Monday, February 20, 2012

The Remedy


Takdir Allah, bukan saja-saja Dia bawa kau ke sini. Dan bila Dia bawa kau ke sini, tentu sekali Dia akan bawa kau melaluinya.

The remedy, is in your hand. Use it..wisely.

InsyaAllah :)

Himnae!

Sunday, February 12, 2012

The Eraser's Love

The conversation between the Pencil & Eraser give us a big message:

Pencil: I'm sorry . . . I made a mistake again . . .

Eraser: Never mind, my dear . . . you didn't do anything so wrong that it can not be corrected . . .

Pencil: I'm sorry . . . because you get hurt because of me. Whenever I made a mistake, you're always there to erase it. In making my mistakes vanish, you lose a part of yourself. You get smaller and smaller each time.

Eraser: That's true. But I don't really mind. You see, I was made to do this. I was made to help you whenever you do something wrong. I want you to be correct . . . always.

Pencil: I am happy that you are always there to correct me. I do not know how I will do without you . . .

Eraser: I know one day I'll be gone. But you'll replace me with a new one or an alternative. I love to be with you and I'm actually happy doing my job. So please, stop worrying. I hate seeing you sad. I wish, eventually you will learn to do your job without the need for me.


I found this conversation between the Pencil and the Eraser very inspiring. Parents are like the Eraser whereas their children are the Pencil. They're always there for their children, cleaning up their mistakes and encouraging them to correct themselves. Sometimes along the way . . . they get hurt, become reduced, older, brittle and in the end, pass on. The Parents are aware that the children will eventually find someone new (spouse), yet they are always happy doing their bit for their children. They hate to see their precious ones worrying or sad; rather they wish their children do a good job and make a lasting mark in this world.

This is for all those loving parents out there . . . and to their lovely children who are striving hard (as never before) to make their mark in this world.

We never know the love of our parents for us till we have become parents.

Source: Muhammad-SAW-The-Last-Messenger

Wednesday, February 01, 2012

Cara Rasulullah s.a.w

Maulid Nabi dah semakin dekat. Rasanya tak salah kalau sempena hari lahir/kewafatan orang yang paling kita sayang ini kita jadikan sebagai pemula kepada amalan gaya hidup yang baru.

Jom kita amalkan cara Rasulullah s.a.w menjaga kesihatan diri. Umat yang sihat insyaAllah boleh jadi umat yang kuat kan!


SELALU BANGUN SEBELUM SUBUH

Rasulullah mengajak umatnya untuk bangun sebelum Subuh bagi melaksanakan solat sunat, solat fardu dan solat Subuh secara berjemaah.

Antara hikmahnya mendapat limpahan pahala, kesegaran udara subuh yang baik terutama untuk merawat penyakit tibi serta memperkuatkan akal fikiran.

AKTIF MENJAGA KEBERSIHAN

Rasulullah sentiasa bersih dan rapi. Setiap Khamis atau Jumaat, Baginda mencuci rambut halus di pipi, memotong kuku, bersikat serta memakai minyak wangi.

“Mandi pada hari Jumaat adalah sangat dituntut bagi setiap orang dewasa. Demikian pula menggosok gigi dan pemakai harum-haruman.” (Hadis riwayat Muslim)

TIDAK PERNAH MAKAN BERLEBIHAN

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Kami adalah satu kaum yang tidak makan sebelum lapar dan apabila kami makan tidak terlalu banyak (tidak sampai kekenyangan).” (Muttafaq Alaih)

Dalam tubuh manusia ada tiga ruang untuk tiga benda: Sepertiga untuk udara, sepertiga untuk air dan sepertiga lainnya untuk makanan.

Bahkan ada satu pendidikan khusus bagi umat Islam iaitu dengan berpuasa pada Ramadan bagi menyeimbangkan kesihatan selain Nabi selalu berpuasa sunat.

GEMAR BERJALAN KAKI

Rasulullah berjalan kaki ke masjid, pasar, medan jihad dan mengunjungi rumah sahabat. Apabila berjalan kaki, peluh pasti mengalir, roma terbuka dan peredaran darah berjalan lancar.

Ini penting untuk mencegah penyakit jantung. Berbanding kita sekarang yang lebih selesa menaiki kenderaan. Kalau mahu meletakkan kenderaan, mesti letak betul-betul di hadapan tempat yang hendak kita pergi.

TIDAK PEMARAH

Nasihat Rasulullah ‘jangan marah’ diulangi sampai tiga kali. Ini menunjukkan hakikat kesihatan dan kekuatan Muslim bukanlah terletak pada jasad, tetapi lebih kepada kebersihan jiwa.

Ada terapi yang tepat untuk menahan perasaan marah iaitu dengan mengubah posisi ketika marah, bila berdiri maka hendaklah kita duduk dan apabila sedang duduk, maka perlu berbaring.

Kemudian membaca Ta’awwudz "A'uzubillahi minasy syaitaanir rajiim"
(ﺍﻋﻮﺬ ﺑﺎﻟﻠﻪ ﻣﻦ ﺍﻟﺸﻴﻄﻥ ﺍﻟﺮﺟﻴﻢ) kerana marah itu daripada syaitan, segera mengambil wuduk dan solat dua rakaat bagi mendapat ketenangan serta menghilang kan gundah di hati.

OPTIMIS DAN TIDAK PUTUS ASA

Tidak berputus asa saat menghadapi rintangan atau kegagalan malah terus berusaha melakukan yang terbaik. Melihat bahawa dalam setiap masalah ada hikmahnya, setiap kesusahan pasti ada kemudahannya.

Sikap optimis memberikan kesan emosional yang mendalam bagi kelapangan jiwa selain perlu banyakkan sabar, istiqamah, bekerja keras serta tawakal kepada Allah s.w.t.


TIDAK PERNAH IRI HATI

Bagi menjaga kestabilan hati dan kesihatan jiwa, semestinya kita perlu menjauhi daripada sifat iri hati. Sifat dengki dan cemburu yang negatif juga tergolong dalam kumpulan ini.

“Ya Allah, bersihkanlah hatiku dari sifat-sifat mazmumah dan hiasilah diriku dengan sifat-sifat mahmudah.”


PEMAAF

Pemaaf adalah sifat yang sangat dituntut bagi mendapatkan ketenteraman hati dan jiwa. Memaafkan orang lain membebaskan diri kita daripada dibelenggu rasa kemarahan.

Sekiranya kita marah, maka marah itu melekat pada hati. Justeru, jadilah seorang yang pemaaf kerana yang pasti badan sihat.

"BAHAGIA sebenarnya bukan MENDAPAT tetapi dengan MEMBERI. Sebenarnya, banyak lagi cara hidup sihat rasulullah.. semoga hati kita semakin dekat dengan Nabi yang amat kita rindukan pertemuan dengannya.."

Oleh Ustaz Zawawi Yusof
sumber: LayarMinda

Wednesday, November 30, 2011

Solat


"Apabila telah ditunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung."
al-Jumu'ah:10

Monday, November 28, 2011

Kerana Mulut

Orang tua-tua kata, 'Kerana pulut santan binasa. Kerana mulut badan binasa.'
Tak apalah kalau badan yang binasa itu badan si tuan punya mulut. Tapi yang teruknya kalau badan yang binasa tu badan orang lain.

Al-kisah, seorang teman saya bakal membina masjid tidak berapa lama lagi. Persiapan sedang giat dijalankan. Biasalah, orang Melayu nak bernikah. Mesti ada dulang dan hantarannya. Mesti ada adat dan aturannya. Perkara-perkara biasa yang biasa dilakukan dalam masyarakat Melayu.

Tetapi bukan semua perkara biasa itu penting dan menepati syariat. Malah, bukan semua perkara biasa itu sebenarnya baik dan berkualiti. Teman saya dan pasangannya kedua-duanya orang Pantai Timur. Tak tahulah adat dan kebiasaan di Pantai Timur serupa atau tidak dengan di bahagian Selatan. Tapi ada satu kebiasaan yang sama dengan kebiasaan di Utara khususnya di Kedah. Saya pun baru tahu bahawa masyarakat Pantai Timur dan Kedah tidak digalakkan bernikah pada bulan Muharram. Ada kepercayaan bahawa jika bernikah pada bulan ini, rumah tangga yang dibina bakal bermasalah. Tapi, setahu saya bulan Muharram itu cuma diharamkan berperang. Tak pernah pula ustaz dan ustazah mengajar tidak boleh bernikah ketika Muharram.

