Friday, October 31, 2008

Cinta Pertama



Di balik kesibukan yang melanda diri saya sepanjang Oktober ini, saya sempat meluangkan masa untuk mengulang bacaan novel Laskar Pelangi karya Andrea Hirata. Bagi anda yang pernah membaca karya ini pasti mengenali A Ling, cinta pertama Ikal, watak pencerita dalam kisah anak-anak Muhammadiyah di Pulau Belitong. Saya berkenalan dengan karya-karya Andrea Hirata ketika undergraduate lagi. Ketika itu saya di semester 1, tahun akhir program Ijazah Sarjana Muda. Karya beliau yang pertama saya kenal adalah Sang Pemimpi yang saya dapati di Book Garden, USM – lokasi kegemaran saya di USM selepas bukit di BHEPP. Rentetan daripada itu, saya berusaha untuk mencari kesinambungan kisah Ikal di Popular, Bukit Jambul dan kemudian diikuti dengan penemuan Edensor. Kini, saya sedang menanti kehadiran Maryamah Karpov – pelengkap kepada tetralogi Laskar Pelangi. Selain itu, saya juga sedang berharap agar Laskar Pelangi The Movie bakal muncul di Malaysia.

Kembali kepada Laskar Pelangi. Kisah ini tentang kisah 10 orang anak-anak Sekolah Muhammadiyah di Kepulauan Belitong di Sumatera. 10 watak tersebut adalah Lintang yang saaaaangaaaatttt bijak, Mahar yang tampan dan berseni tetapi sangat taksub dengan alam ketahyulan, Tripani yang juga tampan dan sangat mengasihi ibunya,Harun yang agak lewat pertumbuhan mentalnya, Sahara yang menjaga aurat tetapi sangat tegas, A Kiong si anak Hokkien yang fanatik dengan ketahyulan Mahar, Kucai ketua kelas yang segak, Syahdan yang gemar berbicara dan beromong kosong, Ikal – watak utama kisah ini (saya menganggap bahawa dia adalah Andrea Hirata sendiri) yang telah jatuh cinta buat pertama kali dalam hidupnya dan lewat percintaan itu terputus kerana kekasihnya, A Ling berpindah mengikut bibinya ke Jakarta dan menyambung pelajaran di sana.

Menurut Ikal;

Kini sering kali aku bertanya pada diri sendiri: berapakah jumlah pasangan yang telah mengalami cinta pertama, lalu hanya memiliki satu cinta itu dalam hidupnya, menikah, dan kemudian hanya terpisah kerana Tuhan memanggil salah seorang daripada mereka? Sedikit sekali! Atau mungkin tidak ada! Seperti kedua-dua jawapan tersebut boleh menjadi hipotesis yang meyakinkan untuk pertanyaan kecil seperti itu. Kerana itulah yang umumnya terjadi dalam dunia nyata.

… cinta pertama memang tidak akan mati, tetapi ia juga tidak akan survive.

Begitulah kisah cinta pertama Ikal yang saya rasa turut dirasai oleh hampir semua daripada kita. Saya sendiri punya cerita tentang cinta pertama. Cinta yang berputik daripada rasa kasih dan sayang hasil daripada persahabatan masa kecil. Dalam mengulit kisah cinta pertama Ikal, dia sempat mengatakan bahawa keindahan menjadi anak muda adalah patah hati kerana cinta yang berlangsung selama bertahun-tahun bisa saja pulih dalam waktu tiga hari dan keindahan serta pesona yang lainnya. Sedangkan orang dewasa mungkin memerlukan waktu tiga tahun untuk mengubati kekecewaan kerana hancurnya cinta platonis dalam tiga minggu. Adakah semakin dewasa manusia menjadi semakin tidak positif?

Begitulah keindahan dunia anak-anak. Saya tidak katakan kanak-kanak kerana ketika merasai cinta pertama ini Ikal telahpun menjejak dunia remaja sekolah menengah Muhammadiyah.
Itu kisah Ikal dengan cinta pertamanya. Bagaimana dengan kisah anda? Sedar atau tidak, kita masing-masing punya kisah cinta pertama yang tersendiri. Mungkin indah untuk dikenang atau mungkin saja kisah itu membuatkan kita menyesal kerana dipertemukan dengan orang yang salah. Usah dinafikan, walau cinta pertama itu tidak kekal namun tetap berjaya menyimpan secebis kenangan manis dalam ingatan. Meskipun cinta itu telah pergi, ia pasti telah memalitkan sedikit corak yang membentuk peribadi kita pada hari ini. Lagipun, mana ada cinta yang kekal selain daripada cinta Ilahi kan? Sudah-sudahlah bersedih dengan cinta yang lama. Bawak-bawak lah bermaafan dengan cinta yang lalu. Cukup-cukuplah saling tuduh-menuduh dan menyalahkan. Cinta pertama tu indah dan janganlah dipadamkan keindahannya dengan hanya mengingati yang buruk-buruk.

Thursday, September 25, 2008

Salam Aidilfitri



Kebelakangan ni sibuk sikit..x sempat nak update blog ni. Dan xde idea nak tulis apa. Tapi di kesempatan ini, saya nak ucapkan Selamat Lebaran buat semua yang sudi singgah ke laman blog ni. InsyaAllah, rezeki yang berlebih jangan lupa di zakat kan..semoga berkah Allah sama-sama dapat kita peroleh.

Mohon kemaafan atas segala kesilapan dan kekurangan saya. Kalau ada terumpat, terkeji, ter-puji, harap dimaafkan. Manusia biasa, saya tak terlepas membuat kesilapan. Kalau ada hutang yang belum saya langsaikan, jangan segan untuk tuntut ya! Maklumlah, manusia memang mudah lupa kalau bab2 hutang ni.

Sekali lagi, Selamat Hari Raya Aidilfitri!
Ps: xde kad raya yang akan dihantar kepada anda…save the paper to save the world!

Monday, September 15, 2008

Kita & Ramadhan

Manusia diciptakan oleh Tuhan, dengan dua tugas; hamba Allah dan khalifah Allah. Firman Allah yang maksudnya:
“ Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku”
51:56
Ramadhan telah pun sampai di pertengahan. Seharusnya saat ini para manusia makin berkejar-kejaran melakukan ibadah. Ramadhan bukan lama. Dan kini, separuh daripadanya telah kita lalui. Persoalannya, apakah Ramadhan yang telah kita lalui ini telah kita penuhi dengan sepenuhnya? Adakah tanggungjawab kita sebagai hamba Allah telah kita laksanakan? Atau apakah tugas kita sebagai khalifah Allah telah kita jelaskan?

Ramadhan bukan sekadar menunaikan tanggungjawab hablumminallah. Ia lebih daripada menjalankan ibadah berpuasa, bertarawikh, bersahur dah segala ibadah yang dilakukan pada bulan penuh keberkatan ini. Ramadhan adalah tempat kita juga melaksanakan tanggungjawab kita sebagai khalifah. Memahami perasaan saudara kita yang menderita kelaparan, memenuhi keperluan saudara kita yang kekurangan segala jenis material, malah membimbing saudara kita yang tandus dan miskin dengan keimanan.

Di mana agaknya kita berada? Sekadar berkumpul di bazaar Ramadhan dan memborong segala jenis makanan? Atau menanti waktu berbuka di masjid dan menanti makanan percuma? Atau barangkali memenuhi jemputan majlis berbuka puasa penuh kemewahan?

Apa jua jawapannya, sebuah persoalan lagi yang perlu kita fikirkan…apakah layak untuk kita menyambut Syawal sedangkan Syawal itu diciptakan sebagai hari kemenangan untuk mereka yang berjuang.

Wallahua’lam

Friday, August 15, 2008

Graduasi: baju indah – reunion – bunga – keluarga – ijazah

Minggu ini minggu graduasi. Minggu-minggu lalu, ramai yang sibuk melengkapkan koleksi pakaian yang ingin disarungkan ke tubuh ketika majlis konvokesyen nanti. Saya sempat menemani teman sebilik mencari kasut yang beliau ingini. Malang, tidak ketemu. Dan saya dengan kaki yang letih menganjurkan agar beliau mencarinya sendiri memandangkan kami sudah bersusah-payah untuk sehari suntuk. Kisah pakaian yang indah-indah sepersalinan bagi penerima ijazah ini bukan hanya berlaku pada para siswi. Yang lelaki tak kurang hebatnya! Teman sekelas (lelaki) sibuk menyatakan persalinannya belum lengkap.


Majlis konvokesyen juga berperanan dalam menemukan kembali teman-teman sekelas yang lebih 3 bulan tidak bertemu sejak tamat pelajaran pada semester lepas. Reunion ini menyaksikan perubahan pada teman-teman lama. Ada yang semakin jelita, yang makin kacak, ada juga yang makin membesar. Almaklumlah..lama menetap di rumah, tentunya makanan di rumah enak-enak belaka.

Saya sempat berkunjung ke tapak ekspo konvokesyen USM ke-38 dan ‘mencuci mata’ meyaksikan deretan gerai menjual pelbagai jenis bunga, cenderamata, pakaian dan makanan. Tentunya majlis konvokesyen ini menjadi seolah-olah satu pesta jual-beli dan membuka pintu rezeki ramai pihak. Gerai tumpuan tentulah gerai bunga-bungaan yang seolah-olah wajib untuk dijadikan hadiah kepada para graduan. Jangan sampai membazir sudahlah ye!

Majlis konvokesyen tiada serinya jika tidak diserikan dengan kehadiran ahli keluarga, terutamanya ibu bapa. Bagi saya, inilah hadiah terindah dapat diberikan oleh seorang anak kepada kedua orang tuanya selepas mereka berhempas pulas menyediakan peruntukan kewangan dan sokongan untuk kita belajar sejak kecil hingga ke menara gading. Jadi, usahlah berkecil hati andai saat keluar dari Dewan Tuanku Syed Putra nanti anda tidak disambut dengan jambangan bunga mawar (atau apa saja yang anda sukai). Yang selayaknya untuk menerima jambangan itu adalah mereka yang berada dibelakang anda, yang menyokong, yang sentiasa menggalakkan dan sentiasa ‘push’ anda untuk terus belajar. Jangan terleka sibuk bergambar dengan teman-teman dan para junior yang meraikan anda hingga terlupa dengan keluarga anda. Saat bahagia ini seharusnya dikongsi lebih lagi dengan mereka.

Menjadikan majlis konvokesyen ini bermakna adalah dengan segulung (kalau di USM sekeping – tidak digulung) ijazah yang menjadi bukti usaha dan segala tungkus lumus bergelar pelajar. Sungguh, ijazah itu lebih bermakna setelah segalanya dilimpahkan bagi memastikan kita mampu menamatkan pelajaran – tanpa perlu mengulang. Saya tahu, bukan sedikit yang diberikan bagi memastikan anda berjaya tiba ke destinasi ini. Wang ringgit, masa, tenaga, dan segala macam jenis ‘kesakitan’ hati dan mental terpaksa dikorbankan. Inilah masanya untuk anda meraikan segala usaha anda. Tapi jangan terleka. Tanggungjawab sebagai lepasan universiti lebih tinggi daripada ketika anda sedang belajar. Anda punya tanggungjawab yang perlu dilangsaikan kepada kedua orang tua, kepada masyarakat, kepada negara dan tentunya kepada agama. Jangan terlalai dengan statu B.Sc atau BA yang anda peroleh.

Akhir sekali, tahniah buat semua graduan khususnya teman-teman seangkatan yang berjaya memperoleh ijazah B.Sc (hons) Microbiology serta semua graduan Majlis Konvokesyen USM ke–38. Terima kasih buat para pensyarah, guru dan GA yang membantu kami menyelesaikan pengajian ini. Segala syukur dipanjatkan buat Yang Maha Esa yang mengizinkan, yang memberikan kudrat dan keupayaan, yang menganugerahkan ilmu dan yang mempermudahkan laluan bagi mengharungi dunia siswi ini. Dan segala puji itu hanya buatNya. Alhamdulillah.

Thursday, July 31, 2008

Menanti Teduh

Tuhanku
Sungguh ganjil
Bagaimana bisa
Sekian lama aku tergiur
Oleh yang bukan Engkau
-Emha Ainun Nadjib-
Kesempatan pulang ke rumah beberapa hari lepas membuka peluang buat saya untuk meneruskan pencarian sebuah lagi karya Faisal Tehrani yang telah lama saya cari. Tunggu Teduh Dulu. Berputar-putar di sekitar Jalan TAR, Kuala Lumpur bersama ibu dan adik, Allah menggerakkan hati untuk mengunjungi toko buku yang pernah saya kunjungi sebelum ini semata-mata untuk mencari karya ini.
Sejurus memperoleh tempat duduk di Pudu Raya ketika menanti ketibaan bas untuk bertolak pulang ke Pulau Pinang, saya membuka balutan plastik yang menyaluti novel nuansa Islami ini. Bacaan Tunggu Teduh Dulu saya mulakan dengan lafaz basmalah. Memulakan perenggan pertama;
“Tuhan mencipta bumi, langit, syurga, bintang-bintang, bulan dan hujan.
Tuhan mencipta manusia.
Tuhan mengatur semua jalur hidup insan – warna cerah atau kelam, hujan atau teduh.”

Saya kira perenggan pertama ini dapat menggambari keseluruhan novel ini yang secara jelas mahu membawa kita untuk mengakui keesaan Tuhan, kekuasaan-Nya dan betapa kejadian yang berlaku terhadap diri kita dan sekeliling kita adalah dibawah kuasa-Nya.

Membaca Tunggu Teduh Dulu seperti membaca catatan diri. Didirikan melalui watak Salsabila Fahim, wanita kental graduan dari universiti di Amerika dan pulang ke tanah air lantas berjuang memajukan tanah peninggalan arwah ayahnya. Tanah kaki bukit dijadikan ladang betik dengan nama Teduh Dulu. Perjuangan membina Teduh Dulu menjadi satu liku, membuka ruang cinta antara Salsabila, Kamil, dan Lam atau nama Islamnya Saifullah. Tapi Tunggu Teduh Dulu bukan sebuah karya cinta tiga segi. Salsabila tidak memilih keduanya tapi memilih untuk berserah kepada Allah untuk memilih tempat teduhannya. Dalam membangunkan ladang Teduh Dulu, Salsabila didukung kuat oleh sahabatnya, Teh Sofia yang rupawan dan sering mengucapkan ungkapan “Kerja Tuhan siapa tahu?”

Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai jalan cerita Tunggu Teduh Dulu kerana saya tidak layak. Saya bukan orang sastera. Saya juga bukan seorang agamawan untuk mempertikaikan segala hadith dan fakta-fakta Islam yang dikemukakan oleh penulis dalam karyanya ini. Saya memandang dan menghadam karya ini sebagai diri saya, seorang saya.

Kerap kali teman-teman melabelkan saya sebagai fanatik Indonesia kerana minat saya terhadap karya sama ada karya sastera mahupun kesenian dari negara republik itu. Namun sering juga saya buktikan, andai karya tempatan lebih berhak untuk diangkat tentu sekali saya memilih karya tempatan. Ini buktinya. Jika ramai yang mengagungkan Ayat-ayat Cinta, saya kira Tunggu Teduh Dulu lebih berisi. Malah sarat. Sarat dengan ilmu, sarat dengan rasa kerendahan hati, sarat dengan emosi manusiawi. Dalam Tunggu Teduh Dulu, saya dibawa kepada tahap penyerahan diri yang lama saya tinggalkan. Betapa karya ini mengingatkan saya. Saat dugaan mendatang, sebagai manusia biasa kita pasti terasa hati. Kita pasti berasa lemah dan lelah. Namun rasa kecewa itu, jika dikembalikan kepada Allah melalui ketauhidan bahawa setiap yang berlaku adalah perancangan dan ketentuan Allah, maka rasa pilu dapat kita atasi. Syukur, Allah temukan saya dengan novel ini sesuai pada masanya. Kerja Tuhan itu memang penuh keajaiban, penuh menggamamkan. Saya sedang berasa sedih dan sedang berasa pilu. Dan sesuai pada waktunya Allah beri peluang untuk saya memahami diri sendiri.

