Kalau awak tahu payahnya melawan keinginan diri sendiri
Kalau awak tahu betapa sesekali saya teringin buat U turn
Kalau awak tahu deritanya bila kaki kanan mahu ke Barat dan kaki kiri mahu ke Timur
Bukan mudah melawan diri, melawan kehendak, kemahuan hati. Bukan mudah untuk berubah menjadi baik. Selepas jadi baik, lebih sukar lagi untuk menjadi lebih baik. Bertambah-tambah sukar lagi untuk tetap istiqamah menjadi baik.
Setiap orang pasti mahu menjadi lebih baik. Baik yang macam mana? Terpulang kepada interpretasi masing-masing. Tapi, yang pastinya baik yang terbaik tentulah baik yang mengikut neraca Allah. Caranya tentulah berdasarkan al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w. Tapi bukan mudah bukan?
Kalau dulu Linkin Park, Metallica, Mas Idayu, Sheila on 7, Jay Chou jadi halwa telinga. Bukan mudah nak tukar terus kepada bacaan 'Surat Cinta' oleh Said al-Ghamidi atau si cilik Ahmad Saud. Mungkin perlu transition kepada Raihan, Dawud Wharnsby Ali dan Maher Zain dulu.
Kalau dulu Cecilia Ahern, Sophie Kinsella dan J.K Rawling jadi peneman sebelum tidur, bukan mudah nak tukar terus kepada terjemahan al-Quran atau tafsir al-Azhar. Mungkin kena transition dengan majalah Solusi atau novel Kang Abik.
Kalau dulu skinny jean dengan baby-t jadi uniform harian, bukan mudah nak terus tukar dengan jubah dan tudung labuh. Mungkin kena transition dengan seluar dan blouse longgar dulu.
Dan semasa fasa transition tu, bukan senang nak cakap kat hati dan nafsu supaya sabar dan kuat. Bukan senang nak bagitahu kat iman supaya teguh dan selalu-selalulah bertambah, jangan berkurang.
Bila duduk seorang diri, bila tak ada orang yang kenal di kiri dan kanan, ada je yang berbisik, "Tak ada orang tahu kalau kau buat balik benda lama". Bukan mudah nak lawan bisikan tu. Bukan senang nak kata kat hati supaya sabar dan selalu ingat walaupun tak ada orang kenal kita, tapi Allah selalu ada. Malaikat yang dok catit pahala dan dosa pun ada.
Jadi kawan-kawan, kalau ada sesiapa yang anda kenali cuba untuk change for good, cuba untuk berubah menjadi yang lebih baik di sisi Allah, bantulah mereka. Bantulah supaya U-turn kepada fasa 'jahiliyah' tak berlaku. Janganlah diejek janganlah dihina. Janganlah ditambah susah pada hati yang dah sedia payah.
ps: Ya Allah, Ramadhan ini, Kau jadikanlah ia gerbang untukku berhijrah


