Tuesday, February 05, 2013

Gelemat



Kelam
Lautan gelita terbentang luas
Ada bintang berbaris tiga
Tegak menyusur pusat sembahan
Kelam
Celik dalam kegelapan
Indah dalam hitam yang pekat
Tunduk dalam kemegahan
Kelam
Kau terasa dekat
Cinta terasa mekar
Harum memenuhi tenggorokan
Kelam
Hati terasa penuh
Pundak terasa ringan
Belikat terasa lapang
Sulbi terasa teguh
Kelam...
Damai memenuhi ku
Dalam pelukan agung.

Haniza Hasan
12.00 p.m
Pondok Ilmu

Wednesday, January 30, 2013

Perang

Saya sedang berperang dengan diri sendiri. Akal sedang berperang dengan hati. Mata sedang berperang dengan telinga. Jiwa sedang berperang dengan iman. Jasad sedang berperang dengan rohani. Cinta sedang berperang dengan benci. Bidalan Melayu ada berkata, bersatu teguh bercerai roboh. Nak bagi berdamai semula, pasang lagu M.Nasir sekejap. Lama dah tak dengar puisi-puisi Sifu. Sesekali mendamaikan seorang wanneeza dengan lagu puisi yang abstrak. Mendamaikan dan menaikkan semangat kembali. Yah! Akal, hati, mata, telinga, jiwa, iman, jasad dan rohani, mari berdamai. Kita mahu berperang dengan peperangan yang lebih hebat lagi nanti! Ayuh!


Bila Rumi Menari
Kita menari bukan sebarang tarian
Asalnya dari tanah orang-orang pilihan
Bila terdengar masnawi ciptaan maulana
Ku bunuh nafsu lebur rantainya dari badan

Hingga hilang bangga diri
Berani hidup berani mati
Bagai musafir bertemu janji
Ini Darwis sudah gila berahi

Kita tak rindu pada siasah dunia
Perangkapnya membuat manusia hampa
Untuk bertemu impian bukan percuma
Mengorbankan yang tersangat kita cinta

Bagai Yunus dimakan paus
Ibrahim tak makan api
Bertemu kekasih di malam kudus
Luka di badan tak terasa lagi
Pukullah rebana jantungku bersyairlah maulana
Aku mabuk hakiki mendengar suaramu

Sayang... pada mereka yang tak mengerti
Sayang... pada hati tertutup mati
Bagai sangkar tanpa penghuni
Burung berharga terlepas lari

Rindu (ya maulana)
Kembali bertemu (ya maulana)
Hatiku merindukan pemiliknya (ya maulana)
Rindu (ya maulana)
Kembali bersatu (ya maulana)
Kembali bersatu dengan yang dikasihi

ps: nak bertemu impian memang tak percuma. mesti ada cinta yang perlu dikorbankan. biasalah.

Wednesday, January 23, 2013

Belajarlah

"Aku berlindung kepada Allah agar tidak termasuk orang-orang yang bodoh" 
[al-Baqarah, 2:67]

Friday, January 18, 2013

Calling Names

Zaman kanak-kanak Ribena dulu, saya selalu dipanggil dengan pelbagai gelaran yang saya tak suka. Tok Wan lah, haiWan lah Wan-two-three lah caWan lah aWan lah. Pendek kata, macam-macam la nama panggilan saya. Dan panggilan-panggilan ini tidak terhenti setakat sekolah rendah tapi berlanjutan sampai ke zaman matrikulasi. Akibatnya, saya benci sungguh-sungguh pada nama "Wan" yang ada pada pangkal nama saya. Pernah satu ketika, saya tanyakan pada ayah saya kenapa perlu letak nama "Wan" pada nama saya? Ayah saya senyum dan yakin kan saya bahawa nama saya nama yang bagus (walaupun maknanya tak berapa nak jelas). Kata ayah lagi, nama saya "Wan" sebab saya cucu kepada arwah Atok.