Saya tahu ribut apa pun, taufan mana pun, tetap di bawah kekuasaan Allah. Dan saya tahu tiada guna untuk saya melawan kuasa Allah itu. Mungkin ini waktu yang tepat untuk saya berteduh dahulu sementara menanti untuk mentari bersinar kembali. Menanti agar hujan yang lebat ini teduh kembali.

Tuesday, July 29, 2008

Mengejar dan dikejar

Sepanjang minggu lalu saya banyak didedahkan dengan pemikiran-pemikiran mengenai ilmu dalam Islam dan perbandingan antara ilmu dari perspektif Islam dan perspektif Barat.

Setelah melepasi zaman kegelapan, dunia Barat bangkit dan menggeledah segala macam jenis ilmu yang pada masa itu telah pun dikaji secara mendalam oleh ilmuan Islam. Kenang saja peristiwa penemuan pergerakan planet mengelilingi matahari. Sedang dunia Islam telah menggunakan peredaran bumi mengelilingi matahari dan peredaran bulan mengelilingi bumi ini untuk menentukan takwim dan waktu solat, pihak gereja pula menghukum seorang ilmuan yang mengatakan bumi bukanlah pusat peredaran planet sebaliknya matahari. Lantas setelah melepasi cengkaman gereja dan melalui beberapa evolusi peradaban, masyarakat Barat bangkit. Bukan sekadar dalam bidang teknologi, sains, malah menjadi maju (dalam erti Barat) dalam bidang seni dan kesusasteraan.

Di tengah-tengah kebangkitan Barat yang sedang berkobar-kobar untuk menjadi maju, siri pejelajahan merentasi benua mula dilangsungkan yang ketika itu secara kebetulan (atau disengajakan?) tamadun Islam mulai roboh. Satu demi satu. Sampai ke tamadun Melayu Melaka. Saya terkedu dengan satu prosa (maaf saya terlupa karya apa dan oleh siapa) “Melayu pasti lebih maju kalau tidak dijajah.” Tapi sayang, kita memang telah dijajah dan melepaskan belenggu penjajahan itu bukan satu perkara mudah.

Penjelajahan (baca: penjajahan) Barat ke Tanah Melayu satu ketika dulu bagi saya bukan sekadar membawa masuk mubaligh Kristian dan mengangkut segala jenis kekayaan hasil bumi daripada daerah bertuah ini, tetapi juga telah membawa masuk kesekularan dan dalam masa yang sama bercita-cita menjadikan manusia di rantau ini untuk menganuti kepercayaan liberal mereka. Saya musykil sebenarnya. Apa guna para mubaligh itu sedangkan mereka adalah liberal, sekular, malah secara terang-terangan tidak percaya dengan kewujudan Tuhan? Tapi itulah, fitrah manusia. Walau liberal sekalipun, moden mana pun, tetap mahu percaya Tuhan itu ada. Tetap mahu bila waktu mati nanti dikebumikan dengan etika agamanya.

