Semasa dalam perjalanan pulang dari Parapat menuju ke Medan tempoh hari, saya diminta untuk mengulas tentang lagu 'Isteri Solehah' oleh Saff-One. Saya biasa dengan lagu tersebut tapi bila bercampur dengan gemuruh sebab kena bercakap depan ramai orang secara mengejut, terus jadi blank. Sebaris lirik pun tak muncul dalam kepala saya untuk dianalisis. Okay. Saya analisis lagu tu di sini saja lah ya.

Isteri solehah – saff one
Isteri cerdik yang solehah
Penyejuk mata, penawar hati, penajam fikiran
Di rumah dia isteri, di jalanan kawan
Di waktu kita buntu, dia penunjuk jalan
Bukan sebarang solehah, isteri dambaan (wah!) dalam lagu ini seorang yang cerdik. Memandangkan 'cerdik' disebut terlebih dahulu, wanita ini mungkin seorang yang cerdik semasa suntinya. Selepas menjadi isteri, barulah menjadi isteri yang solehah (kalau tak, wanita solehah je lah).
Disebabkan dia solehah, dia bersedia menghias dirinya untuk suami dan melayan suami suka dan duka. Disebabkan dia cerdik, dia menjadi penajam fikiran buat suaminya. Di rumah, dia bersedia menjalan tanggungjawabnya sebagai isteri. Dan bila di luar (jalanan), dia bersedia menemani suaminya. Bukan sekadar teman saja-saja, tapi teman dalam berjuang (ini guru saya yang bagi tahu). Maknanya, si isteri turut sama berjuang. Macam isteri Rasulullah SAW dan sahabat dulu. Bila keluar berjihad, ada antara isteri yang ikut serta. Ada yang merawat para mujahidin, ada yang menyediakan makan dan minum. Malah ada yang turut mengangkat pedang. Bukannya merungut dan marah-marah pada suami bila suami pulang lewat dari tempat kerja atau keluar berdakwah. Bukannya suami keluar berfoya-foya dan membuat maksiat kan.
Pandangan kita diperteguhkan
Menjadikan kita tetap pendirian
Ilmu yang diberi dapat disimpan
Kita lupa, dia mengingatkan
Pandangan dalam rangkap ini boleh jadi ada dua maksud. 1. Penglihatan; 2. Pendapat/fikiran. Kalau maksudnya penglihatan, mungkin sang suami diperteguhkan kerana kesudian isteri solehah tadi untuk berhias sebaik mungkin di hadapan suaminya. Memandangkan isterinya sendiri pun sudah secantik bidadari di dunia, buat apa lagi nak memandang perempuan lain di luar kan?
Tapi saya lebih cenderung kepada maksud kedua iaitu pendapat atau fikiran. Sejak awal lagi CERDIK ditekankan sebagai kata kunci yang sangat penting dalam lagu ini. Isteri yang cerdik ini mampu memberi pendapat dan buah fikiran kepada suaminya, sekali gus membolehkan pandangan sang suami tadi dikukuhkan. Ini berkait dengan baris seterusnya. Isteri yang cerdik ini mudah faham dan mudah mengingat ilmu yang diajarkan kepadanya.
Nasihat kita dijadikan pakaian
Silap kita, dia betulkan
Penghibur di waktu kesunyian
Terasa ramai bila bersamanya
Tapi, cerdik saja tidak solehah pun tak boleh juga. Sebab, cerdik itu mungkin boleh membuatkan kita sombong dan ego. Orang ego kan tak boleh dinasihat dan di tegur. Isteri yang solehah boleh menerima nasihat suaminya. Pakaian di sini mungkin bermaksud sebagai penutup kekurangan dirinya. Contohnya, sang suami menegur masakan isteri termasin. Isteri yang solehah tak kan merajuk tetapi sebaliknya memperbaiki masakannya. Kalau tak pandai masak, belajar memasak dengan orang yang pandai. Bukan mogok tak mahu masak. Ini contoh je ye.
Memandangkan isteri ini cerdik dan solehah, dia tahu membezakan mana yang benar dan yang salah. Jadi kalau suaminya tersilap, dia tahu perbuatan itu silap dan dia tahu cara untuk memperbetulkannya. Adanya isteri cerdik dan solehah ini juga sang suami tidak merasa sunyi. Terasa ramai boleh juga membawa maksud terasa meriah, gembira dan senang hati. Tapi bukanlah maknanya si isteri ini boleh jadi badut atau pelawak di hadapan suaminya. Kan isteri ini cerdik. Jadi mungkin sang suami boleh bertukar-tukar fikiran dan berbincang tentang hal kerja, hal dunia, hal politik dengan isteri. Taklah terbatas setakat hal rumah tangga sahaja.
Dia umpama tongkat si buta
Bila tiada satu kehilangan
Dia ibarat simpanan ilmu
Semoga kekal untuk diwariskan
Dua baris teratas dalam rangkap ini menunjukkan betapa sang suami tadi bergantung pada isterinya. Agak-agak, kalau isteri dia tiba-tiba kena outstation, sang suami cari baju kerja pun tak jumpa kot :) Okay, gurau.
Orang buta, tak bertongkat pun masih boleh jalan kan? Tapi mungkin sedikit sulit berbanding kalau ada tongkat. Tongkat tu untuk mempermudahkan, untuk membantu, untuk melancarkan perjalanan. Begitu jugalah isteri yang cerdik dan solehah. Adanya dia, hidup lebih mudah, lebih lancar dan lebih bermakna.
Memandangkan dia seorang yang cerdik maka ilmu yang ada padanya pun banyak dan dengan mudah pula mewariskan atau mengajarkan anak-anaknya ilmu yang bermanfaat.
“Dunia itu adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia ialah wanita yang solehah.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Wah~
Hebat kan isteri yang cerdik dan solehah ini. CERDIK dan SOLEHAH ye. Tak ada salah satu pun tak bagus juga. Tapi realiti hidup sekarang ini, bukan mudah mahu menjadi yang cerdik DAN solehah. Wanita sekarang belajar tinggi-tinggi dan berpangkat tinggi. Bila terbiasa memberi arahan di pejabat maka mungkin terbawa-bawa ke rumah. Jadi kalau tak cukup solehah, mungkin boleh jadi Queen control di rumah.
Contoh terbaik isteri cerdik dan solehah bagi saya ialah Saidatina Khadijah r.a, isteri Rasulullah SAW. Kerana cerdiknya, beliau dapat menguruskan harta warisan keluarganya hingga menjadi wanita hartawan pada zaman jahiliyah sedangkan wanita zaman itu kebanyakannya hanya menjadi pemuas nafsu. Masa Rasulullah menggigil ketakutan selepas menerima wahyu pertama, beliau menyelimutkan Baginda dan menenangkannya. Beliau korbankan hartanya untuk perjuangan Islam.
Banyak lagi lagu-lagu nasyid (dan bukan nasyid) yang menjadikan isteri/muslimah sebagai tema. Tapi tak jumpa pula lagu yang menyatakan ciri-ciri suami soleh. Kalau isteri saja solehah, tak sempurna lah keluarga. Suami juga mesti soleh. Mesti boleh jadi pemimpin (imam) dalam solat dan dalam keluarga.
ps: Untuk kawan-kawan yang baru mendirikan rumah tangga, semoga menjadi isteri solehah. Kalau yang belum jadi isteri siapa-siapa, boleh jadi wanita solehah dulu ya!