Teman saya dan pasangannya berkeras untuk meneruskan perancangan mereka untuk bernikah. Dan sejak itu, bermacam kata-kata dilemparkan kepada teman saya ini daripada orang sekeliling. Biasalah, mula dengan berkata tentang satu perkara. Kemudian berjangkit kepada perkara lain. Mula-mula hanya bersungut tentang tarikh kemudian berjangkit kepada barangan hantaran. Lantas melarat hingga kepada soal hati dan keikhlasan. Teman saya ini perempuan. Bukan mudah baginya untuk menghadapi 'cucukan-cucukan' dan diperli setiap hari. Saya yang mendengar inipun terasa hangat hati memikirkan 'ke-sibuk-an' orang disekeliling teman saya, inikan tuan punya badan. Hampir saja mereka putus tunang kerana bila dicucuk dan diperli begitu, teman saya sendiri mula meragui keikhlasan si lelaki untuk memperisterikannya.


Kisah yang lain, tentang seorang kenalan yang cantik jelita. Memilih si teruna yang kurang kacak lagi tidak bergaya sebagai suami. Tapi baik budi bahasa. Dengar kata solatnya tidak tinggal. Kakitangan kerajaan berpangkat tinggi pula. Dah dikatanya orang mereka tidak sepadan. Katanya kenalan saya itu lawa, tak sesuai dengan pasangannya yang tidak lawa. Yang tak bestnya, bila saya terpaksa mendengar ocehan begini berulang kali. Jenuh jugalah mendengar yang buruk-hodoh tentang lelaki itu. Saya yang tak ada kaitan dengan lelaki itupun sebal mendengar kata orang dok mengutuk, inikan pula kenalan saya a.k.a si isterinya.

Berpada-pada dalam berkata. Kalau kita nampak benda negatif, baik telan dan muhasabah dulu, cari yang positif tentang orang atau perkara itu. Usahlah mudah sangat melempar kata. Kalau sekadar mengguris hati kemudian yang terguris itu membelasah kita, masih tak apa-apa. Tapi kalau disebabkan kata-kata kita itu buat rumah tangga orang runtuh, buat masjid yang baru nak dibina musnah, buat silaturrahim terputus, tak ke berdosa besar? Sebab itu lah Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya "Tidak masuk ke syurga pemutus silaturrahim" (h.r. al-Bukhari dan Muslim)

Besar peranannya mulut dan lidah kita ini. Allah beri untuk kita menikmati kehidupan. Jangan sampai nanti kerana lidah yang tidak bertulang kita menyukarkan kehidupan orang. Cukup kalau kita menyusahkan kehidupan kita. Sebab bila kita susahkan orang kat dunia, nanti nasib kita di masa hadapan di dunia atau di masa hadapan di akhirat belum tentu pastinya.


Ingat-ingat, sebab dari mulut boleh terjadi fitnah. Kan lebih baik kalau kemampuan berbicara yang Allah beri ini kita gunakan untuk kebaikan. Bagi nasihat ke, saling mendoakan ke, nyanyi nasyid dan selawat ke. Kan lebih bagus. Hati kita senang, orang yang mendengar pun senang. Sama-sama dapat pahala, sama-sama dikasihi Allah.

InsyaAllah.

ps: lebih baik diam daripada berkata yang sia-sia (lagi tak best kalau berkata yang merosakkan)

Monday, November 21, 2011

Thailand (Bhg 2): Khap kun khaa

Selepas makan tengah hari di Kampus Walailak University di Nakhon Sitammarat, rombongan kami bertolak menuju ke Kampung Ban Nua di Songkhla. Alhamdulillah, kami tiba di sana sebelum maghrib dan sempat menunaikan solat jamak takhir di Masjid Ban Nua yang indah, besar dan multi-function. Selesai solat Asar+Zohor, kami dijamu makan malam di masjid oleh penduduk kampung. Lauknya, ikan sungai, kari ayam dan tom yam udang serta sambal belacan. Memang menepati selera! Makan secepat mungkin, kami langsung menunaikan solat Maghrib dijamak dengan solat Isyak di masjid tersebut. Inilah untungnya bergelar musafir. Allah ringankan solat dan boleh digabung-gabung. Tapi kena pastikan melebihi 2 marhalah ye. Jangan pula suka-suka nak menjamak dan mengqasarkan solat ikut sesedap rasa ye.


