Tuesday, November 15, 2011

Thailand (Bhg 1): Sawat dee khaa


Perjalanan saya bersama ISDEV kali ini membawa saya dan rakan-rakan ke negara jiran, Thailand. Berbeza dengan perjalanan ke luar negara sebelum-sebelum ini, perjalanan kali ini saya lalui dalam keadaan kurang bersedia. Mungkin kerana saya masih dalam mood bercuti. Maklumlah, raya haji kan baru saja berlalu.

Saya sangka ini sekadar kunjungan ilmiah biasa. Seperti yang biasa saya sertai sebelum-sebelum ini. Bila pulang, saya masih saya dan biasanya kunjungan-kunjungan itu tidak banyak memberi kesan kecuali sebagai latihan menguatkan fizikal dan mental.

Tapi kunjungan ke Thailand atau lebih tepat Nakhon Sitammarat dan Songkhla berbeza daripada biasa. Mungkin kerana orang-orang yang bersama saya berbeza daripada sebelum ini. Kunjungan kali ini saya diletakkan dalam bas yang dipenuhi pelajar junior yang masih ramai belum saya ingat namanya. Rakan-rakan yang biasa bersama-sama saya ketika bermusafir juga bertukar. Kali ini saya sentiasa bergerak berlima bersama Salima, Azrin, Leny dan Kak Murni. Walaupun sudah lama kenal, tapi ini kali pertama kami bersama berlima ke mana-mana sahaja.

The King, the Queen and the Video-man (?). Gambar Raja dan Permaisuri Thailand boleh dilihat di mana-mana saja. Barangkali pegangan Raja sebagai 'wakil Tuhan' yang kita belajar masa sekolah dulu masih diamalkan di sana. Barangkali saja ya.

Perjalanan ke kampus Walailak University (WU) memakan masa hampir 12 jam. Pagi-pagi lagi, ketika di Penang saya sudah diserang migraine mungkin kerana tidak tahan silau matahari yang begitu cemerlang. Alhamdulillah, selepas mengambil ubat, sakit berkurangan dan penglihatan kembali pulih sebelum tengah hari. Rombongan dua bas kami singgah sebentar di Selatan Thailand untuk solat Jumaat dan makan tengah hari. Makanan Thai tidak jauh berbeza dengan makanan Malaysia (sebenarnya orang Malaysia yang dah biasa makan makanan Thai). Cuma, pedasnya berkali ganda! Selepas makan tengah hari, saya doa banyak-banyak berharap agar tidak sakit perut akibat kuah-yang-macam-masak-kuning-cili padi yang terlalu pedas. Syukur, perut bekerjasama untuk baik sentiasa dan cuma sakit sedikit dalam perjalanan pulang ketika hampir sampai ke Penang. Itu pun akibat kelalaian saya.

Keadaan bas dan cuaca panas memang menduga kesihatan. Kak Murni pula diserang migraine. Tapi lebih teruk dari saya. Ketika itu kami sudah tiba di WU dan berada di dalam bilik mesyuarat mendengar ucapan dari rektor WU dan guru saya. Tiba-tiba Kak Murni menangis. Terlalu sakit barangkali. Saya kelam kabut mengemas barang mengangkat beg sendiri dan beg Kak Murni di sebelah tangan dan sebelah lagi memapah Kak Murni yang sudah lemah. Kami berdua terduduk di lantai setelah keluar dari bilik mesyuarat. Ketika itu seorang gadis berpurdah datang membantu. Penuh prihatin dan simpati, kami memapah Kak Murni turun ke tingkat bawah. Kak Murni saya dudukkan di dalam bilik air. Dia terlelap sebentar di dalam bilik air setelah keletihan melawan sakit. Waktu itulah saya berbual dengan gadis yang membantu kami. Namanya Amani dari Narathiwat. Pelajar tahun akhir jurusan farmasi di WU yang fasih berbahasa Melayu. Mujur dia membantu.

Kak Murni semakin pulih dan selepas makan malam, rombongan kami mengundurkan diri ke Rumah Tamu WU. Sebelum menaiki bas, saya dan Kak Murni bersalam dan berdakapan dengan Amani. Terima kasih dari saya dan maaf Kak Murni ucapkan padanya. Ketika di bilik, berulang kali Kak Murni meminta maaf kepada saya. Saya balas, tidak apa-apa. Sakit bukan datang dijemput. Lagipun, kalau Kak Murni tidak sakit, mungkin kami tidak dapat berkenalan dengan Amani kerana Amani tidak menyertai kami pada keesokan harinya.

Malam itu, kami menyungkil bakat baru. Leny yang menginap di bilik sebelah datang ke bilik kami bersama Azrin. Waktu Leny memicit Kak Murni, kami dapati dia berbakat dan pandai mengurut. Leny sendiri tidak tahu tentang bakatnya. Hikmah nombor 2 Kak Murni kurang sihat. Hehe.

Associate Professor Dr. Chairat

Hari kedua, kami 'dihidangkan' dengan ilmu dan pengalaman akademik dari ISWU (Islamic Studies & Muslim Community Development, Walailak University) dan ISDEV. Pembentangan Assoc. Prof. Dr. Chairat menarik perhatian saya dengan gambar-gambar banjir di Bangkok ber'caption' sinikal dan dihiasi lelucon. Bagi beliau, kemelut yang dihadapi mangsa-mangsa banjir Bangkok yang ditunjukkan dalam gambar-gambar tersebut sebenarnya adalah dilema yang dihadapi oleh ISWU dalam cubaan mereka membangunkan perkampungan nelayan di Ban Nua, Songkhla. Menarik bagi saya, Dr. Chairat mengaku kesilapan ISWU dalam membina teori. Beliau mengaku, peranan ISWU sebagai pusat dalam membangunkan kampung tersebut sama sekali salah. Dan pusat yang berperanan membangunkan kampung tersebut sebenarnya adalah masjid di Kampung Ban Nua itu sendiri.

Bagi saya, bukan mudah orang yang berpangkat dan berkedudukan mahu mengaku kelemahan dan kekurangan mereka. Kita sendiri, punya ego masing-masing. Kalau di Malaysia, lihat saja golongan pentadbir dan berkuasa. Bila ada masalah pada polisi atau peraturan yang mereka tetapkan, ada saja alasan dan cara memutarkan fakta. Tapi, Dr. Chairat dan ISWU dengan lapang dada mengaku kelemahan mereka malah menawarkan persahabatan kepada ISDEV untuk membantu mereka merealisasikan impian untuk menjadikan Kampung Ban Nua sebagai kampung contoh khususnya untuk Muslim di Thailand.

Petangnya, kami di bawa berkunjung ke Ban Nua di Wilayah Songkhla. Perjalanan jauh sekali lagi kami harungi.

Kisah selanjutnya saya cerita pada Bahagian 2 ya! Kalau cerita semua di sini, terlalu panjang pula nanti. Juling mata nak membacanya. Sampai sini dulu ya!


Daahhh~

0 menconteng: