Showing posts with label bulan Islam. Show all posts
Showing posts with label bulan Islam. Show all posts

Thursday, July 11, 2013

Terlepas sahur

2 Ramadhan. Saya terlepas sahur. Jaga pagi tadi, jam pada HTC sudah pukul 6.01 pagi.

Semalam saya makan sikit saja. Azam tahun ini nak makan seadanya waktu berbuka. Lepas terawih pun cuma makan seketul donut.

Hari ni tak buat apa-apa pun. Berkurung saja di hostel. Rasa lesu sungguh. 

Waktu nak Zohor tadi, kaki hampir tersepak botol air di tepi kepala katil. Tabiat sebelum tidur, minum air. Jadi botol air memang selalu ada dekat dengan katil. Saya pegang dan alihkan ke meja belajar. Tergerak di hati nak curi minum. Bukan ada orang nampak. Kan?

Tapi...

Betul ke tak ada yang nampak?

Allah kan sentiasa nampak. Dia Yang Maha Melihat. Ada pula dua malaikat di kiri dan kanan yang mencatit.

Betullah firman Allah: 
http://c00022506.cdn1.cloudfiles.rackspacecloud.com/2_183.png

Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa
[al-Baqarah, 2:183]

Puasa melatih kita untuk amanah dengan tanggungjawab sebagai hamba. Puasa melatih kita untuk percaya bahawa Allah sentiasa ADA. Puasa melatih kita untuk menjadi hamba yang bertaqwa.

Rasa lesu dan tak berdaya belum hilang. Tapi setakat tak makan sehari, insyaAllah tak mati. Ramai lagi yang sedang kelaparan bukan sekadar tak bersahur, malah mungkin berbuka semalam pun mengharap belas orang.

Saya masih bertahan. Ada hampir 5 jam lagi. Tulis tesis dulu, pelan-pelan.

Thursday, November 15, 2012

Selamat Berhijrah!

Assalamualaikum

Alhamdulillah, setahun dah berlalu. Maknanya, bertambah lagi setahun kiraan tahun Hijrah kita. Biasanya tahun baharu kita semua sibuk buat azam baharu. Azam lama belum tertunai, kita carry on tahun ini pula.

Alhamdulillah, penghujung 1433 (minggu lepas) saya diberi kesempatan berkunjung ke Brunei Darussalam bersama Tok Guru saya serta dua orang pensyarah lain. InsyaAllah, banyak yang saya belajar. Beberapa hari pulang dari Brunei, saya terima emel layang menegur cara saya berpakaian. Katanya, kalau berbaju kurung lebih comel berbanding dengan berseluar. Dan ada juga sedikit ayat yang kurang proper untuk ditulis di sini.

Mula-mula baca emel tersebut, terkejut juga. Wah! Macam ahli politik pula terima emel layang! Syukur pun ya juga. Ada juga makhluk Allah yang sudi menegur saya. Walaupun saya rasa ayatnya tak berapa nak proper, tapi yang penting isinya kan. Terima kasih tak terhingga buat si pelayang emel yang sudi melayangkan emel memberi teguran walaupun dalam masa yang sama memberi kutukan. Semoga Allah membalas budinya. Saya nak balas tak boleh sebab saya tak tahu siapa pelayangnya. Pelayang emel tersebut menggunakan nama Wan Azizah Mahzan. Epik sungguh! Terbayang aktres Azizah Mahzan yang berlakon jadi Datin Sufiyah dalam Ombak Rindu.


Saya pernah ditegur tentang perwatakan saya yang sedikit kasar dan kegemaran saya memakai seluar. Malah saya juga pernah dikutuk sebagai anti lelaki sebab saya agak garang dengan lelaki. Mulut orang, bukan mulut tempayan. Mulut tempayan boleh lah kita tutup tapi mulut orang, nak tutup dengan apa? Kot satu hari nanti Allah bagi bisu pun, tangannya masih boleh menaip mengata orang kan? Nak buat macam mana, saya membesar dengan abang dan abang sepupu serta kawan-kawan abang. Main basikal, panjat pokok memang perkara biasa. Bila abang masuk asrama, tanggungjawab sebagai anak sulung jatuh ke bahu saya. Waktu tingkatan 3, saya dipaksa belajar membawa motorsikal. Mula-mula memang takut. Tapi setelah 11 tahun menjadi penunggang tegar, saya lebih selesa dengan motorsikal berbanding kereta. Tapi kalau nak kata saya anti lelaki, kurang logik lah kot. Kegarangan saya dengan lelaki sebenarnya lebih kepada untuk menjaga diri. Yalah, kalau berlemah lembik nanti dapat pula emel layang kata saya menggedik pula kan!