Gelar-menggelar memang biasa dalam masyarakat kita. Ada yang suka menggelar dengan nama seperti yang terjadi pada saya. Ada juga yang suka menggelar pada sifat fizikal. Contohnya, panggil Mok sebab gemuk. Panjang sebab tinggi. Kecik/Ketot sebab rendah. Tapi ada juga yang saja-saja nak panggil orang dengan gelaran tanpa alasan. Macam Makcik, Bibik, Nenek. Malah ada juga yang memanggil dengan nama-nama haiwan. Kambing, Ayam, B*b* dan macam-macam nama lagi.


Salah ke memanggil dengan nama gelaran? Tak salah, kalau tuan empunya badan suka. Contohnya, gelaran Abu Hurairah yang membawa maksud Bapa Kucing pada sahabat Rasulullah SAW, `Abd al-Rahman ibn Sakhr Al-Azdi. Abu Hurairah mendapat gelaran tersebut kerana kecintaannya kepada kucing. Kalau nak tahu lebih lanjut kisah Abu Hurairah, boleh klik sini

Maknanya, tak salah lah kan nak memanggil orang dengan gelaran. Tapi ada syaratnya. Si penerima gelaran atau tuan empunya badan suka dengan gelaran tersebut. Kalau dia kata tak suka atau melarang kita memanggil dengan gelaran tu, jangan lah diteruskan. Walaupun cara dia menyatakan ketidaksukaan itu tak nampak macam marah pun, tapi kalau dia kata "Jangan panggil aku sekian-sekian", maka kita sama sekali tidak berhak, tidak boleh malah haram memanggilnya dengan panggilan itu.

Allah SWT mengeji orang yang memanggil orang lain dengan panggilan yang buruk. Firman Allah:
"..Janganlah kamu saling mencela satu sama lain, dan janganlah saling memanggil dengan gelaran yang buruk..." 
[Al-Hujurat 49: 11]

Besar kesannya memanggil orang dengan gelaran atau panggilan yang tidak disukai ini. Tapi yang paling jelas, persahabatan dan silaturrahim akan rosak. Orang yang memanggil mungkin rasa yang dipanggil itu emosional tapi cuba fikir kalau diri sendiri yang dipanggil dengan panggilan-panggilan yang dibenci. Rasa macam kena ejek dan terhina tau! Jadi kawan-kawan, lepas ni, panggillah rakan-rakan kita dan orang sekeliling kita dengan panggilan yang baik dan disukai ya! Tak usah lah menggelar yang pelik dan jelik.  Okay!

ps: ada kawan sekolah rendah dulu dipanggil Ketam sebab nama ayahnya Rostam, Penguin sebab namanya Mazwin

Monday, January 14, 2013

Bunga Tigris

"Kalau diikutkan hati, dia rela melakukan apa sahaja demi cintanya pada lelaki itu. Apa sahaja! Berjalan beribu-ribu batu berkaki ayam demi bersama pun dia sanggup. Berlari ke mana saja, asal berdua. Tinggal di dalam rumah berlantai tanah beratapkan jerami di ceruk Afrika pun dia rela. Asalkan mereka bersama. Apa sahaja yang termampu oleh kudratnya sebagai seorang perempuan, Khairunnisa sanggup saja lakukan. Tapi, satu, yang satu ini, dia tidak rela melepaskan. Dia tidak rela menggalang-gantikan: AGAMANYA!"

Cinta antara lelaki dan perempuan, sentiasa ada batasan. Batasan bangsa, batasan darjat dan batasan agama, antara contoh batasan dalam bercinta.

Zahrah de Tigris atau bunga Tigris mengisahkan tentang seorang gadis bernama Khairunnisa yang menjadi guru di Baghdad, Iraq semasa negara di mana terletaknya Sungai Tigris tersebut bergolak di rempuh Amerika dan Tentera Bersekutu. Mengambil sorot waktu saat Presiden Saddam Hussein diburu, penulis karya ini, Khairyn Othman bercerita dengan terperinci keadaan di Iraq pada waktu tersebut.

Kebetulan pula, Allah takdirkan saya membaca novel ini ketika pihak Zionis Israel rancak menyerang Palestin pada awal Muharram lalu. Lantas membaca Zahrah de Tigris terasa begitu menyentuh hati malah sesekali terasa amat beremosi.