Selesai solat di tingkat atas masjid, kami berkumpul di tingkat bawah yang turut menempatkan bilik mesyuarat berhawa dingin, tadika dan bilik pejabatt. Seorang pakcik muncul di depan. Ajan (panggilan untuk pensyarah) Razak umumkan, siapa yang mahu menjadi anak angkat pakcik tersebut. Hanya untuk 5 orang. Saya, Kak Murni, Azrin, Leny dan Salima angkat tangan hampir serentak. Dan jadilah kami anak angkat Haji Daud. Anak beliau, Pi (untuk kakak) Sau yang sungguh peramah membawa kami ke rumah Haji Daud. Pi-Sau membonceng Azrin, Leny dan Salima menggunakan motor-beca (cholei) yang kalau di Malaysia biasanya digunakan untuk membawa barang oleh penjaja. Saya pula disuruh untuk menunggang sendiri skuter-vespa dan dibonceng oleh Kak Murni. Merasa saya membawa motor di negara orang. Di kediaman keluarga Haji Daud, kami membersihkan diri dan berehat sebentar menghapus lelah.

Sekitar pukul 8 malam waktu Thailand (lewat 1 jam dari Malaysia), kami berkumpul semula di bilik mesyuarat Masjid Ban Nua untuk mendengar taklimat dan sesi dialog dengan wakil imam masjid tersebut. Macam cerita saya sebelum ini, Dr. Chairat telah menemukan bahawa di Kampung Ban Nua masjid tersebut berperanan sebagai pusat yang bertindak dalam membangunkan ekonomi, pendidikan dan sistem sosial penduduk muslim khususnya dan seluruh kampung amnya. Sesi dialog mendapat sambutan hangat meskipun waktu itu saya sendiri sudah hampir tidak mampu mencelikkan mata. Kekaguman dapat dilihat terhadap tokoh kampung tersebut, Imam (Dr.) Tabrani yang berusaha untuk membangunkan kampung secara holistik dan bukan setakat dalam aspek agama semata-mata. Satu perkara yang menarik perhatian, Dr. Tabrani kini berusia lewat 40-an dan beliau telah menjadi imam di masjid tersebut sejak sepuluh tahun yang lalu. Berdasarkan keadaan fizikal masjid dan kampung serta cerita penduduk kampung, saya menjadi kagum memikirkan bagaimana beliau dapat menyatukan kampung dan qariah masjid serta menjadi pemimpin yang disegani pada usia muda. Kalau sekarang lewat 40-an, maknanya beliau telah menjadi imam sejak usianya 30-an dan sejak itu beliau mengepalai pembangunan masjid dan kampung. Ayah angkat saya juga ada bercerita bahawa penduduk kampung sangat menghormati Dr. Tabrani dan usaha beliau membangunkan perkampungan nelayan tersebut. Sungguh, walaupun kampung tersebut tidak sebersih Putrajaya (sekadar menyebut), tapi kampung tersebut memang jauh lebih bersih dari mana-mana kampung nelayan (dan kampung biasa) di Malaysia.

Selesai taklimat, kami pulang ke kediaman keluarga angkat masing-masing. Kami berlima bersama Asmah dan Maria, pelajar WU yang turut bersama kami menginap di kediaman keluarga Haji Daud menaiki lori kecil untuk ke kediaman keluarga angkat kami. Ala-ala mangsa banjir pun ya juga. Menariknya bermusafir ke tempat orang, apa saja keadaan kami harungi. Kalau di tempat sendiri, mana mungkin sudi menaiki lori. Sombong kan! Ramai-ramai diangkut dengan lori, kami saling mentertawakan satu sama lain. Apa nak dikata? Nikmati saja pengalaman yang mungkin takkan dapat dirasa di tempat sendiri.

Haji Daud dan Mak Wai (isterinya) sangat baik hati. Meskipun waktu sudah lewat, mereka masih berjaga menantikan kepulangan kami dengan hidangan buah-buahan dan manisan tempatan tersedia menanti dijamah. Kantuk bermaharajalela, kami jamah juga sedikit meraikan kebaikan mereka. Tiada bilik khusus untuk kami bertujuh tidur. Kami diberikan ruang yang ditutup dengan tirai. Beberapa kali Haji Daud datang bertanyakan keadaan kami. Bimbang benar mereka suami isteri jika kami tidak selesa. Walaupun tidak dapat berkomunikasi dengan lancar dengan kami, tapi jelas terlihat niat baiknya untuk memastikan kami selesa di rumah mereka.