Tapi kata-kata kutukan dan kritikan ini sebenarnya kalau diambil dari sudut positif insyaAllah boleh menjadikan kita manusia yang lebih baik. Betul, bukan senang nak terus bersabar bila dikata macam-macam terutamanya kalau melibatkan fizikal kita. Kita, tak pernah mahu mempunyai kekurangan. Tapi kalau Allah dah beri kekurangan itu pada kita, maknanya ada juga kelebihan lain yang Allah kirimkan bersama. Kan Rasulullah SAW ada berpesan:

“Sesungguhnya ALLAH Ta`ala tidak melihat pada bentuk tubuhmu dan tidak pada rupa parasmu, tetapi DIA melihat pada hatimu.”
 (HR Muslim)

Sebelum kita nak rasa bengang dan marah bila menghadapi kutukan atau kritikan ini, lebih baik kalau kita ambik point penting daripada kutukan dan kritikan tersebut. Kalau melibatkan sesuatu yang tak boleh diubah, anggap saja orang yang mengata tu tak percaya kuasa Allah. Betulkan? Rupa paras kita, tinggi rendahnya kita, atau penyakit yang kita hadapi, mana mampu untuk kita ubah. Itu semuakan Allah yang beri. Suka-suka hati je nak mengata ciptaan Ilahi.

Tapi, kalau kutukan atau kritikan itu melibatkan kelemahan kita yang boleh kita ubah, apa salahnya kan untuk kita ubah. Kalau sebelum ini kita kasar, mungkin boleh ubah dengan menjadi sedikit lembut. Tapi kena pastikan lembut bersyariatlah. Antaranya melalui cara berjalan dan bercakap.

"Dan sederhanalah kamu dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk ialah suara keledai." 
[Surah Luqman, 31:19]

Tapi tengok juga pada siapa kita patut lunakkan suara sebab Allah ada berfirman yang maksudnya:

"Hai isteri-isteri Nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya dan ucapkanlah perkataan yang baik" 
[Surah al-Ahzab, 33:32]

OK, kita bukan isteri Nabi. Tapi kita mahu kan jadi wanita bertakwa. Lagi pula, orang-orang yang berpenyakit dalam hati ini ada di mana-mana. Jangan lihat yang berserban besar, berkopiah dan berjanggut itu tentu-tentu beriman, beramal, bertakwa. Manusia biasa, tiada yang maksum. Jadi selagi boleh, kita jaga diri kita daripada orang-orang yang berpenyakit hati ini.


Kesimpulannya, mula-mula kita kena bersyukur dengan diri kita. Terima apa yang Allah dah berikan pada kita dan cari hikmah setiap pemberian Allah pada kita. Lepastu, terima kutukan dan kritikan secara positif. Baiki mana-mana yang boleh dibaiki. Yang mana tak boleh, kita cuba minimum kan. Dan yang terakhir, istiqamah dalam memperbaiki diri. Tak perlu tunggu orang tegur. Sentiasa berusaha untuk jadi yang lebih baik di sisi Allah. Berubah kerana Allah, berhijrah semata-mata kerana Allah. Bukan untuk menutup mulut orang.

Oh panjangnya saya berleter! OK lah sampai jumpa lagi. Selamat tahun baharu 1434 Hijrah! SELAMAT BERHIJRAH!

ps: azam tahun baharu - nak jadi perempuan Melayu terakhir :p

Sunday, August 26, 2012

Selepas Raya..

Assalamualaikum w.b.t.,

Alhamdulillah, Syawal sudah seminggu menjenguk kita. Macam mana Aidilfitri anda? Seronok beraya? Alhamdulillah, kalau seronok.

Tapi realiti tak sentiasa seronok. Betul tak? Akibat budaya kita, orang Melayu ni, biasanya Aidilfitri datang bersama masalah. Tak, saya tak maksudkan yang Aidilfitri tu negatif. Cuma budaya kita beraya yang buatkan 1 Syawal tercemar. Sepatutnya Aidilfitri untuk raikan kemenangan selepas berjuang semasa Ramadhan. Tapi, kalau yang tak menang pun meraikan beriya-iya, hm... . Okay. Jom lihat apa masalah yang selalu mengHANTUi orang Melayu kita selepas Aidilfitri tiba.

