membentang.
Scenery
Salah satu perkara yang saya gemar tentang Medan adalah pemandangannya. Dari tempat kami menginap di pinggiran kota Medan, sampailah ke Danau Toba di Parapat. Semuanya menakjubkan buat saya. Pemandangan kemacetan (sesak/jam) kota merupakan pemandangan yang paling biasa. Dan di Toba, kehijauan flora dan kebiruan langit dan tasik mengambil tempat menghias pandang. Bukanlah saya kagum dengan kereta yang bersesak-sesak. Kagum itu ada pada penghuninya. Masyarakat Medan ini sangan lembut hatinya. Kalau di Penang, sesak begitu mengundang marah. Tapi di Medan kesesakan sudah menjadi punca rezeki. Ada yang berjualan kepada pemandu dan penumpang kereta. Ada juga mengambil peluang meminta sedekah. Orang-orang di Medan ini juga kuat bekerja. Dari anak kecil hinggalah yang bangka. Terfikir, betapa saya dikelilingi segala macam kesenangan, tapi masih malas belajar sedangkan ada anak-anak kecil di sini tiada peluang bersekolah pun!
Makan!

Sepanjang berada di Medan, semua makanan - dari sarapan hinggalah ke makan malam disediakan oleh pihak urusetia. Sarapan di hotel dan di seminar atau workshop, kami makan nasi kotak (saya beri nama ini kerana nasinya berada di dalam kotak). Tuah bermusafir dengan guru, kami turut dibelanja makan ikan bakar di Belawan (tepi laut). Makan malam pula disediakan oleh pelajar pensyarah-pensyarah saya di kediaman mereka, secara bergilir-gilir. Senang kata, kami tak perlu risau tentang makanan sepanjang berada di Medan. Cuma perlu hati-hati kerana masakan mereka lebih pedas berbanding masakan melayu biasa di Malaysia.
Shopping
Perkara wajib setiap rakyat Malaysia yang mampir ke Medan (dan kota lain di Indonesia) adalah shopping. Pertukaran matawang selalu membuatkan rakyat Malaysia merasakan harga barangan di Indonesia lebih murah berbanding dengan di Malaysia. Sebenarnya tidaklah semurah mana. Malah ada lagi yang lebih murah di Malaysia. Tapi ye lah, sudah di tempat orang, mahu juga membeli tanda mata untuk dibawa pulang.
Kalau selalu shopping dikaitkan dengan wanita, perjalanan ini membuktikan bukan cuma wanita yang gemar bershopping! Oh, sebelum bertolak ke Medan, saya berazam untuk tidak bershopping. Azam tersebut gagal. 1juta Rupiah yang saya bawa cuma tersisa 2 ribu rupiah (lebih kurang 60sen). Apa yang saya beli? DVD dan VCD, novel dan buku-buku lainnya. Mujur juga cuma bawa 1 juta. Kalau bawa lebih, makin banyaklah yang dibeli. Akibat dari shopping besar-besaran ini, ramai rakan-rakan yang terpaksa membeli beg tambahan kerana mahu membawa pulang barangan yang dibeli. Kebanyakannya kain, telekung dan bika ambon. Had 15 kg yang diberikan oleh Air Asia tidak mencukupi sehingga ada yang terpaksa mengagihkannya sesama kami.

Saya kesuntukan masa untuk bercerita lebih panjang lagi. Sebenarnya ada terlalu banyak perkara yang saya alami sepanjang seminggu di Medan. Tetapi biarlah perkara-perkara tersebut tersimpan antara saya dengan Allah. Musafir kali ke-2 ke Medan buat diri saya, membuka peluang untuk saya berhijrah dari seorang Wan Haniza kepada Wan Haniza yang lebih baik. InsyaAllah. Terima kasih Medan, terima kasih untuk semuanya.