Untungnya kami ditakdirkan menginap bersama Asmah, beliau rupanya mahir mengurut. Kak Murni yang sakit kaki diurut dengan urutan ala-Thai yang bagi orang seperti saya amat menyakitkan! Sempat juga Leny belajar serba sedikit. Mana tahu, boleh dipraktikkan pada masa hadapan :)

Subuh masih belum tiba. Tiba-tiba terdengar suara jeritan. Salima menjerit! Asmah yang tidur di sebelahnya bingkas bangun. Dan pagi itu, kisah Salima menjerit sebelum Subuh menjadi topik utama kami. Seekor ketam yang bakal dijual oleh Mak Wai terlepas dari raga dan mengganggu Salima. Mujur saja sepit besar ketam tersebut sudah diikat rapi. Kalau tak, barangkali hilang jari kaki Salima. Apa nak kami jawab pada suaminya nanti? Kisah Salima dan En. Crabnya jadi gurauan kami dan beliau, kami panggil Madam Crab :)

Pagi itu Haji Daud yang senang dipanggil Ayah menjamu kami nasi kerabu versi Songkhla yang sedikit manis dan tidak berwarna biru. Ada lagi hidangan lain seperti pulut kelapa dan pulut ubi. Hidangan biasa sarapan masyarakat Siam. Kalau anda punya susur galur Siam, pasti sudah biasa dengan hidangan seperti ini.


Pagi itu kami berkumpul di masjid sekali lagi sebelum bersiar-siar sekeliling kampung melihat pembangunan fizikal dan beramah mesra dengan penduduk kampung. Kak Murni yang sakit kaki malam sebelumnya membuatkan Ayah risau. Beliau berikan krim kepada Salima sebagai langkah berjaga-jaga jika Kak Murni sakit lagi. Beliau sebenarnya tidak membenarkan Kak Murni berjalan kaki untuk keliling kampung dan menyuruh saya membawa skuter-vespa yang tersedia di tepi tempat kami berhimpun. Tapi, mana mungkin kami selesa menungguang kenderaan sedangkan kawan-kawan lain berpanas berjalan kaki. Kami tolak niat baiknya dengan lembut. Tak apa-apa, kaki Kak Murni masih boleh berjalan, syukur.

Ayah satu-satunya keluarga angkat yang menyertai ahli rombongan mengelilingi kampung. Beliau ada hampir di mana-mana kami berada. Beliau menunggu kami dipinggir jalan untuk memberikan air mineral kepada kami. Saat berpisah kerana kami mahu ke pekan Hadyai untuk membeli -belah, Ayah katakan maaf kerana tidak dapat pergi bersama-sama. Saya dan Salima ucapkan terima kasih berulangkali kepada Ayah kerana sudi menerima dan melayani kami meskipun dalam keadaannya yang serba kekurangan. Tidak terasa kekurangan itu. Walaupun cuma satu malam kami menghuni kediaman keluarganya, rasa sayang dan silaturahim mekar dalam hati kami berlima terhadap Ayah, Mak Wai dan Pi-Sau serta Asmah dan Maria.

Ketika mahu berkeliling kampung, saya juga telah bertemu dengan kawan lama. Lakkana namanya. Beliau dulu pelajar 'In-house training' di USM. Kini menjadi pengajar di sekolah yang didirikan di sebelah masjid. Siapa sangka, setelah hampir lima tahun tidak mendengar berita, kami dipertemukan di hadapan kediaman Ayah. Lakkana rupanya jiran Ayah.


Selesai sesi di Ban Nua, kami menuju ke Hadyai untuk membeli-belah. Bagi orang muda seperti saya, tidak banyak yang memikat hati untuk dibeli-belahkan. Wang 1000 Baht yang dibawa saya belanjakan secara paksa. Harganya hampir sama dengan harga barangan di Malaysia dan barang-barangnya juga hampir sama dengan Malaysia. Mungkin kalau suri rumah yang pergi, banyak yang mahu dibeli. Ada sutera Thai dan periuk belanga.