1. Masalah kewangan

Syawal ke-2, terpampang di dada akhbar tentang laporan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) tentang peningkatan permintaan untuk sesi kaunseling kewangan selepas Syawal. Akhbar turut melaporkan tentang permintaan pinjaman yang meningkat di pusat pinjaman 'berlesen' dan bank. Dan pinjaman ini semuanya 'berbunga-bunga'.

Beli apa banyak sangat untuk raya sampai kena berhutang tu? Dan lagi, bunga dalam pinjaman tu bukan bunga mawar yang mekar wangi atau bunga raya yang patriotik tu. Tapi bunga yang boleh buat orang jadi gila. Kan Allah SWT ada berfirman yang maksudnya:

"Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu, adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Orang-orang yang telah sampai kepadanya larangan dari Tuhannya, lalu terus berhenti (dari mengambil riba), maka baginya apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum datang larangan); dan urusannya (terserah) kepada Allah. Orang yang kembali (mengambil riba), maka orang itu adalah penghuni-penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya."
[Al-Baqarah, 2: 275]

Sengsara dengan masalah kewangan dah satu hal. Kemudian tertekan dengan peminta hutang pula. Lagi teruk sebab Allah pula laknat. Maka sengsaralah sekarang kerana tidak berwang, sengsara masa hadapan sebab berhutang dan sengsara pula di akhirat sana sebab Allah dan janji azab kerana mengambil riba.

Jadi harus bagaimana? Berayalah seadanya. Tak salah nak berbaju baru sedondon satu warna seluruh keluarga. Tapi sepasang sudahlah. Tak perlu lah dengan langsir dan alas meja pun mahu sedondon. Tak perlu juga sampai 7 pasang baju raya untuk awak seorang. Begitu juga dengan makanan dan segala macam kuih muih. Kata kuncinya, berpada-pada. Beli dengan iman, guna akal dan ukur-ukur duit sendiri.

2. Masalah kemalangan

Tak berapa berani nak tulis bab ini sebab saya sendiri pun pernah kemalangan seminggu sebelum raya tiga tahun yang lalu. Tapi musim perayaan memang sangat sinonim dengan kemalangan. Jumlah kenderaan meningkat di lebuh raya. Ramai yang tak mahu patuh dengan undang-undang lalu lintas. Ramai juga yang memandu dengan emosional. Tak terkira yang memandu dalam keadaan letih dan mengantuk. Tapi masih terus mahu memandu.

Macam-macam jenis kemalangan yang sempat saya saksikan sepanjang perjalanan Kedah-Perak-Rawang tempoh hari. Ada yang terperosok di bawah lori (moga-moga penunggang motorsikal tersebut selamat). Ada yang terbabas ke parit. Ada juga yang melanggar kereta hadapan.

Hati-hatilah memandu. Jangan lupa baca basmallah dan doa yang sepatutnya. Kalaupun Allah takdirkan 'ter'kemalangan, jangan sampai ada nyawa melayang kerana kecuaian kita.

3. Masalah berat badan

Semasa Ramadhan lalu, berjaya turun 5 kg. Tapi bila raya, naik pula 8 kg. Alahai~ Nak buat macam mana? Dari azan maghrib selepas berakhirnya 29 Ramadhan kita dok pelahap rendang-ketupat-lemang dan segala macam hidangan khas raya. (Oh sangat terkena batang hidung sendiri).

4. Masalah rumah tangga

Saya terima sms siang tadi, teman saya yang baru saja bernikan hujung tahun lalu sedang menimbang-nimbang untuk bercerai dengan suaminya. Bergaduh sikit-sikit berebut giliran untuk beraya di rumah orang tua masing-masing adalah perkara biasa. Tapi bercerai? Hm...

Apa kata, Aidilfitri ini kita muhasabah diri sebentar (sepatutnya bukan Aidilfitri saja. tiap-tiap hari pun perlu bermuhasabah). Berhenti sejenang memikirkan kekurangan dan kelemahan pasanga. Sebaliknya, fikir tentang kekurangan dan kelemahan kita. Cuba perbaiki. Dan dalam masa yang sama, cuba terima kekurangan dan kelemahan pasangan. Cuba juga untuk beradaptasi untuk menyesuaikan diri dengan sikap dan sifat antara suami isteri.