Allah ciptakan manusia dengan penuh rasa kecintaan. Dan walau dalam waktu perang sekalipun, cinta tetap sudi berputik. Khairunnisa saling jatuh cinta dengan dengan sukarelawan Medecins Sans Frontieres (Perubatan Tanpa Sempadan), Dr. Patrick Devereux warga Perancis yang ateis.

Selain mengandungi kisah suka-duka bergelar guru dan penterjemah di Baghdad, novel ini turut mengandungi pergelutan rasa hati Khairunnisa. Pergelutan rasa kasih dan rindu pada ibu dan ayah di Malaysia yang tidak merestui pemergiannya ke Baghdad dengan keinginan untuk berkhidmat di tanah di mana pernah mekarnya ilmu-ilmu Islam satu ketika dahulu. Pergelutan rasa hatinya terhadap rasa cinta kepada seorang lelaki dengan rasa cintanya pada Rabbulizzati.

Saya tak pernah ke mana-mana tempat bergolak. Jauh sekali ke nagara yang sedang berperang. Tapi membaca novel ini cukup membuatkan saya bersyukur kerana hidup di negara yang tiada peperangan senjata (walaupun ada perang lain yang sedang kita hadapi). Kudos buat Khairyn Othman atas kejayaannya membuatkan bulu roma saya merinding dengan rasa ketakutan, kesedihan dan sesekali tersenyum pula. Peperangan dan cinta. Memang selalu ada dalam satu ayat bukan?


Mahu kenal lebih lanjut dengan penulis Zahrah de Tigris? Boleh lawati weblog beliau di BungaTigris.

ps: saya ambil masa tiga bulan untuk habiskan novel ini. maklumlah, cuma baca semuka dua sebelum tidur. wan neeza sudah semakin malas membaca. alahai~

Thursday, January 10, 2013

Love VS Lust

Assalamualaikum~

Apa khabar? Sihat? Alhamdulillah.
Saya nak mulakan post 2013 di blog ini satu persoalan. Rasa, antara lelaki dan perempuan. Adakah ia cinta ataupun, cuma nafsu?

Tiba-tiba je kan tanya soalan macam ni. Tak pernah-pernah menulis pasal cinta lelaki-perempuan, tiba-tiba kali ni boleh pulak terasa nak tulis pasal hal ni. Well~ rasanya tak salahkan sesekali saya sentuh pasal hal ini. Maklumlah, umur pun sudah 26 tahun. Kawan-kawan semua sudah beranak-pinak. Yang masih bujang pun masing-masing sudah berpunya. Bila tengok kawan-kawan ramai yang sudah berbahagia dengan pasangan masing-masing, tipu lah kalau saya kata saya tak rasa apa-apa. Tapi bila kawan-kawan yang nampak macam bahagia ini meluahkan rasa ketidak bahagiaan mereka kepada saya, saya mula terfikir. Apa benar yang mereka rasakan saat bahagia itu cinta? Atau.. nafsu semata?


Okay, kalau yakin itu adalah cinta, sungguhkah ia cinta yang bersandarkan kepada Allah? Cinta yang mengharapkan redha Allah? Cinta yang mahu dibawa sampai ke syurga?

Yakin ke itu benar-benar cinta yang digembar-gemburkan sebagai suci kalau belum apa-apa dah berpegang tangan?
Belum apa-apa dah ringan-ringan?
Belum apa-apa sudah minta yang bukan-bukan?
Belum apa-apa asyik berangan-angan?
Belum apa-apa mak, ayah, saudara, semua dilupakan?

Betul ke cinta kita tu cinta sejati?
Sedangkan kita tertarik sebab rupa dia, sebab gaya dia, sebab pangkat dan gaji dia. Takpun sebab segala ijazah yang dia ada.

Betul ke cinta sedangkan kita tak henti-henti terpedaya dengan bentuk dan rupa?

Hm.... 
Rasa macam dah jatuh cinta? Cuba tanyakan pada hati sendiri. Betul ke cinta? Atau pun nafsu semata? Sungguh ke cinta? Jom buat istikharah dulu. Kot-kot bukannya jatuh cinta, cuma terpesona dengan keterampilan luaran. Allah Maha Mengetahui, tanya pada Dia. Walaupun soal hati sendiri.

“Orang yang berjihad ialah orang yang melawan nafsunya” HR Tirmizi (no: 1621)