Pulang ke Malaysia kami singgah di Masjid Al-Bukhari yang indah dan mempunyai konsep hampir sama dengan Masjid Ban Nua. Kedua-duanya multi-functional. Kedua-duanya punya tokoh yang bertindak membangunkannya meskipun dalam cara yang berbeza. Alhamdulillah, semoga Islam terus subur di kawasan Tenggara ini dengan tokoh-tokoh Islam. Bukan sekadar punya ilmu tinggi tetapi juga ekonomi yang hebat beserta akhlak yang superb. Susah, tapi tidak mustahil kan!

Syukur, musafir 3 hari 2 malam ke Selatan Thailand membuka lembaran baru hidup saya. Melihat sendiri Islam di negara majoriti beragama Buddha. Melihat Islam yang harmoni di negara yang selalu saja berita antarabangsa memburuk-burukkannya. Menyaksikan keluhuran hati penduduk kampung yang terbuka menerima kami, orang asing yang selalu perasan bagus. Dan merasai kehidupan di perkampungan nelayan. Banyak yang saya belajar. Musafir kali ini terasa seperti sedang mengambil kursus SILATURRAHIM 101 pula. Alhamdulillah, Terima kasih, Allah.

Dialah Yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, maka berjalanlah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezki-Nya. Dan hanya kepada-Nya-lah kamu (kembali setelah) dibangkitkan.

al-mulk (67:15)


Tuesday, November 15, 2011

Thailand (Bhg 1): Sawat dee khaa


Perjalanan saya bersama ISDEV kali ini membawa saya dan rakan-rakan ke negara jiran, Thailand. Berbeza dengan perjalanan ke luar negara sebelum-sebelum ini, perjalanan kali ini saya lalui dalam keadaan kurang bersedia. Mungkin kerana saya masih dalam mood bercuti. Maklumlah, raya haji kan baru saja berlalu.

Saya sangka ini sekadar kunjungan ilmiah biasa. Seperti yang biasa saya sertai sebelum-sebelum ini. Bila pulang, saya masih saya dan biasanya kunjungan-kunjungan itu tidak banyak memberi kesan kecuali sebagai latihan menguatkan fizikal dan mental.

Tapi kunjungan ke Thailand atau lebih tepat Nakhon Sitammarat dan Songkhla berbeza daripada biasa. Mungkin kerana orang-orang yang bersama saya berbeza daripada sebelum ini. Kunjungan kali ini saya diletakkan dalam bas yang dipenuhi pelajar junior yang masih ramai belum saya ingat namanya. Rakan-rakan yang biasa bersama-sama saya ketika bermusafir juga bertukar. Kali ini saya sentiasa bergerak berlima bersama Salima, Azrin, Leny dan Kak Murni. Walaupun sudah lama kenal, tapi ini kali pertama kami bersama berlima ke mana-mana sahaja.

The King, the Queen and the Video-man (?). Gambar Raja dan Permaisuri Thailand boleh dilihat di mana-mana saja. Barangkali pegangan Raja sebagai 'wakil Tuhan' yang kita belajar masa sekolah dulu masih diamalkan di sana. Barangkali saja ya.

Perjalanan ke kampus Walailak University (WU) memakan masa hampir 12 jam. Pagi-pagi lagi, ketika di Penang saya sudah diserang migraine mungkin kerana tidak tahan silau matahari yang begitu cemerlang. Alhamdulillah, selepas mengambil ubat, sakit berkurangan dan penglihatan kembali pulih sebelum tengah hari. Rombongan dua bas kami singgah sebentar di Selatan Thailand untuk solat Jumaat dan makan tengah hari. Makanan Thai tidak jauh berbeza dengan makanan Malaysia (sebenarnya orang Malaysia yang dah biasa makan makanan Thai). Cuma, pedasnya berkali ganda! Selepas makan tengah hari, saya doa banyak-banyak berharap agar tidak sakit perut akibat kuah-yang-macam-masak-kuning-cili padi yang terlalu pedas. Syukur, perut bekerjasama untuk baik sentiasa dan cuma sakit sedikit dalam perjalanan pulang ketika hampir sampai ke Penang. Itu pun akibat kelalaian saya.