Bercerai bukan macam putus cinta dan putus tunang. Kan Rasulullah SAW ada bersabda:

"Perbuatan halal yang dimurkai Allah ialah talak"
[Riwayat Abu Daud dan Hakim]

Kita tak mahu murka Allah kan? Bincang lah elok-elok sebagai dua orang yang dewasa dan matang. Gunakan akal rasional yang ditemani selalu dengan iman. InsyaAllah ada jalan penyelesaiannya. Tapi untuk itu, langkah paling penting, buangkan ego anda. Ya, ego-sombong-bongkak-perasanbagus-sendirisajabetuloranglainsemuasalah-tapimasarayabukanmainsalammintamaaf


Ada banyak lagi masalah lain macam masalah putus jari akibat mercun dan beberapa yang saya tak mahu sebut.

Bila tengok masalah-masalah kat atas ni, nampak benar yang kita tak kembali kepada fitrah yang sepatutnya. Bukankah pada Aidilfitri kita sepatutnya suci kembali, putih kembali, macam asalnya fitrah kita waktu ibu kita lahirkan dulu?

Bercakap dan menuliskan semua ini dalam blog memang mudah. Tapi realitinya? Pahit amat! Buat kawan-kawan yang tak menghadapi masalah-masalah yang dinyatakan di atas, Alhamdulillah dan tahniah. Tapi tak salahkan untuk hati-hati dan ambil langkah pencegahan.

Be practical, be rational dan yang paling penting setiap amalan tu kita sandarkan kepada iman kepada Allah. 

“Tidak akan berzina seorang penzina itu sekiranya di kala dia berzina itu dia berada dalam keimanan. Tidak akan mencuri seorang pencuri itu sekiranya di kala dia mencuri itu dia berada dalam keimanan. Tidak akan meminum arak seorang peminum arak itu sekiranya di kala dia meminum arak itu dia berada dalam keimanan.”
[H.R. Bukhari, Muslim, Tirmizi, An-Nasa’ie, Abu Daud, Ibn Majah, Ahmad]

Friday, August 17, 2012

Selamat~


Semoga Ramadan telah membuka lembar baru dalam kehidupan kita. Semoga kita antara para pemenang yang berhak untuk sambut Aidilfitri.

Selamat hari raya semua. Mohon maaf dari hujung tudung sampai hujung sarung kaki. Salah silap harap dimaafkan.

ps: makan rendang, ketupat, lemang berpada-pada. nanti badan terkejut ^_^

Thursday, August 16, 2012

Balik kampung~

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh

InsyaAllah, Ramadhan sudah semakin ke penghujung dan Aidilfitri dah semakin dekat. Khusus untuk rakan-rakan yang bakal bermusafir balik kampung untuk menyambut lebaran, ini ada doa yang dikongsikan daripada Ustaz Dr. Zahazan Mohamed sebelum kita meninggalkan kediaman/tempat tinggal. Semoga perjalanan anda semua lancar dan diberkati Allah SWT. 
أَسْتَوْدِعَ اللهَ دِيْنَكَ وَ أَمَانَتَكَ وَ خَوَاتِيْمَ عَمَلِكَ
Maksudnya: 
Aku pertaruhkan/titipkan agamamu, amanatmu (keluarga dan harta benda) dan perbuatanmu yang terakhir kepadamu Allah.” -Riwayat at-Tirmizi

Monday, August 06, 2012

Puasa kita

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh.

Wah separuh Ramadan telah kita lalui. Apa khabar puasa dan ibadah rakan-rakan sekalian? Harap makin hebat lah ye. Ke sibuk buat persediaan raya je? Jangan lah macam tu. Kena dahulukan apa yang dahulu, kemudiankan apa yang kemudian. Puasa dahulu, baru raya kan? Jadi lebihkan amal ibadah semasa berpuasa berbanding persediaan beraya. 

Tak, saya tak kata pun salah nak buat persediaan raya. Nak sambut raya gilang gemilang pun tak salah. Tapi raya Aidilfitri tu kan lambang kemenangan. Beriya-iya kita sambut sedangkan kita tak menang pun. Tak malu ke? Tapi kalau benar kita ni orang yang menang, Alhamdulillah. Boleh lah sambut raya dengan penuh kejayaan.