Pernah ketika di tahun 1 sewaktu mengikuti ijazah pertama, seorang pensyarah bertanyakan kepada kami, anak muridnya yang ketika itu sungguh teruja mendalami ilmu Evolution dalam subjek Biodiversity. Bila belajar tentang evolusi tentulah tak terlepas untuk sekadar memahami teori evolusi yang dikemukakan oleh Charles Darwin. Menurut beliau, setiap organisma di muka bumi ini berevolusi. Evolusi ini berlaku melalui perubahan-perubahan pada genotype (genetic) lantas menghasilkan phenotype (sifat fizikal) yang berbeza dengan induknya. Lantas burung Finch dijadikan contoh di mana burung Finch di Galapagos Island mempunyai perbezaan terutamanya pada paruh jika dibandingkan dengan burung Finch di tanah besar. Kalau dah dibincangkan teori Darwin, maka tidak terlepas jugalah perbincangan mengenai usul Darwin tentang evolusi yang berlaku pada manusia. Beliau mencadangkan bahawa manusia itu berasal daripada primates (baca: beruk?). Nah di sinilah menjadi cabaran kepada pelajar aliran sains untuk meyakini bahawa penciptaan manusia itu adalah sebaik-baik makhluk. Dalam al-Quran turut diperincikan tentang penciptaan manusia yang dimulakan dengan Nabi Adam a.s serta Hawa. Malah bukan sekadar di dalam al-Quran, mitos Barat juga percaya dengan penciptaan Adam dan Eve (saya kata mitos kerana mereka percaya Bible itu sekadar teks), begitu juga dengan golongan Yahudi (tetapi ditambahkan dengan Lilith). Lantas mengapa mahu dikatakan manusia itu asalnya daripada primates? Bagi saya inilah kekeliruan yang bakal timbul apabila sains dipisahkan daripada agama. Seperti yang saya jelaskan tadi, minggu ini saya didedahkan dengan cabang-cabang ilmu dan tempoh hari, pensyarah saya telah menegaskan bahawa ilmu itu tidak seharusnya dipisahkan antara dunia dan akhirat kerana ilmu itu daripada Allah. Tak kiralah sains atau apa. Dalam kes evolusi, saintis yang menolak agama bakal mempersetujui teori-teori yang dikemukakan oleh Darwin. Ini kerana evolusi terjadi dengan peredaran masa. Evolusi berlaku berlandaskan mutasi pada stuktur genetik sesuatu hidupan. Dan genetik ini merupakan kod-kod yang terkandung dalam bebenang DNA sesuatu spesis. Bagi ahli taksonomi (baca: pengkelasan), mereka mengasingkan hidupan dalam kumpulan-kumpulan dengan salah satu caranya adalah melalui jujukan DNA ini. Dan apabila sains diasingkan daripada agama, jujukan DNA manusia pula menyerupai primates, maka dikatakan manusia itu berasal daripada primates.

Dalam sesi pembentangan oleh seorang teman sepengajian yang berjudul “Semua ilmu dari Allah SWT. Bincangkan kenyataan ini dari sudut epistemologi Islam dan Barat”, persoalan tentang masyarakat Islam masa kini telah timbul. Barat menolak kehidupan beragama. Sekurang-kurangnya mereka berjaya untuk memperoleh kemajuan duniawi. Ya, walaupun hidup dalam dunia materi semata-mata, tapi bagi saya mereka telah berjaya memperoleh kejayaan menurut acuan mereka sendiri. Sedangkan masyarakat Islam kini seakan terampai-ampai. Ilmu tidak dikuasai, kekayaan materi juga bukan milik kita. Dada pula kosong dengan iman. Apa sebenarnya yang kita kejar? Kita mengagungkan Barat tapi yang kita peroleh cuma budaya hedonisme mereka. Kita kibarkan semangat ke-liberal-an tapi yang kita peroleh adalah segala macam keruntuhan moraliti. Yang lebih sedih, keadaan ini bukan hanya berlaku dalam kalangan anak muda yang dikatakan keliru memilih laluan tetapi lebih kritikal dalam kalangan dewasa. Dalam masa yang sama, segelintir daripada kita sibuk menuntut bahawa teknologi-teknologi bermula daripada dunia Islam dan dirintis oleh ilmuan Islam. Maka timbul nama-nama seperti Ibnu Sina, Khawarizmi dan ramai lagil. Tapi itulah…sekadar berpaling dan mengimbau kegemilangan silam. Apa usaha kita untuk kembalikan kegemilangan itu? Sampai bila harus yang mengkelaskan diri sebagai moden dan liberal (dan saintifik?) harus merendahkan ajaran dan ilmu Islam dan sampai bila pula harus agamawan kita kekal di bawah tempurung dan mengatakan golongan lain sebagai keduniaan dan tak ingat mati? Apa agaknya yang kita kejar? Atau sebenarnya kita sedang melarikan diri?