Keadaan bas dan cuaca panas memang menduga kesihatan. Kak Murni pula diserang migraine. Tapi lebih teruk dari saya. Ketika itu kami sudah tiba di WU dan berada di dalam bilik mesyuarat mendengar ucapan dari rektor WU dan guru saya. Tiba-tiba Kak Murni menangis. Terlalu sakit barangkali. Saya kelam kabut mengemas barang mengangkat beg sendiri dan beg Kak Murni di sebelah tangan dan sebelah lagi memapah Kak Murni yang sudah lemah. Kami berdua terduduk di lantai setelah keluar dari bilik mesyuarat. Ketika itu seorang gadis berpurdah datang membantu. Penuh prihatin dan simpati, kami memapah Kak Murni turun ke tingkat bawah. Kak Murni saya dudukkan di dalam bilik air. Dia terlelap sebentar di dalam bilik air setelah keletihan melawan sakit. Waktu itulah saya berbual dengan gadis yang membantu kami. Namanya Amani dari Narathiwat. Pelajar tahun akhir jurusan farmasi di WU yang fasih berbahasa Melayu. Mujur dia membantu.

Kak Murni semakin pulih dan selepas makan malam, rombongan kami mengundurkan diri ke Rumah Tamu WU. Sebelum menaiki bas, saya dan Kak Murni bersalam dan berdakapan dengan Amani. Terima kasih dari saya dan maaf Kak Murni ucapkan padanya. Ketika di bilik, berulang kali Kak Murni meminta maaf kepada saya. Saya balas, tidak apa-apa. Sakit bukan datang dijemput. Lagipun, kalau Kak Murni tidak sakit, mungkin kami tidak dapat berkenalan dengan Amani kerana Amani tidak menyertai kami pada keesokan harinya.

Malam itu, kami menyungkil bakat baru. Leny yang menginap di bilik sebelah datang ke bilik kami bersama Azrin. Waktu Leny memicit Kak Murni, kami dapati dia berbakat dan pandai mengurut. Leny sendiri tidak tahu tentang bakatnya. Hikmah nombor 2 Kak Murni kurang sihat. Hehe.

Associate Professor Dr. Chairat

Hari kedua, kami 'dihidangkan' dengan ilmu dan pengalaman akademik dari ISWU (Islamic Studies & Muslim Community Development, Walailak University) dan ISDEV. Pembentangan Assoc. Prof. Dr. Chairat menarik perhatian saya dengan gambar-gambar banjir di Bangkok ber'caption' sinikal dan dihiasi lelucon. Bagi beliau, kemelut yang dihadapi mangsa-mangsa banjir Bangkok yang ditunjukkan dalam gambar-gambar tersebut sebenarnya adalah dilema yang dihadapi oleh ISWU dalam cubaan mereka membangunkan perkampungan nelayan di Ban Nua, Songkhla. Menarik bagi saya, Dr. Chairat mengaku kesilapan ISWU dalam membina teori. Beliau mengaku, peranan ISWU sebagai pusat dalam membangunkan kampung tersebut sama sekali salah. Dan pusat yang berperanan membangunkan kampung tersebut sebenarnya adalah masjid di Kampung Ban Nua itu sendiri.

Bagi saya, bukan mudah orang yang berpangkat dan berkedudukan mahu mengaku kelemahan dan kekurangan mereka. Kita sendiri, punya ego masing-masing. Kalau di Malaysia, lihat saja golongan pentadbir dan berkuasa. Bila ada masalah pada polisi atau peraturan yang mereka tetapkan, ada saja alasan dan cara memutarkan fakta. Tapi, Dr. Chairat dan ISWU dengan lapang dada mengaku kelemahan mereka malah menawarkan persahabatan kepada ISDEV untuk membantu mereka merealisasikan impian untuk menjadikan Kampung Ban Nua sebagai kampung contoh khususnya untuk Muslim di Thailand.

Petangnya, kami di bawa berkunjung ke Ban Nua di Wilayah Songkhla. Perjalanan jauh sekali lagi kami harungi.

Kisah selanjutnya saya cerita pada Bahagian 2 ya! Kalau cerita semua di sini, terlalu panjang pula nanti. Juling mata nak membacanya. Sampai sini dulu ya!


Daahhh~