Okay. Sedang saya sibuk-sibuk mencari jurnal di laman sesawang database untuk menulis tesis, saya terjumpa satu artikel tentang Melayu. Tajuk artikel tersebut, Malays oleh Ronald Provencher (2004) yang menulis tentang orang Melayu dan cara hidup orang Melayu di Malay Archipelago (Kepulauan Melayu). Penulis ada menyentuh tentang puasa di bulan Ramadan. Katanya,
the Fasting Month (Ramadan) which is the annual celebration of God’s greatest gift, the Holy Koran.The monthlong fast that precedes this ceremonial weeklong feast is not absolute, of course. It is a fast (kuasa) that begins with the first daily prayer (just at first light in the morning) and ends just after sundown each day of the month of Ramadan. Evenings, into the early morning hours, are spent drinking iced sweet drinks, eating especially tasty foods, and performing and listening to the message and beauty of Koranic verses. Very few people lose and many gain weight during the fasting month.

Dari perspektif 'Orang Putih' ini, sepanjang tempoh boleh makan semasa Ramadan, dari senja sampai ke awal pagi diisi dengan meminum minuman dingin yang manis, memakan makanan yang lazat-lazat dan membaca dan mendengar ayat-ayat al-Quran. Sangat sedikit yang turun berat badan dan ramai pula yang meningkat berat badan semasa bulan puasa.

Memandangkan ini sebuah artikel dari jurnal saintifik, saya percaya penulisan ini bersandarkan kajian saintifik beliau. Paling tidakpun, melalui pemerhatian.

Saat membaca artikel ini, saya tertawa sendiri. Ada betulnya juga. Waktu berbuka, kita makan. Kemudian selepas solat maghrib, kita makan lagi. Kemudian selepas solat isyak dan tarawih, kita makan lagi. Dan yang paling penting, air sejuk yang manis-manis itu, jarang sekali tertinggal. Macam wajib pula kan.


Saya tertawa tapi terasa juga malunya. Begitu rupanya yang kelihatan pada puasa kita, orang Melayu. Alahai. Tak apalah. Kalau dah 16 hari kita buat macam tu, apa kata lagi 13 hari seterusnya kita isi dengan lebih baik. Makan dan minum semasa berbuka kita sederhanakan. Amal ibadah kita pertingkatkan. Moga-moga separuh masa kedua Ramadan ini membawa iman kita ke tahap yang lebih tinggi sampai tahap orang-orang yang bertakwa. Puasa kita kan untuk Allah. Kan? Kan? InsyaAllah.

"Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa." 
al-Baqarah, 2:183

Wallauhu'alam.



Thursday, July 19, 2012

Siapa?

You’re not defined of what you were and what you are.
You are not defined by of where you were or where you are. 

You’re defined on how you act on it, wherever you are.
Hlovate

Bukan pekerjaan dan status kita dulu dan pekerjaan dan status kita sekarang yang menentukan siapa kita. Bukan di mana kita dulu dan di mana kita sekarang yang menentukan siapa kita. Tapi bagaimana tindak-tanduk kita, di mana saja kita berada yang menentukan siapa kita sebenarnya.

Kita cuma orang biasa yang takdir masa depan kita masih belum tahu atas atau bawah, mulia atau hina, syurga atau neraka. Itu pun masih ada hati mahu berlagak?

Allah tak nilai kita dengan B.Sc, M.A atau Ph.D. Allah nilai hubungan kita dengan Dia, dan hubungan kita dengan kita-kita. Hablumminallah, hablumminannas. Allah nilai taqwa kita.


Ramadan dah nak sampai. Masih lagi mahu ego dan sombong melangit? Simpati pada lapar dan dahaga pada saudara seakidah di bumi bergolak masih mahu cuma diisi dengan dengkuran di siang hari? Macam Ramadan yang lepas-lepas, masih lagi mahu berbuka dengan hidangan melimpah tak muat meja?

Ramadan ini, ayuh lebih produktif. Berusaha dan bekerja di siang hari, ibadah sungguh-sungguh malamnya. Ramadan ini, ayuh kembara iman. Ke tingkat lebih tinggi lagi.

ps: terasa rindu pada Chad, Fend dan K2. Nama mereka sinonim dengan Ramadan buat saya.